Halaman

13 April 2013

Terima calon dengan hati terbuka

Oleh; Esah Abdullah

 “Saya mengharapkan kira-kira 26,000 ahli Umno dan 4,000 ahli komponen Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu menerima siapa saja calon yang dipilih presiden parti dengan hati terbuka.

“Apabila sampai saat dan ketikanya, presiden parti akan membuat keputusan siapa calon paling sesuai untuk berkhidmat kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh,

Katanya, BN menyenaraikan calon bukan sahaja mengikut kehendak parti tetapi turut mengambil kira kehendak rakyat.

Menurutnya sebagai ketua beliau telah menyenarai nama-nama calon seperti yang dikehendaki pucuk pimpinan dan berharap calon yang terpilih itu adalah wakil parti dan bekerja keras untuk Parlimen Kuala Terengganu.

 “Kreteria calon bukan hanya berdasarkan kehendak parti tetapi rakyat juga. Jika ada pihak menyatakan bahagian tidak dirundingi, itu adalah tidak betul cuma keputusan akan ditentukan presiden parti (Perdana Menteri),” katanya.

Namun begitu, beliau enggan mengulas kemungkinan akan menjadi calon atau tidak, kerana keputusan terletak di tangan presiden parti.

 “Saya pernah dicalonkan dan pernah juga tidak dicalonkan, apa pun keputusannya saya menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Katanya, siapa calon tidak penting tetapi kemenangan parti menjadi agenda utama BN bagi mempertahankan maruah bangsa serta mengekalkan ketuanan Melayu.

 

Jangan gigit jari pemberi-MB

 Oleh: Gelombang Biru

 Setiap tahun peruntukan yang besar disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu golongan remaja, termasuk membiayai program dan pelbagai kemudahan asas, bagi membolehkan mereka beriadah dan melakukan kegiatan berfaedah.

 Tidak kurang daripada RM30 juta disediakan kerajaan negeri pada setiap tahun kepada golongan belia bagi tujuan berkenaan.

 Bantuan kewangan disalurkan kerajaan negeri kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan belia dan remaja, seperti Persatuan Belia 4B, MAYC dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di seluruh negeri.

 Tidak ketinggalan pada tahun lepas, kira-kira 85,000 belia di Terengganu membabitkan peruntukan RM17 juta menerima Dana Bakti Remaja. Manakala bagi tahun 2011 pula, seramai 83,197 belia (RM16.6 juta).

Dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak tidak pernah melupakan golongan remaja yang sudah dianggap tonggak penting dan sebagai tulang belakang negara.

Pengumumkan pemberian BR1M 2.0 diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, layak menerima RM250 nyata mengembirakan dianggap bonus bagi golongan itu.

Jika diperhalusi, tiada sebab lain mengapa golongan belia dan remaja mahu menyokong parti pembangkang walaupun menyedari Kerajaan BN tidak jemu menabur bakti.

 Golongan itu sewajarnya mengingati kata-kata yang sentiasa diluahkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap di mana-mana majlis agar ‘meminta kepada yang kasih dan bermanja pada yang sayang’.

 Golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

 Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan. Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

 

PKR bakal berkubur di Terengganu

Oleh: Cicit Laksamana

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan pada 5 Mei nanti bakal menyaksikan Parti Keadilan rakyat (PKR) ‘berkubur’ di negeri Terengganu.

Melalui persefahaman yang dicapai Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai Pas dan DAP, PKR hanya diberi kuota satu kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Kemaman manakala tujuh kerusi lagi dibolot oleh Pas.

Dalam satu ceramah di Chukai baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kamarudin Chik sebagai calon tunggal parti itu yang akan bertanding di Kemaman pada PRU13.

Kamarudin yang berasal dari Kuala Terengganu tidak dikenali oleh ahli-ahli dan pengikut PKR di kawasan itu, apatah lagi di kalangan penyokong Pas yang merupakan sekutu mereka dalam PR.

Anwar ketika mengumumkan nama Kamarudin sebagai calon PKR kononnya berkata, beliau dipilih kerana memenuhi kriteria dan merupakan ahli parti yang setia dan tidak mudah khianat kepada parti.

‘Sebab itu kita pilih orang Terengganu menetap di Kemaman…kita tidak mahu berlaku seperti 2008, khianat sebelum pilihan raya dan khianat selepas pilihan raya tak dapat jadi calon, kriteria penting kita adalah orang yang taat dan tidak belot dan tidak khianat parti,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional (BN) yang kini Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek menewaskan calon PKR Fariz Musa bagi Parlimen Kemaman dengan majoriti 12,683 undi.

Pemerhati politik berpendapat calon PKR kali ini bakal kalah di tangan calon BN dengan majoriti yang lebih besar lagi.

Ini bermakna PKR tidak akan berpeluang bertapak di Terengganu di mana akhirnya ia akan terus berkubur kerana sokongan rakyat terhadap parti itu semakin terhakis.

12 April 2013

Jika benar, jangan dedah aib orang lain : MB


Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said enggan mengulas lanjut berhubung penyebaran video lucah ketika ditanya mengenai penyebaran video yang melibatkan pemimpin pembangkang yang sedang tersebar meluas di laman blog sejak semalam itu.

 "Saya tak berani komen sebab tak tengok lagi. Saya belum ditunjukkan video itu. Perkara sebegini saya tak berani komen sebab tak mahu memfitnah orang lain. Itu bukan prinsip saya. Kalau dah disahkan betul, baru kita boleh cakap, saya tak berani buat spekulasi.

“Bagi kita orang Islam fitnah itu lebih dashyat dari membunuh. Betul atau tidak betul kita sahkan dulu. Lagipun jika benar, tak elok kita mendedahkan rahsia peribadi dan aib orang. Bagaimana hebatnya Tun Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai surat 18 muka (daripada Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini Presiden PKR), beliau kata 'tidak perlu' (dedahkan), walaupun sebenarnya beliau tahu apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Padang Hampar, Manir, hari ini.

Sementara itu, Polis Terengganu sedang mengesan individu yang memiliki dan mengedar cakera video digital (DVD) lucah dipercayai membabitkan seorang individu mirip pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya hanya menerima satu laporan daripada orang awam yang menerima DVD lucah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta orang awam termasuk di daerah lain membuat laporan polis sekiranya menerima DVD sama, bagi membantu siasatan.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

"DVD berkenaan mula diedarkan sejak pagi kelmarin di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut oleh individu tertentu di kawasan berkenaan dengan meletakkannya di hadapan pagar rumah penduduk.

"Namun hingga petang ini (semalam) polis hanya merampas 16 keping DVD berkenaan yang diedarkan ke rumah penduduk dan kita sedang mengesan dalang yang bertanggungjawab mengedarkan DVD ini," katanya.

Sebelum itu, laporan akhbar semalam melaporkan, polis merampas 16 keping DVD lucah dipercayai membabitkan seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut,semalam.


Penduduk jumpa DVD lucah pemimpin pembangkang.

Oleh:  Mohammad Ishak

Penduduk Kampung Alur Lintang, dekat sini,  terkejut dengan penemuan cekera video digital (DVD) lucah yang memaparkan imej seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di halaman rumah mereka semalam.

Penyebaran VCD dipercayai dilakukan pihak tertentu yang meletakkan antara satu dan dua keping DVD di pintu pagar rumah penduduk menyebabkan orang ramai tertanya-tanya.

Menurut penduduk kejadian itu disedarai kira-kira jam 8 pagi ketika hendak membuka pintu pagar dan ternampak DVD berkenaan yang diberselerak di pintu pagar rumah.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali dengan panggilan “Kak Yah’ 60, berkata pada mulanya beliau ternampak dua keping DVD di atas tanah dihadapan pintu pagar ketika hendak membuka pintu pagar.

ISU VIDEO SEX SETIAUSAHA AGUNG PAS YANG TERSEBAR: HAJI HADI MINTA JANGAN AIBKAN ORANG HATTA DATO’ NAJIB SEKALIPUN

Oleh: LB 


“Saya tak suka politik seperti ini dilakukan untuk mengaibkan pemimpin hatta kepada Dato’ Najib sekalipun”.

Presiden Pas berkata, beliau akan solat hajat bersendirian bagi mendapat pertunjuk Allah mengenai isu pembongkaran video sex yang dikaitkan dengan Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustaffa Ali.

Adakah akan diambil apa-apa tindakan kepada mana-mana pihak, beliau menjawab tidak. “Saya akan adakan solat hajat secara sendiri untuk mendapat pertunjuk Allah”.

Beliau menjawab soalan wartawan di masjid Rusila tengahari hari ini 12 April 2013 selepas mengimamkan solat Jumaat.

Beliau yang kelihatan terkejut dengan kehadiran beberapa wartawan sebelum lancar pentas bergerak penerangan Pas Marang untuk PRU 13.

Sewaktu berucap merasmikan pentas (pentas lori bergerak) itu beliau hanya berucap kira-kira seminit sahaja dan terus turun balik meninggalkan majlis.

Bila ditanya apakah Mustaffa Ali akan bertanding di mana-mana, beliau mengesahkan Mustaffa tidak bertanding.

“Dia bertanding seluruh Malaysia.....dia adalah Pengarah Pilihanraya Pas Malaysia,” jawab Presiden Pas itu.

Mengenai desas desus Dato’ Harun Din akan keluar parti Haji Hadi menjawab: “Harun Din akan bertanding di Perlis”.

 

Nik Dir dengar setiap denyut nadi warga Rhu Rendang

Oleh : Amirullah Othman 

Warga Rhu Rendang harus bersyukur apabila mendapat sentuhan yang memberangsangkan dari pemimpin yang begitu mengambil berat setiap permasalahan penduduk tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

 Haji Nik Dir Nik Wan Ku yang merupakan Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu untuk menjaga setiap kebajikan rakyat dalam DUN berkenaan dengan baik, tanpa jemu.

Walaupun DUN Rhu Rendang dimenangi oleh pembangkang pada pilihan raya yang lepas, namun wakil rakyat pembangkang , Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak melaksanakan tanggungjawabnya selaku yang berhormat di kawasan itu.

Tugas dan tanggungjawab ini dipikul oleh Haji Nik Dir Nik Wan Ku dengan melaksanakan setiap program dan menyampaikan pelbagai bantuan setiap hari tanpa mengira waktu.

Haji Nik Dir juga memandang tinggi dan menghormati semua warga Rhu Rendang yang datang berjumpa dengannya dan cuba menyelesaikan semua masalah rakyat.

Hebatnya Haji Nik Dir Nik Wan Ku ini sanggup berpanas dan berhujan demi menjaga kebajikan dan mempertahankan nilai ukhuwah rakyat Dun Bukit Payong.

Jangan cetus pergaduhan-Polis

Oleh; Esah Abdullah

Polis Kontinjen Terengganu mengingatkan penyokong parti tidak menimbulkan kekecohan yang boleh mencetuskan pergaduhan dalam tempoh berkempen dan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Jurucakap Polis Terengganu Semasa Pilihanraya 13, Superintenden Koh Ah Tiam berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan segera mengenai isu yang berlaku menjelang pilihanraya termasuk pemasangan bendera atau poster oleh penyokong parti yang tidak beretika.

“Setakat ini polis menerima lima kes yang dilaporkan mengenai isu pilihanraya masing-masing dua kes Kemaman dan Dungun serta satu di Kuala Terengganu.

``Dua kes di Kemaman berlaku pada 8 April telahpun dituduh di mahkamah pada 10 April lalu dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 seorang,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu semalam.

Katanya, ini membuktikan pihak polis mengambil serius berkenaan laporan yang melibatkan kejadian menjelang pilihanraya.

 Selain itu, beliau mengingatkan adalah perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menampal bendera dan poster supaya tidak berlaku perebutan tempat yang boleh mencetus pergaduhan.

``Penyokong parti juga tidak dibenarkan menampal bendera di premis persendirian, kecuali mendapat kebenaran pemilik,’’ ujarnya. Katanya, polis sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan semua penyokong parti tidak mengambil tindakan di luar lunas undang-undang.

Menurutnya, parti yang ingin mengadakan ceramah ditempat-tempat awam perlu memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sepuluh hari belum majlis berlangsung bagi memudahkan polis membuat pemantauan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

 Sehubungan itu, orang awam yang ingin mendapatkan pengesahan maklumat mengenai ketenteraman awam dan pilihanraya boleh layari facebook rasmi komuniti Polis Terengganu bagi mendapatkan makluamt yang sahih.

 “Orang ramai boleh layari di https:/www.facebook.com/PDRMTerengganu dan facebook rasmi Polis Diraja Malaysia di https:www.facebook.com.PolisDirajaMalaysia,” katanya.

 

636,00 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Suriati Ali 

Seramai 636,000 penduduk di Terengganu yang telah mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13).

 Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 636,00 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi.

 “Hanya 40,357 orang atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih.

 “Berdasarkan perangkaan SPR, penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya (34.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.1 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (29.3 peratus), Sarawak (29.3 peratus) dan Selangor (16.0 peratus).

 “Berdasarkan jumlah 636,000 individu layak mengundi di seluruh Terengganu, bilangan pengundi Parlimen Kuala Terengganu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 94,561 orang, diikuiti Kemaman (92,087), Marang (90,926) dan Dungun pula mencatatkan 78,298.

 “Bagi Parlimen Kuala Nerus pula seramai 76,351 orang layak mengundi, Besut (72,703), Setiu (67,407) dan paling rendah, Setiu dengan jumlan 63,667 orang,” katanya.

 Encik Fakhrul Razi turut mengingatkan semua pengundi diminta menyemak kembali status lokasi mengundi masing-masing bagi mengelak kekeliruan dan kekalutan ketika proses pilhan raya berjalan.

 “Semakan daftar pemilih boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR berdekatan mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada waktu bekerja.

 “Pengundi juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

 Katanya, pihaknya ada menerima aduan, pengundi tidak menyedari alamat mengundi `berpindah’ ke lokasi lain sedangkan mereka telah mengisi borang pertukaran alamat.

 “SPR tidak mahu lagi mendengar perkara seumpama ini berulang, oleh itu, mereka dinasihatkan segera menyemak status lokasi mengundi masing-masing sebelum tiba hari pilihan raya,” katanya

 

Pengaruh Pas makin hilang

Oleh: Aida Abd Rahman

Angin perubahan yang mula meresapi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sejak beberapa tahun lalu memberi petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Pegawai Pembanguan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

“Kesedaran orang muda terutamanya, terhadap Umno dan BN yang terbukti mampu dan sudah banyak memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara semakin baik.

“Semakin ramai penyokong Pas sudah mula sedar dan perlahan-lahan meninggalkan parti itu apabila mereka mula menghadiri majlis anjuran BN dan juga Umno. Jadi mesej itu amat jelas kepada BN untuk kembali merampas DUN ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Seramai 25,274 pengundi berdaftar sehingga suku keempat tahun lalu kini tiada pilihan lain lagi melainkan memastikan DUN itu kembali kepada BN sebagai memastikan kesinambungan kestabilan politik antara DUN, negeri dan juga Pusat.

 “Jika majoriti hampir 7,000 isi rumah yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 termasuk suami dan isteri masing-masing yang melibatkan jumlah kira-kira 14,000 orang tahu erti bersyukur.Majoriti mereka inilah bakal merubah dan memberi kemenangan kepada BN pada PRU13 nanti,” katanya.

Beliau berkata, BR1M membuktikan dasar kerajaan yang telus dan adil, malah usaha untuk meneruskan bantuan itu pada tahun akan datang seharusnya membuka mata rakyat untuk menolak pembangkang yang hanya pandai berjanji dan retorik.

Bukan sekadar menyampaikan bantuan daripada kerajaan negeri dan Pusat kepada penduduk terlibat, Haji Wan Mahyuddin berkata, dia turut meneruskan kegiatan rutin memasuki kawasan kubu kuat Pas bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sepatutnya, tanpa ianya dipolitikkan.

 “Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu mereka. Namun saya sudah lali dengan situasi itu. Itu amanah kepada saya dan saya akan laksanakan sebaik mungkin.

 “Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun, golongan itu masih menganggap kita seumpama `membawa bom’ untuk menghancurkan mereka pula,” katanya.

 Beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DUN itu walaupun terpaksa berdepan dengan golongan yang sentiasa memandang negatif terhadap setiap usaha baik itu.