Halaman

13 April 2013

Pakatan Pembangkang makan gu


Oleh: Mohammad Ishak

ISU video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti PAS  menarik perhatian rakyat negara ini kerana ia tiba-tiba muncul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

Kes berkenaan yang kini dalam tindakan Polis Bukit Aman mengejutkan banyak pihak kerana ia membabitkan individu yang menjadi pemimpin kanan dalam sebuah parti yang mendakwa perjuangan Islam.

Biar pun pucuk pimpinan PAS cuba menafikan perilaku individu terbabit tetapi umum mempercayai ketulenan rakam video terbabit yang sememangnya jelas dan memaparkan imej pemimpin yang dikenali ahli parti berkenaan.

Isu penyebaran VCD itu yang didakwa bermula di daerah Besut kini sedang mendapat perhatian seluruh rakyat negeri ini untuk mengetahui siapa dalang yang menerbit, merakam dan mengedar video terlaris itu.

Bagaimanapun, dua suspek yang ditahan polis dalam kes mengedar VCD itu di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, adalah dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika benar ia dilakukan oleh dua suspek itu dari PKR amat jelas  sekali sekali perbuatan itu dianggap “makan gu” kerana ingin membunuh karier seorang pemimpin dari sebuah parti rakan kongsi dalam Pakatan Pembangkang (PP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah menerima laporan berhubung dua individu terbabit dan kertas siasatan dibuka atas dakwaan mengedar dan memiliki video lucah.

Bagaimanapun, bagi Presiden PAS,Dato’ Seri Hadi Awang melihat isu video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai bukan isu besar.

“Perbuatan memfitnah seperti itu bukan budaya orang Islam dan ditegah oleh agama,” katanya.

Mustafa tidak tanding PRU13

Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali yang dikaitkan dengan video seks melibatkan seorang wanita yang belum dikenali, dikatakan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang diadakan 5 Mei ini.

Menurut sumber-sumber, nama pemimpin Pas itu tidak akan dicalonkan sama ada di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana popularitinya semakin menurun sejak kebelakangan.

Apatah lagi beliau kini dikaitkan dengan video seks yang dikatakan pelakon lelaki adalah mirip beliau.

Sehingga ini beliau belum menafikan mengenai video seks tersebut yang telah disebar luas dalam media baru.

Sebelum ini, Mustafa tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat pada PRU 2004 dan 2008. Beliau juga pernah tewas bagi perebutan kerusi Parlimen Dungun pada tahun 2004.

Jangan silap pilih pemandu : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir agar menggunakan khidmat `pemandu’ yang bertauliah dan berdisiplin bagi membawa kenderaan yang sudah serba baik disediakan kepada mereka bagi mengelak terbabas.



Dato’ Seri Haji Ahmad Said menggunakan perumpamaan itu ketika berucap di hadapan kia-kira 2,000 penduduk DUN Manir sempena Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Padang Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Pengarah Penerangan negeri, Puan Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof Awang Hitam.

“Kereta kita molek dah, pemandu kita molek dah, tayar molek dan baru, semua molek belaka dah. Kita ada arah tuju kita supaya tidak tersasar dan membuktikan kita mampu hidup bersatu-padu dan terus maju.

“Pemandu kita sudah baik, jangan cari pemandu tua dan berkain pelikat, jika tersilap langkah ketika memandu boleh terbabas dan kemalangan pula,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau meminta supaya penduduk DUN Manir melakukan perubahan dan bersama memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) supaya agenda pembangunan yang selama ini dilaksanakan kerajaan dapat diteruskan tanpa ada sempadan politik di peringkat DUN, negeri dan Pusat.

Katanya, Kerajaan BN menepati janji yang diuar-uarkan, malah banyak kemudahan dan kebajikan yang disediakan kepada penduduk selama ini bukan terkandung dalam manifesto mahupun janji kerajaan, namun tetap dilaksanakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat yang memerlukan pembelaan.

 “Kerajaan BN buat lebih 300 rumah murah di kawasan ini, itu kita tidak berjanji pun sebelum ini. Malah, jika BN menang selepas PRU13 nanti, 1,000 lagi rumah rakyat akan kita bangunkan di Manir ini.



“Penduduk perlu sedar sepanjang di bawah wakil rakyat Pas, nasib mereka langsung tidak terbela. Apa yang Pas buat. Langsung tiada melainkan Kerajaan BN dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof menjaga kebajikan penduduk selama ini. Jadi, tiba pilihan raya nanti, satu sahaja saya minta, undilah Barisan Nasional untuk memastikan lebih banyak pembangunan di kawasan ini,” katanya.





Turun Harga Kereta : Siapa Tiru Siapa?

Oleh FAUZI MOHD
 fauzibinmohd@yahoo.com

 HARI ini heboh di kalangan beberapa kerat pemimpin penyokong Pakatan Rakyat (PR) khususnya dari PAS dan PKR yang sibuk memperkatakan dakwaan bahawa Manifesto Barisan Nasional (BN) bertemakan “Menepati Janji Membawa Harapan” telah meniru idea dari Manifesto PR.

Salah satu inti pati Manifesto BN yang dikatakan ditiru dari Manifesto PR ialah mengenai janji penurunan 20% hingga 30% harga kereta secara berperingkat-peringkat.

 Untuk mengetahui hakikat siapa yang meniru siapa, kita perlu mengimbas kembali tahun-tahun sebelumnya kerana ia kaedah terbaik untuk mencari kebenaran. Pada 22 Mac 2006, Kerajaan BN telah memperkenalkan Dasar Automatif Negara (DAN) selepas rangka pelan mengenainya diumumkan seawal 19 Oktober 2005.

Antara tujuan utama kewujudan DAN 2006 ialah mengurangkan cukai terhadap kereta-kereta import yang enjinnya di bawah 1,800cc selanjutnya meningkatkan daya saing pasaran bagi syarikat tempatan dan antarabangsa.

Kesan awal perlaksanaan dasar itu menurut analisis oleh OSK Research ketika itu menyaksikan harga kereta buatan nasional telah mengalami penurunan antara RM353 hingga RM385.

Sementara kereta import jenama luar yang dipasang di negara ASEAN seperti Honda City, Nissan Sentra dan Toyota Altis pula penjimatan yang diperolehi ialah sekitar RM1,900 hingga RM4,000.

 Untuk menghindari kesan buruk dasar ini kepada syarikat penjual kereta terpakai, maka melalui DAN 2009 yang diumumkan pada 28 Oktober 2009 pula diperkenalkan Pewartaan Harga Kereta Import Terpakai bagi menangani pengisytiharan bawah harga.

Dengan langkah penambahbaikan itu, para pengusaha kereta terpakai boleh bernafas lega dan risiko perniagaan mereka rosak atau muflis dapat dikurangkan.

Contoh mudah untuk mengetahui impak positif dari DAN 2006 diikuti DAN 2009 ialah bila saat ini kita sudah dapat membeli kereta baru (VIVA 660) pada harga RM24,912.15 yang mana pada tahun 2009 harganya adalah RM28,800.00.

 Pada tahun 2004, kita hanya mampu bergaya dengan kereta Kancil 660 yang harganya ketika itu ialah RM25,846.00 namun dengan harga yang hampir sama pada tahun 2011 hingga sekarang kita boleh memiliki model kereta yang sedikit besar dan selesa.

Sedangkan PKR melalui Pengarah Strategiknya, Rafizi Ramli hanya mula bercakap mahu menurunkan harga kereta pada pertengahan 2012, lewat 6 tahun dari DAN 2006 yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN.

Malah janji PR melalui manifestonya untuk meliberalisasikan harga kereta supaya sebuah kereta dapat dijual pada harga serendah RM25,000 sebenarnya sudah lama dicapai semenjak tahun 2004 lagi, tapi baru sekarang PR sibuk memperkatakannya.

Berdasarkan beberapa ringkasan fakta di atas, patutnya kita dah tahu siapa yang meniru siapa? Yang penting, dalam hal menikmati harga yang lebih rendah untuk apa sahaja model kereta, ia tidak semudah diperkatakan.

Banyak perkara perlu dihalusi supaya ia tidak memberi impak negatif pada ekonomi negara. BN telah berusaha semenjak 2005 lagi ke arah itu.

Semua penjimatan ini tidak berlaku secara mendadak, ia berdikit-dikit yang pentingnya setiap dasar dan penambahbaikan yang dilakukan oleh Kerajaan BN mengambil kira kepentingan semua pihak.

MB kayuh basikal bersama-sama warga bandar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyertai kira-kira 500 penduduk di sekitar bandar ini mengayuh basikal sekeliling Bandar Raya Kuala Terengganu dalam acara Program Berkayuh Santai Bersama YAB Menteri Besar, malam tadi.



Acara tersebut bermula kira-kira jam 9 malam dari Dataran Batu Buruk dan berakhir di Pulau Warisan jam 10.30 malam.



Mereka berbasikal melalui Jalan Kamarudin dan singgah di Mydin Mall dan T-Cafe berhampiran pasar raya Giant

Menteri Besar bersalam-salaman dengan orang ramai yang berada di situ dan menyampaikan cenderamata Tahun Melawat Terengganu 2013 kepada pelanggan di Mydin Mall dan T-Cafe.



Turut menyertai program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Menteri Besar turut menyempurnakan acara cabutan bertuah di Pulau Warisan dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang.

 

Mustafa tidak nafi video seks

Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali tidak menafi apa lagi mengakui mengenai isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip beliau.

Beliau turut enggan mengulas sama ada individu dalam video itu seorang pemimpin pembangkang dari Pantai Timur yang tersebar luas di beberapa laman sosial internet sejak kelmarin.

Katanya, beliau menyerahkan kepada peguamnya berhubung perkara itu. “Sudah... sudah, saya dah bagi tahu tak nak cakap apa-apa. Saya dah serah kepada peguam, itu saja.

 “Not worth commenting (Tidak berbaloi kalau saya bagi komen),” katanya lalu masuk ke dalam kenderaan sebelum beredar. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Markas Pemuda Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka di sini malam tadi.

Terdahulu semasa ucapannya, Mustafa turut menafikan beliau akan meletak jawatan dalam parti Pas. “Ada pula antara blog-blog yang kata saya letak jawatan sebagai Setiausaha Agung (Pas) kerana isu video ini.

“Saya hidup lagi ni, (masih) Setiausaha Agung Pas lagi,” ujarnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, Pas tidak akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu penyebaran video seks membabitkan seorang lelaki mirip pemimpin parti pembangkang kerana menganggap ia sebagai fitnah.

Abdul Hadi berkata, beliau tidak mengambil serius dan tidak percaya dengan isu tersebut kerana yakin ia sengaja dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin terbabit.

“Pas tak perlu bermesyuarat untuk bincang isu ini. Lebih baik kita guna masa untuk buat banyak lagi benda lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila semalam.

Terima calon dengan hati terbuka

Oleh; Esah Abdullah

 “Saya mengharapkan kira-kira 26,000 ahli Umno dan 4,000 ahli komponen Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu menerima siapa saja calon yang dipilih presiden parti dengan hati terbuka.

“Apabila sampai saat dan ketikanya, presiden parti akan membuat keputusan siapa calon paling sesuai untuk berkhidmat kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh,

Katanya, BN menyenaraikan calon bukan sahaja mengikut kehendak parti tetapi turut mengambil kira kehendak rakyat.

Menurutnya sebagai ketua beliau telah menyenarai nama-nama calon seperti yang dikehendaki pucuk pimpinan dan berharap calon yang terpilih itu adalah wakil parti dan bekerja keras untuk Parlimen Kuala Terengganu.

 “Kreteria calon bukan hanya berdasarkan kehendak parti tetapi rakyat juga. Jika ada pihak menyatakan bahagian tidak dirundingi, itu adalah tidak betul cuma keputusan akan ditentukan presiden parti (Perdana Menteri),” katanya.

Namun begitu, beliau enggan mengulas kemungkinan akan menjadi calon atau tidak, kerana keputusan terletak di tangan presiden parti.

 “Saya pernah dicalonkan dan pernah juga tidak dicalonkan, apa pun keputusannya saya menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Katanya, siapa calon tidak penting tetapi kemenangan parti menjadi agenda utama BN bagi mempertahankan maruah bangsa serta mengekalkan ketuanan Melayu.

 

Jangan gigit jari pemberi-MB

 Oleh: Gelombang Biru

 Setiap tahun peruntukan yang besar disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu golongan remaja, termasuk membiayai program dan pelbagai kemudahan asas, bagi membolehkan mereka beriadah dan melakukan kegiatan berfaedah.

 Tidak kurang daripada RM30 juta disediakan kerajaan negeri pada setiap tahun kepada golongan belia bagi tujuan berkenaan.

 Bantuan kewangan disalurkan kerajaan negeri kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan belia dan remaja, seperti Persatuan Belia 4B, MAYC dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di seluruh negeri.

 Tidak ketinggalan pada tahun lepas, kira-kira 85,000 belia di Terengganu membabitkan peruntukan RM17 juta menerima Dana Bakti Remaja. Manakala bagi tahun 2011 pula, seramai 83,197 belia (RM16.6 juta).

Dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak tidak pernah melupakan golongan remaja yang sudah dianggap tonggak penting dan sebagai tulang belakang negara.

Pengumumkan pemberian BR1M 2.0 diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, layak menerima RM250 nyata mengembirakan dianggap bonus bagi golongan itu.

Jika diperhalusi, tiada sebab lain mengapa golongan belia dan remaja mahu menyokong parti pembangkang walaupun menyedari Kerajaan BN tidak jemu menabur bakti.

 Golongan itu sewajarnya mengingati kata-kata yang sentiasa diluahkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap di mana-mana majlis agar ‘meminta kepada yang kasih dan bermanja pada yang sayang’.

 Golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

 Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan. Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

 

PKR bakal berkubur di Terengganu

Oleh: Cicit Laksamana

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan pada 5 Mei nanti bakal menyaksikan Parti Keadilan rakyat (PKR) ‘berkubur’ di negeri Terengganu.

Melalui persefahaman yang dicapai Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai Pas dan DAP, PKR hanya diberi kuota satu kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Kemaman manakala tujuh kerusi lagi dibolot oleh Pas.

Dalam satu ceramah di Chukai baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kamarudin Chik sebagai calon tunggal parti itu yang akan bertanding di Kemaman pada PRU13.

Kamarudin yang berasal dari Kuala Terengganu tidak dikenali oleh ahli-ahli dan pengikut PKR di kawasan itu, apatah lagi di kalangan penyokong Pas yang merupakan sekutu mereka dalam PR.

Anwar ketika mengumumkan nama Kamarudin sebagai calon PKR kononnya berkata, beliau dipilih kerana memenuhi kriteria dan merupakan ahli parti yang setia dan tidak mudah khianat kepada parti.

‘Sebab itu kita pilih orang Terengganu menetap di Kemaman…kita tidak mahu berlaku seperti 2008, khianat sebelum pilihan raya dan khianat selepas pilihan raya tak dapat jadi calon, kriteria penting kita adalah orang yang taat dan tidak belot dan tidak khianat parti,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional (BN) yang kini Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek menewaskan calon PKR Fariz Musa bagi Parlimen Kemaman dengan majoriti 12,683 undi.

Pemerhati politik berpendapat calon PKR kali ini bakal kalah di tangan calon BN dengan majoriti yang lebih besar lagi.

Ini bermakna PKR tidak akan berpeluang bertapak di Terengganu di mana akhirnya ia akan terus berkubur kerana sokongan rakyat terhadap parti itu semakin terhakis.

12 April 2013

Jika benar, jangan dedah aib orang lain : MB


Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said enggan mengulas lanjut berhubung penyebaran video lucah ketika ditanya mengenai penyebaran video yang melibatkan pemimpin pembangkang yang sedang tersebar meluas di laman blog sejak semalam itu.

 "Saya tak berani komen sebab tak tengok lagi. Saya belum ditunjukkan video itu. Perkara sebegini saya tak berani komen sebab tak mahu memfitnah orang lain. Itu bukan prinsip saya. Kalau dah disahkan betul, baru kita boleh cakap, saya tak berani buat spekulasi.

“Bagi kita orang Islam fitnah itu lebih dashyat dari membunuh. Betul atau tidak betul kita sahkan dulu. Lagipun jika benar, tak elok kita mendedahkan rahsia peribadi dan aib orang. Bagaimana hebatnya Tun Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai surat 18 muka (daripada Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini Presiden PKR), beliau kata 'tidak perlu' (dedahkan), walaupun sebenarnya beliau tahu apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Padang Hampar, Manir, hari ini.

Sementara itu, Polis Terengganu sedang mengesan individu yang memiliki dan mengedar cakera video digital (DVD) lucah dipercayai membabitkan seorang individu mirip pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya hanya menerima satu laporan daripada orang awam yang menerima DVD lucah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta orang awam termasuk di daerah lain membuat laporan polis sekiranya menerima DVD sama, bagi membantu siasatan.

"Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

"DVD berkenaan mula diedarkan sejak pagi kelmarin di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut oleh individu tertentu di kawasan berkenaan dengan meletakkannya di hadapan pagar rumah penduduk.

"Namun hingga petang ini (semalam) polis hanya merampas 16 keping DVD berkenaan yang diedarkan ke rumah penduduk dan kita sedang mengesan dalang yang bertanggungjawab mengedarkan DVD ini," katanya.

Sebelum itu, laporan akhbar semalam melaporkan, polis merampas 16 keping DVD lucah dipercayai membabitkan seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Lorong Hidayat, Kampung Alor Lintang, Besut,semalam.