Halaman

14 April 2013

Pakatan Pembangkang punya agenda berbeza

Oleh; Esah Abdullah

Pakatan pembangkang (PAS,PKR,DAP) mempunyai dasar dan agenda yang jauh berbeza kata, Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Terengganu, Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

“Saya sangat yakin sekiranya mereka berkuasa, tidak akan berupaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan di negara ini,” katanya.

Katanya, sebagai ahli masyarakat yang sayang dan cintakan negara wajar mempertahankan keamanan negara dari digugat oleh anasir yang cuba merosakkan kestabilan dan perpaduan demi masa depan generasi akan datang.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas, pihak pentadbiran terpaksa berdepan dengan kegelisahan dan rasa tidak puas hati rakyat akibat dasar yang tidak cekap dan tidak jelas serta tidak disukai oleh sebilangan besar rakyat.

“Kita ingin melihat pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti akan wujud sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Katanya, hanya BN sahaja di negara ini yang berpengalaman dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas dan jitu serta berupaya memajukan nasib masa depan bangsa, agama dan negara.

“Saya harap tidak ada yang tergoda dan termakan dakyah parti pembangkang sebaliknya berilah kepercayaan kepada perjuangan BN untuk meneruskan kesinambungan memerintah negara dan negeri,” katanya.

Menurutnya, bilangan pesara berjumlah 25,000 orang diseluruh negeri dan jumlah ini tidak termasuk suami atau isteri serta anak-anak mereka yang layak mengundi.

“Dengan jumlah yang ramai, tidak mustahil golongan pesara boleh menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU nanti,” katanya.

 

Mubarak bantu calon BN

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Mubarak) meminta semua ahli parti tidak cuba sabotaj calon yang dipilih presiden parti untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusinya, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail berkata, dalam suasana sekarang semua perlu mengambil sikap menjaga kepentingan parti melebih kepentingan lain untuk memastikan generasi akan datang terus terbela.

“Kita perlu kekalkan pemerintahan BN sebagai peneraju negara ini kerana sudah terbukti kecemerlangan yang dicipta berbanding pembangkang yang sekadar menabur janji,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Mubarak sentiasa memberi sokongan padu kepada mana-mana calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen serta bersama jentera parti membantu kempen menjelang PRU.

Menurutnya, kebanyakan ahli Mubarak memegang jawatan dalam jentera parti di Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM), bahagian dan Parlimen yang secara langsung bersama-sama menjalankan kempen memenangkan parti.

 “Saya yakin, khidmat bekas wakil rakyat masih berkesan di kalangan masyarakat kerana mereka banyak pengalaman ketika berdepan dengan dakyah parti pembangkang,” katanya.

Katanya, di samping memberi penjelas isu berbangkit kepada rakyat, jangan pula ada yang cuba ‘peteh keting’ rakan sendiri kerana didorong rasa kecewa, kerana sikap itu akan memakan diri sendiri.

Apa nasib Mustafa Ali selepas ini?

Apakah nasib Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali selepas ini berikutan tersebar video seks mirip beliau dalam internet?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak berikutan tercetus desas-desus bahawa kepimpinan Pas mula menghadapi tekanan daripada peringkat akar umbi agar beliau meletakkan jawatan.

Difahamkan, walaupun enggan membuat sebarang ulasan berhubung penyebaran video itu, Mustafa sendiri dikatakan mungkin tidak mampu menghadapi tekanan agar beliau berundur bagi menjaga imej Pas.

 Ini memandangkan di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat kepimpinan Pas tegas dalam soal tersebut kerana menyentuh maruah dan kredibiliti parti itu.

 ”Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, ahli-ahli Pas akar umbi sememangnya terkejut dengan pendedahan video berkenaan dan mereka mahu kepimpinan Pas memandang serius isu ini.

”Kita tidak kata individu berkenaan Mustafa tetapi ramai mengaitkan beliau,” kata satu sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hari ini, ketika diminta mengulas video tersebut, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap video seks itu tohmahan dan fitnah yang tidak akan menjejaskan kredibiliti Mustafa selaku pemimpin Pas.

Mustafa pula enggan mengulas dan menyerahkan perkara berkenaan kepada peguamnya.

Diminta mengulas lanjut situasi di dalam Pas berikutan penyebaran video itu, sumber tersebut berkata, apa yang ahli-ahli parti berkenaan mahu ialah agar Mustafa meletakkan jawatan.

 ”Saya percaya Mustafa juga memahami sentimen ini kerana Pas adalah parti yang jauh lebih bermaruah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Ditanya apakah maksud hujah tersebut, sumber itu berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, mana-mana pemimpin Pas tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kontroversi apatah lagi melibatkan soal seks.

”Kalau PKR tidak apa kerana parti itu dilihat liberal, sebab itulah biar pun ada video atau gambar melibatkan pemimpin mereka, pemimpin berkenaan tidak meletakkan jawatan.

”Tetapi dalam Pas tidak boleh sebab ahli-ahli parti itu akan berasa tertekan apatah lagi dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13,” kata sumber itu lagi.

Nama calon BN dijangka diumum Selasa (16 April)

Nama-nama calon yang bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) djangka diumumkan Selasa ini (16 April).

Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan membuat pengumuman itu selepas mendapat `lampu hijau’ dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut sumber-sumber, Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar, akan ke Kuala Lumpur esok bagi menerima watikah bakal calon-calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada PRU13.

Semua calon tersebut akan dimaklumkan mengenai pemilihan mereka dan pengumuman mengenainya akan dilakukan Dato’ Seri Haji Ahmad dalam satu majlis yang akan diatur nanti.

Sebelum ini Menteri Besar berkata, beliau sudah bersedia mengumumkan senarai calon BN pada bila-bila masa dan masih menunggu kebenaran atau `lampu hijau dari pucuk pimpinan parti BN.

“Apa yang pasti calon yang bakal diumumkan dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) nanti, sudah pasti berjiwa rakyat, calon boleh menang, berkaliber dan berwibawa bagi menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Industri pelancongan suram ketika Pas perintah Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Semasa pemerintahan Pas sekitar tahun 1999, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini tidak sehebat sekarang dan yang menjadi tanda tanya adakah disebabkan Pas kurang memberi perhatian terhadap industri ini?

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, industri pelancongan adalah suatu industri yang dinamik.

"Kekuatan atau kejayaan sesuatu produk pelancongan itu memang bergantung kepada kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pengusaha-pengusaha hotel dan juga media.

"Bantuan media sangat penting untuk mempromosikan produk pelancongan yang bukan sahaja menarik kepada pelancong tetapi jika media dengar pun tidak menarik maknanya ia tidak ada satu daya tarikan untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Hidangan Terengganu (masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok) di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, semalam.

Katanya, keadaan tersebut jelas menunjukkan semasa pemerintahan Pas, industri pelancongan di negeri ini suram kerana tidak ada daya tarikan untuk ditonjolkan.

"Kerajaan negeri pada masa itu mungkin tidak mempunyai kreativiti dan juga tidak ada satu sumber untuk mempromosikan perkara-perkara baru dan destinasi-destinasi menarik di Terengganu.

"Sebagai contoh, kawasan air terjun umpamanya jika tidak ada penyeliaan seperti kebersihan kurang dijaga, sampah tidak dipungut dan sebagainya maka pelancong tidak berminat untuk berkunjung ke lokasi terbabit,” katanya.

Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, rakyat negeri ini diharap terus memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar keadaan sedemikian tidak berulang.

"Kerajaan BN adalah satu-satunya kerajaan yang stabil serta melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Hal ini terbukti dengan kestabilan politik yang ada sekarang membolehkan kita bekerja dalam suasana yang kondusif,” tambahnya.

 

Ketengah terima sumbangan RM1.35 juta

Oleh: Suriati Ali

 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menerima sumbangan RM1.35 juta dari lima anak syarikatnya untuk mengisi Tabung Amanah Masyarakat Ketengah.

 Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata tabung itu bertujuan memberi pelbagai bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, penduduk miskin, anak yatim serta warga emas di wilayah itu.

 "Anak syarikat yang menyumbang untuk tabung ini ialah Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd, Ketengah Perwira Sdn Bhd dan Ketengah Jaya Sdn Bhd yang masing-masing menyumbangkan RM300,000.

"Syarikat Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd pula menyumbang sebanyak RM100,000 manakala sebuah syarikat korporat iaitu Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad turut menyumbangkan RM50,000," katanya.

Setiap tahun, Ketengah melalui tabung amanah itu memperuntukkan hampir RM1 juta dalam pelbagai bentuk termasuk sumbangan wang tunai atau mengikut keperluan penerima seperti pakaian dan buku sekolah bagi pelajar daripada keluarga miskin

 

BN tidak main politik kotor

Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan sesekali terlibat dengan politik kotor yang dipenuhi fitnah dan mengaibkan maruah mana-mana individu sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pengerusinya, Dato’ Seri haji Ahmad Said, berkata BN Terengganu juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib seseorang kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

 "Saya sudah nasihatkan semua petugas parti di Terengganu supaya berhati-hati dengan sebarang hebahan maklumat yang ingin disebarkan seperti risalah dan bahan kempen mestilah mendapat berita yang sahih.

 "Kita tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara aib atau fitnah, kita tidak mahu tanggung dosa. Itu prinsip saya," katanya kepada pemberita selepas melawat 10 penduduk dan warga emas yang terlantar sakit di rumah masing-masing di Kampung Lubok Lesung di Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar enggan mengulas panjang berhubung penyebaran video seks dikatakan mirip seorang pemimpin kanan sebuah parti di negeri ini yang mula tersebar sejak malam semalam.

 Seorang doktor perubatan yang turut serta dalam lawatan Ahmad dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, memberikan rawatan segera kepada pesakit berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri tidak melihat video tersebut dan juga tidak mahu timbul fitnah apabila kesahihan video itu juga belum dibuktikan.

 “Saya tidak berani komen sebab tidak mahu terlibat dalam memfitnah orang lain. Itu bukan prinsip saya. Kalau pasti betul dan disahkan, barulah kita boleh bercakap agar tidak jadi fitnah.

 “Namun bagi orang Islam, kalau betul sekalipun, tidak elok dedahkan hal peribadi orang lain. Kalau kita tutup peribadi (aib) orang, Insya-ALLAH aib kita juga akan ditutup di akhirat kelak,” katanya.

 Beliau turut mengingatkan semua petugas parti supaya mengawal emosi agar tidak terlibat dengan sebarang unsur provokasi sepanjang kempen PRU13.

Teganukita 79


Petugas SPR sedia berkhidmat

Oleh: Suriati Ali

Seramai 10,821 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Terengganu diminta menjalankan tanggungjawab di 354 pusat mengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

 Pengarahnya, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab berkata pihaknya menjangkakan aktiviti pilihan raya kali ini lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas dilantik.

“Saya percaya mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing kerana sebelum ini sudah menghadiri taklimat secara terperinci,” katanya.

Katanya, SPR menasihatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

 “Sebagai contoh, isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

 "Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh.

Oleh itu, SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya.

 Menuruttnya, pihaknya akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja penamaan calon.

 “Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaitu wakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding,”katanya

.

Kerajaan negeri giat promosi hidangan unik Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan giat mempromosikan hidangan dan makanan unik Terengganu khususnya bersempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Bertempat di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, pertandingan masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok diadakan sempena pesta hidangan Terengganu di mana majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, semalam.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata, promosi makanan Terengganu di kedai itu merupakan kali kedua dibuat selepas makanan tradisional juga dipromosikan di kedai yang sama pada tahun lepas.

"Promosi ini memberikan satu kelainan kepada promosi kedai-kedai setempat di mana kali ini kita memperkenalkan udang kara dan juga ketam nipah.

"Dulu, di Terengganu ketam nipah tidak sepopular sekarang begitu juga dengan udang kara serta udang ketok,” ujarnya pada sidang media selepas program tersebut.

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk memperkenalkan kedua-dua makanan berkenaan kerana Terengganu merupakan negeri yang terkenal menghasilkan sumber kedua-dua hidupan itu berikutan alam semulajadinya yang masih lagi baik.

"Lazimnya, ketam nipah hidup di kawasan berselut yang sampai air tawar dan air masin serta mempunyai hutan bakau dan nipah yang boleh memberikan bekalan makanan kepada hidupan tersebut.

“Sementara, udang kara dan udang ketok pula hidup di lautan Terengganu yang terkenal dengan terumbu karang dan airnya yang masih lagi belum tercemar,” katanya.

Tambah beliau, pertandingan tersebut berasaskan masakan ketam nipah dan ketam laut berikutan menu yang semakin popular di Terengganu bukan sahaja masakan maggi ketam tetapi masakan-masakan sup dan juga gulai.

"Selain pertandingan yang diadakan, tukang masak professional juga telah menunjukkan demostrasi masakan hidangan yang cukup istimewa di mana rasa keenakan udang kara dan ketam nipah memberikan satu keunikan dalam pelbagai hidangan,” katanya.

Katanya, beliau mengharapkan keunikan itu boleh membuatkan orang yang merasai masakan tersebut akan datang lagi ke kedai berkenaan.

Menurut beliau, telah menjadi sasaran pihaknya untuk mewujudkan satu daerah satu produk terutama dari aspek makanan dan disebabkan itulah program tersebut tidak dibuat di dewan atau hotel tetapi dibuat di tempat pengusaha itu sendiri untuk mendapatkan penglibatan secara langsung daripada mereka.

"Sebagai contoh, melalui program yang dibuat ini daerah Kuala Nerus dapat memperkenalkan udang dan ketam begitu juga sekiranya dibuat di Besut dan Kemaman yang terkenal dengan otak-otak dan satar juga akan memberi peluang kepada peserta untuk tonjolkan keunikan produk daerah masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, Terengganu masih mempunyai sungai yang bersih dan mampu membekalkan sumber hidupan unik berkenaan kepada kedai-kedai dan penduduk setempat untuk dinikmati penggemarnya.

"Sungai dan alam sekeliling yang tidak tercemar dan masih lagi bebas daripada sisa buangan, toksid, racun dan minyak yang mengotorkan air akan menjamin kelangsungan hidup pemangsa-pemangsa seperti udang dan ketam.

"Di samping, hutan bakau dan nipah yang masih terjaga akan terus menghasilkan sumber makanan kepada pemangsa tersebut untuk memastikan penggemarnya terus dapat menikmati hidangan unik berkenaan," katanya.