Oleh: Suriati Ali
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memuji tindakan rasional mantan wakil-wakil rakyat BN di negeri ini yang giat turun padang bagi membantu calon parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Mereka termasuk Haji Khazan Che Mat (Batu Rakit), Haji Ashaari Idris (Langkap), Haji Ramlan Ali (Jabi), Haji Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Dato’ Rosol Wahid (Ajil), Haji Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Dato’ Mohamed Awang Tera (Chukai)
Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga merupakan Menteri Besar, berkata situasi tersebut merupakan petanda baik kepada BN yang mengemukakan kira-kira 45 peratus muka baru bagi PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik tanah air.
Sikap rasional itu menolak desas desus yang tersebar luas sebelum ini kononnya bekas wakil rakyat berkenaan dan penyokong masing-masing akan memboikot pilihan raya kali ini.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said amat terharu dengan bantuan yang dicurahkan bekas wakil rakyat BN dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang disifatkan sebagai ahli politik tulen dan faham dengan percaturan politik semasa.
Katanya, mereka kelihatan ceria dan sanggup bersengkang mata sehingga larut malam bagi membantu calon- calon BN, termasuk muka baru yang akan bertanding pada PRU13.
“Sikap yang ditampilkan itu cukup profesional dan dihormati pelbagai pihak, mereka faham situasi, ketika calon itu ingin bertanding dulu, ramai yang membantu, kini tiba giliran dia pula yang membantu calon PRU13.
“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan penyokong BN agar terus setia kepada parti yang memerintah demi masa depan generasi muda yang akan menempuh perjalanan panjang selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Imbuhan Kecemerlangan Kepada Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.
Seramai 561 EIO dan TSO hadir menerima imbuhan kecemerlangan antara RM1,000 hingga RM1,200 setiap individu yang disampaikan Menteri Besar.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri memerangkap Pengerusi Tesdec Sdn Bhd Haji Rozi Mamat dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin.
Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu EIO dan TSO memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan e-Book di setiap sekolah di Terengganu.
“Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri sudah mengagihkan 117,332 unit e-Book membabitkan kos RM114 juta kepada murid sekolah di seluruh Terengganu.
“Manakala kira-kira RM12 juta setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan urusan gaji EIO dan TSO serta baik pulih e-Book.” Katanya.