Halaman

04 May 2013

Kerajaan BN prihatin terhadap rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Selepas sekian lama mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa berusaha memenuhi kehendak dan keperluan rakyatnya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang terkecuali menerima kebaikan dari Kerajaan BN dan Umno.

“Pelbagai bantuan dan sumbangan yang disalurkan Kerajaan BN dan Umno samada dari kerajaan pusat atau negeri untuk meringankan beban rakyat.

“Kerajaan bagi macam-macam termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan,bantuan mangsa banjir, e-book dan sebagainya untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama jentera pilihan raya Kuala Nerus sempena lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus bertempat di Pejabat Umno Bahagian, baru-baru ini.

Katanya, sebagai tanda terima kasih kepada Kerajaan BN dan Umno yang telah memberikan khidmat terbaik kepada mereka, rakyat negeri ini khususnya dan negara amnya hendaklah memilih calon BN pada hari pembuangan undi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada jentera pilihan raya BN agar mengingatkan mereka yang layak mengundi bertapa besarnya jasa, khidmat dan bakti yang telah diberikan BN terhadap rakyat selama ini.




Aku Janji BN Terengganu pikat pengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di negeri ini jika BN terus mendapat mandat rakyat untuk memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), memikat sebahagian besar pengundi.

Manifesto Tambahan BN Terengganu yang diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, baru-baru ini dianggap lebih realistik berbanding manifesto pembangkang.

Antara janji BN yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, peluang rakyat memiliki 1 tapak rumah atau 1 tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

BN juga berjanji akan menyediakan insentif khas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal dan memperkasakan program e-Book.

BN juga akan membina tiga lagi Sekolah Imtiaz iaitu di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Pada masa yang sama, BN akan memperkenalkan Khairat dan Insurans Takaful Rakyat serta memperluaskan perkhidmatan pusat hemodialisis.

Melalui manifesto itu juga, BN berjanji untuk menyediakan dana pengurusan kepada pertubuhan belia dan NGO serta menjadikan sukan sebagai satu kerjaya.

BN akan mewujudkan gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa.

Selain itu, BN akan memperhebatkan dana usahawan dan memperluaskan skala perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknlogi dan kelului dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

BN Terenganu akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hub Eko-Pelancongan dan Pulau Bebas Cukai. BN membuat janji yang mampu dilaksanakan, bukannya berjanji bulan dan bintang seperti yang dilakukan pembangkang.

Justeru itu tidak hairanlah jika pengundi lebih tertarik dengan manifesto BN berbanding parti pembangkang.


SPR sedia 367 pusat mengundi

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menyediakan 367 pusat mengundi membabitkan 1,209 saluran tempat mengundi di seluruh negeri ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini. Berdasarkan jumlah itu, Parlimen Kemaman mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 53 pusat, diikuti Dungun (51), Hulu Terengganu (50), Marang (47), Kuala Terengganu (46), Setiu (44), Besut 43 dan Kuala Nerus (33) .

 Manakala sebanyak 24 pusat mengundi awal melibatkan 31 saluran pula disediakan bagi anggota pasukan polis dan tentera serta pasangan masing-masing. Mereka akan keluar mengundi tiga hari lebih awal berbanding hari pengundian biasa.

Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata prosedur pengundian awal sama seperti pengundian biasa iaitu dibuka jam 8 pagi dan ditutup pada jam 2 petang atau 7 malam.

 Selepas pusat mengundi ditutup, peti-peti undi akan dimenterikan dan disimpan di bawah tanggungjawab Pegawai Pengurus Pilihan Raya dalam kawalan selamat sama ada di Pejabat Pegawai Pengurus, lokap polis atau dewan-dewan dengan kawalan ketat.

 “Pengiraan undi akan dijalankan secara berkelompok mulai jam 4 petang pada hari pengundian biasa di lokasi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi sambil disaksikan ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

 Menurutnya, pada PRU13 kali ini, seramai 10,821 petugas SPR terdiri pegawai pengurus, pembantu pilihan raya, penyelia pusat mengundi, pemandu arah pusat pengundi, kerani undi pos dan jurutaip bersedia menjalankan tugas masing-masing di setiap pusat mengundi itu.

 Katanya, kira-kira 636,000 penduduk Terenganu dijangka keluar mengundi dan mereka akan dilayan sama rata oleh petugas yang dilantik itu tanpa mengira fahaman politik.

 “Mereka tidak perlu bimbang dengan status petugas kerana mereka sudah dilatih mengikut prosedur tertentu, termasuk menghadiri kursus dan seminar selain disertakan pas ketika bertugas,” katanya.

 SPR Terengganu menetapkan Pusat Perjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah seperti berikut iaitu Dewan Majlis Daerah Besut dikhaskan bagi Parlimen Besut; Dewan Serbaguna, Sungai Tarom, Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Kuala Terengganu (Kuala Nerus) dan Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu).

 PPRU lain, Dewan Majlis Daerah Marang (Marang); Majlis Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu); Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun (Dungun) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pula bagi Parlimen Kemaman

.

03 May 2013

Lempar tohmahan akibat kemaruk kuasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Tindak-tanduk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seorang yang kemaruk kuasa ekoran mendakwa beliau sudah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Anwar telah mengadakan sidang akhbar yang memaklumkan kemenangannya itu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu juga takut Barisan Nasional (BN) akan membawa pengundi dari tempat lain.

"Dia kata ada kapal terbang turun di Selangor (membawa pengundi hantu) dan menyorok di mana? Macam tak betul dah kepala dia, maaf saya cakap begitu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Dungun, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan semua calon BN Parlimen dan DUN di Dungun.

 Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai dakwaan pembangkang kononnya pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia akan membawa 70,000 penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung.

"Ada juga kata, nak bawa pengundi dari Bangladesh, mana boleh mereka mengundi, mereka bukan warganegara kita," katanya.

Tan Sri Muhyiddin menegaskan, sebalik pelbagai tindakan dan spekulasi mengenai PRU13, beliau adalah orang yang paling layak untuk membuat analisis mengenai pilihan raya kali ini kerana bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN peringkat kebangsaan.

Beliau juga menaruh keyakinan BN akan kekal memerintah di Terengganu pada pilihan raya umum ini berdasarkan sambutan padu penduduk terhadap program BN dan Umno menjelang PRU13.

 “Gelombang Merah di sana (Kelantan), (Gelombang Biru di Terengganu) sudah mula menyerang masuk ke setiap rakyat Kelantan yang mahu berubah dalam pilihan raya supaya Barisan Nasional kembali semula memimpin Kelantan di peringkat negeri

“Kalau sudah Kelantan boleh menang, Terengganu apatah lagi. Boleh kita beri peluang supaya Terengganu boleh menang 100 peratus di semua kerusi ,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua calon apabila menang nanti tidak lupa untuk terus menabur jasa dan khidmat kepada pengundi sebagaimana janji yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya.


Galas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun sibuk

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan tempoh berkempen berbaki dua hari lagi, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh masih menggalas tanggungjawab sebagai juru nikah walaupun jadualnya padat dengan pelbagai program.



Bergelar ahli politik tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk menyempurnakan niat pasangan yang ingin mendirikan masjid mengikut syarat yang ditetapkan Islam.

Disaksikan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, Mohd Hanafi Yaacob, 25, sah menjadi suami kepada Farah Nadia Usof, 23, dengan sekali lafaz dan mas kahwin berjumlah RM100 di hadapan juru nikah bertauliah seluruh negeri Terengganu itu.

 Haji Muhammad Ramli berkata, pasangan tersebut telah mendapat kelulusan pada 5 Februari lalu dan mengambil keputusan untuk menetapkan tarikh pernikahan pada 2 Mei 2013.

"Mereka merupakan pasangan keempat tahun ini dinikahkan oleh saya dan apa yang uniknya tarikh tersebut jatuh dalam tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ia menimbulkan satu kelainan berbanding hari-hari biasa.

"Ia boleh dikatakan sebagai kempen tambahan atau satu tugasan yang cukup istimewa kerana kebiasaannya pada musim begini calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya lebih memenuhi jemputan perkahwinan tetapi saya berpeluang menikahkan pasangan pengantin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada majlis pernikahan Farah Nadia yang merupakan anak perempuan kepada pasangan Yusof Bakar dan Nik Jah Nik Husin bertempat di kediaman mereka di Taman Perumahan Wakaf Tengah, malam tadi.

Tambah Haji Muhammad Ramli, ini merupakan sumbangan beliau kepada rakyat yang mana majlis akad nikah tidak dikenakan sebarang bayaran dan pendaftaran nikah juga ditanggung oleh beliau atas dasar khidmat wakil rakyat kepada rakyat.

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat lebih 100 pasangan telah beliau nikahkan dan tahun lepas sahaja 21 pasangan telah sah bergelar suami isteri.

"Terdapat pasangan yang saya nikahkan terdiri daripada pembangkang sama ada sebelah keluarga perempuan atau lelaki tetapi itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana mereka dapat menerimanya,” ujarnya.

Katanya, beliau nikahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga bertujuan memberi khidmat kepada rakyat dan bukan menjadikan tugasan tersebut sebagai satu kaedah untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

 





Oleh: Mohammad Ishak

Umno Bahagian Besut akan menganjurkan program Himpunan Gelombang Biru yang akan berlangsung di Dataran Jertih Souq pada Jumaat jam 9 malam ini.

Program itu yang akan disertai oleh 10,000 peserta membaitkan jentera Barisan Nasional (BN) Besut bertujuan menghimpunkan seluruh jentera pilihan raya BN sebelum mereka mengundi Ahad ini.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada perhimpunan itu semua calon BN Parlimen dan DUN juga akan diberi peluang berucap dan menyampaikan visi perjuangan masing-masing. 

Katanya, kemuncak program itu ialah deklarasi "Haram Undi Pas" yang akan dilakukan oleh Pengerusi Minda PondokKelantan, Abdullah Saamah bersama jawatankuasa pondok berkenaan. 

Menurutnya,deklarasi berkenaan akan dijadikan bukti bahawa sesiapa yang beragama Islam adalah Haram Mengundi Pas.

Idris yakin BN menang besar di Parlimen Besut


Idris Jusoh bersalaman dengan veteran Umno Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Parlimen Besut yang dilebelkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) bakal menyaksikan calon muda pembangkang dari PAS kecundang pada pilihan raya umum PRU13 Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh Calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang melihat penyokong BN di parlimen itu mempunyai semangat tinggi terutama menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya kali ini.

Katanya, penyertaan ramai penyokong Pas di Besut yang berpaling tadah dan kini menyertai Umno faktor utama kemenangan berpihak kepada calon BN selain pelbagai isu yang dihadapi parti pembangkang itu.

Idris yang juga bekas Menteri Besar yang berjaya menumbangkan pemerintahan Pas pada 2004 berkata berdasarkan sokongan rakyat terhadap BN Perlimen Besut akan menang 5-0 pada PRU13 ini.

“Pas tidak kuat sebagaimana digambarkan oleh pembangkang sebaliknya kesetiaan ahli Umno terhadap parti serta semangat kental mempertahankan pemerintahan BN menyebabkan penyokong akan mengundi calon BN,” katanya selepas menemui veteran Umno di Kampung Gong Nering, dekat sini hari ini.

Idris berkata, PRU13 menarik perhatian apabila ramai bekas pemimpin parti di Terengganu termasuk yang pernah memegang jawatan menteri dan ahli exco turut turun padang membantu jentera Umno.

Menurutnya, kehadiran tokoh veteran Umno membantu jentera parti mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengingatkan pengundi supaya berhati-hati dengan taktik terakhir yang akan dilakukan oleh pihak pembangkang menjelang hari pembuangan undi kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai kemenangan.

56 tahun BN bukan tempoh sia-sia-TPM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menandatangani plag perasmian SMK Sri Payong, Marang, Terengganu petang semalam.
Oleh; Esah Abdullah

Program transformasi negara yang dilbawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak begitu cemerlang serta menunjukkan keupayaan membentuk masa depan rakyat lebih cerah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, tempoh 56 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara bukan tempoh yang sia-sia kerana pelbagai perubahan telah dibuat.

Pengetua dan guru-guru bergambar kenangan bersama TPM berlatarbelakangkan SMK Sri Payong.
“Sepanjang tempoh itu kepimpinan kita silih berganti bukan orang sama dan kini berada dalam era Perdana Menteri ke enam, “ katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Bukit Payong, Marang petang semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Rosli Mohamad serta calon-calon BN dalam Parlimen Marang iaitu Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad (Parlimen), Haji Alias Abdullah (Alor Limbat), Encik Zaidi Muda (Bukit Payong) Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Encik Abdul Latif Awang (Rhu Rendang).


Katanya, pelbagai agenda dijalankan, ada transformasi ekonomi, ada transformasi politik dimana undang-undang yang tidak sesuai dgubal dan diganti dengan undang-undang baru yang lebih baik serta transformasi luar bandar dengan pembangunan sentiasa diperhebatkan.

“Semua itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tersusun dan terancang dengan baik untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.


Menurutnya, program transformasi ini seperti sebuah kereta api yang sudah ada dilandasan dan pemandunya tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib.

“Kereta api sudah ada dilandasan dan sedang dipandu laju dengan hala tujunya jelas bahawa tahun 2020 akan menjadi sebuah negara maju.

“Jadi kalau sudah elok sebegitu biarlah ia berjalan terus jangan pula ada pihak yang menimbulkan masalah menyebabkan kereta api iti tergelincir daripada landasannya,” katanya.


Katanya,Perdana Menteri kita baru mengambil alih kepimpinan negara selama empat tahun dan telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang serta semua perancangan tersusun dan terancang dengan baik.

“Saya minta rakyat di negara ini jangan terpedaya dengan suara-suara yang mahu tukar dan ubah kerajaan sedia ada kerana tidak semestinya yang baru itu baik dan yang lama tidak baik,” katanya.

Dulu, kini dan selamanya - Mubarak

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu memberi sokongan padu kepada semua calon Barisan Nasional (BN) sejak dulu, kini dan selamanya.

Setiausaha Mubarak Terengganu, Haji Harun Hasan berkata, slogan ’ terus berkhidmat’ tetap menjadi pegangan dan akan memastikan BN terus berkuasa di negeri dan negara ini.

“Dalam gelombang kempen pilihanraya, ahli-ahli Mubarak berada di seluruh negeri bersama turun padang dan bekerja mengikut kemampuan bagi memastikan calon-calon BN menang,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, Mubarak yakin BN akan menguasai 2/3 kerusi dari jumlah 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

“Tidak mustahil BN akan menyapu bersih lapan Parlimen serta 32 kerusi DUN jika tiada unsur sebotaj atau masalah dalaman parti berlaku disaat akhir,” katanya.

Katanya, gelombangan sokongan rakyat negeri ini kepada BN semakin hebat kerana mereka telah merasai dan melalui pahit maung ketika parti pembangkang memerintah pada 1999-2004.
 

Progam Shap di 342 PDM

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional Terengganu kini giat memberi tumpuan kepada program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) yang dijalankan di 342 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri, bermula pertengahan tahun lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata bagi menjayakan program itu, setiap pusat daerah mengundi mempunyai jawatankuasanya sendiri.

 “Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.

"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

 Beliau yakin semua jawatankuasa di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program ini kerana mahu melihat Barisan Nasional (BN) menang besar pada pilihan raya ini.

 “Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.

 “Antara aktiviti itu adalah sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong,” katanya.