Halaman

16 June 2013

MB minta Adun jaga adat ketika berhujah

Oleh: Suriati Ali 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal berhujah, pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu supaya menjaga adat dan peraturan.

 Mesyuarat bermula esok (17 Jun) dan berakhir Rabu ini(19 Jun) merupakan persidangan pertama Sidang DUN Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU 13) yang menyaksikan Barisan Nasional mempertahankan pemerintahannya dengan memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN dan empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

 Katanya, dia berharap semua Adun dapat memberi kerjasama baik ketika bersidang dan ikut aturan yang ditetapkan, jangan ikut emosi selain mengharapkan hujah yang disuarakan berdasarkan fakta..

“Ia bergantung kepada isu, jika seseorang Adun itu dapat berbahas secara rasional, dan memjawab soalan berdasarkan fakta-fakta yang benar, saya rasa tidak akan timbul perbalahan.

 “Sidang DUN akan menjadi hangat apabila wujudnya sikap cabar- mencabar, tuduh -menuduh dan mengeluarkan perkataan kurang elok, walaupun mengetahui situasi itu dilarang,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Pengisytiharan Pelantikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong, dihadapan Setiausaha DUN, Encik Azhar Jusoh, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berterima kasih kepada semua Adun terutama di pihak pembangkang yang memberi kerjasama baik dengan membaca skrip yang disediakan tanpa mengubah sebarang fakta. “Situasi itu cukup berbeza sewaktu berlangsungnya majlis sama pada penggal ke 11 di mana Adun pembangkang didapati mengubah skrip asal.

“Diharapkan sikap seperti ini berterusan demi kelangsungan tanggungjawab yang wajar dipikul sebagai Adun bagi membawa suara rakyat pada Sidang DUN penggal ke 13,” katanya.

 

LMNT anjur seminar undang-undang bagi diri (tubuh) kerajaan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan seminar Satu Abad Undang-Undang Bagi Diri (Tubuh) Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri Terengganu selama dua hari, bermula hari ini.

Penolong Kurator (Perhubungan dan Pemasaran) LMNT, Mohd Saberi Muda berkata, pengajuran seminar berkenaan adalah lanjutan daripada seminar kali pertama yang telah diadakan pada 26 hingga 27 Mei 2012 lalu dan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Bagi menjayakan program ini, sebanyak 18 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang yang dipilih khusus daripada universiti tempatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

"Antara yang membentangkan kertas kerja ialah pembentang dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Penasihat Undang-Undang Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri serta wakil LMNT sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Saberi berkata, objektif penganjuran seminar terbabit antaranya bertujuan untuk menjelaskan kepada generasi muda akan kesungguhan dan kekuatan Sultan dan Pentadbir mengekang kuasa British di Terengganu pada suatu ketika dahulu bagi menjamin kesenangan dan kesejahteraan generasi baru.

"Ia juga untuk memberi gambaran betapa jauhnya pandangan Sultan dan Pembesar Negeri Terengganu yang dapat menghidu niat buruk kuasa luar terutama Britisih,” ujarnya.

Menurut Mohd Saberi, tujuan utama penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu sebagai langkah untuk membendung kerakusan British campur tangan dalam pentadbiran Negeri Terengganu.

 

Mohd Zubir Embong dilantik sebagai Speaker DUN Terengganu

Oleh: Suriati Ali

 Secara rasminya bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu Pilihan Raya Umum Ke-13 9PRU13) Mohd Zubir Embong,dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru.

 Pengisytiharan pelantikan beliau diumumkan oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Encik Azhar Jusoh pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Encik Azhar mengumumkan perkara itu selepas mendapat perkenan dan berdasarkan watikah pelantikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mohd. Zubir yang merupakan bekas Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kemudian mengangkat sumpah jawatan tersebut pada sidang hari pertama yang dihadiri kesemua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

 Selepas itu disusuli pula upacara mengangkat sumpah oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Ia diikuti 16 wakil rakyat BN sebelum kesemua 15 Adun daripada parti pembangkang turut mengangkat sumpah.



Ia merupakan persidangan pertama Sidang DUN Terengganu selepas PRU 13 yang menyaksikan BN mempertahankan pemerintahannya dengan memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN dan empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

 





M.A.C FC juara edisi kedua kejohanan futsal Red Bull

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Malaysia, M.A.C FC muncul juara edisi kedua kejohanan selepas menunggu dua tahun, di pertandingan akhir Kejohanan Futsal Red Bull Tri-Nations Cup 2013 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.



Perlawanan sengit di pentas final itu menyaksikan M.A.C FC menumpaskan pasukan negara, Gelombang FC dengan jaringan tipis 5-4 sambil disaksikan 3,000 penonton. Dengan kemenangan itu, M.A.C FC menggondol hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala kejohanan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Red Bull, Jyn Wee dan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Gelombang FC yang merangkul naib johan pula membawa pulang wang tunai RM10,000, sementara Indera SC dari Brunei mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang RM5,000 berserta medal. Kejohanan dwitahunan itu menyaksikan dua pasukan mewakili masing-masing tiga negara Asia Tenggara-Malaysia, Singapura dan Brunei.

Sebanyak enam pasukan yang bersaing dalam kejohanan dua hari itu, iaitu Gelombang FC dan M.A.C FC dari Malaysia, Indera SC Futsal dan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dari Brunei manakala Singapura diwakili oleh pasukan Mountbatten Football Club A dan B.



Sementara itu pengurus pasukan M.A.C FC, Encik Mimi Afzan Afza berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan corak persembahan pemainnya yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya dan membawa pulang piala kejohanan dari penyandang terdahulu, Brunei pada edisi sulung 2011.







JPNIN sasar 50 SRS tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

 Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri Terengganu sasarkan 50 lagi Skim Rondaan Sukarela (SRS) ditubuhkan pada tahun ini dalam usaha merapatkan komuniti dan juga bagi memerangi jenayah setempat.

Pengarahnya, Encik Burhanuddin Daud berkata, sehingga kini terdapat 391 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) wujud di negeri ini dengan sebanyak 316 SRS ditubuhkan.

Menurutnya, pihaknya galakan komuniti di negeri ini untuk libatkan diri dalam SRS bukan untuk kepentingan jabatan tetapi dalam usaha meningkatkan semangat perpaduan dan kejiranan serta cegah masalah jenayah.

“Peranan mereka bukan hanya sekadar untuk menjalankan tugas meronda pada waktu malam di kawasan perumahan, sebaliknya melalui aktiviti (rondaan) tersebut, dapat eratkan hubungan silaturahim dalam satu komuniti.

“Apabila komuniti sudah kuat masalah jenayah dapat dibendung tanpa mengundang sebarang masalah. Sebab itu kita sasarkan 50 lagi SRS dapat diwujudkan pada tahun ini,” katanya.

Beliau juga berharap berharap SRS dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan di bandar raya ini selain dipertingkatkan dalam usaha memerangi jenayah yang tidak pernah surut.

“Saya melihat, masyarakat di sini masih mempunyai hubungan kemasyarakatan dan silaturahim komuniti di sini masih utuh berbanding di bandar-bandar besar yang mengamalkan kehidupan menjaga kepentingan dan diri masing-masing.

 “Sebab itulah, peranan dan fungsinya dapat dimanfaatkan dengan baik. Harapannya juga amalan murni tersebut berkekalan,” katanya yang baru bertugas di sini pada 2 Jun lalu.
 

15 June 2013

Puspanita B juara tenpin boling

Oleh; Esah Abdullah 

Pasukan Puspanita B, muncul johan bagi Pertandingan Tenpin Boling Jemputan Puspanita 2013 yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai semalam.



Puspanita B yang dibarisi Sulaiha Sulaiman, Zurimawati Mokhtar dan Rohanai Yatim berjaya membuat jatuhan pin 1,298 mengalahkan Petronita B (Petronas) selaku naib johan dengan jatuhan pin 971 dan tempat ketiga Pelitawanis (Tenaga Nasional Berhad) jatuhan pin 951.

Pertandingan ini merupakan salah satu aktiviti Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita)Terengganu, dalam usaha mengeratkan ikatan silatulrahim bersama badan bukan kerajaan (NGO) wanita yang terdapat di negeri ini.

Sebanyak lapan pasukan NGO Wanita menyertai pertandingan itu termasuklah Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), Tiaranita (Telekom Malaysia), Wada (Felda) Petronita (Petronas), Pelitawanis dan Puspanita selaku tuan rumah.



Isteri Menteri Besar merangkap Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

 

Kematian disyaki Leptospirosis, JKNT jalankan siatan lanjut

Oleh: Noraini Jusoh

Hasil ujian saringan darah yang dijalankan pihak hospital terhadap seorang pesakit berumur 47 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 8 Jun lalu kerana disyakki akibat jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus adalah negatif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato’ Dr. Anwa Sulaiman berkata, walau bagaimanapun, pihaknya tidak memandang ringan perkara tersebut dan telah menjalankan siasatan ke atas 63 ahli keluarga serta rakan yang menjalankan aktiviti bersama mangsa di Pulau Bidong dan mendapati mereka semua sihat.

"Sebagai langkah pencegahan dan kawalan Leptospirosis di Pulau Bidong, pihak JKNT telah membuat penilaian risiko persekitaran yang meliputi tempat penyediaan makanan, stor makanan, pengurusan sisa makanan dan sampah yang boleh mengundang kehadiran tikus selain terhadap kemudahan yang disediakan seperti tandas dan bilik mandi.

"Selain itu, 16 sampel persekitaran iaitu 11 sampel air dan lima sampil tanah juga diambil di mana keputusan persampelan dijangka akan diperolehi selepas enam minggu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Dr. Anwa berkata, Leptospirosis adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal, yang terdiri daripada penyakit ringan seperti selsema sehingga ke penyakit yang teruk dengan gejala berdarah dan kegagalan multi organ.

Katanya, selain tikus, haiwan pembawa kuman Leptospirosis adalah mamalia seperti lembu, anjing, musang, arnab dan lain-lain.

"Haiwan-haiwan ini bertindak sebagai pembawa kuman leptospires dan mengeluarkan kuman melalui air kencing yang menyebabkan pencemaran air dan tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, risiko untuk jangkitan adalah melalui pendedahan dari pekerjaan atau aktiviti rekreasi tanpa perlindungan yang betul.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar melakukan pencegahan dan menjaga kebersihan seperti memakai pakaian perlindungan yang kalis air semasa melakukan aktiviti yang terdedah kepada air atau tanah disamping sentiasa menjaga rumah dan premis agar bebas daripada tikus dan pembawa kuman yang lain.

 

14 June 2013

Peserta BOTR terokai keindahan Tasik Kenyir


Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap semua peserta Boat On The Road (BOTR) 2013 dapat menikmati dan memanfaatkan keindahan alam serta khazanah yang bernilai di Tasik Kenyir, Hulu Terenganu, dengan sepuas-puasnya.

 “Pada masa yang sama, saya harap semua peserta selamat di sepanjang perjalanan dan tiba tanpa sebarang perkara tidak diingini di tasik buatan manusia yang menjadi tarikan utama pemancing seluruh dunia itu.

“Selain itu juga, jangan pula membuang sampah seerti plastik, puntung rokok, sisa makanan di merata tempat dan sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar,”katanya sebelum melancarkan majlis pelepasan peserta program BOTR 2013 di Sri Pentas TV3 Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.

Menteri Besar turut menampal pelekat acara yang memasuki edisi ke empat penganjuran itu, di sebuah pacuan empat roda peserta.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankasa Pelancongan, Kebudayaan, Penerangan da Komunikasi negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Tasik Kenyir sekali lagi akan menjadi tumpuan kaki pancing dari dalam dan luar negara sepanang tiga hari apabila program cabaran memancing Boat On The Road (BOTR) 2013 membuka tirainya hari ini.

BOTR anjuran kerajaan negeri dan Unit Joran Berita Harian itu menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM73,300 termasuk RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan Arapaima Gigas.

Haji Wan Mat Amin berkata sebagai tuan rumah pihaknya sudah bersedia menanti kehadiran peserta sepanjang acara berlangsung.

Katanya, berdasarkan pengalamanan penganjuran sebelum ini, acara ini berjaya menarik ramai kaki pancing dari dalam dan luar negara sekali gus meningkat jumlah pelancong sempena TMT 2013.

“Peluang yang sama kepada pemancing seperti jua tahun-tahun sebelumnya, di mana mereka ditawarkan ganjaran berjumlah RM20,000 jika berjaya menaikkan ikan Arapaima Giagas yang dipercayai menghuni Tasik Kenyir.

“Penganjuran BOTR ini juga dijangka mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke tasik buatan manusia itu,” katanya.


SEKITAR BOAT ON THE ROAD 2013

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said merasmi dan melepaskan peserta Ekspedisi Memancing Sambil Bersantai `Boat On The Road' 2013 di perkarangan Sri Pentas, TV3, pagi tadi (14 Jun). Ikuti berita bergambar yang dirakamkan oleh jururfoto Unit Komunikasi Negeri Terengganu, ZULKIPLI PUTRA yang membuat liputan majlis itu dari Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Dato' Seri Haji Ahmad Said melepaskan peserta Boat On The Road di perkarangan Sri Pentas TV3.


Menteri Besar menampal pelekat pada sebuah kenderaan yang mengambil bahagian.


Promosi masakan ikan sungai, Kelah yang dimasak oleh chef dari Adabi.
Dato' Haji Mohd Jidin Shafee (kiri) menyambut ketibaan peserta sebaik tiba di Bandar Al-Muktaffi Billah untuk makan tengahari.
Peserta bersiap-sedia untuk berlepas dari Sri Pentas ke Tasik Kenyir.

Peserta BOTR berkonvoi melalui Lebuhraya Pantai Timur II di Bukit Besi, Dungun.




Ukom anjur Majlis Mesra Media

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai agensi media di negeri ini diminta bersama-sama Unit komunikasi Negeri (Ukom) mengkaji dan mencari punca kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

 Pengarah Ukom Haji Shamsudin Sulong, berkata kedua-dua pihak itu perlu bersama memikirkan bagaimana ingin menarik kembali kepercayaan rakyat terutama golongan muda terhadap BN.

 “Kadang-kala saya tidak faham, apa lagi rakyat inginkan sedangkan pelbagai kebajikan, bantuan, kemudahan, pendidikan dan sebagainya dihulurkan kerajaan semata-mata mahu melihat rakyat hidup senang.



“Apa yang dikesalkan mereka mudah percayakan dakyah dan fitnah yang dilemparkan pembangkang sedangkan apa yang dikatakan itu bukannya betul dan mustahil untuk dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Media Bersama Ukom

Lebih 30 petugas pelbagai media hadir bagi memeriahkan majlis santai yang diadakan di Permai Hotel, Kuala Terengganu petang ini.

 Haji Shamsudin turut memberitahu, petugas media berperanan penting dalam menyampaikan sumber berita dan maklumat tepat kepada pihak berkaitan, terutama kepada masyarakat.

 Katanya, pada sama sama, Ukom tidak jemu memperjelaskan isu-isu semasa melalui pelbagai program yang diaturkan selaras dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ “Pendekatan itu mampu menangkis dakyah dan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap negeri dan pihak berkepentingan,” katanya. .