Halaman

27 June 2013

PASAR KEDAI PAYANG AMAT PERLU DIBINA DAN DISUSUN SEMULA DEMI MASA DEPANNYA YANG LEBIH MAJU DAN MEMENUHI TUNTUTAN ZAMAN

Bahagian 1

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Melangkahi kaki ke Pasar Kedai Payang yang terletak di pinggir muara sungai Terengganu, tidak jauh dari Bukit Puteri dan bersebelahan dengan Kampong Cina memanglah suatu yang menarik dan mempesonakan.

Ini kerana keindahan suasana sekitar di pesisir air bukanlah sesuatu yang mudah ditemui di tempat lain.

Usaha kerajaan mencantikkan pemandangan sekitar itu amatlah dialu-alukan dan jika sekiranya bangunan Pasar Kedai Payang dibina baru dengan lebih cantik, berkemudahan dan selesa, ia pasti menjadi pelengkap kepada suasana yang indah itu.

Di pasar Kedai Payang kelihatan para penjualnya ramah tamah, ia adalah suatu budaya yang amat murni.

Namun begitu pada masa yang sama lokasi perniagaan mereka ia tidak ubah seperti di tahun-tahun 60 an atau 70 an, amat jauh ketinggalan dengan zaman.

Bayangkanlah ada yang menjual di tepi-tepi dinding luar bangunan, di birai longkang, di hadapan tandas awam dan di mana-mana sahaja ruang yang ada, di situ mereka membuka barangan mereka untuk dijual, baik berupa makanan, sayuran, buah-buahan dan apa sahaja yang terfikir untuk mereka jual.

Soal kebersihan, kesihatan dan lain-lain itu bukanlah menjadi keutamaan, tetapi itulah realitinya yang dilihat oleh pengunjung yang datang ke pasar berkenaan, baik orang tempatan mahupun pelancong dari luar yang memberi imej bahawa itulah budaya orang Terengganu.

Keramahan penjual dan hubungan mesra antara peniaga sesama peniaga, apatah lagi dengan pelanggan adalah warisan yang perlu dikekalkan, tetapi penampilan yang tidak bersih dan caca-marba itu bukanlah warisan yang perlu dikekalkan.

“Awang cari apa....Mek beli limau setopok, encik rasa keropok Seberang Takir...telor penyu pun ada,” sapaan dari para peniaga itulah seringkali menjadi kenangan yang indah bagi pelancong dan pengunjung.

Peniaga duduk bersimpuh di celah-celah barangan jualannya, kalau rambutan yang dijual bersama semut-semutnya juga kita membelinya.

Ikan kering, asam gelugor, telor itik, serai, malah telor angsa pun kadang-kadang ada dijual di tepi dinding bangunan pasar itu tidak jauh dari tepi longkang.

Sama ada kita berasa itu suatu yang amat menarik untuk dlihat atau sebaliknya terpulang kepada penilaian individu, tetapi yang pastinya aspek kebersihan, kesihatan dan seumpamanya tidak menjadi keutamaan.

Lantaran itulah, kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu membuat pembaharuan untuk menempatkan para peniaga ini dengan lebih selesa dan sempurna.

Pembinaan bangunan baru pasar Kedai Payang yang sudah berusia itu amatlah dialu-alukan dan bukannya dihalang sepertimana suatu ketika dahulu pembangkang menentang pembinaan Jambatan Sultan Mahmud yang dikatakan membazir wang rakyat kerana membabitkan RM100 juga pada waktu itu.

Hari ini bukan sahaja mereka menyokong dan menikmati sama kemudahan itu, malah meminta pembinaan sebuah lagi jambatan kedua dipercepatkan kerana suasana semakin sesak, bermakna kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang berfikiran jauh ke hadapan dan berwawasan. (bersambung).


 

KENYATAAN ANWAR TIDAK MENGHORMATI SENSITIVITI KELUARGA ADUN KUALA BESUT YANG MENINGGAL DUNIA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak menghormati sensitiviti keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar dengan membuat kenyataan segera bahawa PAS dan PR memppunyai peluang baik bagi kerusi Dun berkenaan.

Ia menampakkan betapa beliau amat mementingkan duniawi, sedangkan dari segi Islam kita, umatnya diminta menyelesaikan urusan jenazah dahulu dan dilarang memperkatakan berkaitan hal-hal keduniaan selagi jenazah belum dikebumikan.

Seorang ahli keluarganya menyatakan “ manusia yang sibuk soal politik duniawi melampaui batas sehingga lupa akan kematian saudaranya seperti YB ADUN Kuala Besut, maka inilah peringatan buat mereka.

Maksud surah Al Mulk ini;

"Dia lah Tuhan yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang baik amalannya di dunia ini. Sesungguhnya Dia..( Allah) Maha bekuasa lagi Maha Pengampun".

Katanya, bersama menguruskan jenazah saudara seagama tanpa mengira apa fahaman politik mereka adalah amalan yang baik..siapa yang mementingkan soal lain sehingga mengabaikan kematian saudaranya kerana perbezaan politik, maka kecelakaanlah buat mereka.

Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan 'kekosongan' kerusi Dun Kuala Besut akan beri peluang baik kepada Pas dan PR.

"Itu akan beri kepada Pas dan PR. PR akan sokong calon yang akan diletakkan Pas. "Namun, saya anggap PRK kali ini kritikal kerana majoriti yang diperolehi Umno pada kerusi tersebut agak 'pasif'," katanya pada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, ketika ditanya media mengenai kenyataan beliau itu dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham, Anwar mendakwa, situasi itu satu yang realiti dan perlu difahami semua pihak.

Begitu juga sebuah tulisan FB dipercayai milik pemuda parti pembangkang utama di Terengganu langsung tidak menghormati keluarga simati dengan menulis dalam postingnya yang berbunyi: ’ politik pilihan raya tanpa akhlak, kematian wakil rakyat yang uzur dinanti-nanti bagai didoa-doakan.”

Pemilik laman sosial ini dipercayai adalah bekas pegawai kerajaan negeri Terengganu era pemerintahan Pas.

Ahli keluarga simati amat kesal dengan menyatakan dalam lamannya mengulas perkara ini dengan berkata: “Adun ini waris/keluarga saya..awak semua tak ada akal kah..sepatutnya memikirkan perginya saudara seagama patut bersama mendoakannya..apakah politik kamu orang PAS akan menentukan nasib kamu di hadapan Tuhan?..

Cara PAS ini sepatutnya dibenci oleh seluruh umat Islam di dunia ini..Tak ada lain politik memanjang..tak ingat mati ke?

Biar ada adab sikit dalam hidup ni..Ini membuatkan saya semakin benci kepada orang PAS dan seluruh kepimpinannya..tabiat ini amat kotor dan jijik”.



Larian Perdana PMINT 2013, galak orang ramai sertai aktiviti kecergasan

Oleh: Noraini Jusoh

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menganjurkan Karnival PMINT 2013 bertempat di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, bermula hari ini sehingga 29 Jun.

Pengurus Besarnya, Dato’ Haji Osman Muda berkata, selain memenuhi tanggungajwab sosial korporat kepada masyarakat, Karnival PMINT 2013 yang memasuki edisi kedua dianjurkan dipenuhi dengan pelbagai acara menarik di samping menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti kecergasan.

"Pada karnival kali ini, Larian Perdana PMINT dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer yang berkonsepkan `lari suka-suka’ akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada peserta.

"Lebih menarik, larian kali ini mendapat sambutan menggalakkan di mana kita hanya menyasarkan 4000 orang peserta tetapi penyertaan peserta larian telah melebihi sasaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival PMINT 2013 di Dataran Taman Awam, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, selain aktiviti larian, sepanjang empat hari karnival berlangsung ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti dikir barat, forum perdana, pameran dan sebagainya.

"Karnival ini juga menembatkan 70 unit kanopi untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berminat mengadakan jualan dan promosi dalam tempoh berkenaan,” ujarnya.

 

SPR negeri bersedia adakan PRK Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Suruhanjaya Pilihan Raya negeri (SPR) sudah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut (N1) berikutan kematian penyandangnya, YB Haji A Rahman Mokhtar, semalam.

Pengarahnya, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab (gambar kecil) berkata, kesemua petugas SPR negeri yang baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu bersedia memikul tanggungjawab mengendalikan PRK itu pada bila-bila masa berdasarkan arahan yang dikeluarkan SPR.

 “SPR negeri bersedia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta tidak tmbul kesulitan kerana kita baru sahaja menjalankan PRU13 yang lalu.

“ Semua petugas-petugas dan pegawai pengurus pilihan raya (RO) sudah mendapat latihan dan taklimat yang cukup. Mungkin hanya perlu `refreshment’ lagi sebelum diadakan PRK. Selain itu, kerjasama amat baik dari kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang terlibat amat memuaskan serta bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh SPR nanti,” katanya ketika menerima surat makluman kekosongan kerusi DUN Kuala Besut oleh Yang Dipertua DUN, Haji Mohd Zubir Embong kepada SPR negeri, di Pejabat DUN, Wisma Darul Iman, pagi ini.

Encik Fakhrul Razi, berkata SPR negeri akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf pada hari ini untuk tindakan lanjut.

 “Tempoh PRK akan bermula sepanjang 60 hari sebaik sahaja surat dari YDP DUN ini diserahkan, iaitu dari hari ini dan berakhir pada 27 Ogos nanti.

 “Surat makluman ini akan saya serahkan pada hari ini juga. Jadi, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz akan membuat keputusan. Saya dimaklumkan juga, petang esok akan diadakan pra mesyuarat untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau juga menjangkakan mesyuarat petang esok hanya tertumpu kepada mendapatkan maklumat awal berkaitan persiapan PRK sebelum dapat memuktamadkan tarikh sebenar PRK itu pada mesyuarat seterusnya.

 Selain itu, PRK Kuala Besut nanti juga akan terus mengekalkan peraturan sedia ada termasuk penggunaan dakwat kekal.


Speaker serah surat maklum kekosongan kerusi DUN Kuala Besut

Haji Mohd Zubir (kanan) menyerahkan surat memaklumkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut (N1) kepada Pengarah SPR negeri, Encik Fakhrul Razi di Wisma Darul Iman, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong menyerahkan surat bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut (N1) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, semalam.

Surat berkenaan disampaikan kepada Pengarah SPR negeri, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab di Pejabat DUN, Wisma Darul Iman, jam 9.50 pagi ini.

Sidang media turut diadakan sebelum penyerahan surat itu.
Haji Zubir berkata,berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr Haji A Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam (Rabu), sekaligus berlaku kekosongan kerusi berkenaan.

 “Menurut perlembagaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) Fasal 44 (5) kekosongan kerusi DUN hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh berlakunya kekosongan itu.

“Insya-Allah hari ini kita akan serahkan surat mengenai kekosongan ini kepada Pengerusi SPR. Tugas saya selaku Speaker hanya memaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN itu kepada SPR untuk tindakan lanjut,” katanya.


Adun Kuala Besut, YB Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat kanser paru-paru, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, jam 10.18 pagi semalam.

Allahyarham dipilih menjadi Adun Kuala Besut pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008, sebelum dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 April 2008 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, perpaduan dan Hal Ehwal Negeri.

Beliau sekali lagi kekal sebagai Adun Kuala Besut bagi penggal kedua selepas memenangi PRU13 dan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada 11 mei lalu.


PKJM dijangka dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali 

Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir pada Program Karnival Jualan 1Malaysia (PKJM), di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 30 Jun ini.

 Terdapat 48 gerai pameran dan jualan disediakan yang melibatkan usahawan dari pelbagai negeri iaitu, Pahang, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Selangor.

 PKJM sebagai wardah untuk menyebarkan maklumat , selain memupuk budaya keusahawanan di kalangan masyarakat setempat, terutama bagi mereka yang berminat dalam bidang itu pada masa kelak.

Ketua Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim, berkata minggu PKJM mempamer dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain mampu memupuk kesedaran lebih meluas lagi di kalangan orang ramai.

 “Dengan adanya program seumpama ini. Ia mampu menyediakan akses yang lebih meluas terhadap kemudahan yang disediakan oleh pelbagai pihak kepada IKS, termasuk berkaitan bantuan kewaan dan pembiayaan.

 “Pihak kami yakin, masih banyak lagi usaha yang boleh dibuat bagi membantu usahawan Terengganu melebarkjan sayap perniagaan masing-masing, bukan sekadar sumber pendapatan bulanan,” katanya ketika berucap pada majlis itu, semalam

. Dato’ Hafsah berkata, sebagai mengiktiraf pentingnya sumbanagan mereka dalam pembangunan serta kemajuan ekonomi, sambutan PKJM dirangka dan diadakan serentak di seluruh negara bermula tahun lepas.

“Pendekatan itu mampu memberi peluang kepada usahawan menonjolkan produk ke pasaran lebih terbuka, bukan saja di peringkat kampung atau kenalan dan saudara,” katanya .

.

26 June 2013

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut tetap berlaku.


Ahmad Maslan,Idris Jusoh dan Ahmad Said di tanah perkuburan .

Oleh: Mohammad Ishak

Ketua Penerangan UMNO, Dato' Ahmad Maslan menolak kabar angin Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, tidak perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya belum sampai tempoh 60 hari.

Katanya, apa yang tersebar di media maya yang menyebut PRK tidak akan diadakan seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak benar dan tiada dalam mana-mana peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, berikutan kematian Ahli Exco Kerajaan Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, banyak tersebar di media maya terutama facebook yang mendakwa PRK tidak akan diadakan.

Katanya,dakwaan yang menyebut Mengikut Undang2 SPR bahagian 2 fasa 5 tiada PRK jika kematian ADUN dalam tempoh 60 hari selepas PRU, sebaliknya boleh digantikan dengan calon dari parti ADUN yang meninggal itu.Kuasa melantik ADUN terletak pada tangan Menteri Besar, adalah tidak benar.

 “Saya sudah menyemak perkara itu dengan SPR dan peguam Umno tiada undang-undang seperti itu sebaliknya PRK akan diadakan oleh SPR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara pengkembumian jenazah Dr A Rahman, petang tadi.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai PRK DUN Kuala Besut.

Mengenai kematian Dr A Rahman, beliau bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Menteri Pelajaran II, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, parti kehilangan besar dengan pemergian Allahyarham Dr A Rahman.

Katanya,sepanjang tempoh arwah menjadi wakil rakyat beliau sentiasa bekerja keras terutama untuk pembangunan golongan nelayan di kawasan DUN berkenaan.

Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar selamat dikembumikan.


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyiram air mawar ke atas pusara Allayarham Dr A Rahman.

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana sedih menyelubungi upacara pengkembumian Allahyarham Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),Kuala Terengganu pagi tadi.

Jenazah Allahyarham selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, kira-kira jam 5.15 petang tadi..

Turut berada ketika dikembumikan ialah isterinya, Azizah N Omar,53, serta kesemua empat anaknya, Mohd Zaihan,30, Mohd Razhan,20,Mohd Zaffuan, 27. Dan Nurul Najihah,18.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pendidikian II, Dato' Seri Haji Idris Jusoh.Wakil UMNO Pusat, Dato' Ahmad Maslan yang juga Menteri Kewangan II serta ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham selamat tiba di Masjid Kampung Telok Bayu dengan van jenazah dari HSNZ Kuala Terengganu kira-kira jam 2 petang.

Kira-kira 1,000 jemaah menghadiri upacara solat jenazah di masjid berkenaan selepas asar. Allahyarham Dr A Rahman, dilahirkan di Pulau Perhetian, adalah anak nelayan pertama di pulau pelancongan itu menjadi doktor dan beliau adalah idola kepada penduduk yang sebahagian besarnya nelayan.

Beliau meninggalkan seorang balu, Azizah N Omar, 53, serta empat anak tiga lelaki dan seorang perempuan. Berkelulusan dari UKM dan Universiti Philipna dalam bidang perubatan beliau bertugas di beberapa hospital di Kuala Lumpur,Bacok,Tanah Merah di Kelantan sebelum membuka klinik sendiri di Kuala Besut.pada 1991.

Selain menjawat Exco selama dua penggal beliau juga menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Besut serta bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan NGO.


Kekosongan kerusi DUN Kuala Besut akan dimaklumkan kepada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

 Beliau berkata kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian penyandangnya, YB Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 hari ini akibat kanser paru-paru.

 "Esok saya akan menyerahkan surat warta kekosongan kepada SPR Terengganu untuk membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan," katanya

Dr A.Rahman yang merupakan Pengerusi Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri dimasukkan ke HSNZ sejak Khamis lepas.

 Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, YB A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail. Kematian Adun Kuala Besut itu bakal menyaksikan PRK yang pertama selepas PRU13.

 Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas, Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

 

Tiga belas pelajar Tesdec jalani kursus kimpalan di Perth, Australia

YB MOHD MAHDI MUSA
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 13 pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) sedang mengikuti kursus Kimpalan Bawah Air, di Perth Australia bagi memenuhi pasaran industri antarabangsa di sektor minyak dan gas sebaik tamat latihan itu bulan depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata kesemua pelajar dari Terengganu itu menjalani kursus sepanjang tempoh tiga bulan termasuk dua bulan bagi tahap satu dan dua di Tesdec dan bulan terakhir di Australia (tahap tiga).

 “Sebagaimana diketahui, pekerjaan Kimpalan Bawah Air itu bukan sahaja dibayar gaji mengikut hari, mengikut bulan malah juga dibayar berdasarkan jam bekerja.

Sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa.
“Pengimpal Bawah Air sememangnya satu pekerjaan yang bukan sahaja memenuhi pasaran negara, malah di dunia dan tidak ramai mereka yang berkemahiran di bidang tersebut di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis. YB Mohd Mahdi berkata, pembiayaan kursus yang mendapat pengiktirafanLembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkenaan berjumlah RM55,000 setiap kursus.

 “Kejayaan pelatih dari Tesdec menempatkan diri dalam pasaran kerja di peringkat global itu mula membuka mata ramai pihak untuk mengiktiraf pusat kemahiran yang sudahpun melahirkan 30,000 tenaga kerja di pelbagai bidang kemahiran itu,” katanya.


Selain kursus Kimpalan Bawah Air, Tesdec satu-satunya pusat kemahiran di negara ini dan juga Asia yang menawarkan kursus Selaman Laut Dalam dengan kerjasama Skim Akreditasi Penyelam Australia (Adas), Australia yang turut mendapat pengiktirafan CIDB.

Program lain termasuk Bioteknologi, ISO 29001 untuk Industri Minyak dan Gas, ISO 50001 for Energy Management Systems dan Sistem Keselamatan teknologi Maklumat. Selain itu, Tesdec juga akan terus melaksanakan program T-Gas (Terengganu Graduate Attachment Scheme).

Katanya, bagi merealisasikan segala perancangan latihan ini, Tesdec juga sudah dan akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak yang terdiri daripada afensi kerajaan seperti SIRIM, Biotechcorp dan lain-lain.

“Sementara bagi menjamin piawaian dan kualiti latihan yang dilaksanakan mampu bersaing di pasaran global, Tesdec turut menjalinkan hubungan dengan pihak antarabangsa seperti TWI of UK (bidang kimpalan), Adas Austalia (bidang selaman komersial) dan sebagainya.