Halaman

27 June 2013

PASAR KEDAI PAYANG AMAT PERLU DIBINA DAN DISUSUN SEMULA DEMI MASA DEPANNYA YANG LEBIH MAJU DAN MEMENUHI TUNTUTAN ZAMAN

Bahagian 1

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Melangkahi kaki ke Pasar Kedai Payang yang terletak di pinggir muara sungai Terengganu, tidak jauh dari Bukit Puteri dan bersebelahan dengan Kampong Cina memanglah suatu yang menarik dan mempesonakan.

Ini kerana keindahan suasana sekitar di pesisir air bukanlah sesuatu yang mudah ditemui di tempat lain.

Usaha kerajaan mencantikkan pemandangan sekitar itu amatlah dialu-alukan dan jika sekiranya bangunan Pasar Kedai Payang dibina baru dengan lebih cantik, berkemudahan dan selesa, ia pasti menjadi pelengkap kepada suasana yang indah itu.

Di pasar Kedai Payang kelihatan para penjualnya ramah tamah, ia adalah suatu budaya yang amat murni.

Namun begitu pada masa yang sama lokasi perniagaan mereka ia tidak ubah seperti di tahun-tahun 60 an atau 70 an, amat jauh ketinggalan dengan zaman.

Bayangkanlah ada yang menjual di tepi-tepi dinding luar bangunan, di birai longkang, di hadapan tandas awam dan di mana-mana sahaja ruang yang ada, di situ mereka membuka barangan mereka untuk dijual, baik berupa makanan, sayuran, buah-buahan dan apa sahaja yang terfikir untuk mereka jual.

Soal kebersihan, kesihatan dan lain-lain itu bukanlah menjadi keutamaan, tetapi itulah realitinya yang dilihat oleh pengunjung yang datang ke pasar berkenaan, baik orang tempatan mahupun pelancong dari luar yang memberi imej bahawa itulah budaya orang Terengganu.

Keramahan penjual dan hubungan mesra antara peniaga sesama peniaga, apatah lagi dengan pelanggan adalah warisan yang perlu dikekalkan, tetapi penampilan yang tidak bersih dan caca-marba itu bukanlah warisan yang perlu dikekalkan.

“Awang cari apa....Mek beli limau setopok, encik rasa keropok Seberang Takir...telor penyu pun ada,” sapaan dari para peniaga itulah seringkali menjadi kenangan yang indah bagi pelancong dan pengunjung.

Peniaga duduk bersimpuh di celah-celah barangan jualannya, kalau rambutan yang dijual bersama semut-semutnya juga kita membelinya.

Ikan kering, asam gelugor, telor itik, serai, malah telor angsa pun kadang-kadang ada dijual di tepi dinding bangunan pasar itu tidak jauh dari tepi longkang.

Sama ada kita berasa itu suatu yang amat menarik untuk dlihat atau sebaliknya terpulang kepada penilaian individu, tetapi yang pastinya aspek kebersihan, kesihatan dan seumpamanya tidak menjadi keutamaan.

Lantaran itulah, kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu membuat pembaharuan untuk menempatkan para peniaga ini dengan lebih selesa dan sempurna.

Pembinaan bangunan baru pasar Kedai Payang yang sudah berusia itu amatlah dialu-alukan dan bukannya dihalang sepertimana suatu ketika dahulu pembangkang menentang pembinaan Jambatan Sultan Mahmud yang dikatakan membazir wang rakyat kerana membabitkan RM100 juga pada waktu itu.

Hari ini bukan sahaja mereka menyokong dan menikmati sama kemudahan itu, malah meminta pembinaan sebuah lagi jambatan kedua dipercepatkan kerana suasana semakin sesak, bermakna kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang berfikiran jauh ke hadapan dan berwawasan. (bersambung).