Halaman

29 June 2013

Taman Pra Tahfiz Perkaya bantu anak yatim celik Al-Quran

Oleh: Noraini Jusoh

Atas dasar keprihatinan untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim di negeri ini khususnya berkaitan ilmu agama, mendorong Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) cawangan Kuala Terengganu membuka sebuah pusat bagi membantu anak yatim mempelajari ilmu al-Quran.

Pengerusi Perkaya Kuala Terengganu, Haji Yusof Abd. Karim berkata, kemurahan hati seorang hamba Allah mewakafkan sebuah rumah banglo di Kampung Beladau Kolam melancarkan hasrat tersebut dan membolehkan Taman Pra Tahfiz Perkaya mula dibuka pada 1 April lalu.

"Setakat ini, ia disertai 22 murid lelaki tahun empat dan lima yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Beladau Kolam.

"Program ini memberi penekanan kepada mereka yang kurang faham dan tidak mahir Al-Quran dengan diajar tenaga pengajar berpengalaman yang terdiri daripada seorang guru tahfiz serta dua warden yang tahu tentang ilmu Al-Quran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu 2013, di Kompleks Seri Iman, kelmarin.

Katanya, selain mengajar anak-anak yatim supaya mereka celik al-Quran, ilmu akademik yang lain turut tidak dilupakan.

"Selepas habis sesi persekolahan, anak-anak yatim ini akan balik ke asrama di pusat berkenaan untuk mengikuti kelas al-Quran,” katanya.

Menurut beliau, semua pelajar di pusat tersebut adalah lelaki kerana pihaknya berpendapat mereka lebih mudah untuk bergaul dengan masyarakat setempat terutamanya dalam membantu menunaikan fardu kifayah seperti menyertai sembahyang jenazah sekiranya terdapat kematian, tahlil dan sebagainya.

"Secara tidak langsung, program ini dapat memberi peluang kepada anak yatim lelaki dalam daerah Kuala Terengganu mengikuti program yang sepenuhnya ditanggung dan apa yang lebih bermakna mereka dapat mengaplikasikan pengalaman ini apabila dewasa nanti,” ujarnya.

Katanya, setakat ini hanya terdapat sebuah Taman Pra Tahfiz Perkaya di Beladau Kolam dan insyaallah pada tahun hadapan sebuah lagi akan dibuka di Jerangau, Dungun.

"Pengambilan baru bagi Taman Pra Tahfiz Beladau Kolam akan dibuat pada tahun hadapan dengan menjalankan temuduga terlebih dahulu kepada mereka yang memohon dan mengutamakan pelajar yang buta al-Quran.

"Anak yatim lelaki yang kehilangan bapa, ataupun kehilangan ibu bapa kedua-duanya sekali dan terdiri daripada murid tahun empat dan lima boleh memohon untuk belajar al-Quran di pusat ini,” ujarnya.

Katanya, pengambilan baru pada tahun hadapan dibuka kepada 15 pelajar sahaja kerana kapasiti pusat tersebut hanya dapat memuatkan 40 pelajar sahaja pada satu-satu masa.

"Harapan saya, semoga Taman Pra Tahfiz Perkaya ini akan terus berkembang ke daerah-daerah lain dan pada masa akan datang pihak kami bercadang untuk membuka pusat khusus kepada pelajar yatim perempuan untuk mereka belajar al-Quran.

"Dari semasa ke semasa kita akan lakukan penambahbaikan terhadap pusat ini untuk memastikan nasib anak-anak yatim di negeri ini terus terbela,” ujarnya.