Halaman

28 June 2013

Tesdec rangka strategi jangka pendek berasas perkembangan ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) merangka strategi jangka pendek bagi tempoh setahun berdasarkan jangkaan peningkatan pelaburan asing dan domestik tiga sektor utama negeri terutama  bioteknologi, minyak dan gas serta perkilangan seluruh Terengganu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata berasaskan itu, pusat kemahiran itu merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi melahirkan tenaga kerja terlatih selaras dengan perkembangan ekonomi negeri.


“Bagi program kemahiran kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan pekerja, Tesdec akan memberi tumpuan terhadap tenaga kera di bidang minyak dan gas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis.

YB Mohd Mahdi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, berkata program utama yang mampu memberi peluang pekerjaan yang luas seperti Kimpalan 6G dan Kimpalan Aluminium; Pemasangan Paip Gas; Juruelektrik dan Pelukis Pelan Senibina turut disediakan Tesdec.

Katanya, Tesdec turut melaksanakan program latihan pra pekerjaan bagi membekalkan tenaga kerja mahir kepada industri yang akan membina kilang dan menjalankan operasi di negeri ini.

“Kerjasama dengan syarikat CJ Bio bagi menyediakan tenaga kerja di bidang Bioteknologi dan Eastern Steel Sdn Bhd bagi tenaga kerja dalam industri keluli.

“Sementara bagi program peningkatan kemahiran industri untuk lepasan ijazah dan diploma, pada tahun ini Tesdec akan menawarkan beberapa kursus latihan yang menjadi keperluan semasa negeri, iaitu Bioteknologi; Selaman Laut Dalam (Skim Akreditasi Penyelam Australia (Adas), Australia); ISO 29001 untuk Industri Minyak dan Gas; ` ISO 50001 for Energy Management Systems’ dan Sistem Keselamatan Teknologi Maklumat,” katanya.

Selain itu, pusat kemahiran itu juga akan terus melaksanakan program T-Gas (Terengganu Graduate Attachment Scheme).

 Katanya, bagi merealisasikan segala perancangan latihan ini, Tesdec juga sudah dan akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti SIRIM, Biotechcorp dan lain-lain.

 “Sementara bagi menjamin piawaian dan kualiti latihan yang dilaksanakan mampu bersaing di pasaran global, Tesdec turut menjalinkan hubungan dengan pihak antarabangsa seperti TWI of UK (bidang kimpalan), Adas Austalia (bidang selaman komersial) dan sebagainya.