Halaman

25 June 2013

Program yasin perdana eratkan perpaduan

Oleh; Esah Abdullah 

Wanita main peranan penting mengeratkan hubungan silatulrahim antara satu sama lain dalam masyarakat dan juga pemimpin kawasan, daerah dan negeri melalui pelbagai program dan aktiviti yang diatur setiap bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Rakit, Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, setiap aktiviti yang diadakan sentiasa mendapat sambutan daripada golongan ibu-ibu di luar bandar.

“Saya yakin wanita mampu mewujudkan suasana harmoni dan ceria kalangan masyarakat melalui program yang diatur dari semasa kesemasa,” katanya di Majis Penutup Yasin Perdana Wanita Batu Rakit di Masjid As -Salam Batu Rakit baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Agama kepada Menteri Besar, Ustaz Kamalruddin Omar selaku penceramah jemputan dan Ketua Wanita Umno Bahagian Setiu, Hajah Wan Maznah Nong sebagai penganjur program serta 400 peserta mewakili 30 buah kampung dalam kawasan Batu Rakit.

Beliau juga gembira kerana wanita banyak mengatur program santai termasuk salam sayang dan ziarah sayang mengunjungi rumah warga emas yang uzur serta santai sayang yang lebih kepada perjumpaan mengeratkan perpaduan kalangan wanita di kampung-kampung.

“Dengan adanya program sebegini golongan warga emas dan orang kurang upaya sentiasa rasa dihargai oleh pemimpin setempat dan mereka boleh menyuarakan apa sahaja masalah yang ada,” katanya.