Halaman

23 June 2013

JEREBU: TERENGGANU AKAN IKUT ARAHAN PUSAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan mengikut pemantauan yang selaras dengan kementerian di peringkat pusat dalam menangani masalah jerebu.

Katanya, apa juga arahan dari pihak kerajaan pusat kepada kerajaan negeri berkaitan masalah ini akan kita patuhi dan laksanakan, sama ada membabitkan penutupan premis dan apa jua pengisytiharan berkaitan.

“Kita akan ikut standard yang ditetapkan serta arahan-arahan berkaitan dengannya dari pihak kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Radio Terengganu (TFM) di RTM Terengganu tengahari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga turut meninjau keadaan jerebu di sekitar bandar Kuala Terengganu dari atas Bukit Pak Apil, bersebelahan bangunan RTM Terengganu.

Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain mengaburi kejelasan langit.

Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di parasrendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan.

Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut. Antara sumber utama jerebu ialah kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan. Dilihat dari jauh (seperi dari kapal terbang), jerebu biasanya kelihatan sedikit keperangan.

Namun dari dekat, ia berwarna putih seperti asap. Ia boleh mendatangkan gejala penyakit batuk-batuk, gatal kulit dan menganggu kesihatan mata dan hidung.

Difahamkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Kuala Terengganu mencapai paras 350 yang agak merbahayakan kesihatan.

Orang ramai juga diminta lebih berhati-hati dalam menangani masalah jerebu untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing.