Halaman

25 June 2013

MoU UiTM-Aman Palestin rintis usaha hantar pelajar ke Gaza

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu melakar sejarah sebagai universiti pertama di negara ini mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Aman Palestin Bhd dalam usaha melahirkan mahasiswa yang peka dengan isu antarabangsa, terutama isu Palestin.

Rektor UiTM Terengganu, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata pihaknya menyasarkan untuk menghantar 100 pelajar dan pensyarah universiti itu ke Gaza pada Disember tahun ini bagi menyalurkan khidmat mereka kepada rakyat di wilayah bergolak itu.

"Ketika ini, kami giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengumpul dana bagi misi penghantaran pelajar dan pensyarah ke Gaza...kami berharap kerjasama dengan Aman Palestin akan melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan menjadi aset negara," katanya selepas majlis pemeteraian MoU itu di Hotel UiTM.

Dr Abdol Samad mewakili UiTM Terengganu manakala Aman Palestin diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya Hasimah Salleh.

Hasimah berkata penyertaan mahasiswa dalam menyalurkan khidmat mengikut kepakaran mereka di Gaza sangat dialu-alukan kerana Aman Palestin adalah satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hanya fokus dalam misi kemanusiaan di Palestin.

"Terlalu banyak yang perlu dibantu di sana dan Aman Palestin hanya membuka jalan untuk rakyat Malaysia bersama-sama membantu mereka di sana melalui jihad ekonomi dan ilmu," katanya.

Pada majlis itu, UiTM Terengganu turut menandatangani dua lagi MoU iaitu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan dan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Kewangannya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin.

Melalui MoU itu, UiTM Terengganu akan menerbitkan 30 manuskrip bersama DBP yang menyentuh aspek teknikal kejuruteraan hasil karya pensyarah dan tenaga akademiknya.

Noor Arfa pula akan menyediakan sebuah bengkel di Chendering untuk pelajar UiTM Terengganu menjalani latihan industri seterusnya berkongsi ilmu dan kemahiran dalam industri tekstil berkaitan sutera dan batik.