Halaman

26 June 2013

JKNT agih 1,500 penutup mulut percuma kepada orang ramai

Kesedaran orang ramai terhadap masalah jerebu yang melanda Terengganu ketika ini begitu tinggi. Seorang penduduk menggunakan penutup mulut sambil membaca risalah jerebu yang diagihkan oleh Jabatan Kesiahatan Negeri Terengganu, semalam.
Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengagihkan 1,500 penutup mulut dan hidung secara percuma kepada pengguna jalan raya di tiga daerah negeri itu bermula semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata seramai 20 petugas jabatan itu telah mengedarkan sebanyak 500 penutup mulut dan hidung kepada pengguna jalan raya di Kuala Terengganu manakala sebanyak 1,000 lagi akan diagihkan di Dungun dan Kemaman hari ini.

“Usaha ini diambil bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap keadaan berjerebu yang sedang melanda negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan penutup mulut dan hidung itu di sekitar Wisma Persekutuan semalam.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkod Jabatan Alam Sekitar mendapati ketiga-tiga daerah ini adalah antara kawasan yang udaranya dikategorikan sebagai tidak sihat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

 "Klinik Kesihatan di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman juga diarahkan untuk membuat laporan mengenai pesakit yang datang akibat jerebu setiap hari untuk tujuan pemantauan ke Bilik Gerakan Jerebu Negeri," katanya

Selain itu katanya, sebanyak 5,000 naskah bahan pendidikan kesihatan mengenai jerebu sudah diedarkan ke tempat-tempat tumpuan awam manakala 5,000 naskah lagi akan diagihkan dalam tempoh terdekat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai simptom berkaitan masalah jerebu supaya segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera seperti batuk, gatal di bahagian kerongkong, hidung berair dan kerap bersin, sakit dada dan gatal-gatal di kulit badan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar dan menitikberatkan kebersihan sepanjang tempoh jerebu ini dan penutup hidung dan mulut hendaklah sentiasa dipakai sepanjang masa ketika berada di luar bangunan," katanya.