Halaman

24 June 2013

PEMBANGKANG ANGKAT SUMPAH TANDA IKTIRAF KEPUTUSAN PRU13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Kehadiran anggota pembangkang ke majlis angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini membuktikan bahawa mereka sebenarnya mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif menyifatkan bahawa dengan itu tidak timbul soal dakwaan bahawa berlaku penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya di negara ini.

Naib Ketua Umno Bahagian Besut, Haji Mohd Pahemi Yusof juga bersyukur kerana majlis angkat sumpah itu berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah walaupun ada usaha untuk menimbulkan ketegangan oleh pihak tertentu yang membuat demonstrasi jalanan berhampiran bangunan parlimen dan juga kekecohan di permulaan majlis.

Perdana Menteri, Dato'  Seri Najib Tun Razak (Pekan) hari ini mendahului upacara angkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat pada majlis yang turut menyaksikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dipilih semula sebagai Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat.

(Usaha pembangkang untuk menukar YDP Dewan Rakyat gagal setelah undi memihak kepada cadangan BN).

Manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) mengangkat sumpah pada jam 11.50 pagi. Antara lafaz sumpah berbunyi: “Setelah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan, dengan jujur, menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang sedemikian dengan segala upaya saya dan saya akan menumpahkan segala taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan”.

Sementera itu, kesemua Ahli Parlimen dari Terengganu hadir ke majlis angkat sumpah hari ini iaitu empat dari BN dan empat dari Pas.

Ahli Parlimen BN Terengganu terdiri dari Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Kemaman), Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, kesemuanya Menteri Kabinet.

Manakala Ahli Parlimen Hulu Terengganu Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri, diikuti Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifli Jusoh,  juga mengangkat sumpah. Ahli Parlimen Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus Terengganu diwakili oleh Pas.

Mereka adalah sebahagian dari 222 Ahli Parlimen BN (133 BN ), manakala pembangkang seramai 89 orang kesemuanya hadir mengangkat sumpah.

Seorang pegawai kerajaan, Ramli Hamzah, 53, menyatakan rakyat mahu melihat keamanan dan keselamatan terjamin di negara ini dan menolak sebarang percubaan untuk menimbulkan huru-hara.

Beliau berharap semua Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang dapat sama-sama memainkan peranan berkesan di parlimen sebagai mewakili rakyat di kawasan masing-masing sesuai dengan kata-kata sumpah mereka " akan menumpahkan segala taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan”.

Sementara itu, laporan diterima bahawa keadaan di kawasan simpang masuk ke Parlimen menjadi kecoh secara tiba-tiba apabila sekumpulan peserta merempuh penghalang jalan menuju ke Parlimen.

 Semasa berlaku kekecohan seorang anggota polis (Inspektor) pegawai penyiasat IPD Sentol dilaporkan cedera di muka akibat ditumbuk sekumpulan peserta himpunan ‘blackout 505’ yang cuba memasuki kawasan Parlimen.