Halaman

26 June 2013

BELASUNGKAWA: ALLAHYARHAM DR. A RAHMAN, ANAK PULAU YANG BERJAYA DAN CAKNA RAKYAT:

Allahyarham Dr A Rahman
Oleh: Ruslan Abdul Rahman.
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Seorang insan yang baik dan ‘low profile’, sentiasa tersenyum dan mudah menyapa bila kita mendekatinya, mungkin itulah jiwa anak nelayan mendidik beliau sentiasa merendah diri.

Allahyarham Dr. A.Rahman Mokhtar nama yang cukup sinomim dengan Kuala Besut dan Pulau Perhentian kerana di pulau nelayan yang indah itu dia dilahir dan dibesarkan dan kemudian menetap di Kuala Besut serta menabur bakti kepada penduduk di mana beliau dilahirkan.

Kuala Besut adalah pintu masuk ke Pulau Perhentian.

Dr A Rahman (berdiri empat dari kanan) bersama barisan Exco 2008-2013.
Penulis secara langsung mengenali dan bertemu dengannya ketika sama sama terpilih menyertai rombongan kerajaan negeri Terengganu ke Acheh untuk melihat kesan kejadian Tsunami pada awal tahun 2005.

Doa seorang isteri agar roh suaminya ditempatkan bersama
orang-orang yang soleh.
Beliau dan beberapa orang doktor kerajaan dan swasta adalah di antara yang turut menyertai rombongan itu untuk memastikan tahap keselamatan kesihatan rombongan terjamin kerana di Acheh pada waktu itu masih tidak selamat dari segi kesihatan untuk para pelawat, mayat-mayat mangsa tsunami masih banyak belum ditemui.

Malah beliau bersama-sama rakan pegawai perubatan yang lain turut memberi khidmat kesihatan kepada mangsa-mangsa tsunami di Aceh bersama bekalan ubat-ubatan yang dibawa bersama.

Allahyarham sentiasa bertanya khabar kepada kami ahli-ahli rombongan tentang kesihatan, maklumlah pada masa itu kami hanya minum air mineral dan makan mee segera dalam cawan kerana tidak bersedia untuk makan di kedai-kedai makan yang tidak terjamin mutu makanannya kerana masalah air, kuman dan sebagainya.

PENTINGKAN PENDIDIKAN...Dr A Rahman bersama pelajar sekolah di Pulau Perhentian.
Kami bermalam di khemah di lapangan terbang di Banda Acheh setelah menaiki kenderaan yang dikenali Kijang dari kota Medan memakan masa selama hampir sehari setengah.

SEORANG YANG PRIHATIN...
rakyat di Kuala Besut sentiasa dibela
tidak kira golongan.
Penulis tidak menyangka akhirnya pada tahun 2008 dalam pilihanya raya umum ke 12, beliau terpilih menjadi calon BN dan menang bagi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, seterusnya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi portfolio Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

Beliau memperolehi majoriti yang besar 2,631. Sewaktu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan Exco Kerajaan, penulis tidak pernah mendengar runggutan dari pihak media tentang beliau, bermakna Allahyarham adalah seorang yang berkemampuan dalam urusan komunikasi dan perhubungan media.

Beliau juga seorang yang taat kepada pemimpin baik di peringkat negeri dan Parlimen dan disenangi oleh semua pihak.

Beliau yang dilahirkan pada 28 Mac 1958 di Kg. Pulau Perhentian, memiliki ijazah kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah lanjutan Master of Public Health dari Manila.

SELESAI MASALAH RAKYAT....tanpa menghiraukan kesihatan, Allayarham  tetap meneyelesaiakan masalah rakyat.
Mengimbau zaman kanak-kanak yang sederhana hidupnya tetapi tetap bermakna bagi seorang anak nelayan di Pulau Perhentian kerana berjaya ke tahap demikian dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan walaupun dalam segala kemunduran dan kesukaran kehidupan sebagai anak pulau.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Besut, dan seterusnya menyambung ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kuala Besut, mempunyai hasrat untuk memberi khidmat kepada penduduk tempatan, di mana beliau berasal.

Beliau merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan dapat meneruskan pengajian ke peringkat Matrikulasi di Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur dan juga Matrikulasi UKM, Sek. Men. Sultan Abd. Halim, Jitra, Kedah.


Minat beliau dalam bidang perubatan mendorong beliau menyambung pengajian di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur. Lantaran keinginan beliau untuk berkhidmat kepada penduduk tempatan, Allahyarham telah membuka klinik swasta di Kuala Besut.

Sebagai doktor yang baik hati dan tahu membalas budi, beliau sentiasa mengenakan bayaran yang murah kepada pelanggan terutamanya golongan nelayan kerana mengetahui betapa susahnya kehidupan nelayan untuk mendapat wang, malah kadang-kadang diberikan perkhidmatan kesihatan percuma sahaja.

Justeru itu, orang kampung Kuala Besut dan Pulau Perhentian amat menyayangi beliau.

Sehinggalah akhirnya terpilih sebagai wakil rakyat. Pada pilihan raya umum ke 13 baru lalu, beliau telah menang dengan majoriti yang besar juga iaitu 2,434 menewaskan calon Pas.

Penulis masih ingat pada sidang Dewan Undangan Negeri pertama bagi penggal 13 pada 18 Jun baru-baru ini, beliau mewakili kerajaan tersilap turutan dalam mengemukakan jawapan dalam keadaan suara yang amat parau, rupa-rupanya itulah kenangan terakhir ahli-ahli dewan, para pegawai dan para pemerhati bersamanya.

Walaupun dalam keadaan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan dan suara yang hampir tidak keluar tetapi demi tanggungjawab kepada kerajaan dan rakyat, beliau memaksa diri untuk hadir juga ke persidangan itu secara penuh.

Dalam penggal kedua sebagai Exco Kerajaan baru lalu, beliau diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu tambahan urusan kebajikan rakyat dan hal ehwal wanita diletakkan di bawah portfolio Allahyarham.

Hari ini marilah sama-sama kita mengiringi perjalanan terakhir beliau dengan sedekahkah surah Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat Illahi.