Halaman

24 June 2013

PARA PENIAGA PASAR KEDAI PAYANG JANGAN PERCAYAKAN DAKYAH PEMBANGKANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menasihatkan para peniaga di pasar Kedai Payang tidak terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang yang menggambarkan seolah-olah mereka akan terpinggir bila pasar baru itu dibina nanti.

“Bukankah kerajaan telah memberi jaminan bahawa para peniaga di situ termasuk yang berniaga ikan dan sayur boleh meneruskan perniagaan mereka dengan lebih selesa dan bersih,” katanya sewaktu menjadi tetamu Radio Terengganu (Terengganu FM), semalam.

 “Saya sendiri telah menemui Persatuan Penjaja dan menjelaskan perkara itu dan permintaan mereka untuk memastikan pasar basah tetap boleh berroperasi di situ pun saya telah persetujui,” jelasnya.

Peniaga boleh meneruskan perniagaan mereka dengan lebih selesa dan bersih apabila pasar baru dibina nanti.
Oleh kerana itulah, saya telah memaklumkan kepada pihak pemaju untuk mengubahsuai semua pelan bangunan pasar itu bagi memenuhi permintaan peniaga ikan dan sayur di pasar itu.

Katanya, tanah seluas kira-kira hanya 4 ekar di situ telah kita berikan kepada pemaju untuk membangunkan hotel bertaraf lima bintang (500 bilik) di dalam bandar serta apartment dan pembinaan pasar baru Kedai Payang yang lebih sempurna, termasuk 400 lot parkir, lot kedai yang lebih luas, ciri-ciri keselamatan yang terb aik untuk kedai emas khususnya, kebersihan dan pengasingan pasar basah dengan kedai barangan kain, songket, tembaga dan lain-lain agar tidak mengeluarkan bau yang mencemarkan.

Jadi katanya, kerajaan dapat menjimatkan wang dengan memajukan secara berkenaan dan adalah tidak benar dan suatu fitnah yang mengatakankerajaan negeri mengeluarkan kontrak bernilai RM400 juta dikeluarkan untuk kontraktor luar Terengganu membangunkan pasar itu.

Malahan, katanya lot kedai yang lebih banyak diwujudkan, berhawa dingin dan tangga bergerak akan menaikkan lagi taraf Pasar Kedai Payang sesuai dengan masa dan zaman ini.

“Saya mendapat sunggutan dari pelancong dan pelanggan di pasar berkenaan yang rimas dan panas waktu membeli belah, berpeluh-peluh dan amat tidak selesa, jadi sebagai pihak kerajaan semua perkara itu perlu diberi perhatian, “ katanya.

Beliau menyatakan, sewa yang dikenakan tidaklah membebankan para peniaga walaupun disediakan hawa dingin dan keselesaan.

Penulis difahamkan, pembangkang sering menakut-nakutkan peniaga kononnya sewanya beribu-ribu bila berhawa dingin menyebabkan peniaga bimbang dan cemas.

Pembangkang juga menakut-nakutkan kononnya peniaga yang sedia ada tidak berpeluang lagi berniaga membuatkan peniaga yang sedia ada terlalu bimbang kehilangan tempat berniaga di situ.

Menteri Besar berkata, pihaknya akan mempastikan tiap peniaga dapat satu lot perniagaan sahaja dan tidak boleh bertindak menjual harta milik kerajaan itu atau disewakan pula kepada orang lain dan sebagainya yang banyak berlaku.

Katanya, pembinaan akan dibuat secepat mungkin dan sebuah pasar sementara untuk penempatan menunggu pasar baru siap akan dibina oleh pemaju di Pulau Warisan, tidak jauh dari tempat itu.

Mengenai tuduhan bahawa, pembinaan pasar baru itu akan menghapuskan warisan, Dato’ Seri Ahmad menjelaskan pasar itu dibina tahun 1967, asal pasar Kedai Payang ialah di Kampung Tanjung sebenarnya.

Jadi tidak timbul soal warisan kerana perpindahan dan pembinaan semula pasar dari Kampung Tanjung ke situ pun merupakan suatu transformasi di zaman dahulu dan selepas itu pada tahun 1983 pun pasar itu dibina semula bangunannya.

“Pasar itu telah melalui berbagai proses perpindahan dan pembinaan semula beberapa kali, jadi mengapa sekarang bila kita bina semula ini baru hendak dibangkitkan soal warisan sedangkan terdahulu perkara yang sama dilakukan juga,” tegasnya.

Bahkan beliau berjanji pasar itu akan dibina mengikut senibina warisan , bahkan akan dimasukkan juga ‘Jam Besar’ sebagai sebahagian pasar berkenaan sebagaimana tahun 1967 dan disambungkan melalui jejambat ke pasar Bazar Warisan di kaki Bukit Puteri.