Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT) bersama Kelab Paramotor Walis mengadakan Pertunjukan Antarabangsa Terengganu 2013 di Kawasan Tambakan Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala Terengganu bermula hari ini sehingga 30 Jun.
Setiausaha Kehormat MPNT, T. Ahmad Shabirin Awalludin berkata, seramai 25 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian pada acara kali ini.
"Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee akan menyempurnakan majlis pelancaran pertunjukan ini pada 29 Jun di lokasi yang sama pada sebelah petang.
"Selain memperkenalkan sukan paramotor sebagai salah satu aktiviti sukan lasak dan sukan pelancongan di negeri ini, tujuan pertunjukan ini diadakan adalah untuk menjadikan Seberang Takir sebagai hub penerbangan paramotor yang mampu menerima penerbang dari dalam dan juga luar negara,” ujarnya.
Katanya, pihak penggiat dalam aktiviti sukan paramotor telah mengenalpasti lokasi di Hujung Tanjung Seberang Takir sebagai salah satu kawasan yang paling strategik di Malaysia untuk menjalankan aktiviti tersebut.
"Mereka bercadang untuk memindahkan destinasi penerbangan yang diadakan di Jurga, Selangor sebelum ini ke Terengganu memandangkan kawasan Seberang Takir dari struktur geografi dan pengurusan logistiknya adalah yang terbaik,” ujarnya.