Halaman

24 June 2013

AHMAD SAID CABAR PEMBANGKANG BUKTIKAN DI MANA KERTAS UNDI DIKIRA DALAM GELAP ATAU ‘BLACKOUT’

"Pembangkang tolong buktikan di mana kejadian 'blackout'
terjadi semasa pengiraan undi dijalankan semasa

PRU13." - Dato Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar pihak pembangkang membuktikan di mana kejadian ‘blackout’ semasa pengiraan undi dijalankan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyifatkan pembangkang berbohong untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem pilihan raya di negara ini dan cuba memberi gambaran yang buruk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan PRU.

Katanya, dakwaan pembangkang meleset sama sekali apabila mengatakan ‘blackout’ berlaku di Bentong sewaktu proses pengiraan undi dijalankan, apabila wakil rakyat DAP yang menang di kawasan itu sendiri menafikannya.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Ketari, Lee Chin Chen menafikan dakwaan berlaku gangguan elektrik di pusat penjumlahan undi Dewan Sultan Ahmad Shah. Bentong pada malam 5 Mei lalu.

Penafian itu sekaligus membuktikan dakwaan berkenaan yang dilemparkan tidak berasas sama sekali dan dipercayai mahu menghasut rakyat kononnya berlaku penipuan dalam PRU13.

YB DAP itu menang setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wong Choo Yak dengan majoriti 4,243 undi.

Beliau juga melahirkan rasa pelik mengapa dakwaan disebarkan melalui media sosial kononnya berlaku ‘blackout’.

Oleh itu, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta rakyat supaya tidak percaya kepada dakyah dan berita palsu yang dibawa oleh pihak tertentu untuk menimbulkan isu kononnya BN menang kerana ‘blackout’ sedangkan hakikatnya rakyat majoriti di kawasan-kawasan pilihan raya masih yakin kepada BN untuk memerintah.

Beliau berkata tindakan mengadakan perhimpunan Blackout 505 adalah merugikan negara dan mengancam kestabilan negara dan harap rakyat tidak mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan perbuatan hendak memusnahkan negara melalui kekacauan.