Halaman

01 July 2013

Pertima bekal kuah sate menjelang Ramadan

Oleh; Esah Abdullah.

Pertima Terengganu Sdn Bhd (Pertima) akan mengeluarkan 10,000 tin kuah sate dalam tin sebagai memenuhi permintaan orang ramai menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Eksekutif Pamasarannya, Encik Azrul Alias berkata, produk kuah sate dalam tin tersebut telah mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat permintaan setiap kali menjelang bulan Ramadan.

“Permintaan terhadap kuah sate bertambah setiap kali menjelang Ramadan dan seterusnya untuk persediaan Aidilfitri oleh itu jumlah pengeluaran akan bertambah sekali ganda bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Menurutnya, produk berkenaan boleh didapati di semua pasar raya di negeri ini dan juga di luar Terengganu dan jika ingin mendapatkan bekalan yang banyak boleh datang terus ke kilang di Kawasan Perindustrian Chendering.

Katanya, proses penyediaan kuah sate ini sangat mudah iaitu hanya panaskan sahaja kuah tersebut sebelum dihidangkan dan rasanya sudah tentu enak sepertimana rasa kuah sate yang baru dimasak.

Menurutnya, Pertima adalah peneraju pengeluar makanan dalam tin di Terengganu sejak ditubuhkan pada 1972 dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti ikan dalam kuah tomato (sardin) dalam pelbagai saiz, kari ayam, sambal bilis, seri kaya.

“Kami juga bakal mengeluarkan dua lagi produk baru, iaitu Sapuan Sardin dan juga sambal nasi lemak. Ia sedang dalam proses untuk dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.
 

Barisan Nasional (BN) diminta meletakkan calon golongan agama

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta meletakkan calon berlatar belakangkan agama bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Kuala Besut yang bakal diadakan pada Ramadan ini.

Cadangan itu bagi mengimbangi kedudukan kerusi BN di DUN Terengganu yang sekarang dikatakan tidak mempunyai ADUN daripada golongan agama.

Malah, peluang untuk menurunkan calon golongan agama dianggap peluang terbaik bagi BN pada PRK ini  kerana pembangkang juga dikatakan akan mempertaruhkan calon dari golongan agama untuk menentang BN.

Pengerusi Veteran UMNO Besut, Abd Aziz Hadi berkata, meskipun golongan profesional lain layak dipertimbangkan untuk merebut kerusi berkenaan tetapi golongan agama amat penting bagi memberi kekuatan kepada perjuangan Umno di Terengganu.

Katanya, UMNO Bahagian Besut mempunyai ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu mempertahankan kerusi berkenaan.

PRK Dun Kuala Besut, bakal diadakan pada bulan puasa berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia Selasa lalu akibat kanser paru-paru.

Bagaimanapun,katanya, terpulanglah kepada kebijaksanaan pemimpin parti untuk menentukn siapa calon paling layak untuk disenaraikan bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, UMNO Bahagian Besut sudah menggerakkan jenteranya untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dikuasai pembangkang.

Ketuanya,Dato' Seri Idris Jusoh bersama pemimpin lain sudah turun padang dan mendekati pengundi bagi mempastikan mereka terus menyokong perjuangan Umno bagi seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Walaupun DUN Kuala Besut dianggap kubu kuat BN tetapi jentera parti perlu digerakkan supaya sentiasa bersedia dan bergerak mulai sekarang,” katanya.

PRK:BN DIRAMAL MENANG LEBIH BESAR MAJORITI DI DUN KUALA BESUT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Bekas calon BN yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut tahun 1979, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti yang lebih besar dalam PRK kali ini.
  Ini katanya berdasarkan bahawa dalam pilihan raya umum lalu BN telah menang dengan majoriti besar dengan pengundi yang sama mengundi BN.
  Malah beliau berkata, kemungkinan mereka tidak mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu akan beralih arah mengundi BN semula kerana melihat situasi pembangkang yang bercelaru pada masa ini.
   Ditanya sama ada beliau bercita-cita untuk menjadi calon lagi jika dipilih, beliau menengaskan akan memberi sokongan kepada mana-mana calon baru yang muda dan lebih berkaliber.
  Semalam pihak media sebaik selepas taklimat kepada jentera BN di Besut bersama Ketua Penerangan Umno Malaysia , Dato’ Ahmad Haji Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan Malaysia telah dimaklumkan bahawa calon BN adalah yang terbaik dari anak tempatan .
   Sementara Pas masih lagi mencari calon yang sesuai dan menghadapi tekanan berikutan pakatannya Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menawarkan calonnnya, seorang jurutera untuk bertanding mewakili pakatan (PR).


Sukna mampu promosi TMT 2013

Oleh: Suriati Ali

 Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah Sukan Nasional (SUKNA) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JBPD) Semenanjung Malaysia bertepatan berikutan mampu mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 kepada pihak luar.



 Penglibatan 700 warga JBPD membabitkan tujuh kontinjen pelbagai negeri sempena Sukna yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bukan saja mampu melahirkan penjawat awam yang sihat malah dapat berkongsi pengalaman berkaitan keindahan pelbagai negeri.

 Ketua Pengarah JBPD Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir berkata pihaknya berasa bangga kerana Terengganu dapat menjayakan SUKNA dengan cemerlang.


 “Dia tidak akan mensia-siakan kedatangannya bersama ratusan kakitangan lain ke Terengganu dengan meninjau beberapa destinasi menarik yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika berucapa pada Majlis Penutup Sukna, malam tadi.

 Selain warga JPBD dari seluruh semenanjung termasuk Sabah, Urusetia Pusat Setempat (OSC) Pihak Berkuasa Tempatann dan ahli Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) juga menyertai SUKNA kali ini



 Pada kejohanan itu, Kontinjen Zon Tengah sekali lagi merangkul gelaran juara keseluruhan berturut-turut sejak dijalankan. Kejuaraan kali ke-16 itu adalah bukti kerjasama dan komitmen kontinjen berkenaan dalam melaksanakan latihan disamping menjadikan sukan sebagai aktiviti utama selepas tamat bekerja.

Ketua kontingen Zon Tengah, Rokibah Abdul Latif berkata kontinjen berkenaan sudah membuat persiapan lima bulan lebih awal sebelum menyertai SUKNA. "Selain mengadakan latihan tiga kali seminggu, kontinjen kami juga kerap mengadakan perlawanan sukan membabitkan setiap bahagian daripada JBPD Ibu Pejabat dan Selangor.

 "Malah kami juga kerap mengadakan perlawanan sukan persahabatan antara dua jabatan ini. Melaluinya, kami dapat memilih pemain yang berbakat dan dibawa bertanding ke SUKNA,"katanya.

enangan berturut-turut sejak SUKNA dijalankan. "Sukan adalah aktiviti riadah yang dilakukan pada waktu petang oleh kakitangan kami. "Namun, lima bulan sebelum bertanding, latihan sukan akan dijalankan lebih serius setiap jam 4.00 petang,"katanya

 




Burung bugdie beri pulangan lumayan

Oleh; Esah Abdullah 

Banyak perkara yang boleh mengisi masa lapang sekali gus membawa pulangan lumayan asalkan ia diusaha secara bersungguh seperti apa yang dilakukan oleh seorang penjawat awam Encik Wan Ahmad Azuan Wan Sulaiman, 46.

Beliau yang memang meminati burung itu kini memiliki 80 ekor burung bugdie dan cockatiel yang dipelihanya sejak 2007.

“Sebelum ini saya memelihara dan menjual burung merpati, tetapi apabila melihat pasaran burung itu agak merundum menyebabkan saya beralih kepada burung bugdie dan cockatiel,” katanya ketika ditemui dalam Program Terengganu Pets Day di Perkarangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) baru-baru ini. .

Katanya, selain dijadikan sebagai hobi mengisi masa lapang dan menenangkan fikiran selepas penat bekerja, ia juga sebagai sumber pendapatan sampingan sejak 2004.

Menurutnya, memelihara burung tidak memerlukan penjagaan rapi sehingga perlu memandikannya setiap hari, cukup sekadar menyemburkan sedikit air sahaja dan burung-burung ini juga tidak memerlukan ruang yang banyak hanya perlu menyediakan sangkar yang bersesuaian sahaja.

Katanya, perniagaan yang dijalankan secara atas talian bermula pada 2010 kini juga telah mempunyai pelanggan tetap serta mampu menjana pendapatan RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Presiden Persatuan Pemilik Budgie dan Cockatiel Terengganu itu berkata, burung-burung tersebut sebelum ini adalah burung import kemudian dibiakkan sendiri untuk kos yang lebih minimum dan seekor burung tersebut dijual bermula RM200 hingga ke atas.

 

Perkaya bakal tubuh PEC

Oleh: Noraini Jusoh

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) cawangan Kuala Terengganu komited dalam membantu anak yatim negeri ini celik al-Quran.

Pengerusi Perkaya cawangan Kuala Terengganu, Haji Yusof Abd. Karim berkata, selain Taman Pra Tahfiz Perkaya yang terletak di Kampung Beladau Kolam, sebuah lagi pusat pembelajaran ilmu al-Quran dijangka akan di bina di Teluk Pasu.

"Setakat ini, ia masih dalam perancangan tetapi sekiranya tiada sebarang halangan, kerja-kerja asas pembinaan bangunan Perkaya Excellent Center (PEC) akan dilaksanakan tahun hadapan.

"Program ini diharap mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri serta Perkaya sendiri dan kos pembinaan PEC dijangka dalam lingkungan RM500,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu 2013, di Kompleks Seri Iman, baru-baru ini.

Katanya, apabila siapnya pusat ini nanti, anak-anak yatim akan dikumpul pada hari Jumaat dan Sabtu di pusat berkenaan untuk belajar al-Quran.

"Ia berkonsepkan seperti pusat tuisyen di mana memerlukan ibu atau penjaga sendiri menghantar anak-anak yatim ini ke PEC.

"Walau bagaimanapun, pihak kami juga akan menyediakan pengangkutan bagi mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang berada di sana dari pagi sampai petang, makan minum akan disediakan untuk anak-anak yatim tersebut.

Katanya, program ini merupakan projek terbaru dalam perancangan Perkaya cawangan Kuala Terengganu.

"Saya mengharapkan cawangan-cawangan lain akan sama-sama berusaha menubuhkan PEC di setiap daerah supaya anak-anak yatim negeri ini mempunyai tempat yang selesa untuk belajar al-Quran,” ujarnya.

 

Pas, pakatan pembangkang bersandiwara lagi?

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Ramai yang terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali, yang tiba-tiba membuat kenyataan parti itu akan meneliti cadangan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Bagaimanapun, bagi mereka yang telah masak dengan mainan politik parti-parti pembangkang hanya mampu tersenyum apabila membaca kenyataan tersebut seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Sudah banyak kali rakyat negara ini ditipu dengan mainan dan sandiwara politik Pas dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mengikut kenyataan itu, pemimpin Pas yang pernah dikaitkan dengan video lucah yang disebarkan sewaktu kempen Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu, menyatakan pihaknya akan meneliti cadangan Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng, yang sebelum ini mencadangkan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala besut berikutan isu dakwa kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mustafa berkata, apa-apa keputusan mengenai perkara itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat Maljis Presiden Pakatan Pembangkang.

Pemerhati politik berpendapat jika Pas mahu memboikot PRK kali ini, amat baik sekali terutama jika ia diadakan pada bulan puasa.

 Jika Pas meletakkan calonnya untuk bertanding, sudah pasti kesucian bulan Ramadan akan tercemar dengan fitnah dan maki hamun terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti yang berlaku dalam kempen-kempen pilihan raya pembangkang sebelum ini.

Lebih baik pemimpin Pas mengimrahkan masjid-masjid dan surau di seluruh Terengganu daripada mereka berada di pentas ceramah untuk membuat fitnah dan memaki hamun pemimpin BN.

Dari segi sudut lain, SPR juga boleh menjimatkan wang rakyat kerana tidak perlu mengadakan PRK bagi memilih wakil rakyat baru. Jika dikaji keputusan PRU13 yang memberi kelebihan majoriti 2,434 undi kepada calon BN,

Alahyarham Dr A Rahman Mokhtar, Pas atau parti pembangkang lain tidak perlu lagi bertanding kerana penduduk tempatan secara jelas menunjukkan bahawa mereka mahukan BN mewakili DUN berkenaan.

Jika pembangkang betul-betul ‘gentleman’, mereka pasti akan malu untuk menawarkan diri bertanding lagi di kawasan itu kerana PRU13 masih baru lagi dan sokongan rakyat terhadap BN tidak akan berubah!

Pesta pantai dapat sambutan orang ramai

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri berusaha mengembalikan kehebatan acara Pesta Pantai Terengganu pada zaman 70-an untuk diselami penduduk masa kini dengan memperkenalkan konsep `melestarikan budaya silam sebagai produk pelancongan’.

 Pada awal 70-an hingga akhir 70-an lalu, sebaik pesawah selesai membanting tulang di sawah, mereka akan berkumpul dan berehat di pondok-pondok yang dibina di tepi pantai bagi menikmati panorama indah sambil berhibur dengan permainan tradisi.

 Selari dengan peredaran masa, aktiviti seumpama itu dihidupkan semula selepas sekian lama menyepi dengan memperkenalkan kesenian dari seluruh daerah untuk ditatapi penduduk seluruh Terengganu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Dato’ Mohd Jidin Shafie, berkata program itu menjadi satu produk pelancongan negeri yang mampu menggamit kehadiran pelancongan tempatan dan luar negara.

“Pada masa sama menjadi tulang belakang ekonomi, sumber pendapatan kepada Terengganu, selain menambah sumber pendapatan enduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Majis Perasmian Pesta Pantai, di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Pesta Pantai selama empat hari mulai Khamis lepas itu dipenuhi pelbagai acara kesenian, tradisi dan warisan seperti permainan sukan rakyat, kraftangan, makanan tradisional dan persembahan kebudayaan Terengganu.

Ia bukan sahaja dapat mempromosikan lagi pantai peranginan berkenaan, malah turut mendapat sambutan baik masyarakat setempat. Pemilihan pantai peranginan cukup sinonim dengan produk Ikan Celup Tepung (ICT) itu juga dilihat turut membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat di samping berpeluang menonjolkan keunikan yang terdapat di situ.

 Malah, konsep penduduk tinggal di dalam rumah sementara yang dibina menggunakan daun nipah juga memberi keunikan tersendiri serta memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai aktiviti menjadi warisan sejak sekian lama itu.

 Dato’ Mihd Jidin, berkata program mempunyai lambang dan identiti tersendiri itu perlu diteruskan pada masa akan datang. “Pesta Pantai akan dijadikan acara tahunan kalendar pelancongan Terengganu sebagai tarikan baharu untuk pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke negeri ini.

 “Langkah itu juga adalah untuk menghidupkan semula tradisi 'pesta main pantai' yang sinonim dengan masyarakat negeri ini suatu ketika dahulu,” katanya.

 

30 June 2013

CALON PRK KUALA BESUT 1979 DATO’ WAN ZAKARIA SETUJU PILIHAN RAYA DI BULAN PUASA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bekas calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, pada tahun 1979, Dato’ Wan Zakaria Abdul Rahman memberitahu tiada masalah kalau sekiranya PRK diadakan pada bulan puasa.
   Katanya, beliau adalah calon BN dalam PRK yang diadakan di bulan puasa pada tahun tersebut menentang calon Pas dan kemenangan berpihak kepadanya yang pada waktu itu merupakan pegawai tadbir negeri Terengganu yang meletak jawatan untuk bertanding.
   “Molek juga di bulan puasa, bulan yang mulia yang kebanyakkannya kita orang-orang Islam lebih mengutamakan akhlak dan larangan-larangan agama semasa kempen berjalan,” ujarnya kepada penulis.
   Dato’Haji Wan  Zakaria selepas memenangi PRK di Dun berkenaan dilantik pula sebagai Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad).
   Pada tahun 1982 dalam Pilihan Raya Umum beliau sekali lagi dipilih bertanding dan menang serta dilantik sebagai Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah hampir lima penggal bertahan.
   Oleh itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Besut mengalu-alukan jika sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mengulangi sejarah 34 tahun lalu mengadakan PRK di Dun itu pada bulan puasa.
    Beliau menyifatkan Dun Kuala Besut adalah kubu kuat BN yang sukar ditembusi Pas dan begitu yakin BN akan menang cemerlang dan berharap boleh mencapai majoriti lebih 3,000 berbanding 2,434 pada pilihan raya umum baru lalu.
  Walau bagaimana pun beliau berharap jentera BN terus bekerja kuat sekalipun Dun Kuala Besut adalah kubu BN .
  "Saya sendiri akan turun berkempen dengan sedaya upaya saya untuk kemenangan besar BN dalam PRK kali ini," katanya.
 

ANWAR DIMINTA BERSUMPAH DULU SEBELUM CERAMAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang merupakan anak jati Kuala Besut, Haji Nasir Salleh menyeru semua penduduk Kuala Besut sama ada penyokong UMNO dan PAS meminta Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan Al Quran di Masjid Kuala Besut yang dia tidak terlibat dengan perbuatan terkutuk (liwat dan seumpamanya) sebelum datang berceramah dalam Pilihan Raya Kecil nanti.

 “Jika dia bersumpah baru benarkan dia bercerama, .jika tidak berbuat demikian terlebih dahulu jangan datang berceramah di Kuala Besut kerana Kuala Besut bukan tempat untuk orang sepertinya,” katanya.

“Saya rasa Anwar akan bersumpah dengan Al Quran yang dia tak buat..Kalau orang PKR dan PAS benar perjuangkan kebenaran..inilah masanya..Tak soh kecek banyak..buang masa saja,” katanya. Jangan jadikan Kuala Besut sebagai medan untuk menfitnah kerajaan,” katanya.

Di pihak pembangkang satu hujah pun tidak menyatakan apakah rancangan yang hendak dilakukan di Kuala Besut bagi memastikan Kuala Besut lebih maju dan pendapatan rakyat bertambah, jurang kemiskinan di kurangkan dan anak anak muda Kuala Besut mendapat pekerjaan yang lebih selesa, capaian pendidikan yang lebih cemerlang, tidak sebagaimana di pihak kerajaan yang sentiasa berusaha ke arah itu.

“Kalau menyatakan rancangan di atas dan tidak maki hamun dan memburuk-burukkan pemerintah Islam ia kelihatan lebih mulia. Jangan cemarkan Kuala Besut dengan fitnah dan cerca nista kepada kerajaan,” katanya melalui tulisannya di media sosial.