Abd Rashid Jusoh
Oleh: Mohammad Ishak
Kesemua 36 Ketua Cawangan UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, sepakat menyokong siapa sahaja nama calon yang bakal dipilih pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 24 Julai ini.
Pemimpin terbabit menzahirkan sokongan kepada Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya berkenaan.
Menurut mereka, siapa sahaja calon yang dipilih bertanding ia akan disokong bagi mempastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal di DUN Kuala Besut.
“Yang pasti semua jentera parti akan bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi dalam PRK yang dianggap penting itu,” kata mereka ketika menghadiri majlis perjumpaan dengan Idris di Pejabat Penyelaras DUN semalam.
PRK Kuala Besut akan diadakan pada 24 Julai manakala hari penamaan calon 12 Julai.
Seramai 17,683 jumlah pemilih berdaftar layak mengundi di PRK itu yang pertama diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei lalu.
Ketua Cawangan Umno Kampung Lay Out Tok Saboh, Abdul Rashid Jusoh berkata,pemimpin peringkat akar umbi tidak menghadapi masalah untuk menyokong mana-mana calon yang diletakkan bertanding pada PRK itu.
Katanya, kami sudah berikhrar untuk bersatu dan mem beri sokongan kepada calon dan walau apa keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Yang penting BN akan terus kekal di DUN itu bagi meneruskan agenda parti dan kerajaan untuk membangunkan kawasan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut.
Ketua Cawangan Umno , Alur Teratai, Ariffin Sulong berkata, PRK itu penting bagi kesinambungan pembangunan di perkampungan nelayan Kuala Besut diteruskan oleh kerajaan BN.
Oleh itu,katanya, tidak ada sebab pengundi menolak mana-mana calon BN yang diletakkan bertanding kerana sesiapa sahaja calon adalah mewakili BN.
Sementara itu, Idris yang juga Menteri Pendidikan II berkata, nama calon yang akan bertanding di kawasan itu akan diumumkan jam 2.30 petang ini di Dataran Kuala Besut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK terbabit. .