Halaman

21 July 2013

DUA PERKARA BESAR PERJUANGAN TENGKU ZAIHAN SEWAKTU MENJADI JURUTERA JPS MENCAPAI KEJAYAAN


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 Apabila Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin mengumumkan kerajaan pusat bersetuju membina Empangan Baru, Lowvier untuk membolehkan sumber air kepada para petani Kg Pengkalan Nangka, Kuala Besut dan sekitarnya, beerti ia merealisasikan cita-cita dan perjuangan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sewaktu menjadi Jurutera JPS Daerah Besut selama kira-kira 4 tahun.
  Projek Empangan di Pengkalan Nangka, yang merupakan sumber air utama kepada 900 hektar kawasan padi itu, dijangka berkeupayaan meningkatkan pengeluaran padi daripada 4 metrik tan kepada 5.5 metrik tan melalui penanaman padi dua kali setahun.
 Ia akan memberi faedah kepada pengusaha-pengusaha penanaman padi di Tok Saboh, Kg Nangka, Kg Bharu dan Gong Manok di dalam Dun Kuala Besut.
   Tan Sri Muhyiddin ketika berucap pada program himpunan warga nelayan dan peladang di Dataran Kuala Besut di sini sebentar tadi (20 Julai, jam 3 petang) berkata pembelaan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu adalah satu ibadah.
  "Segala yang dilakukan ini adalah digalakkan untuk kita dan ia tidak bercanggah dengan agama kita," katanya. Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman bekas Jurutera JPS Daerah Besut telah berjuang untuk projek itu,kini perjuangannya mula menjadi kenyataan.
 Begitu juga perjuangannya untuk muara sungai baru di Kuala Besut yang menelan belanja RM250 juta juga telah menjadi kenyataan berikutan persetujuan Perdana Menteri meluluskan projek untuk faedah nelayan itu.  Tengku Zaihan sewaktu menjadi Jurutera Daerah Besut telah bersama membuat kajian dan cadangan pembinaan kuala baru dan benteng pemecah ombak itu. Tengku Zaihan berkata, beliau amat bersyukur dan berterima kasih di atas kelulusan kedua-dua projek tersebut oleh kerajaan BN
.

20 July 2013

Isteri Timbalan Perdana Menteri melawat balu Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar


Noraini (dua dari kiri) ketika berkunjung ke rumah Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana hiba menyelubungi kediaman Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar apabila isteri Timbalan Perdana Menteri,Puan Sri Noraini Abd Rahman menziarah balunya, Azizah M Omar,53, di Kuala Besut, hari ini.

Kunjungan hormat Noraini yang ditemani isteri Menteri Pendidikan II, Toh Puan Sri Che Kamariah Zakaria, yang tiba kira-kira jam 4.30 petang.

Sempena kunjungan isteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, majlis baca yassin dan doa selamat turut diadakan di kediaman Allahyarham.

Kira-kira 50 ahli Wanita UMNO Bahagian Besut yang menghadiri majlis itu menyertai majlis bacaan yassin. Kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri itu sedikit sebanyak mengubati perasaan hiba Azizah yang kehilangan suaminya Dr A Rahman yang meninggal dunia 26 Jun lalu di Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ), Kuala Terengganu akibat komplikasi paru-paru.

Dr A Rahman ADUN Kuala Besut yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, meninggalkan seorang balu dan empat anak tiga lelaki dan seorang perempuan. Balu Allahyarham,

Azizah atau lebih dikenali dengan panggilan “Kat Zah” tetap tabah dan bersemangat ketika dikunjungi rombongan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri turut melawat keluarga Allahyarham.


Pemberian Kerajaan BN satu ibadah

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Setiap pemberian yang dihulurkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di negara ini merupakan ibadah dan selaras dengan tuntutan agama agar membantu golongan susah dan yang memerlukan pertolongan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.



Beliau menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, BN perlu membantu rakyat tanpa mengira masa kerana ia menjadi tanggungjawab BN membantu mereka, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Jika ada pihak yang mengatakan sia-sia saja kita (BN) beri bantuan kepada rakyat, itu sudah lari dari hakikat yang sebenar.

“Memberi bantuan kepada rakyat ini merupakan satu ibadah, tanggungjawab dan ia memang dituntut oleh agama,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Warga Nelayan Dan Peladang Kuala Besut Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.



Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN bagi PRK Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan Kerajaan Pusat menyampaikan bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, asalkan mereka daripada golongan susah dan memerlukan bantuan.

Katanya, kerajaan akan terus membela nasib rakyat di seluruh negara dengan memberi bantuan yang mampu meningkatkan ekonomi mereka. Beliau berharap penduduk di kawasan DUN Kuala Besut meneruskan sokongan kepada BN dengan mengundi Tengku Zaihan pada 24 Julai nanti.




Penduduk dapat pembangunan melimpah ruah jika pilih BN

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bakal menikmati pembangunan yang melimpah ruah jika mereka memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 24 Julai ini.



Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata ini kerana lebih banyak projek ekonomi akan dilaksanakan di pekan Kuala Besut selepas projek banteng pemecah ombak bernilai RM250 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kelmarin, siap dibina tidak lama lagi.

Beliau berkata, bila projek itu siap nanti penduduk lebih mudah ‘mencari makan’ kerana mereka senang ke luar ke laut sama ada menjalankan kegiatan menangkap ikan atau pelancongan.

“BIla jeti di sini menjadi dalam, lebih ramai pelancong akan datang ke Pulau Perhentian dan kegiatan berasaskan pelancongan akan meningkat.

“Selepas ini lebih banyak ruang perniagaan dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan, sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan Kuala Besut,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Warga Nelayan Dan Peladang Kuala Besut Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN bagi PRK Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Dato’ Seri Idris berkata, Tengku Zaihan terlibat secara langsung dalam merancang projek yang baru diluluskan Kerajaan Pusat itu dan sudah pasti beliau mampu menjadi pemantau projek berkenaan kerana mempunyai kepakaran.

“Lepas ini banyak lagi projek yang boleh Kerajaan BN laksanakan jika Tengku Zaihan dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” katanya.

 

HADIAH ISTIMEWA BUAT PENDUDUK KUALA BESUT:KUALA BARU RM250 JUTA DAN EMPANGAN ‘LOWVIER’ RM35 JUTA


Sesuatu yang amat bernilai dan bermakna buat penduduk Kuala Besut apabila dua projek besar untuk faedah rakyat diluluskan iaitu mendalamkan muara sungai Besut untuk kepentingan nelayan bernilai RM250 juta dan terbarunya Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani, khususnya penamam padi di Pengkalan Nangka dan sekitarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin mengumumkan projek terbaru Empangan Lowvier untuk kemudahan kira-kira 500 orang pengusaha padi di Kuala Besut.
  Ketika berucap di hadapan ribuan nelayan dan petani beliau berkata, kelulusan yang diberikan untuk projek ‘lowvier’ iatu adalah merupakan usaha untuk meningkatkan atau menambahbaikkan projek yang sedia ada yang sedang dijalankan untuk membantu pengairan bagi penanam padi di Kuala Besut, khususnya di Pengkalan Nangka dan sekitarnya.
  “Apabila saya sudah berada di Kuala Besut untuk mengggerakkan jentera pilihan raya di sini, saya dapat rasa denyut nadi rakyat, saya dapat dengar dari banyak pihak supaya, termasuk pimpinan Umno di sini, supaya Kuala Sungai Besut diperdalamkan dan diperkukuhkan benteng pemecah ombak kerana ia sering menjadi tohor, walau beberapa kali digali,” kata Tan Sri Muhyiddin.
  Katanya, berikutan dengan itu beliau telah membawa ke pengetahuan Perdana Menteri dan kerana sekian lama projek ini dinantikan oleh nelayan Kuala Besut, PM telah meluluskan RM250 juta kepada Terengganu untuk projek ini.
 Projek ini akan menjadikan pekan Kuala Besut lebih maju dan terkenal, pusat-pusat perniagaan baru dan lain-lain kegiatan ekonomi akan membawa peluang pekerjaan kepada penduduk, katanya di sambut dengan tepukan oleh kira-kira 3000 petani dan nelayan yang menghadiri perhimpunan ini di Dataran Kuala Besut petang ini 20 Julai. Laporan awal: Ruslan Rahman


PENANTIAN MENJADI REALITI

  Penantian ,Menjadi Realiti, penduduk Kuala Besut bakal menikmati kemajuan yang berganda, lapor Ruslan Rahman.
Menteri Pendidikan II, yang juga Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh menyifatkan 30 tahun penantian, penantian menjadi realiti berikutan Perdana Menteri meluluskan projek benteng pemecah ombak Kuala Besut.
  Berucap di Himpunan Warga Peladang dan Nelayan di Kuala Besut bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Besut petang ini, beliau berkata, nelayan sudah pasti bersyukur dan berterima kasih di atas hadiah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.
 Menurutnya, pemecah ombak yang akan dibina itu sepanjang 1 kilometer menghala ke Pengkalan Atau (utara) dan 1 kilometer ke Pantai Air Tawar (selatan) dan akan menjadi pemangkin ke arah Kuala Besut dan sekitarnya yang lebih maju, pertumbuhan ekonomi dan perniagaan serta kemajuan pelancongan yang pesat.  “Ia ada perjuangan Allahyarham Dr.A.Rahman Mokhtar yang kini menjadi realiti, ia akan menjadi legasi perjuangan Allahyarham”, kata Dato’ Seri Idris.
  Menurut Idris, dulu seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran yang telah berfikir untuk berbakti kepada rakyat, membina konsep benteng ini, ia tidak lain ialah Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, calon N01, Kuala Besut dalam Pilihanraya Kecil.
  “Benteng dan Kuala Baru ini akan menjana ekonomi rakyat Kuala Besut, akan wujud tanah baru di kawasan ini dan akan wujud kedai-kedai baru, resort baru dan lain-lain.
 Di sini akan menjadi gerbang pelancongan antarabangsa, akan meningkatkan peluang pekerjaan dan insya Allah akan wujud di dalam peta dunia,” katanya di sambut dengan laungan Gelombang Biru, Kuala Besut Bertambah Biru.

19 July 2013

PENDUDUK PULAU GEMBIRA BERBUKA PUASA DENGAN MENTERI BESAR


Betapa gembiranya penduduk Pulau Perhentian malam tadi kerana dapat berbuka puasa bersama-sama dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.
 Dalam suasana indah pulau tersebut, mereka merasakan kehadiran pemimpin kesayangan mereka itu adalah kenangan yang amat berharga.
 Turut sama berbuka puasa dan bersolat terawih dengan penduduk Pulau Perhentian malam tadi, calon BN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan keluarga, termasuk ibubapanya.

ZAIHAN ANAK TEMPATAN KUALA BESUT

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Sapo (siapa) kata dio bukan anak tempatan. Saya kenal dio lama doh…dia meme (memang) ore (orang) sini,” kata Abdul Rahman Mohmad, 73, salah seorang penduduk Kampung Pengkalan Atap, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Katanya, dia dan seluruh penduduk kampung itu amat tersinggung apabila ada pihak yang membuat fitnah kononnya calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, bukan anak jati Kuala Besut.

 “Dio bukan saja anak jati Kuala Besut, tapi banyak doh dia tabor jasa di sini…Tu belum jadi wakil rakyat lagi,” katanya merujuk kepada tugas Zaihan sebagai Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab mengurus dan memantau projek benteng pantai bagi mencegah hakisan yang dilaksanakan di kampung itu tidak berapa lama dulu.

Beliau dan penduduk kampung itu sangat berharap agar Tengku Zaihan menang PRK pada 24 Julai ini dan seterusnya menjadi wakil rakyat mereka.

“Mudah berurusan dengan ore yang doh lama kita kenal. Kita jugok tahu dia buleh buat kerja,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas Tengku Zaihan mengunjungi rumahnya, semalam.

Katanya, bukan dia saja tetapi ramai penduduk di DUN Kuala Besut kesal dengan sikap pemimpin Pas yang suka membuat fitnah dan menyerang peribadi calon, termasuk pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Abdul Rahman berkata, pemimpin BN silih berganti, ada berhenti dan ada yang pergi terlebih dahulu mengadap Ilahi.

Katanya, setiap yang hilang boleh diganti dan penduduk kampung itu yakin bahawa pemimpin BN yang bakal datang, tetap dengan visi yang sama – membantu menyelesaikan masalah penduduk.

 “Apa pun kata ore Pas, kami doh sepakat nok beri undi kepada Tengku Zaihan pada PRK Kuala Besut kali ini,” katanya yang sudah membuat keputusan nekad dan tidak berbelah bagi lagi.


#prk kuala besut


 

18 July 2013

"KAKI KANAN SUAMI SAYA YANG PUTUS TIDAK DAPAT DISAMBUNG LAGI"

Laporan: Roslan Rahman dari Kubang Krian:
“Kaki kanan suami saya yang putus sudah tidak dapat diselamatkan lagi,” kata Norazwani binti Seme, isteri anggota polis yang kemalangan sewaktu menjalankan tugas di pilihanraya kecil Kuala Besut semalam.
 “Saya reda atas apa yang terjadi dan saya tidak tengok pun lagi bahagian kaki suami saya yang terputus itu,’ kata Norazwani sayu.
 Semalam seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu. Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.
  Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain. Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.
  Ketua Pergerakan Pemuda Besut, YB Mahadi Musa (Abe Adi) yang juga Adun Kota Putera bersama isteri telah melawat mangsa yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital USM Kubang Krian.  Dalam kunjungan itu, YB Mahadi bagi pihak pimpinan Umno Bahagian Besut menemui isteri mangsa Norazwani dan menyerahkan sedikit sumbangan tanda prihatin.
 Norazwani menceritakan  pada jam 2 petang, suaminya Ins Farid Hasni ada menghubunginya dan anak-anak melalui telefon .
 “Walaupun bertugas jauh, tetapi suami saya setiap hari menghubungi saya dan anak-anak setiap hari bertanya khabar,” katanya yang ditemani ibu dan ahli keluarganya.
 Anak-anak mereka kesemuanya perempuan, berusia 7, 5 dan 3 tahun.


UniSZA bakal jalin kerjasama dengan Universiti Thailand

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan tiga universiti terbaik di Thailand selaras dengan program pengantarabangsa UniSZA bagi memperkukuhkan kedudukan institut itu di arena antarabangsa.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti yang dicadangkan ialah Chulalongkorn Universiti yang merupakan universiti pertama terbaik di negara itu, Kasetstart Univesiti dan Thammasat Universiti.

Katanya, kerjasama itu dijangka akan membabitkan kepada proses kemasukan pelajar, pensyarah dan profesor pelawat antara universiti berkenaan.

 ``Adalah diharapkan kerjasama itu dapat dilakukan tidak lama lagi dan usaha-usaha ke arah itu sedang dilaksanakan,’’ katanya kepada pmberita selepas menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Kemanusian dan Sosial Sains (HUSO) Universiti Prince Of Songkla (PSU) Cawangan Pattani, Thailand di UniSZA petang semalam.

Delegasi seramai tujuh orang itu diketuai oleh Dekan HUSO Prof Madya Awang Lanui. Beliau berkata, pada masa ini UniSZA telah mengadakan kerjasama dengan PSU melalui bentuk kemasukan pelajar, pensyarah, profesor pelawat dan penyelidikan.

Selain di negara gajah putih, UniSZA juga telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia, Timur Tengah, Perancis dan China.

Sempena dengan kunjungan HUSO itu, Prof Dr. Yahaya turut dijemput untuk membentangkan kertas kerja sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahasa di Phuket Thailand, pada 16 dan 17 November depan.

Selain itu, UniSZA turut diberi peluang untuk membentangkan 18 daripada 129 kertas kerja yang membabitkan 25 buah negara yang akan menyertai persidangan tersebut.

 Menurut Yahaya, atas jemputan itu UniSZA akan turut menghantar seramai 40 pegawai dan kakitangan untuk menyertai persidangan anjuran HUSO itu.

Sebelum itu, delegasi HUSO universiti turut mengadakan perjumpaan dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan melawat Fakulti Kontemporari Islam serta mengadakan perbincangan dengan Fakuliti Pengajian Pengurusan dan Perniagaan (FPPP)