Halaman

22 July 2013

MB puas hati prestasi kerja jentera BN

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, puas hati dengan prestasi dan gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima segala kegiatan, termasuk kempen dari rumah ke rumah berjalan lancar dan mendapat respon yang baik daripada pengundi di DUN Kuala Besut.

“Pergerakan Wanita Umno melalui pasukan Jalinan Rakyat (JR) melaksanakan tugas berkempen dari rumah ke rumah pada setiap hari di mana hampir semua rumah di kawasan DUN ini telah dikunjungi,” katanya kepada Teganukita selepas mengunjungi beberapa rumah penduduk tempatan hari ini.

Katanya, baki tempoh kempen dua hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera BN bagi mendekati hati pengundi, seterusnya memberi undi kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman pada 24 Julai ini.

“Saya amat gembira kerana jentera parti berusaha gigih menyusun pelbagai strategi bagi memastikan calon BN menang pada PRK ini.



“Saya yakin dengan sokongan dan dokongan termasuk pemimpin Umno dan BN dari seluruh negara, BN akan menang pada pilihan raya 24 Julai nanti,” tambahnya.

Mengenai isu pembangunan yang dibawakan pemimpin Pas dalam kempen pilihan raya ini, beliau berkata ia memang tidak logik jika menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada penduduk tempatan.

“Ada pemimpin Pas janji nak bina rumah untuk rakyat jika mereka menang pilihan raya ini…mana ada logik janji tersebut kerana walaupun kedudukan kerusi DUN terikat 16-16, BN masih lagi kerajaan di peringkat Pusat.

“Walapun keadaan itu berlaku Pas tidak boleh sewenang-wenangnya melaksanakan apa juga projek di negeri ini kerana BN masih lagi memerintah negeri Terengganu dan negara Malaysia,” katanya.

Beliau berharap rakyat tidak menerima bulat-bulat sebarang perkhabaran yang dibawa oleh Pas dan konco-konconya kerana sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur fitnah dan fakta tidak betul.


 



PMPA sasar pelajar dari Eropah

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memperkenalkan Program Mobaliti Pelajar Antarabangsa (PMPA)mulai tahun depan.

 Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Prof. Dr Lua Pei Lin berkata, program PMPA ini mensasarkan pelajar-pelajar dari negara Eropah yang berminat mendalami budaya dan adat resam di negeri ini.

“Dua kursus ditawarkan bagi mereka yang ingin mengikuti program ini iaitu kursus persekitaran tropika dan budaya tropika di mana setiap kursus mengambil masa sebulan atau 28 hari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, pelajar akan mengikuti kuliah seperti biasa diikuti latihan amali dan akan dibawa ke dalam hutan tropika untuk melihat flora dan fauna, menyusuri Tasik Kenyir iaitu sebuah tasik buatan terbesar di Asia serta memancing di tengah lautan.

Katanya, apabila balik ke kampus mereka akan membuat tugasan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang mereka perolehi untuk dibentangkan bagi mendapat nilai kredit untuk persijilan mereka.

“Program ini sebenarnya pernah di buat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ibu kota dalam ciri yang lebih besar dan luas tetapi bila diadakan di Terengganu ia dilihat lebih unik kerana kelebihan negeri Darul Iman ini yang kaya dengan adat resam serta kebudayaan Melayu yang menebal,” katanya.

Contohnya, mereka akan didedahkan dengan corak ukiran rumah serta jenis rumah yang terdapat di sini, ukiran tembaga, mencating batik dan banyak lagi.

Selain itu katanya, jumlah pelajar dicadangkan mengikut nisbah 3:1 iaitu setiap tiga pelajar dari luar negara akan dibantu seorang pelajar tempatan di mana pelajar tempatan boleh ambil kesempatan mengenai budaya orang Eropah.

“Walaupun memulakan dengan 20 orang pelajar , program ini akan berterusan dan berharap jumlah itu akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Katanya, mengenai yuran pengajian ia masih dalam peringkat perbincangan manakala tarikh kemasukan ke program ini kemungkinan akan mengikut jadual kemasukan pelajar baru di UniSZA.
 

Ketengah laksana ternakan puyuh secara bersepadu

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melaksanakan penternakan puyuh secara bersepadu bagi mengeluarkan bekalan daging puyuh segar kepada orang ramai dalam usaha mencapai hasrat menjadi hab puyuh utama di wilayah Pantai Timur.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata, setakat ini Ketengah telah melabur sebanyak RM5 juta melalui peruntukan yang telah diluluskan kerajaan negeri pada tahun 2006 untuk Pusat Penetasan dan Projek Ternakan Puyuh.

"Ternakan puyuh merupakan projek ekonomi Ketengah di mana kita mempunyai pusat ternakan dan pembiakan sendiri iaitu Pusat Penetasan dan Projek Ternakan Puyuh di Bandar Seri Bandi, Kemaman yang dikendalikan anak syarikat Ketengah, Surada Jaya Sdn Bhd.

"Sekarang ini, keupayaan pusat penentasan puyuh berkenaan berjaya mengeluarkan anak-anak puyuh kira-kira 800 ribu setahun dan dijangka mampu menghasilkan 1.2 juta dalam tempoh yang sama pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, lapan puluh peratus daripada anak-anak puyuh ini akan diternak sendiri oleh anak syarikat Ketengah dan dua puluh peratus lagi akan dibekalkan kepada penternak luar.

"Anak-anak syarikat Ketengah juga melakukan pemasaran terhadap puyuh-puyuh yang diternak oleh orang kampung sekali gus memudahkan mereka untuk memasarkan produk puyuh masing-masing,” ujarnya.

Katanya, setakat ini pasaran puyuh tidak ada masalah kerana sentiasa mendapat permintaan berterusan terutamanya daripada pasaraya di negeri ini.

Tambah beliau, pihaknya percaya dengan kemudahan yang ada dan bakal beroperasi pada tahap maksimum, maka hasrat Ketengah untuk menjadi hab bagi ternakan puyuh di Pantai Timur akan dapat dijayakan.

"Apa yang penting ialah kesan dan impaknya bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat,” jelasnya.

 

Ketengah bakal bina 300 unit rumah pelbagai jenis

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) merancang untuk membina 300 unit rumah pelbagai jenis dengan kos RM50 juta yang akan dibangunkan oleh anak syarikat Ketengah.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata, disebabkan latar belakang penduduk yang berbeza dalam wilayah Ketengah, pihaknya mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan jenis rumah yang akan dibina.

"Projek ini dijangka akan bermula pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Anggaran harga rumah adalah di bawah RM100 ribu bagi rumah kos rendah dan RM100 ribu ke atas bagi rumah kos sederhana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, pada tahun ini Ketengah telah menyiapkan 188 unit rumah di mana 133 unit dibina oleh Ketengah sendiri dan 65 unit oleh anak syarikat Ketengah.

Katanya, ekoran pertambahan penduduk dalam kawasannya mendorong Ketengah mengambil langkah proaktif untuk mendirikan rumah-rumah baru bagi memenuhi sebahagian daripada permintaan tersebut.

"Ini ditambah dengan perkembangan terkini yang berlangsung di wilayah Ketengah seperti pembukaan kampus UiTM Bukit Besi, Kolej Ketengah, Mara Ketengah International College, Kompleks Penjara dan sebagainya telah meningkatkan lagi permintaan perumahan di wilayah Ketengah,’ ujarnya.

 

21 July 2013

PILIHAN RAYA KECIL PALING AMAN, KATA MENTERI DALAM NEGERI


Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut kali ini adalah PRK yang paling aman, Roslan Rahman melaporkan dari Kuala Besut.
Sehingga ini katanya, hanya terdapat empat laporan polis yang diterima oleh pihak berkuasa polis iaitu berkaitan bakar bendera dan lain-lain yang membabitkan perkara kecil sahaja.
“Bendera yang dibakar itu membabitkan bendera kedua-dua belah pihak, menunjukkan bukan disebabkan perbalahan dua pihak,” katanya. Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bersyukur kerana PRK yang aman ini dan mengucapkan terima kasih kepada kedua belah pihak penyokong BN dan Pas yang mewujudkan suasana aman itu.
  Bercakap kepada penulis malam ini, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang PRK Kuala Besut ini.
  Menteri Dalam Negeri itu  memberitahu akan ke Hospital Kubang Krian bagi melawat anggota polis yang cedera putus kaki semasa bertugas di PRK Kuala Besut baru-baru ini.

CALON BN, TENGKU ZAIHAN MENDAHULUI PAS SEKARANG


Dari Roslan Rahman:
Calon BN Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dikhabarkan telah mendahului calon Pas dalam pengundian awal berikutan ramai tentera dan keluarga yang datang mengundi semalam.
  Menurut sumber, di kem itu sahaja sekurang-kurangnya calon BN mendapat 700 undi dari 911 pengundi yang keluar mengundi kesemuanya.
Ini berdasarkan kemenangan besar BN dalam PRU 13 yang baru lalu di kedua peti undi berkenaan. Diberitakan sejumlah 79.36 peratus keluar mengundi pada pengundian awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak.
  Walaupun sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar 95 peratus keluar mengundi, tetapi kurang 16 peratus sahaja. Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab berkata selepas tempoh pengundian awal tamat tepat 5 petang, hanya 911 daripada keseluruhan 1,148 anggota tentera dan pasangan serta polis yang layak mengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
  Pusat pengundian awal di TUDM Gong Kedak membabitkan dua peti undi yang akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut sehingga hari penjumlahan rasmi undi pada Rabu ini (24 Julai).

Sokongan pengundi kepada BN makin bertambah

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 

Lawatan dari rumah ke rumah yang saya sendiri lakukan serta jentera parti mendapat sambutan baik dan menampakkan secara jelas bahawa pengundi suka orang pakai baju biru.

Sokongan pengundi yang semakin meningkat menambah keyakinan Barisan Nasional (BN) bagi meraih majoriti yang lebih selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, 24 Julai ini.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan berkata, selepas penamaan calon pada 12 Julai lalu, sokongan terhadap BN semakin bertambah terutama calon yang ditonjolkan menepati citarasa dan kehendak pengundi.

“Semua program yang kita atur sama ada yang bercorak keagamaan seperti majlis berbuka puasa, bersahur dan tazkirah di masjid dan surau mendapat sambutan.

“Lawatan dari rumah ke rumah yang saya sendiri lakukan serta jentera parti mendapat sambutan baik dan menampakkan secara jelas bahawa pengundi suka orang pakai baju biru,” katanya ketika dtemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman mampu meraih majoriti yang selesa pada PRK ini berdasarkan sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di kawasan ini.

“Kita akan meninggunakan baki beberapa hari yang tinggal ini untuk meraih seberapa banyak lagi sokongan daripada pengundi di sini supaya mengundi calon BN,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pada hari Selasa ini beberapa jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan akan mengadakan perkhidmatan kaunter bergerak di kawasan Kuala Besut.

Antara agensi yang terlibat ialah TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Haji yang bakal membuka kaunter masing-masing bagi kemudahan orang ramai melakukan pelbagai urusan.

 

Rempah Pok Leh & Kak Jah jadi pilihan pelanggan sepanjang Ramadan, hari raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Kedatangan Ramadan membawa rezeki berganda kepada peniaga bahan mentah apabila pelanggan mula berpusu-pusu mendapatkan pelbagai produk yang ditawarkan untuk menyediakan persiapan sepanjang puasa dan menjelang hari raya tidak lama lagi.

Sebalik kerancakan aktiviti jual-beli di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, perusahaan rempah yang sudah diwarisi sejak empat generasi lagi, `Pok Leh & Kak Jah Rempah’ antara kedai yang menarik perhatian dan menjadi tumpuan ramai.

Puan Shima
Pengusahanya, Puan Shima Muhammad, 38, berkata sebanyak 40 jenis rempah yang dilengkapi kertas resepi dihasilkan sendiri keluarganya mendapat sambutan amat baik dari pelanggan sepanjang bulan puasa dan perayaan menyebabkan tempahan bahan mentah untuk memproses rempah-ratus dari pembekal di sekitar Terengganu juga meningkat sehingga tiga kali ganda.

 “Selalunya pada musim begini kami akan meningkatkan tempahan bahan mentah memandangkan permintaan dari pelanggan yang menggunakannya untuk masakan sendiri, jualan sepanjang Ramadan dan juga kenduri- kendara juga bertambah.

 “Bahan mentah itu akan diproses di kilang terletak di Kampung Wakaf Tengah dan apabila selesai memproses kami akan membawa pulang rempah berkenaan untuk dibungkus oleh 10 pekerja yang terdiri dari keluarga sendiri,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Shima yang sudah bekeluarga dan memiliki empat cahaya mata berusia tiga bulan sehingga 18 tahun mewarisi perniagaan itu dari bapanya, Encik Muhamad Abd Rahman, 58 dan ibu, Khatijah Jusoh, 56, mula terdedah dengan perusahaan keluarga itu sejak kecil lagi dan amat berpengalaman dengan selok- belok rempah ratus amhupun masakan.
Encik Muhammad memasukkan rempah ke dalam plastik sebelum dijual kepada pelanggan

Malah, bapanya masih setia `turun padang’ dengan dibantu ibunya di premis berkenaan bagi melancarkan urusan jual-beli dan melayan kehendak serta kerenah pelanggan yang adakalanya tidak menang tangan.

Menurut Puan Shima, perusahaan rempah yang diperturunkan dari bapanya itu sudah bermula sejak 30 tahun lalu, sebelum bapanya sendiri mengambil alih lebih 20 tahun menerajui warisan keluarga tersebut dari datuk dan juga moyangnya.

“Dari tahun ke tahun, kami cuba menambah variasi rempah mengikut citarasa dan kehendak pelanggan. Bukan sekadar 40 jenis rempah, kami juga menawarkan bunjut sup dan singgang serta bahan masakan  lain yang sukar didapati di kedai-kedai lain,” katanya.

Pelbagai pilihan rempah yang ditawarkan
Tambahnya, kelebihan menghasilkan pelbagai pilihan paket rempah berharga antara RM1.50 sehingga RM4.00 yang memikat selera pelanggan, selain perisa baru yang sentiasa diubahsuai serta dicipta khusus itu menyebabkan pelanggan lebih ramai tertumpu ke premisnya untuk mendapat stok produk berkenaan.

Puan Shima berkata, rempah gulai kawah dan rempah murtabak antara dua jenis produk keluaran syarikatnya yang laris sepanjang musim ini, selain rempah ayam goreng berempah, kari kepala ikan, sup Thai, Nasi Arab, nasi beriani, pajeri nenas, kari best ayam dan daging, soto, daging hitam, rendang, dalca, kerutuk serta rempah istimewa keluaran terbaru mereka, Nasi Mandy Arabica dan ayam panggang madu.




Pemimpin BN amal semangat muhibah

Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap muhibah dan menghormati pemimpin dan penyokong parti-parti pembangkang, walaupun mereka sering dihentam dan difitnah pemimpin pembangkang.

Boleh dikatakan setiap kali terserempak sama ada sewaktu berkempen di tempat awam atau majlis tertentu, pemimpin BN yang terlebih dahulu menegur dan bersalam dengan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, turut mengamalkan sikap yang sama apabila terserempak dengan penyokong Pas sewaktu berkempen di bazaar Ramadhan Kampung Tok Has, petang semalam.

Beliau bukan setakat menegur penyokong Pas, tetapi turut bersikap ‘sporting’ apabila sama-sama melaungkan ‘takbir’ bersama-sama mereka di bazaar berkenaan.


Dato’ Seri Ahmad Shabery kemudiannya mengagih-agihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang berkunjung ke situ.

Sajian berbuka puasa itu disediakan Kementerian Penerangan Malaysia melalui Program Kembara Ramadhan.

 

Kampus UniSZA di China beroperasi akhir tahun

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 200 pelajar pertama dari negara China dijangka akan memulakan pengajian mereka di Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA) melalui kampusnya di negara itu pada akhir tahun ini.

 Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Guangzhou China akan diadakan bulan depan.

“Perbincangan dengan wakil dari universiti itu telah diadakan minggu lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya.

Katanya, pelajar di China boleh membuat pilihan samaada ingin belajar di kampus di negara mereka atau datang ke kampus UniSZA di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua kampus berkenaan akan dibuka serentak dan pelajar boleh memilih untuk datang ke Kuala Lumpur atau berada di negara mereka.

Prof Dr Yahaya berkata, UniSZA akan membuat pengambilan tenaga pengajar baru bagi kampus di China dan juga Kuala Lumpur dan sedia menawarkan kepada tenaga pengajar di sini yang berminat berhijrah ke negara China.

“InsyaAllah perancangan UniSZA untuk melebarkan sayapnya keluar negara akan terlaksana pada tahun ini juga,” katanya.