Halaman

24 July 2013

JENTERA BN TERUSKAN GERAK KERJA

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


"Kita mahu semua pihak supaya ikut peraturan yang ditetapkan dan patuh kepada semua arahan pihak keselamatan. Kita mahu PRK ini berjalan lancar hinggalah selepas pengumuman calon mana yang menang."

Jentera Barisan Nasional (BN) terus gigih dan bersemangat tinggi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari terakhir proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pagi ini.

Tinjauan Teganukita di sekitar pusat pengundian sejak awal pagi ini mendapati petugas BN yang terdiri daripada mereka yang bertugas di tempat penyemakan pengundi bersiap sedia menunaikan tugas mereka manakala kenderaan khas membawa pengundi turut berulang-alik mengangkut mereka.

Perayu-perayu undi juga mengambil tempat mereka di kawasan yang dibenarkan saja bagi mengingatkan pengundi supaya memilih calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN, Dato’ Seri Idris Jusoh, ketika ditemui pagi ini berkata, pihaknya telah mengatur gerak kerja yang rapi sepanjang hari ini yang merupakan kemuncak PRK kali ini.

Secara keseluruhan katanya, pihaknya puas hati dengan perjalanan pilihan raya yang berjalan lancar dan berada dalam kawalan pihak berkenaan.

Beliau berharap kedua-dua pihak yang bertanding pada PRK ini menjaga tata tertib dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian poses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kita mahu semua pihak supaya ikut peraturan yang ditetapkan dan patuh kepada semua arahan pihak keselamatan. Kita mahu PRK ini berjalan lancar hinggalah selepas pengumuman calon mana yang menang,” katanya.

 

Undi awal, elak sesak

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



Warga emas dan suri rumah mengambil kesempatan untuk keluar mengundi di pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca panas.



Tinjauan Teganukita di beberapa pusat pengundian mendapati golongan tersebut tiba di pusat tersebut sejak awal pagi dan terus memasuki pagar sekolah yang dijadikan pusat membuang undi.

Pasukan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula bertugas sejak awal pagi manakala pasukan keselamatan turut berada di tepi jalan bagi mengawal trafik untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sehingga ini, keadaan cuaca di sekitar DUN Kuala Besut amat terang dengan matahari mula memancar dan keadaan dijangka cuaca agak panas dalam sejam dua lagi. Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, yang ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, pagi tadi turut meminta para pengundi upaya keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, beliau dan isterinya akan melawat semua pusat mengundi di DUN Kuala Besut, kecuali di Pulau Perhentian. Teganukta difahamkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melawat pusat mengundi di Pulau Perhentian pagi ini.


 





Dataran Shahbandar jadi lokasi berbuka puasa

Oleh: Suriati Ali

Berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu setiap kali datangnya Ramadan.


 Rata-rata mereka mengakui seronok melalui senario seupama itu,kerana bukan saja dapat menjalin hubungan rapat antara keluarga, rakan sekerja dan teman belajar malah mampu bertukar suasana.

 Walaupun berbuka puasa di rumah atau di gerai makan lebih selesa, sekali sekala tetap memilih berbuka puasa dengan cara demikian, kerana ia cukup menyeronokkan.

Senario sebegitu juga turut memberi peluang kepada kita untuk melihat orang lain yang turut serta dengan pelbagai ragam, di samping peluang menikmati keindahan alam.

Tinjauan Teganukita di Dataran Sahbandar kira-kira jam 6.30 petang semalam mendapati, hampir di segenap ruang di atas padang rumput dipenuhi orang ramai yang sedang bersiap sedia untuk menanti tibanya waktu berbuka puasa.


 Kebanyakan juadah dibawa dari rumah dan tidak kurang juga ada yang membeli menu seperti nasi ayam, nasi kukus, nasi lemak, murtabak dan pelbagai jenis air di bazar berhampiran.

 Pelajar Tatiuc, Mohd Hafizuddin Mat Tahar berkata berbuka puasa di rumah dan di lokasi seumpama itu, banyak bezanya, jika di sini, sambil berbuka puasa boleh lihat keindahan alam.

"Selalunya kami akan bertukar-tukar tempat, jika sudah bosan berbuka dan membeli juadah berbuka di sini (Dataran Shahbandar), kami akan ke bazar Ramadan di Batu Burok dan akan terus berbuka di tepi pantai beramai-ramai,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Aida Abd Rahim, berkata sudah menjadi rutin bagi mereka sekeluarga untuk berbuka beramai-ramai kerana ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi kelainan kepada anak-anak untuk berbuka di luar.

“Selain rumah sendiri dan restoran, berbuka beramai-ramai di kawasan terbuka seakan telah menjadi rutin buat kami sekeluarga, apatah lagi anak-anak yang masih kecil sememangnya suka dengan aktiviti sedemikian dan ia merupakan salah satu cara untuk meraikan anak-anak yang baru belajar berpuasa,” katanya . .

 


Calon BN antara pengundi awal

Laporan: Kamarudin Mat Akib


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, antara calon terawal yang menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi pada pilihan raya itu, pagi ini.



Bekas jurutera yang segak berbaju Melayu warna merah lengkap bersampin itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, seawal jam 8 pagi.

Beliau yang diringi isteri, Siti Salbiah Osman yang juga berbaju kurung merah, bersalaman dengan Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan beberapa pemimpin Umno yang berada di perkarangan sekolah berkenaan.

Selepas itu, Tengku Zaihan terus memasuki tempat mengundi dan membuang undi di saluran yang ditetapkan.

Selesai mngundi, beliau dengan mesra menyapa pengundi-pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi tersebut sebelum beredar ke pusat mengundi lain.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memakai baju Melayu berwarna merah, jawapannya ialah “Merah tanda berani, untuk menjadi pemimpin kita perlu berani menghadapi apa jua rintangan dan masalah yang bakal dihadapi”.

 





Sultan Mizan berangkat ke majlis khatam al-Quran di Banggol Tuan Muda

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama jemaah ketika majlis tahlil dan doa di Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Manir, semalam.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Manir, petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda dengan diiringi Ahli-ahli Pangkuan DiRaja Terengganu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Haji Mazlan Ngah dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato' Mohd Rozali Saleh, kira-kira jam 7 petang.

SUK Terengganu, Dato' Seri Haji Mazlan Ngah menyambut keberangkatan Sultan Terengganu.

Majlis dimulai  pada jam 5.45 petang dengan tadarus al-Quran oleh sekumpulan pelajar Sekolah Imtiaz, sebelum diteruskan dengan khatam al-Quran.
Sejurus kemudian, tahlil dan doa dibacakan sementara menunggu waktu berbuka puasa. Sebaik sahaja berbuka puasa dengan menikmati kurma dan air, baginda bersama tetamu menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah.




Majlis kemudiannya disusuli jamuan makan malam dan kira-kira 40 minit kemudian, Sultan Mizan diiringi Dato’ Mazlan serta semua tetamu menunaikan solat isyak dan terawih secara berjemaah.


MAYC bantu BN di Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri yang diterajui parti Barisan Nasional (BN) dengan membantu kempen jentera parti itu sempena Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu antara NGO yang aktif menyumbang tenaga, berkampung di DUN berkenaan sejak 12 Julai lalu bagi memastikan BN mampu mengekalkan mandat rakyat di kawasan itu.

Pengerusinya, Encik Amirullah Othman, berkata seramai 30 ahli dan pemimpin persatuan yang terdiri daripada MAYC negeri dan ahli jawatankuasa MAYC Besut dengan dibantu Presiden MAYC Kebangsaan, Encik Hasri Mohd Hadzir terlibat sepanjang dua minggu kempen berlangsung.

“MAYC mengambil langkah mengadakan pelbagai program sempena PRK ini bagi memberi kesedaran kepada golongan belia supaya terus memberi sokongan kepada BN sebagai parti yang terbukti mampu merealisasikan hak, cita-cita dan hala tuju belia selama ini.

“Kita juga mahu menjadi antara agen yang mampu memperkukuhkan perpaduan, semangat patritiotisma dan jati diri di kalangan generasi muda kepada negara yang dicintai,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Amirullah berkata, pelbagai program diatur sepanjang berkampung di DUN berkenaan termasuk menjelajah kampung bagi mengunjungi pengundi-pengundi dan majlis berbuka puasa yang disertai lebih 50 belia setempat.

Dalam perkembangan lain, MAYC turut membuat laporan polis berhubung rasuah pilihan raya oleh pembangkang dengan memberikan petrol percuma kepada belia yang berumur 21 tahun ke atas di stesen minyak Caltex Kampung Nail.

Encik Amirullah berkata, laporan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pas yang dipercayai melanggar etika pilihan raya dengan merasuah pengundi muda sehari sebelum menjelang hari pembuangan undi hari ini.


23 July 2013

Buruh bagai mimpi dapat rumah baru percuma

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harisfadzillah 

“Tak sangka macam mimpi je…Rumah baru yang kami dapat loning (sekarang) jauh lebih selesa dan cantik berbanding rumah yang terbakar dulu,” kata Ramli Jusoh, seorang buruh dari Taman Tasik, Kampung Nail, yang mendapat rumah percuma daripada Kerajaan Pusat, petang ini.

Rumah bernilai RM50,000 itu mengandungi tiga bilik, dua bilik air, dapur dan ruang tamu yang amat selesa, bangunan batu dengan lama yang menarik.

“Kami semua tidak pernah mimpi pun untuk dapat rumah macam ni. Cukup selesa…raya ni paling bermakna kerana kami sekeluarga dapat beraya di rumah baru,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, petang ini.



Kediaman yang dibina melalui program “National Blue Ocean Strategy (NBOS)” itu dibina hanya dalam tempoh tujuh hari oleh sepasukan anggota bomba.

Rumah berkenaan bukan saja cantik dan selesa, tetapi ia dibina daripada bahan yang boleh mengurangkan haba menyebabkan suhu di dalam rumah 20 peratus lebih sejuk berbanding cuaca di luar rumah.

Ramli merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan bagi membina rumah berkenaan.

“Juga terima kasih kepada Menteri Besar yang sudi datang menyempurnkan majlis serah kunci dan berkunjung ke rumah saya hari ini,” ujarnya dengan wajah yang berseri-seri.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian nikmat yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik.


 



MB serah rumah baru kepada keluarga buruh

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyerahkan kunci rumah yang diberi secara percuma kepada keluarga seorang buruh di Taman Tasik, Kampung Nail, yang rumah mereka terlibat dalam kebakaran kira-kira dua bulan lalu.



Kediaman Ramli Jusoh, 37, yang bernilai kira-kira RM50,000 dibina hanya dalam masa seminggu dengan menggunakan anggoya bomba sebagai pekerja.

Rumah tersebut yang mengandungi tiga bilik, ruang tamu dan dapur yang cukup selesa bagi keluarga berkenaan yang dianggap sebagai hadiah daripada kerajaan untuk hari raya yang amat bermakna bagi mereka.

Turut hadir pada majlis penyerahan rumah itu ialah Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh dan pemimpin masyarakat setempat.

Menteri Besar turut menyerahkan alat pemadam api yang dibekalkan secara percuma oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada penghuni di taman berkenaan.

Sebahagian rumah Ramli terbakar pada bulan Mei lalu menyebabkan keluarganya tinggal dalam keadaan kurang selesa dan dia amat gembira untuk menyambut hari raya aidil fitri yang akan menjelang dengan rumah baru ini.







UKOM turun padang bantu orang miskin


Haji Shamsuddin beramah mesra dengan warga emas yang uzur

Oleh: Mohammad Ishak 

Sudah menjadi kelaziman kepada Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) mengambil kesempatan turun padang menemui golongan yang memerlukan batuan setiap kali bulan Ramadan.

Penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) esok tidak ketinggalan menerima tempias apabila agensi berkenaan mendekati masyarakat.

Diketuai Pengarahnya, Haji Shamsuddin Sulong, dua kampung di DUN berkenaan dipilih bagi penyampaiian sumbangan hamper berbentuk makanan.

Kampung terbabit ialah Kampung Tok Has dan Kampung Lay Out Tok Saboh menjadi pilihan untuk program berkenaan.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dua kampung terbabit memberi kerjasama menyenaraikan sepuluh orang setiap kampung terdiri daripada golongan miskin, usia emas, Orang Kelanian Upaya (OKU) yang uzur.

Haji Shamsuddin turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan semua penerima yang disenaraikan dan di sampaikan dari rumah ke rumah.

Sepanjang aktiviti itu semua peserta menyambut baik kunjungan UKOM sambil menghargai sumbangan yang diberikan walaupun tidak seberapa.

Yakin PRK Kuala Besut berpihak kepada BN

Oleh: Noraini Jusoh

Proses pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan calon PAS Endot@Azlan Yusof akan berlangsung esok (24 Julai).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Ghazali Taib berkata, beliau yakin PRK kali ini akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

"Pengundi-pengundi di Kuala Besut dapat melihat sendiri kesungguhan jentera BN bekerja dan dapat menilai siapa yang sepatutnya disokong.

"Pada masa yang sama, apa yang telah dilaksanakan oleh BN di Kuala Besut khususnya calon BN yang terdahulu sudah terbukti sangat cemerlang,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu, hari ini.

YB Ghazali yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri berkata, calon yang ditampilkan BN merupakan calon yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang wakil rakyat.

"Tengku Zaihan seorang calon yang berkebolehan dalam khidmat masyarakat, mempunyai akademik yang baik, personaliti yang menarik serta datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh.

"Beliau juga mendapat sokongan daripada orang muda dan ini sangat penting kerana secara tidak langsung menandakan beliau boleh memahami jiwa orang muda masa kini,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin Tengku Zaihan adalah seorang anak muda yang berwawasan dan tahu apa yang hendak di buat untuk Kuala Besut.

"Saya harap pengundi di Kuala Besut dapat membuat pilihan yang tepat demi kepentingan penduduk Kuala Besut,” ujarnya.