Halaman

24 July 2013

Ubi Vitato ganti tepung gandum

Oleh; Esah Abdullah 

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya menghasilkan produk makanan berasaskan ubi keledek Vitato untuk ke pasaran terbuka.

Pengurus Pusat Inkubator Mardi Besut, Encik Mohd Saiful Nizam Hussein berkata, teknologi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik Mardi itu kini sedang giat dikomersialkan kepada syarikat yang berminat.

“Sebanyak empat syarikat telah menunjukkan minat terhadap program pengkomersialan produk berasaskan ubi berkenaan,” katanya.

Sehingga ini katanya, Mardi telah mengeluarkan dua teknologi yang menggunakan Vitato sebagai bahan asas iaitu produk bakeri terdiri daripada empat produk iaitu donut, bun,biskut dan juga muffin.

Menurutnya, Mardi sedia membimbing pengusaha tempatan yang berminat dengan menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh Mardi bagi melatih mereka dalam menghasilkan produk makanan siap menggunakan bahan berkenaan.

“Latihan akan disediakan yang mengambil masa dua tahun itu bermula daripada pencarian bahan mentah sehinggalah kepada teknik pemasaran bagi memastikan mereka benar-benar berjaya dan mampu berdikari,”. katanya.

Menurutnya, terdapat hampir 80 hektar ladang ubi Vitato ditanam di negeri ini dengan kadar pengeluaran 20 tan bagi keluasan 0.4 hektar.

Katanya, produk berasaskan ubi Vitato ini merupakan bahan terbaik serta berpotensi besar mengantikan tepung gandum untuk dijadikan bahan menghasilkan pelbagai produk makanan.
 

MB meninjau proses pengundian di Pulau Perhentian



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut meluangkan masa meninjau pusat pengundian di Pulau Perhentian, bagi memastikan penduduk di situ keluar menunaikan tanggungjawab mereka.



Selepas melawat beberapa pusat pengundi di sekitar Kuala Besut pagi ini, beliau menaiki bot kira-kira jam 10 pagi ke Pulau Perhentian. Dato’ Seri Haji Ahmad berada di pulau berkenaan kira-kira dua jam sebelum berlepas pulang ke tanah besar kira-kira jam 12 tengahari.



Teganukita difahamkan peratusan keluar mengundi di pulau itu agak tinggi di mana pada waktu tengahari kira-kira 80 peratus daripada pemilih sudah keluar membuang undi.



 





Semangat setia kawan perayu undi patut dicontohi



i
Oleh: Mohammad Ishak

Biarpun berlainan fahaman politik namun semangat setia kawasan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut patut dipuji dan dicontohi di tempat lain.

Perayu undi dari kedua-dua pihak duduk berbaris bersebelahan tanpa rasa ragu dan takut malah setiap orang yang lalu lanag di hadapan mereka tetap disamapa sambil meminta ,mengundi calon masing-masing.

Keadaan itu dapat dilihat di hadapan Sekolah Menengah Kuala Besut, apabila perayu undi terbabit saling bekerjasama ketika meraih undi daripada orang ramai.

Semangat sedemikan jarang ditemui tetapi pada PRK ini mereka berganding bahu dalam satu barisan walaupun mempunyai fahaman poltik berlainan.

Pasukan keselamatan juga dapat menjalankan tugas dengan mudah apabila kedua-dua belah pihak kelihatan  berbaik sangka antara satu sama lain.

Ketua Puteri Umno Besut, Che Senah Sulaiman berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah ketika membuat aktiviti merayu undi dan duduk sebaris dengan muslimat Pas.

“Pada PRK Kuala Besut ini kami ingin buktikan keharmonian dapat dilakukan di DUN Kuala Besut,” katanya.

JENTERA BN TERUSKAN GERAK KERJA

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


"Kita mahu semua pihak supaya ikut peraturan yang ditetapkan dan patuh kepada semua arahan pihak keselamatan. Kita mahu PRK ini berjalan lancar hinggalah selepas pengumuman calon mana yang menang."

Jentera Barisan Nasional (BN) terus gigih dan bersemangat tinggi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari terakhir proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pagi ini.

Tinjauan Teganukita di sekitar pusat pengundian sejak awal pagi ini mendapati petugas BN yang terdiri daripada mereka yang bertugas di tempat penyemakan pengundi bersiap sedia menunaikan tugas mereka manakala kenderaan khas membawa pengundi turut berulang-alik mengangkut mereka.

Perayu-perayu undi juga mengambil tempat mereka di kawasan yang dibenarkan saja bagi mengingatkan pengundi supaya memilih calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN, Dato’ Seri Idris Jusoh, ketika ditemui pagi ini berkata, pihaknya telah mengatur gerak kerja yang rapi sepanjang hari ini yang merupakan kemuncak PRK kali ini.

Secara keseluruhan katanya, pihaknya puas hati dengan perjalanan pilihan raya yang berjalan lancar dan berada dalam kawalan pihak berkenaan.

Beliau berharap kedua-dua pihak yang bertanding pada PRK ini menjaga tata tertib dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian poses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kita mahu semua pihak supaya ikut peraturan yang ditetapkan dan patuh kepada semua arahan pihak keselamatan. Kita mahu PRK ini berjalan lancar hinggalah selepas pengumuman calon mana yang menang,” katanya.

 

Undi awal, elak sesak

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



Warga emas dan suri rumah mengambil kesempatan untuk keluar mengundi di pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca panas.



Tinjauan Teganukita di beberapa pusat pengundian mendapati golongan tersebut tiba di pusat tersebut sejak awal pagi dan terus memasuki pagar sekolah yang dijadikan pusat membuang undi.

Pasukan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula bertugas sejak awal pagi manakala pasukan keselamatan turut berada di tepi jalan bagi mengawal trafik untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sehingga ini, keadaan cuaca di sekitar DUN Kuala Besut amat terang dengan matahari mula memancar dan keadaan dijangka cuaca agak panas dalam sejam dua lagi. Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, yang ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, pagi tadi turut meminta para pengundi upaya keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, beliau dan isterinya akan melawat semua pusat mengundi di DUN Kuala Besut, kecuali di Pulau Perhentian. Teganukta difahamkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melawat pusat mengundi di Pulau Perhentian pagi ini.


 





Dataran Shahbandar jadi lokasi berbuka puasa

Oleh: Suriati Ali

Berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu setiap kali datangnya Ramadan.


 Rata-rata mereka mengakui seronok melalui senario seupama itu,kerana bukan saja dapat menjalin hubungan rapat antara keluarga, rakan sekerja dan teman belajar malah mampu bertukar suasana.

 Walaupun berbuka puasa di rumah atau di gerai makan lebih selesa, sekali sekala tetap memilih berbuka puasa dengan cara demikian, kerana ia cukup menyeronokkan.

Senario sebegitu juga turut memberi peluang kepada kita untuk melihat orang lain yang turut serta dengan pelbagai ragam, di samping peluang menikmati keindahan alam.

Tinjauan Teganukita di Dataran Sahbandar kira-kira jam 6.30 petang semalam mendapati, hampir di segenap ruang di atas padang rumput dipenuhi orang ramai yang sedang bersiap sedia untuk menanti tibanya waktu berbuka puasa.


 Kebanyakan juadah dibawa dari rumah dan tidak kurang juga ada yang membeli menu seperti nasi ayam, nasi kukus, nasi lemak, murtabak dan pelbagai jenis air di bazar berhampiran.

 Pelajar Tatiuc, Mohd Hafizuddin Mat Tahar berkata berbuka puasa di rumah dan di lokasi seumpama itu, banyak bezanya, jika di sini, sambil berbuka puasa boleh lihat keindahan alam.

"Selalunya kami akan bertukar-tukar tempat, jika sudah bosan berbuka dan membeli juadah berbuka di sini (Dataran Shahbandar), kami akan ke bazar Ramadan di Batu Burok dan akan terus berbuka di tepi pantai beramai-ramai,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Aida Abd Rahim, berkata sudah menjadi rutin bagi mereka sekeluarga untuk berbuka beramai-ramai kerana ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi kelainan kepada anak-anak untuk berbuka di luar.

“Selain rumah sendiri dan restoran, berbuka beramai-ramai di kawasan terbuka seakan telah menjadi rutin buat kami sekeluarga, apatah lagi anak-anak yang masih kecil sememangnya suka dengan aktiviti sedemikian dan ia merupakan salah satu cara untuk meraikan anak-anak yang baru belajar berpuasa,” katanya . .

 


Calon BN antara pengundi awal

Laporan: Kamarudin Mat Akib


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, antara calon terawal yang menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi pada pilihan raya itu, pagi ini.



Bekas jurutera yang segak berbaju Melayu warna merah lengkap bersampin itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, seawal jam 8 pagi.

Beliau yang diringi isteri, Siti Salbiah Osman yang juga berbaju kurung merah, bersalaman dengan Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan beberapa pemimpin Umno yang berada di perkarangan sekolah berkenaan.

Selepas itu, Tengku Zaihan terus memasuki tempat mengundi dan membuang undi di saluran yang ditetapkan.

Selesai mngundi, beliau dengan mesra menyapa pengundi-pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi tersebut sebelum beredar ke pusat mengundi lain.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memakai baju Melayu berwarna merah, jawapannya ialah “Merah tanda berani, untuk menjadi pemimpin kita perlu berani menghadapi apa jua rintangan dan masalah yang bakal dihadapi”.

 





Sultan Mizan berangkat ke majlis khatam al-Quran di Banggol Tuan Muda

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama jemaah ketika majlis tahlil dan doa di Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Manir, semalam.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Masjid Al-Ikhlas, Banggol Tuan Muda, Manir, petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda dengan diiringi Ahli-ahli Pangkuan DiRaja Terengganu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Haji Mazlan Ngah dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato' Mohd Rozali Saleh, kira-kira jam 7 petang.

SUK Terengganu, Dato' Seri Haji Mazlan Ngah menyambut keberangkatan Sultan Terengganu.

Majlis dimulai  pada jam 5.45 petang dengan tadarus al-Quran oleh sekumpulan pelajar Sekolah Imtiaz, sebelum diteruskan dengan khatam al-Quran.
Sejurus kemudian, tahlil dan doa dibacakan sementara menunggu waktu berbuka puasa. Sebaik sahaja berbuka puasa dengan menikmati kurma dan air, baginda bersama tetamu menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah.




Majlis kemudiannya disusuli jamuan makan malam dan kira-kira 40 minit kemudian, Sultan Mizan diiringi Dato’ Mazlan serta semua tetamu menunaikan solat isyak dan terawih secara berjemaah.


MAYC bantu BN di Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri yang diterajui parti Barisan Nasional (BN) dengan membantu kempen jentera parti itu sempena Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu antara NGO yang aktif menyumbang tenaga, berkampung di DUN berkenaan sejak 12 Julai lalu bagi memastikan BN mampu mengekalkan mandat rakyat di kawasan itu.

Pengerusinya, Encik Amirullah Othman, berkata seramai 30 ahli dan pemimpin persatuan yang terdiri daripada MAYC negeri dan ahli jawatankuasa MAYC Besut dengan dibantu Presiden MAYC Kebangsaan, Encik Hasri Mohd Hadzir terlibat sepanjang dua minggu kempen berlangsung.

“MAYC mengambil langkah mengadakan pelbagai program sempena PRK ini bagi memberi kesedaran kepada golongan belia supaya terus memberi sokongan kepada BN sebagai parti yang terbukti mampu merealisasikan hak, cita-cita dan hala tuju belia selama ini.

“Kita juga mahu menjadi antara agen yang mampu memperkukuhkan perpaduan, semangat patritiotisma dan jati diri di kalangan generasi muda kepada negara yang dicintai,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Amirullah berkata, pelbagai program diatur sepanjang berkampung di DUN berkenaan termasuk menjelajah kampung bagi mengunjungi pengundi-pengundi dan majlis berbuka puasa yang disertai lebih 50 belia setempat.

Dalam perkembangan lain, MAYC turut membuat laporan polis berhubung rasuah pilihan raya oleh pembangkang dengan memberikan petrol percuma kepada belia yang berumur 21 tahun ke atas di stesen minyak Caltex Kampung Nail.

Encik Amirullah berkata, laporan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pas yang dipercayai melanggar etika pilihan raya dengan merasuah pengundi muda sehari sebelum menjelang hari pembuangan undi hari ini.


23 July 2013

Buruh bagai mimpi dapat rumah baru percuma

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harisfadzillah 

“Tak sangka macam mimpi je…Rumah baru yang kami dapat loning (sekarang) jauh lebih selesa dan cantik berbanding rumah yang terbakar dulu,” kata Ramli Jusoh, seorang buruh dari Taman Tasik, Kampung Nail, yang mendapat rumah percuma daripada Kerajaan Pusat, petang ini.

Rumah bernilai RM50,000 itu mengandungi tiga bilik, dua bilik air, dapur dan ruang tamu yang amat selesa, bangunan batu dengan lama yang menarik.

“Kami semua tidak pernah mimpi pun untuk dapat rumah macam ni. Cukup selesa…raya ni paling bermakna kerana kami sekeluarga dapat beraya di rumah baru,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, petang ini.



Kediaman yang dibina melalui program “National Blue Ocean Strategy (NBOS)” itu dibina hanya dalam tempoh tujuh hari oleh sepasukan anggota bomba.

Rumah berkenaan bukan saja cantik dan selesa, tetapi ia dibina daripada bahan yang boleh mengurangkan haba menyebabkan suhu di dalam rumah 20 peratus lebih sejuk berbanding cuaca di luar rumah.

Ramli merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan bagi membina rumah berkenaan.

“Juga terima kasih kepada Menteri Besar yang sudi datang menyempurnkan majlis serah kunci dan berkunjung ke rumah saya hari ini,” ujarnya dengan wajah yang berseri-seri.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian nikmat yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik.