Halaman

05 August 2013

MKJR anjur kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan

Oleh: Suraya Abd Sukor 

 Dalam usaha untuk mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya di kalangan pengguna, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu telah mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2013, di hadapan Dewan Sivik Kampung Jabi, Besut, petang semalam.

 Kempen yang merupakan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Terengganu bersama agensi-agensi Kerajaan dan Badan-badan NGO dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.


 Beliau berkata, kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan berpunca daripada aliran trafik masuk ke negeri Terengganu di mana anak perantau yang pulang beraya di kampung masing-masing.

“Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan jalan raya kerana kekurangan papan-papan tanda sama ada papan tanda keselamatan atau amaran di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan papan tanda di kawasan pembinaan jalan.

 “Kita telah mengenal pasti beberapa tempat di negeri Terengganu yang telah banyak berlaku kemalangan maut dan kesesakan disebabkan dua faktor tersebut yang menjadi kebiasaan menjelang musim perayaan,” katanya kepada TeganuKita. 

Selain itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang sedia ada dan menjadi pengguna yang berhemah, selain mengamalkan sikap tolak ansur antara semua pengguna jalan raya.

 “Saya berharap agar agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memperbanyakkan papan-papan tanda di beberapa tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut di seluruh negeri.

 “Selain itu, saya berharap agar pihak di atas dapat perbanyakkan papan-papan tanda yang memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai kawasan-kawasan pembinaan jalan atau pelebaran bahu-bahu jalan,” katanya.

 Sebanyak 2000 risalah berkaitan kempen keselamatan jalan raya dan ‘ole-ole’ diedarkan kepada pengguna jalan raya yang menghala ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, semasa kempen tersebut berlangsung.

NAK RAMPAS ISTANA??


Sebuah pertubuhan yang menamakan diri mereka kononnya sebagai Kumpulan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara telah berkumpul di hadapan pintu 1, depan Istana Negara.
  Kumpulan seramai 10 orang individu yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua perempuan yang memakai pakaian serba hitam menaiki 3 buah kereta.
 Kejadian lebih kurang jam 4 pagi tadi itu bertujuan kononnya untuk mengambil alih pentadbiran Istana Negara kerana mereka mendakwa mereka adalah pewaris agong yang sah.
  Semua anggota kumpulan berkenaan di tangkap dan di bawa ke Balai Polis Travers. Pemeriksaan awal terhadap semua kenderaan tidak menjumpai sebarang senjata dan yang ditemui hanyalah bendera dan beberapa helaian watikah baiah kumpulan tersebut.
  Setiap kenderaan yang disiasat membawa bendera bertulisan jawi Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Semakan awal kesemua mereka berlainan alamat negeri seperti Melaka, Perak, Kedah dan Johor- dari TerengganuToday.

Makna hari raya empat beradik

Oleh; Esah Abdullah 

Alah bisa tegar biasa, begitulah boleh diandaikan kepada empat beradik iaitu Muhammad Kamarul Hamizan, 11, Kamalia Nur Balqis, 9, Fatin Nurzalia, 7 dan Muhammad Faris Fauzan,6 dari Rumah Tunas Harapan (RTH) Seberang Takir, kelihatan ceria untuk menyambut kedatangan hari raya yang bakal menjelang beberapa hari lagi.



Keceriaan yang terpamir pada wajah mereka mungkin kerana sudah biasa menjalani kehidupan bersama adik-beradiknya di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi yang masuk tahun ketiga tahun ini.

Empat beradik ini adalah diantara 250 orang pelajar anak yatim dan pelajar fakir miskin yang menerima Pengurniaan Sumbangan Hari Raya daripada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu semalam.

Kisah mereka yang diabai ibu bapa pernah mendapat liputan media masa beberapa tahun lalu dan diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menempatkan mereka di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir.

Namun begitu anak sulung daripada empat beradik iaitu Muhammad Kamarul Amizan berkata tahun ini ingin menyambut raya di rumah Tok Ki di Pulau Duyong.

Memandang riak wajah yang jernih empat beradik itu mungkin ada menyimpan rasa rindu kepada kedua ibu bapanya tapi tidak mampu dilahirkan dengan kata-kata.

Apabila soalan rindu ibu diajukan, Muhammad Kamarul mengelengkan kepala sambil membelek baju raya ditangan yang baru diterima.

Penulis difahamkan ibu bapa empat beradik berkenaan tidak pernah datang ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi sejak kanak-kanak itu tinggal di situ sejak tiga tahun lalu cuma di ziarahi datuk sebelah bapanya yang tinggal di Pulau Duyong.
 

'WALK FOR MALAYSIA' BAKAL MENJADI KENYATAAN



Satu mesyuarat penyelarasan program ‘Walk For Malaysia’ telah diadakan di peringkat jabatan-jabatan kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan pada hari ini bagi memastikan kejayaan perlaksanaannya, lapor Roslan Rahman.
  Asalnya ialah ‘Walk For BN’ tetapi telah diambil daya usaha di peringkat kerajaan negeri sebagai program yang lebih bersifat patriotik iaitu ‘Walk For Malaysia’
 Pengerusinya, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda berkata, Walk For Malaysia adalah satu manifestasi sokongan rakyat terdapat kepimpinan Perdana Menteri di peringkat pusat dan Menteri Besar di peringkat negeri.
 Program ini, katanya bagi member peluang kepada rakyat menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.
  Ia juga sekaligus bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2013. Walk For Malaysia yang bakal tersenarai dalam Malaysia Book of Record akan melalui jalan-jalan yang ditetapkan oleh urusetia bermula dari Kuala Besut hingga ke Putrajaya atau Kuala Lumpur, sejauh 600 kilometer.
  Jangkaan laluan ‘Walk For Malaysia’ ialah dari Kuala Besut, Merang, Batu Buruk, Merchang, Paka, Chukai, Kuantan, Seri Jaya Maran, Temerloh, Bentong, Genting Sempah, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin dijangka akan menyambut pejalan kaki Mohd.Nor Mohd dan deligasi.
  Mesyuarat juga memutuskan di setiap ‘check point’ akan diadakan program-program yang akan diaturkan oleh pihak pentadbiran daerah dan berkuasa tempatan masing-masing untuk kemeriahan dan tambahnilai.  Kerjasama juga akan diadakan dengan kepimpinan dan pentadbiran di peringkat negeri Pahang dan beberapa negeri yang mungkin terbabit.
  Ia dijangka akan bermula September depan sempena sambutan Hari Malaysia 16 September.
  Bagaimana pun tarikh sebenar akan ditentukan oleh Pejabat Perdana Menteri. Dato’ Wan Ahamad yakin program ini pasti akan mendapat sokongan, publisiti meluas oleh media dan memberi mej yang baik untuk kecemerlangan kerajaan Malaysia dan Terengganu dan satu majlis pra pelancaran akan diadakan sebelum acara sebenar.

Bulan Ramadan, bulan rezeki

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Puan Mariani
Bulan Ramadan boleh dibaratkan bulan rezeki atau bonus bagi golongan peniaga, terutama pengusaha makanan yang rata-ratanya mendapat pulangan berganda berbanding bulan biasa.

Tidak ketingggalan, bagi peniaga pulut panggang atau pulut lepa, Puan Mariani Omar,52 yang mengakui hakikat itu dan sememangnya ternanti-nanti bulan mulia it

u untuk mencari rezeki lebih buat keluarga.

Katanya, rezekinya amat murah setiap kali menjelang Ramadan kerana pada bulan biasa dia sambil dibantu anak Zulaika Mohammad 21, hanya menyediakan kira-kira 400 hingga 500 biji sehari.

Zulaikha membungkus pulut panggang sebelum dapat dijual kepada pelanggan
“Tiba saja bulan puasa permintaan itu sangat tinggi, dan jumlah biasa terpaksa digandakan menjadi 1,000 hingga 1,500 biji sehari.

“Kebanyakan mereka yang datang membeli adalah pelanggan tetap dan apa yang menariknya ada yang tinggal diluar Terengganu menempah terlebih dahulu sebelum mengambilnya apabila pulang ke kampung,” katanya yang ingin dikenali sebagai kak Ani.

 Dia yang mengusaha perniagaan itu sejak 20 tahun lalu, berkata selagi terdaya, perniagaan itu akan diteruskan kerana sayangkan resepi yang diperoleh daripada arwah ibu mertua dan kini diwarisi pula dua anaknya.

Katanya, dia tidak tahu sebab apa pulut panggang menarik perhatian pada bulan puasa, mungkin kerana baunya yang harum semerbak semasa dipanggang.

“Harga pulut panggang sekarang telah meningkat disebabkan bahan-bahan asasnya seperti santan kelapa, pulut, ikan dan daun pisang naik harga,”katanya.

 

JKT lancar kempen kawalan tikus

Oleh: Noraini Jusoh

Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan melancarkan kempen kawalan tikus di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan secara serentak di seluruh negara pada 24 ogos ini.

Bagi Terengganu, kerajaan negeri akan melaksanakan kempen berkenaan melalui kerjasama beberapa agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato Haji Mat Razali Kassim berkata, jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal yang boleh membawa maut.

"Berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat peningkatan ketara bagi kes Leptosprosis yang dilaporkan di Malaysia dari 2268 kes pada tahun 2011 kepada 3665 kes pada tahun 2012 dengan peningkatan sebanyak 62 peratus,” ujarnya.

Katanya, bagi membendung kes ini beliau berharap agensi berkaitan akan terus melakukan kawalan dan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan di kawasan bandar walaupun bukan dalam tempoh kempen.

"Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengadakan aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan premis masing-masing.

"Kebersihan tempat pengendalian dan penyediaan makanan hendaklah sentiasa terjaga bagi memastikan kesihatan peniaga dan pelanggan terjamin,” ujarnya.

Tambah beliau, kempen kawalan tikus kali ini menyasarkan orang awam, pengusaha premis makanan, operator pasar, pengusaha industri makanan serta pelajar sekolah.

 

Jambatan Bukit Kuang dibuka elak kesesakan Aidilfitri

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Jambatan Bukit Kuang, Kemaman yang masih dalam pembinaan dibuka sebahagian laluannya sejak minggu lalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas menjelang perayaan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dua lorong di jambatan itu yang dibuka kepada semua kenderaan, berjaya mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.

 "Jambatan Bukit Kuang dibuka dua lorong bagi memudahkan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Saya harap mereka menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya," katanya kepada Teganukita, semalam.

Jambatan empat lorong Bukit Kuang yang dibina dengan kos RM185 juta sepatutnya siap pada September depan, tetapi ia mengalami sedikit kelewatan berikutan keadaan cuaca dan musim tengkujuh yang menjejaskan kelancaran projek.

Pembinaan jambatan empat lorong sepanjang satu kilometer itu dibuat berikutan keperluan mendesak trafik, selain semakin banyak pelaburan dan kilang baru masuk di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kijal.

Selain itu, jambatan yang dibina lebih tinggi dari biasa iaitu 15 meter itu turut akan memberi ruang kepada kapal dari pelabuhan keluar masuk, dengan jangkaan banyak tanah sekitar Sungai Bukit Kuang akan disewa untuk dijadikan pusat baik pulih kapal dan pusat mengisi minyak serta air.

 Apabila projek jambatan ini siap pada akhir 2013, projek baru yang sudah diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak di sekitar Bandar Kijal termasuk pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas akan dimulakan.

 

Bomba minta jangan abai keselamatan bangunan

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terenganu meminta mana-mana pemilik premis, di negeri ini terutama sudah dikenakan notis supaya jangan ambil mudah berkaitan keselamatan bangunan dan bahaya kebakaran

 Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan itu , Wan Ahmad Fadhillah Wan Abdul Rahman berkata, jangan ambil mudah dan pandang remeh berkaitan itu kerana boleh dikenakan tindakan lebih berat.

 “Pihak kami memandang serius mengenai perkara itu, kerana tidak mahu banyak harta benda musnah, lebih membimbangkan nyawa penghuni dan orang awam.

 “Ia berikutan daripada 82 buah premis yang diperiksa jabatan itu, sebanyak 44 pemilik telah diberikan notis,” katanya.

Katanya, operasi yang dijalankan sepanjang tempoh Ops Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri yang bermula 24 Julai sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 10 notis dikeluarkan kepada sekolah dan asrama, pusat membeli-belah (17 notis) manakala pusat pengajian tinggi (17 notis).

 "Daripada jumlah itu, 38 kes melibatkan kesalahan Seksyen 2 (d) di bawah Peruntukkan Akta 341 iaitu melibatkan kesalahan kelengkapan menentang kebakaran tidak berada dalam keadaan baik atau rosak manakala selebihnya menjalankan pengubahan menyalahi undang-undang,” katanya.

 “Pengalihan atai tidak terdapat kelengkapan menentang kebakaran serta laluan keluar yang tidak cukup.

 "Justeru itu, kita berharap pemilik premis yang telah menerima notis berkenaan dapat mengambil perhatian tentang perkara itu agar tidak dikenakan tindakan yang lebih berat kerana ia melibatkan nyawa orang awam," katanya

. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarakan gimik pelancaran Ops Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri di Pasar Raya Besar Mydin, Kuala Terengganun.

 Dalam pada itu Wan Ahmad Fadhillah menambah, sejak awal tahun sehingga Julai lalu, sebanyak 4,182 premis telah disenaraikan dan daripada jumlah itu sebanyak 776 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

 Ujarnya, notis kesalahan di bawah Seksyen 2 (d) paling banyak dikesan iaitu berjumlah 651 notis serta Seksyen 2 (c) iaitu pengalihan dari atau tidak terdapat apa-apa kelengkapan menentang kebakaran.

 

04 August 2013

Polis Besut buka jalan alternatif kepada pengguna jalan raya

Oleh: Mohammad Ishak 

Pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan utama Kuala Terengganu-Jertih berikutan pulangnya perantau ke negeri ini dan Kelantan menyebabkan Polis terpaksa membuka laluan baru sempena cuti Aidilfitri Khamis ini.

Berikutan itu, Polis Besut akan membuka jalan alternatif untuk pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dan sebaliknya, tanpa perlu memasuki bandar Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan di bandar Jertih sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Jalan alternatif itu akan dibuka dari 6 hingga 12 Ogos ini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut (IPD) Kampung Raja,hari ini.

Beliau berkata pengguna boleh melalui jalan pantai dari Kuala Terengganu/Seberang Takir melalui Penarik dan Kampung Raja ke Kuala Besut untuk ke Tok Bali, Semerak, sebelum ke Bachok/Kota Baharu.

Bagi pengguna dari Pantai Barat melalui Lebuhraya Timur Barat dari Grik/Jeli dan Kota Baharu untuk ke Kuala Terengganu pula, mereka dinasihat menggunakan Jalan Seberang Jerteh ke Kampung Lampu, Kuala Besut sebelum menuju ke Kampung Raja bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui Penarik, Setiu.

"Bagi pengguna yang terpaksa melalui bandar Jerteh pula, mereka dikehendaki berhati-hati dengan pengubahsuaian lorong jalan daripada sehala kepada dua hala bermula di hadapan Sekolah Rendah Chung Hwa Jertih hingga Seberang Jertih mulai petang 5 Ogos," katanya.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata polis mengenal pasti lima lokasi maut di sekitar Besut iaitu di antara Km 98 hingga Km 114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu; Km1 1-10 Jalan Kampung Raja-Benting Lintang; Km 1-12 Jalan Jertih-Kampung Raja; Km1-12 Jalan Jertih-Bukit Puteri; dan Km 1-32 Jalan Jertih-Keruak, Hulu Besut.

Katanya, sepanjang Op Selamat kali ini juga pihak berkuasa akan mengadakan kiosk pemantauan di Km 98.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (dekat Kampung Gerai) dan di Km 112 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (dekat Kampung Padang Landak).

2,000 risalah keselamatan jalan raya diedar kepada pemandu


YB Mohd Iskandar Jaafar mengedar risalah kepada pemkandu di Kampung Jabi,petang semalam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kempen Keselamatan Jalan Raya secara bersepadu membabitkan pelbagai jabatant utama berkaitan keselamatan jalan raya dilancarkan semalam dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan selain mengingatkan pemandu supaya berhemah ketika memandu sempena cuti balik kampung menjelang Aidilfitri khamis ini.

Kempen peringkat negeri itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Yang Berhormat Mohd Iskandar Jaafar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi di Kampung Jabi, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Terengganu,SAC Dato’ Jamshah Mustapa dan pemimpin komuniti setempat.

Program sempena balik kampung itu disertai oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RTM dan badang bukan kerajaan (NGO).

Sempena pelancaran program itu pemandu kenderaan yang melalui jalan utama Kuala Terengganu-Jertih dan Jertih-Kuala Terengganu, diberikan hamper dan risalah berkaitan keselamatan jalan raya. Pada majlis itu,

Mohd Iskandar dan tetamu jemputan lain turut mengedar kira-kira 2,000 risalah berhubung kempen keselamatan jalan raya yang dikeluarkan oleh agensi terbabit.

Bercakap kepada media pada kempen itu Mohd Iskandar berkata, kempen itu adalah rutin tahunan yang dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menyedarkan pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya mengenai pemanduan berhemah ketika memandu balik kampung sempena cuti hari raya.

Katanya, kerajaan juga mengenalpasti beberapa factor yang menjadi penyebab berlakunya kemalangan di negeri ini termasuk kurangnya papan tanda memaklumkan kawasan kemalangan, tiada lampu jalan, permukaan jalan yang tidak stabil dan binatang ternakan yang berkeliaran di jalan raya.