Halaman

08 September 2013

Majlis Belia tubuh TPBT

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT)  menubuhkan Team Pembangunan Belia Terengganu (TPBT) untuk memperkasakan golongan belia di negeri ini.

Pengerusi MBNT, Encik Zaidi Muda berkata, team ini akan dibarisi 10 orang jawatankuasa terdiri daripada golongan professional, usahawan, akademik yang mewakili badan-badan gabungan MBNT di negeri ini.

“Jawatankuasa akan duduk semeja berbincang serta membuat kajiselidik mengenai apa sebenarnya yang dikehendaki generai Y untuk pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Raya MBNT di Perkarangan Wisma Seri Amar, Kuala Terengganu.

Katanya, pihaknya memandang serius mengenai kecenderungan golongan muda kebelakangan ini yang memprotes dalam senyap atau secara terangan menidakkan program kerajaan membangunkan golongan belia.

Menurutnya, contoh terdekat yang boleh dilihat dalam keputusan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu apabila ramai golongan muda tidak memihak kepada kerajaan memerintah.

“Kita yakin team yang kita bentuk ini akan dapat mencari formula bagaimana meyakinkan golongan muda mengenai kesungguhan kerajaan memberi yang terbaik kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.

Tambahnya, kita tidak mahu anak muda kehilangan fokus serta menidakkan sejarah kemerdekaan negara dan melupakan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu ketika mempertahankan keamanan negara.

“Hasil kajian ini nanti akan di bawa kepada Menteri Besar pada November depan untuk langkah seterusnya bagi mengatur stretagi memperkasakan golongan muda,” katanya.

Dalam pada itu MBNT juga mengharapkan sokongan kerajaan terutama dari segi kewangan untuk mengatur pelbagai kursus dalam usaha meningkatkan pengetahuan belia dalam aspek kepimpinan.
 

TATiUC tawar kursus penuhi kehendak pasaran semasa

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) komited dalam membantu anak Terengganu memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka dengan menawarkan kursus yang memenuhi kehendak pasaran semasa.

Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim (gambar) berkata, dalam usaha menjadi sebuah universiti teknikal penuh menjelang 2015, kursus yang ditawatkan TATiUC samada kursus jangka pendek atau panjang lebih kepada membekalkan kemahiran dan membuka peluang pekerjaan kepada pelajarnya terutama golongan belia negeri ini.

"Banyak kursus dan program yang ditawarkan untuk kebaikan rakyat Terengganu sendiri contohnya yang berkaitan minyak dan gas yang bertepatan dengan kehendak industri setempat contohnya di sekitar Kemaman ini.

"TATiUC juga dikelilingi banyak kilang yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan dan kita berharap pelajar berpeluang bekerja ditempat berkenaan setelah menamatkan pengajian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman.

Menurut Dr Zunaidi, peluang untuk menambah jaringan kerjasama antara TATiUC dengan syarikat sekitar seperti mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, ramai pelajar TATiUC yang telah menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat sekitar institusi berkenaan seperti di Petronas, EPIC dan sebagainya.

 

Merdeka Raya rapatkan hubungan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 1500 tetamu menghadiri sambutan Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman (gambar) berkata, buat julung kalinya sambutan hari raya dibuat secara bersama dan diraikan secara serentak oleh empat anak syarikat setelah siapnya Dewan Canselor TATiUC yang dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 3 Oktober depan.

"Majlis ini berjaya menghimpunkan pihak atasan dan kakitangan TATI Production, Ruane-TATI Sdn Bhd, TATI Skill Training Centre (TATISTC) termasuk TATiUC sendiri di bawah satu bumbung bagi mengeratkan hubungan dan merapatkan lagi silaturahim sesama mereka.

“Seramai 3000 pelajar TATiUC turut terlibat secara langsung dengan mengambil bahagian dalam menghias kiosk dan menyediakan menu serta hidangan Aidilfitri yang mewakili fakulti masing-masing bagi merebut gelaran Rumah Aidilfitri Terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kiosk yang mewakili lima fakulti yang bertanding sempena sambutan Majlis Merdeka Raya tersebut.

Katanya, pertandingan Suara Emas Aidilfitri turut diadakan untuk memeriahkan suasana dan mencungkil bakat terpendam khususnya di kalangan pelajar TATiUC.

Tambah beliau, Majlis Merdeka Raya berkenaan yang menyediakan pelbagai juadah popular Terengganu turut dihadiri ketua-ketua jabatan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Kemaman.



Teganukita 89



Polis nafi ada pihak rekrut pelajar

Oleh: Suriati Ali 

Polis Terengganu tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan pelajar sebagai anggota kongsi gelap, malah tindakan lebih tegas akan dikenakan mengikut undang-undang.jika benar jenayah itu berlaku.

 Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, pihaknya berharap agar semua pihak termasuk sekolah dapat menyalurkan maklumat sekiranya ada pihak yang cua merekrut pelajar untuk menjadi ahli kumpulan kongsi gelap.

“Berdasarkan laporan yang diterima, tiada lagi seumpama itu dan gengsterisme berlaku di negeri ini.

“Bagaimanapun bagi mencegah, pemantauan pihak berkuasa giat dijalankan di semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya kepada pemberita pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM di Satadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Datuk Hamzah berkata, langkah proatif telah diambil dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis, selain mengukuhkan kesedaran melalui Kelab Pencegahan Jenayah dan Kor Sukarelawan OPolis (Ko-Suksis) bagi membentung pembabitan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral tersebut

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap pelajar malah penuntut IPT supaya tiada usaha pihak tertentu yang cuba menjadikan golongan ini sebagai ahli dalanm aktiviti jenayah mereka,” katanya.

.


Pameran PKPP di Pesta Terengganu 27 September - 3 Oktober

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Rantau Abang, Dungun akan mengadakan pameran penyu sempena Pesta Terengganu di Menara Kuala Lumpur dari 27 September  hingga 3 Oktober ini. 

Pengurus PKPP, Encik Abdul Halim Mat Nor berkata pameran itu bertujuan memberi kesempatan kepada orang ramai melihat dan memahami hidupan mamalia marin itu yang kini diancam kepupusan.

"Kita akan bawa 10 hingga 15 ekor penyu hidup untuk dipamerkan kepada orang ramai pada pesta tersebut," katanya.

Untuk tahun ini, pendaratan penyu terutamanya di pantai Geliga Kemaman terus mencatatkan peningkatan berbanding pantai-pantai yang lain di negeri ini.

Beliau berkata dalam tempoh lima bulan lepas, Jabatan Perikanan merekodkan 1,650 sarang penyu membabitkan lebih 160,000 biji telur di Pantai Geliga.

Katanya lebih 8,000 pelancong dalam dan luar negara telah mengunjungi PKPP dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu dengan kira-kira 700 daripada mereka mengikuti program kesedaran penyu.

PM lancar Walk4Malaysia 13 September

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan melancarkan program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada 13 September (Jumaat) ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu kepada kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, yang akan berjalan kaki sejauh 660 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya.

Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin, berkata program berjalan kaki dari Kuala Besut, Besut ke Putrajaya dianjurkan Kerajaan Negeri Terengganu bagi menterjemahkan sokongan rakyat kepada kempimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Ia juga merupakan cetusan hasrat Mohd Noor sebagai tanda kesyukuran selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar, berkata program tersebut antara lain bertujuan mempromosi kejayaan kerajaan yang ada sekarang ini dalam membina iklim politik yang stabil dan aman.

Katanya, Mohd Noor akan mengambil masa selama 12 hari bagi melaksanakan misi berkenaan di mana beliau akan mula berjalan kaki pada 22 September di Dataran Kuala Besut dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober.

 “Bermula di Kuala Besut, terdapat lima persinggahan Walk4Malaysia iaitu Merang di daerah Setiu, Batu Burok (Kuala Terengganu), Merchang (Marang), Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

“Beberapa lokasi menjadi destinasi persinggahan Mohd Noor di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Putrajaya bagi menamatkan perjalanan,” katanya.

 Saiful Bahri berkata, bagi menjayakan program berkenaan, beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan turut dilibatkan seperti pejabat-pejabat daerah, Majlis Sukan N egeri, Majlis Belia Negeri Terengganu dan Puteri Umno Negeri Terengganu.



TCR2013 jangka tarik penyertaan 1,000 peminat sukan berbasikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 1,000 peminat sukan berbasikal dijangka menyertai cabaran berbasikal, Terengganu Century Rider 2013 (TCR2013) menjelajah keindahan negeri ini sejauh 160 kilometer pada 15 September ini.

Acara edisi kedua sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 itu turut membabitkan peserta dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Pengarah Acara TCR2013, Encik Zulkarnain Shah A Rahman berkata pada kali ini Pedal Explorer dan Team 1Permai selaku penganjur bersama TCR2013 akan memastikan peserta bakal menikmati kayuhan yang lebih meriah dengan laluan yang mencabar tetapi menarik.

"Antaranya ialah laluan ladang kelapa sawit yang berbukit, keindahan tepian pantai dan juga kampung nelayan yang akan menjanjikan pengalaman cukup indah buat semua kali ini," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

 Turut hadir Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Mohd Mahdi Musa serta Pengurus Besar Hotel Permai, Encik Azman Ali.

Encik Zulkarnain Shah berkata acara yang agak mencabar itu tidak menghalang bagi remaja seawal 16 tahun, kaum wanita dan warga emas berumur selewat 65 tahun untuk turut serta.

“Peserta diwajibkan menamatkan kayuhan dalam masa lapan jam bagi mendapat pengiktirafan sebagai seorang 'Centurion',” katanya.

 TCR2013 melibatkan lima kategori iaitu Junior (Bawah 18 Tahun), Terbuka (18-34 Tahun), Veteran (35-45 Tahun), Veteran Senior (46 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.


Tidak jemu bantu penduduk

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Sulaiman, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Kemudu.
SELAMA 10 tahun menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) menjadikan, Sulaiman Mamat, 57, sudah 'kalih' dengan pelbagai ragam penduduk kampungnya malah dia tidak pernah merasa jemu dan akan terus memegang jawatan itu selagi dipertanggungjawabkan. 

Pengerusi JKKK Kampung Bukit Kemudu, Setiu itu juga adalah pelopor kepada penuhuhan UMNO cawangan kampungnya yang bermula hanya seramai 50 ahli kira-kira 15 tahun lalu dan kini jumlah ahli cawanganya bertambah kepada lebih 90 ahli.

Sulaiman berkata, dia begitu bangga kerana dalam usia 15 tahun penubuhan cawangan UMNO tempatnya, pelbagai pertolongan sudah diberi kepada penduduk kampungnya antaranya ialah pemilikan enam buah rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT)kepada penduduk kampungnya dan membaikpulih lebih 10 buah rumah.

"Walaupun kampung ini tidak ramai penduduk sebagaimana kampung-kampung lain di daerah Setiu tetapi kerajaan Barisan Nasional tetap perihatin dengan masalah rakyat dan ini terbukti apabila enam keluarga tidak berkemampuan membina rumah sendiri mendapat rumah PPRT.

Saya dan rakan-rakan JKKK lain berusaha membantu mereka "Begitu juga penduduk yang mempunyai rumah yang uzur dan kecil, kami juga sudah membaikpulih lebih 10 buah rumah dan beberapa buah rumah lagi sedang dalam penilaian," kata bapa kepada enam anak itu.

Indah...balairaya Kampung Bukit Kemudu, Setiu.
Menurutnya, sepanjang 10 tahun khidmatnya sebagai ketua cawangan UMNO kampung itu, dia juga berjaya memperolehi sebuah balairaya yang indah untuk dijadikan tempat pelbagai aktiviti masyarakat. "Balai raya ini siap hampir setahun lalu dan ia digunakan sebagai tempat mesyuarat JKKK, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.

Kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah padang bola untuk belia beraktiviti dan tempat sudahpun dikenal pasti bagi mengantikan padang bola lama yang tidak boleh digunakan lagi sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Sulaiman berkata, dia mengharapkan penduduk akan terus menyokong Barisan Nasional supaya agenda kemajuan kampungnya itu akan dapat diteruskan menjadi sebuah kampung yang lengkap dengan pelbagai kemudahan walaupun ia sebuah kampung yang kecil dan penduduk yang tidak ramai.


Sabri mahu selesai masalah tanah

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


Sabri rasmi mesyuarat UMNO Kampung Selamat.
 AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mat Nor berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan beberapa masalah penduduk termasuklah masalah tanah dan perumahan di kawasan itu supaya penduduk akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Katanya, masalah tanah dan perumahan menjadi agenda utamanya selepas memegang jawatan sebagai wakil rakyat kerana masih ramai penduduk yang tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri serta tidak memiliki hak milik tanah walaupun sudah lama mendudukinya.

“Saya sebagai wakil rakyat akan cuba sedaya upaya membantu penduduk kawasan ini . Oleh itu saya meminta semua ketua cawangan bersama-sama membantu saya menyelesai pelbagai masalah penduduk terutamanya soal tanah ini.

“Insya Allah saya akan membuat apa yang terbaik untuk penduduk Kampung Selamat dan penduduk Langkap. Saya minta ketua cawangan memberi cadangan kawasan yang boleh dibangunkan sebagai kawasan perumahan.

“Saya sebagai salah seorang jawatankuasa tanah di daerah Setiu dan saya akan meminta Pegawai Daerah supaya menyegerakan kelulusan tanah untuk membina kawasan perumahan di kawasan Langkap ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Selamat, Langkap, di sini semalam.

Sebahagian ahli hadir mesyuarat UMNO Kampung Selamat, semalam.
Dalam pada itu, Sabri meminta penduduk Kampung Selamat dan seluruh Langkap terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional supaya agendanya untuk membangunkan Langkap akan dapat dilaksanakan dengan berterusan. Sementara itu,

Pengerusi tetap UMNO Kampung Selamat, Husin Saamah, berkata pemilihan mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Selamat, semalam berjalan lancar dan beliau berterima kasih kepada Dato Sabri kerana sudi hadir merasmikan majlis.

“Dalam mesyuarat pemilihan semalam, Ketua Cawangan masih disandang Mazlan Che Ismail manakala Ketua Wanita Shamsiah Deraman. Ketua pemuda pula ialah Mohd Khairi Mohamad,” katanya .