Halaman

27 September 2013

IQ sasar 1 hadir 1 keluarga

Institut Al-Quran Terengganu (IQT) menyasarkan melahirkan seorang hafiz Al-Quran setiap keluarga bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi peneraju Quraniyah.

 Pengarahnya Datuk Dr Alias Abdullah berkata di samping ilmu pengetahuan umum, ilmu Al-Quran juga penting dalam membentuk masyarakat.

 "Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai ilmu dunia, tetapi juga mempunyai ilmu akhirat, supaya Al-Quran dapat menjadi pembimbing hidup kita," katanya ketika ditemui Bernama di IQ Terengganu di sini.

IQ Terengganu juga berhasrat menjadi tempat tumpuan masyarakat dalam menuntut ilmu, katanya. "Pelajar yang masuk ke institut ini merupakan lulusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), mereka akan belajar di sini selama empat tahun untuk melayakkan mereka mendapat sijil.

 "Bagi masyarakat umum pula, kita menyediakan satu kuliyah khas untuk masyarakat yang berumur 18 hingga 65 tahun...melalui kuliyah ini, mereka diajar dari asas bacaan Al-Quran, termasuklah tajwid hingga ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Alias berkata program Kuliyah Al-Furqan membabitkan dua kursus iaitu Kursus Ulum Al-Quran melibatkan tahap satu hingga empat dan Kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah yang mempunyai lima tahap iaitu qiraat, bahasa Arab, tafsir, tahfiz dan tarannum.

 Menurutnya sehingga kini IQ Terengganu merupakan satu-satunya pusat pengajian di negeri ini yang menjalankan program Qiraat Sub'ah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan setiap tahun sebanyak 1,600 pelajar baharu diambil untuk pengajian itu.

 

PLBT hantar pelumba Sukma ke China

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menghantar lima pelumba skuad Sukan Malaysia (Sukma) 2014 ke Kejohanan Terbuka Jing Jin, Tianjin, China, dari 24 hingga 28 Okt ini.

 Ketua jurulatih Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata penghantaran pelumba skuad Sukma 2014 ke kejohanan itu merupakan langkah terbaik untuk mereka menimba pengalaman.

 "Kami tidak meletakkan sasaran pada kejohanan itu memandangkan kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian adalah pasukan bertaraf dunia," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata PLBT akan menyenaraikan antara 22 dan 24 pelumba termasuk empat pelumba wanita bagi menghadapi tiga kejohanan tempatan bulan depan.

 Menurutnya tiga kejohanan tersebut adalah Kejohanan Kriterium Sepang pada 6 Okt ini, Kejohanan Lumba Basikal Remaja (Lebuhraya) S2/2013 SportExcel-MSN-Milo di Mersing, Johor (11-13 Okt) dan Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit 4 di Negeri Sembilan pada 24 hingga 28 Okt ini.



Masjid Bandar Permaisuri, masjid penyatuan ummah.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Masjid Bandar Permaisuri.
PEMBUKAAN masjid Bandar Permaisuri, Setiu pada 2002 lalu adalah satu rahmat yang amat besar bagi penduduk Bandar Permaisuri dan kampung-kampung sekitarnya termasuklah Kampung Buluh, Kampung Kederang, Kampung Buruk dan beberapa kampung lagi kerana disitulah bermula penyatuan solat jumaat.

Selepas berpuluh tahun, satu mukim mempunyai dua tempat menunaikan solat jumaat berdekatan iaitu kira-kira 200 meter , dengan wujudnya Masjid Bandar Permaisuri yang terletak di atas sebuah bukit di Kampung Bukit Pelong, wujud ukhwah yang paling bermakna bagi seluruh penduduk, di mana mereka sama-sama menuju ke satu tempat untuk menunaikan solat Jumaat.

Ruang solat yang selesa.
Masjid yang dibina kerajaan itu mempunyai ruang solat yang luas berbanding masjid sebelum itu boleh memuatkan lebih ramai jemaah dan menjadi tempat hentian penguna jalan raya Kuala Terengganu- Kota Bharu kerana kedudukannya yang strategik untuk menunai ibadah, rehat atau rawat.

Lanskapnya juga agak menarik, di mana pelbagai pokok renek dan sederhana besar ditanam sekitar masjid manakala ruang meletak kenderaan yang luas iaitu didua bahagian depan dan belakang memudahkan pengunjung untuk pakir kenderaan. Begitu juga ruang untuk megambil wuduk yang agak luas memudahkan jemaah mengambil wuduk tanpa perlu menunggu lama.

Lanskap yang indah.
Tandas dan bilik mandi juga dijaga dengan baik dan sentiasa dalam keadaan yang bersih, pengunjung juga diminta sama-sama menjaga kebersihanya.

Kemudahan lain yang terdapat di masjid itu ialah, sebuah van jenazah, sebuah bilik komputer yang terdapat di luar masjid, rumah iman dan bilal serta sebuah wakaf untuk pengunjung berehat bersama keluarga.

Pelbagai aktiviti keagamaan sentiasa diadakan di masjid itu termasuklah sarahan agama hampir setiap malam, kuliah subuh, kursus haji, aktiviti qiamullai dan lain-lain.Beberapa Iman dan Bilal ditugaskan secara bergilir-gilir untuk mengendalikan masjid itu.

Semoga masjid yang indah dan diberkati Allah ini akan terus menyatukan penduduk Bandar Permaisuri dan kampung sekitarnya dan menjadi tumpuan penduduk serta musafir untuk melakukan pelbagai aktiviti ibadah seperti menunaikan solat, mendengar ceramah agama, berwirid dan lain-lain.
Ruang letak kereta yang luas.

260 ibu dan bapa tunggal terima insentif.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Penerima insentif bergambar kenangan bersama Mohd Jidin (duduk, tengah).
SETIU: Seramai 24,318 ibu tunggal di negeri ini mendaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) manakala duda pula seramai 2,810 orang.

Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, Parlimen Kemaman mencatatkan bilangan ibu tunggal dan duda paling tinggi seramai 4,317 orang diikuti Besut seramai 3,837 orang, Marang 3,698 orang, Kuala Terengganu (3,375), Dungun (3,330), Setiu (3,006), Kuala Nerus(2,824) dan Hulu Terengganu seramai 2,741 orang.

“Daripada jumlah itu seramai sebanyak 287 orang memohon insentif perkahwinan ibu dan bapa tunggal negeri Terengganu sehingga 10 September lepas dan 260 orang daripadanya diluluskan kerajaan,” katanya. 

Shafaruddin berkata demikian pada Majlis Sambutan Merdeka Raya dan Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal Parlimen Setiu YPKT yang dirasmikan Pengerusi Jawatankua Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri merangkap Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu, Bandar Permaisuri di sini semalam.

Menurutnya, seramai sembilan pasangan di Parlimen Setiu menerima insenfit bernilai RM2,000 seorang bagi ibu tunggal dan bapa tunggal. Menurutnya, hanya pasangan yang terdiri berstatus ibu dan bapa tunggal sahaja mendapat insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Terenggganu.

“Pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM600,000 untuk diberi insentif kepada ibu dan duda di negeri ini. “Dalam pada itu kesemua ibu tunggal yang berusia 18 hingga 69 tahun yang berdaftar menerima skim insuran perlindungan diri percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri dan layak menerima pelbagai pelan perlindungan,” katanya.

Pasangan "pengantin baru" menerima insentif dari Mohd Jidin .
Katanya, faedah melalui skim ini ialah sekiranya ahli meninggal dunia akibat kemalangan, penama akan memperolehi RM15,000 dan khairat kematian RM1,500 di samping pembiayaan rawatan di hospital dengan RM55 sehari.

"Kadar perkahwinan pada tahun ini di Terengganu menunjukkan peringkatan menjadi sekitar 11,000 pasang berbanding tahun lalu sekitar 9,000 hingga 10,000 pasang sahaja." katanya.

Pada majlis sama Mohd Jidin turut menyerahkan Senarai Penerima Pelan Perlindungan Insuran Takaful Berkumpulan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas Parlimen Setiu, penyampaian Pinjaman Modal Program Jaya diri dan sijil tamat Latihan Kelas Jahitan Komuniti. Sementera itu pasangan ibu tunggal dan duda yang berkahwin.


Pertandingan Bot Berhias ‘Dirgahayu Tuanku, TMT 2013’

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai berpeluang menyaksikan keunikan reka bentuk dan hiasan yang melatari bot di Pertandingan Bot Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, pada 28 September (Sabtu) ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dijangka berangkat merasmikan pertandingan yang bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013’, yang bermula jam 8 malam itu.

Pertandingan bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah, masing-masing Pejabat Daerah (PD) Kuala Terengganu, PD Hulu Terengganu, PD Marang, PD Besut, PD Dungun, PD Kemaman dan PD Setiu serta jabatan kerajaan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan itu nanti.

 “Pada pertandingan tersebut, setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri dalam menata rias bot mereka.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan bagi menyiapkan dan menghias bot masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM25,000, tempat kedua RM15,000; tempat ketiga RM10,000 dan dua hadiah saguhati, masing-masing RM7,000 setiap satu. 

Katanya, sistem pemarkahan dalam pertandingan itu dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema (30 peratus), kekemasan (30 peratus) dan bonus sepuluh peratus.

Menurutnya, acara pada malam itu turut diserikan dengan persembahan `Tarian Selamat Datang’, diikuti dengan titah perasmian oleh Sultan Mizan serta perarakan bot dan juga persembahan kebudayaan oleh artis kesenian Terengganu.

 

Stage 5: PAKA - KEMAMAN














26 September 2013

200 sedia cemerlang PMR

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Sebahagian pelajar yang menyertai kem.
KUALA NERUS: Seramai 200 pelajar dari 26 buah sekolah seluruh negeri Terengganu berkampung selama tiga hari di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal, di sini, berakhir hari ini mengikuti Kem Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai persediaan akhir menghadapi peperiksaan itu yang akan bermula 2 Oktober ini.

Kem anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan dibiayai oleh kerajaan negeri itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian keputusan PMR di negeri ini dan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dengan keputusan 8A.

Jurucakap Urusetia kem, Ku Zaifulizam Ku Abu Bakar, berkata, kebanyakan pelajar yang menghadiri kem ini menunjukan komitmen yang tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam peperiksaan PMR nanti malah masing-masing mahukan keputusan 8A.

“Pihak urusetia dan penceramah yang menjayakan kem ini sudah memberi mereka ilmu yang berguna untuk cemerlang dalam PMR nanti. Walaupun hanya dalam masa tiga hari tetapi mereka banyak mendapat manfaat daripadanya dan kami semua mengharapkan semua pelajar yang hadir kem ini akan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Ismail...kongsi ilmu.
Sementara, wakil JPNT, Pengetua Sekolah Menengah Sultan Mizan, Ismail Kusri dalam ucapan perasmian penutup kem itu, berkata beliau mengharapkan semua pelajar akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR nanti.

“Saya mengharapkan semuanya akan berjaya dan tiada lagi yang akan kecewa. Itulah harapan saya dan harapan JPNT. Saya mengharapkan pelajar semua memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan negeri dan yang paling penting ialah sumbangan kepada diri kita sendiri,” katanya.

Ismail berkata, dalam tempoh yang terdekat ini, beliau mengingatkan kepada pelajar supaya berkongsi segala ilmu yang mereka perolehi dengan kawan-kawan yang tidak menghadiri kem itu apabila pulang ke sekolah masing-masing.

“Apabila balik nanti ceritalah kepada kawan-kawan apa yang pelajar semua perolehi sepanjang tiga hari di sini. Kejayaan kita akan lebih manis kalau kita berjaya membantu rakan-rakan kita,” katanya.


Proses meremajakan UMNO Besut berjalan lancar


ADUN Kota Putera Mohd Mahdi Musa bersama bakal Ketua Pemuda Besut,Azizul Jasmi Mohamad

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut muncul bahagian pertama negeri ini semua jawatan utama parti dimenangi tanpa bertanding menjelang pemilihan parti Oktober depan.

Ini berikutan beberapa jawatan termasuk Ketua Bahagian, Timbalan,dan Ketua Pemuda calon yang bertanding memutuskan untuk menarik diri dan memberi laluan mudah kepada calon terbabit.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian, apabila pencabarnya Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih menarik diri kelmarin.

Ketua sekarang, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II,tidak mempertahankan jawatan itu sebaliknya menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua yang sebelum ini disandang Muhamad Pehimi.

ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua apabila pencabarnya, Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM),Shamsuddin Sulong turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd Mahdi.

Manakala jawatan Ketua Wanita,Engku Naimah Engku Taib menang selesa apabila tiada pencabar sebelum ini.

Bagi Ketua Pemuda, Azizul Jasmi Mohamad, turut menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Mohd Husaimi Che Hussin, menarik diri. Kecuali Ketua Puteri, akan berlaku pertandingan antara Mazime Mohamad dan Erni Salwani Saidi.

Menurut Nawi, keputusan semua jawatan utama itu tidak dipertandingan dibuat secara musawarah antara calon terbabit dalam usaha untuk mengekalkan tradisi di bahagian Besut tiada berlaku pertandingan sejak dahulu lagi.

“Ia juga atas nasihat Idris yang mahukan ahli parti di bahagian ini menjadi contoh dan teladan kepada bahagian lain,” katanya.

Berikutan itu, Nawi berkata, beliau akan melantik Muhamad Pehimi sebagai Setiausaha Bahagian yan g baru menggantikan Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Selain itu, ADUN Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Rahman pula akan dilantik sebagai Ketua Penerangan baru.

14.3 juta pengguna internet terdedah penjenayah siber

Oleh; Esah Abdullah 

Daripada kira-kira 14.3 juta pengguna komputer dan internet di negara ini didapati kurang dari satu peratus sahaja pengguna yang mempunyai kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan internet.

Peserta kursus bersama  Jazanul Azriq Aripin fasilitator Cyber Security (tengah)
Ketua Jabatan Outreach Cyber Security Malaysia (OCSM), Encik Rosli Yahil berkata, kurang kesedaran itu menyebabkan ramai pengguna mudah ditipu oleh `penjenayah siber’ yang disebarkan dalam internet bagi mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah.

“Sehubungan itu 14.3 juta pengguna internet dilihat amat terdedah dengan penipuan siber kerana sikap mengambil mudah terhadap apa yang mereka perolehi melalui alam siber.

 “Ini kerana banyak kes-kes yang dikenalpasti pengguna mudah terpedaya dengan rakan yang dikenali dalam talian termasuk penipuan dengan helah penghantaran barang, menjadi keldai dadah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penutup Kursus Cyber Safe kepada guru-guru pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri di Marang.

Menurutnya,  OCSM di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu melalui program outreach sedang berusaha untuk meningkat kesedaran mengenai penggunaan komputer dan internet kepada pengguna.

 Katanya, pada masa ini OCSM mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengadakan kursus tersebut kepada pemimpin persatuan di seluruh negara.

``Melalui program ini diharapkan pemimpin terbabit dapat menyalurkan maklumat kepada pemimpin dan ahli-ahli lain mengenai keselamatan komputer dapat ditingkatkan,” katanya.

Seramai 20 peserta terdiri daripada pemimpin persatuan pandu puteri negeri dan daerah menghadiri kursus selama tiga hari yang bertujuan memberi pendedahan mengenai kerselamatan penggunaan siber.

Stage 4: MERCHANG - PAKA