Halaman

26 September 2013

Proses meremajakan UMNO Besut berjalan lancar


ADUN Kota Putera Mohd Mahdi Musa bersama bakal Ketua Pemuda Besut,Azizul Jasmi Mohamad

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut muncul bahagian pertama negeri ini semua jawatan utama parti dimenangi tanpa bertanding menjelang pemilihan parti Oktober depan.

Ini berikutan beberapa jawatan termasuk Ketua Bahagian, Timbalan,dan Ketua Pemuda calon yang bertanding memutuskan untuk menarik diri dan memberi laluan mudah kepada calon terbabit.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian, apabila pencabarnya Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih menarik diri kelmarin.

Ketua sekarang, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II,tidak mempertahankan jawatan itu sebaliknya menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua yang sebelum ini disandang Muhamad Pehimi.

ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua apabila pencabarnya, Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM),Shamsuddin Sulong turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd Mahdi.

Manakala jawatan Ketua Wanita,Engku Naimah Engku Taib menang selesa apabila tiada pencabar sebelum ini.

Bagi Ketua Pemuda, Azizul Jasmi Mohamad, turut menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Mohd Husaimi Che Hussin, menarik diri. Kecuali Ketua Puteri, akan berlaku pertandingan antara Mazime Mohamad dan Erni Salwani Saidi.

Menurut Nawi, keputusan semua jawatan utama itu tidak dipertandingan dibuat secara musawarah antara calon terbabit dalam usaha untuk mengekalkan tradisi di bahagian Besut tiada berlaku pertandingan sejak dahulu lagi.

“Ia juga atas nasihat Idris yang mahukan ahli parti di bahagian ini menjadi contoh dan teladan kepada bahagian lain,” katanya.

Berikutan itu, Nawi berkata, beliau akan melantik Muhamad Pehimi sebagai Setiausaha Bahagian yan g baru menggantikan Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Selain itu, ADUN Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Rahman pula akan dilantik sebagai Ketua Penerangan baru.

14.3 juta pengguna internet terdedah penjenayah siber

Oleh; Esah Abdullah 

Daripada kira-kira 14.3 juta pengguna komputer dan internet di negara ini didapati kurang dari satu peratus sahaja pengguna yang mempunyai kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan internet.

Peserta kursus bersama  Jazanul Azriq Aripin fasilitator Cyber Security (tengah)
Ketua Jabatan Outreach Cyber Security Malaysia (OCSM), Encik Rosli Yahil berkata, kurang kesedaran itu menyebabkan ramai pengguna mudah ditipu oleh `penjenayah siber’ yang disebarkan dalam internet bagi mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah.

“Sehubungan itu 14.3 juta pengguna internet dilihat amat terdedah dengan penipuan siber kerana sikap mengambil mudah terhadap apa yang mereka perolehi melalui alam siber.

 “Ini kerana banyak kes-kes yang dikenalpasti pengguna mudah terpedaya dengan rakan yang dikenali dalam talian termasuk penipuan dengan helah penghantaran barang, menjadi keldai dadah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penutup Kursus Cyber Safe kepada guru-guru pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri di Marang.

Menurutnya,  OCSM di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu melalui program outreach sedang berusaha untuk meningkat kesedaran mengenai penggunaan komputer dan internet kepada pengguna.

 Katanya, pada masa ini OCSM mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengadakan kursus tersebut kepada pemimpin persatuan di seluruh negara.

``Melalui program ini diharapkan pemimpin terbabit dapat menyalurkan maklumat kepada pemimpin dan ahli-ahli lain mengenai keselamatan komputer dapat ditingkatkan,” katanya.

Seramai 20 peserta terdiri daripada pemimpin persatuan pandu puteri negeri dan daerah menghadiri kursus selama tiga hari yang bertujuan memberi pendedahan mengenai kerselamatan penggunaan siber.

Stage 4: MERCHANG - PAKA












Stage 3: BATU BURUK - MERCHANG













Stage 2: MERANG - BATU BURUK












Rezeki berganda selepas bersalin, dikunjungi Sultanah Nur Zahirah

Seorang ibu bersama bayinya begitu teruja apabila menerima lawatan diraja, apabila Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan berangkat ke HSNZ Kuala Terengganu,  pagi tadi.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Tidak sampai tiga jam berada di wad, saya dan bayi menerima lawatan diraja. Pasti ini suatu yang mengujakan dan sudah menjadi rezeki berganda kami, selepas beberapa jam selamat menyambut anak kedua, dapat pula bersalaman dan melihat wajah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah secara dekat,” kata Puan Azrina Abidin, 30, dari Bukit Payong, Marang kepada Teganukita, hari ini.

Azrina antara 34 ibu bersama bayi yang baru lahir menerima lawatan Sultanah Terengganu bersempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kira-kira jam 10 pagi ini.


Baginda Sultanah Nur Zahirah yang diiringi isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah turut menyampaikan sumbangan hamper barangan bayi serta wang tunai.

Puan Azrina yang selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.9 kilogram secara normal, tidak menduga tarikh yang  sama kelahiran bayinya meninggalkan kenangan amat bermakna apabila turut berkesempatan bersua dengan Sultanah Nur Zahirah.

Sementara Puan Syuhaili Hamid, 34, pula sangat gembira apabila Tuanku Sultanah Terengganu sanggup menemui rakyat dan melawat golongan ibu yang baru bersalin di hospital berkenaan sambil menyampaikan sumbangan.

“Ini satu rezeki dan penghargaan yang sangat besar buat kami kaum ibu yang baru melahirkan zuriat. Nampaknya keputusan balik berpantang di Terengganu dan bersalin di HSNZ walaupun menetap dan bekerja di Johor meninggalkan memori indah buat saya dan bayi kedua kami ini,” katanya yang mempunyai anak sulung berusia enam tahun.

Puan Zainab Ibrahim, 31 dari Kampung Bukit Gasing, Marang yang bersalin cahayamata ketiga, kira-kira jam 12.30 tengahari semalam, juga sangat ceria dengan kehadiran zuriat baru, apatah lagi turut dilawati wanita istimewa di hati rakyat itu.

 “Kalau sebelum ini, dapat tengok baginda tuanku dalam majalah, televisyen dan jauh-jauh sahaja, kali ini nampaknya dekat depan mata. Sangat teruja dan baginda sungguh sopan dan anggun sekali,” katanya.


Sultanah Nur Zahirah lawat 34 ibu bersama bayi baru lahir

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat ibu dan bayi yang baru lahir di HSNZ, Kuala Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan berangkat ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kira-kira jam 10 pagi ini.

Baginda diiringi isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Turut hadir, To’ Puan Seri Tengku Halifah Kasnihah Tengku Su dan isteri Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja, Datin Sharifah Zarinatasha Jamalullail.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat negeri, Encik Mohd Mahdi Musa; Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Haji Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus.

Baginda berkenan melawat 34 ibu bersama bayi yang baru lahir sambil menyampaikan sumbangan hamper barangan bayi serta wang tunai di Wad Melor, 1CD di HSNZ.


Sultanah Nur zahirah kemudiannya turut meluangkan masa melawat isteri Engku Kelana DiRaja, To’ Puan Sharifah Fatimah Sahalat Syed Mohamad yang sedang menerima rawatan di tingkat tujuh hospital itu.

Sejurus kemudian, baginda bersama tetamu kenamaan yang lain berangkat ke bilik santapan sebagai mengakhiri acara itu.


Mohd Noor sudah harungi 260 km

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Hafizuddin Taha (Pelatih)

Masih berbaki tujuh hari dan tujuh lokasi yang perlu dijelajah peserta utama , Mohd Noor Mat Program Walk For Malaysia(Walk4Malaysia) bagi mencapai hasrat tiba di Putrajaya, pada 4 Oktober ini.

 Mohd Noor diiringi lebih 50 peserta lain, terdiri atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sudah menamatkan misi berjalan kaki sejauh kira-kira 260 kilometer (km) daripada jumlah 600 km yang disasarkan.

 Hari ini, Peserta Walk4Malaysia meneruskan misi untuk ‘menawan’ Putrajaya dengan berjalan kaki sejauh 53.9 kilometer ini menuju ke Chukai, Kemaman.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Yayasan Islam Terengganu Daerah Dungun, Ustaz Firdaus Khairi kira-kira jam 8.45 pagi tadi di Dewan Sivik Paka, Dungun.

Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin berkata, Walk4Malaysia akan memasuki Pahang, esok (27 September) dengan jarak perjalanan sejauh 44 km selama 8 jam 40 minit menuju ke Hentian Sebelah Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur.

“Bermula hari ketujuh, Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur. “Bermula di Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah,” jelasnya.

 Beliau memberitahu, cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km selama hampir 9 jam.

“Hari terakhir pada 4 Oktober, dari Stadium Bukit Jalil perjalanansejauh 20.9 kilometer diteruskan ke Masjid Putra, Putrajaya dengan anggaran masa perjalanan 4 jam 15 minit,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Terengganu.

 

Derma darah untuk selamatkan insan lain

Oleh; Esah Abdullah

Walaupun hanya melalui satu pin darah yang didermakan dan tidak dapat mendapat jaminan sepenuhnya menyembuhkan pesakit tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan terpaksa ditanggung oleh mereka yang memerlukan.

Tengku Sharun Tengku Hussin
“Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk saya terus menderma,” kata Tengku Sharun Tengku Hussin, 51, yang telah menderma sebanyak 115 kali sejak 31 tahun lalu. Bapa empat anak itu bekerja sebagai Pembantu Rendah Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan merupakan penderma darah yang paling aktif di negeri ini. 

Beliau yang ditemui pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di Pulau Wan Man, itu berkata, selagi masih ada hayatbeliau akan terus menderma darahnya untuk meringan beban mereka yang memerlukannya. 

Katanya, beliau tergerak hati menderma darah pada 1982, kerana ingin membantu anak seorang rakan sepejabat yang mempunyai masalah kekurangan darah akibat penyakit leukemia. 

“Walaupun tindakan tersebut tidak dapat menyembuhkan penyakit yang dialami anak rakannya tetapi bermula saat itu timbul keinsafan dan ingin membantu mereka yang memerlukan selagi masih terdaya. 

Encik Zakarian dan isteri Puan Maziah

Malah beliau pantang berjumpa rakan-rakan terus berkempen supaya dapat menderma darah bagi meringankan bebanan mereka yang sedang menghadapi kesukaran hidup. 

Sementara itu, seorang penderma aferesis teraktif, Encik Zakaria Omar, 38, berkata, dia mula menderma darah semasa remaja setelah menerima ajakan daripada teman-teman dan mula menjadi penderma aferesis pada tahun 2000. 

“Sebenarnya kita juga boleh menjadi penderma komponen tertentu saja dalam darah yang dipanggil pendermaan aferesis. Aferesis bermakna pendermaan satu komponen darah sama ada plasma, platelet atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi pendermaan ini, sel darah merah akan dikembalikan ke dalam badan menggunakan mesin khas tetapi jarak menderma hanyalah dua minggu sekali berbanding untuk derma darah biasa, tiga bulan sekali,” katanya yang merupakan seorang peniaga dari Kampung Banggol Peradong dan telah menderma aferesis sebanyak 149 kali. 

Menurutnya, pihak hospital akan menelefonnya sekiranya memerlukan aferesis miliknya untuk didermakan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. 

Bagi isterinya, Puan Maziah Ismail, 38, apa yang dilakukan oleh suaminya disokong sepenuhnya memandangkan dia juga pernah menanggung derita sakit buah pinggang selama 10 tahun sebelum menerima derma.
 

Teruskan perjalanan hari kelima ke Chukai

Oleh: Noraini Jusoh


Peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) meneruskan misi untuk ‘menawan’ Putrajaya dengan berjalan kaki sejauh 53.9 kilometer hari ini menuju ke Chukai, Kemaman.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Yayasan Islam Terengganu Daerah Dungun, Ustaz Firdaus Khairi kira-kira jam 8.45 pagi di Dewan Sivik Paka, Dungun.

Peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat dilaporkan tetap semangat untuk melunaskan nazarnya berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya walaupun menghadapi sedikit kesukaran menamatkan perjalanan pada hari sebelumnya ekoran keadaan cuaca yang kurang baik.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu bersama peserta lain yang meneruskan perjalanan dari Dewan Sivik, Merchang selamat tiba di Dewan Sivik Paka, Dungun tepat jam 11.20 malam tadi dan berehat di situ sebelum meneruskan misi bagi hari kelima, hari ini.

Peserta Walk4Malaysia dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan bakal singgah lagi di beberapa lokasi terpilih, termasuk Chukai, Kuantan, Gambang, Maran, Temerloh dan Genting Sempah.

Seterusnya mereka akan berjalan kaki ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.