Halaman

11 October 2013

Masjid Gemuruh hentian LPT 2

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Masjid Al Mustaqim, Gemuruh.
SELEPAS lebih lima tahun terbengkalai kerana pertukaran kerajaan, akhirnya Masjid Al Mustaqim, Gemuruh, Kuala Terengganu siap pada tahun 2000 dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Terengganu pada tahun lalu, kini menjadi tumpuan penguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk berhenti menunaikan solat atau berehat.

Masjid yang dibina ketika kerajaan Barisan Nasional itu dibina bagi menganti masjid lama yang diperbuat daripada kayu dan semakin uzur serta bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Masjid lama.
Jika dahulu, masjid lama boleh memuatkan sekitar tiga ratus jemaah tetapi masjid baru ini menampung kira-kira 1000 jemaah dan hampir penuh pada sembahyang hari raya Aidilfitri manakala untuk solat jumaat pula sekitar 500 orang.

Iman masjid, Wahab Ahmad, 61, berkata, sejak LPT fasa 2 dibuka kira-kira dua tahun lalu, masjid Kampung Gemuruh itu sentiasa menjadi tumpuan musafir untuk menunaikan solat fardu malah jumlahnya semakin ramai apabila cuti persekolahan atau musim perayaan.

“Sejak LPT buka, masjid ini tidak sunyi dari dikunjungi orang ramai yang dalam perjalanan samada dari arah Kota Bharu ke Pahang, Kuala Lumpur atau Johor atau sebaliknya, mereka akan berhenti untuk solat di sini kerana masjid inilah satu-satunya berhampiran hentian terakhir LPT fasa 2 ini,” katanya.

Haji Wahab..iman.
Wahab berkata, jika musim perayaan atau cuti sekolah, adakalanya tempat letak kereta akan penuh dan ada yang terpaksa meletakan kenderaan mereka jauh dari masjid.

“Pernah ada kira-kira 13 buah bas serentak berhenti di sini, penuh dan tiada ruang untuk letak kereta. Pendek kata, dalam sehari memang ada beberapa musafir berhenti di masjid ini manakala kalau cuti sekolah atau musim perayaan, jumlahnya bertambah berkali ganda,” katanya.

Wahab yang menjadi iman kira-kira 33 tahun lalu itu, berkata terdapat tiga orang iman dan tiga bilal bertugas bergilir-gilir di masjid ini. Katanya, terdapat juga tiga pekerja am menjaga kebersihan kawasan masjid dan tandas.

“Saya adalah iman kampung manakala dua lagi iman yang dilantik kerajaan, kami bergilir-gilir menjalan tugas menjadi iman. Selain itu kami juga mengajar untuk jemaah hampir setiap malam secara bergilir-gilir termasuklah mengajar mengaji Al –Quran.

“Pada setiap malam jumaat pula, kami dan jemaah mengadakan solat hajat dan tahlil. Masjid ini juga ada menjemput penceramah dari luar untuk menyampaikan ceramah agama,” katanya mengenai masjid yang terletak di atas sebidang tanah seluar satu ekar itu.
Bahagian dalaman masjid.

Wakaf disediakan
Tandas yang bersih.


10 October 2013

Kerajaan anjur program candat sotong sedunia

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri akan menganjurkan Program Candat Sotong Sedunia dalam usaha menarik pelancong luar negara mengunjungi serta melihat keistimewaan yang ada di sini sebagai satu destinasi pelancongan terbaik didunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata, program ini dijangka akan diadakan pada Mei hingga JUlai tahun depan dan penyertaan terbuka kepada semua wakil media dari seluruh dunia.

“Kerajaan akan membuat jemputan kepada wakil-wakil media dari dalam dan luar negara untuk menyertai program ini dan penyertaannya adalah percuma,” katanya kepada pemberita di Muzium Negeri Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT), Encik Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Katanya, beberapa lokasi mencandat telah dikenalpasti iaitu Kemaman, Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut dan program progarm ini dijangkakan menelan kos RM500,000.

Bermula dari sekarang katanya, beberapa kawasan tumpuan pelancongan telah dinaiktaraf dari segi keselamatan , keceriaan, kebersihan di samping kawasan coral diperelokkan sesuai dengan kehendak pelancong.

“Beberapa resort dan hotel baru juga dijangka boleh memulakan operasinya tahun depan bagi menampung kedatangan pelancong yang mungkin bertambah dan pengangkutan dijamin mencukupi,” katanya.

Tambahnya , kerajaan akan membuat promosi secara besar-besaran untuk menarik para pengamal media dari dalam dan luar negara menyertai program ini serta menikmati keunikan program yang ditawarkan selama tiga malam empat hari itu.
 

Pantai Batu Rakit yang mendamaikan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Pantai Batu Rakit jadi tumpuan nelayan.
KEINDAHAN pantai Batu Rakit yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu (melalui jalan pantai) sememangnya mempunyai keunikannya tersendiri. Jika Pantai Batu Buruk ada batunya sendiri, Pantai Batu Rakit juga terdapat batu berhampiran pantai itu.

Batu yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai itu, jelas kelihatan dan ia menjadi mercu tanda nelayan untuk mendaratkan perahu mereka. Lebih 30 perahu nelayan mengunakan Pantai Batu Rakit untuk mendaratkan ikan.

Batu Rakit
Pantai Batu Rakit mempunyai sejarahnya tersendiri kerana di pantai inilah menjadi pelabuhan untuk membawa pelbagai barangan dan makanan sebelum merdeka dahulu.

Terdapat sebuah pejabat kastam yang beroperasi di situ ketika itu. Pantai itu juga menjadi pengkalan untuk membawa orang ramai yang mahu ke Bandar Kuala Terengganu sebelum wujudnya pengangkutan darat.

Tambang motor penambang ketika itu ialah sebanyak 60 sen dari Batu Rakit ke Kuala Terengganu. Kini Pantai Batu Rakit hanya menjadi pantai biasa sebagaimana pantai-pantai lain di negeri ini. Yang kelihatan hanyalah Pulau Bidong dan beberapa pulau kecil yang terletak berhadapan pantai itu.

Manakala aktiviti nelayan keluar menangkap ikan dan mendaratkan ikan boleh dilihat menjelang subuh dan waktu petang.

Pasir pantainya putih bersih.
Seorang penduduk Fatimah Ghani, 59, berkata, orang ramai masih lagi mengunjungi pantai ini pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk berkelah bersama keluarga atau menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan.

“Sekitar tahun 70-an dan 80-an, pantai ini memang popular kerana keindahannya tetapi sekarang ia semakin berkurangan kerana banyak tempat-tempat perkelahan yang lebih popular di negeri ini,” katanya sambil mengharapkan pantai ini dinaiktaraf supaya ia akan kelihatan lebih cantik dan indah untuk dikunjungi.

Di Pantai ini juga, beberapa program kemasyarakatan sering diadakan antaranya ialah sukaneka hari keluarga, permainan tradisional, sukan bola pantai dan kempen kebersihan pantai dari beberapa persatuan dan pusat pengajian tinggi.

.

Terengganu kumpul peminat gamelan

Oleh: Suriati Ali dan Syazni Zainudin (Pelatih)

Terengganu bakal menjadi medan pertemuan ramai pakar, pencinta serta peminat gamelan tempatan dan luar negara bagi menyertai Festival Gamelan Sedunia 2013 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Festival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu diadakan selama tiga hari, bermula 25 Oktober depan.

Penolong Kurator (Perhubungan dan Pemasaran) LMNT, Mohd Saberi Muda berkata bertujuan festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan Simposium Gamelan yang pernah diadakan pada 2008 dan 2010.

Katanya, apa yang menariknya, ia turut disertai beberapa kumpulan dari luar negara, termasuk kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China.

 "Festival ini juga akan turut disertai beberapa kumpulan gamelan tempatan dan profesional tempatan seperti Hand Percussion, Kumpulan Pak Ngah, Kumpulan Gamelan Istana Budaya dan beberapa kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta," katanya dalam satu kenyataan..

 Beliau berkata, sempena festival itu beberapa aktiviti seperti pameran, persembahan gamelan serta gerai jualan akan turut diadakan.

 “Satu sesi bengkel gamelan akan turut diadakan dengan memfokuskan kepada permainan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan Jawa.

 "Bengkel ini akan dikendalikan tiga pakar muzik gamelan dan sejumlah 400 peserta terdiri daripada pelajar IPT dan penggiat seni gamelan akan menyertai bengkel ini," katanya.

 Mohd Saberi berkata melalui bengkel itu, diharapkan agar peserta dapat menguasai asas alat muzik gamelan.

"Festival yang melibatkan seluruh karyawan muzik dan tari gamelan seluruh dunia secara eksklusif ini bakal menjadi penyumbang terbesar ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai destinasi khusus yang menjadi ikon kesenian gamelan dunia," katanya.

 

Bina jati diri melalui seni dan budaya

Oleh: Matura Jamaluddin 

Bdaya masyarakat Melayu yang dijunjung menandakan jati diri bangsa dan sekiranya tidak dijaga serta disuburkan, maka tidak mustahil satu saat nanti khazanah kesenian bangsa akan tenggelam akibat sikap manusia itu sendiri.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata demikian ketika merasmikan Malam Bahasa Jiwa Bangsa peringkat negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Program tersebut bertujuan menyatukan semua sasterawan, penggiat seni, budayawan, para pelajardan ahli politik tanpa mengira agama dan bangsa untuk bersatu suara dalam melahirkan perpaduan antara kaum dan semangat cintakan bahasa dan sastera kebangsaan.

Beliau berkata, Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan melalui pendeklamasian puisi, persembahan budaya dan tradisional, nyanyian lagu puisi, sketsa dan lain-lain lagi yang merupakan satu seni budaya tempatan yang cukup berharga untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Memupuk kecintaan terhadap seni dan budaya merupakan satu usaha murni yang seharusnya dilaksanakan secara berterusan oleh generasi hari ini dalam membina jati diri seseorang, terutama generasi muda yang kian di hambat oleh budaya asing dalam era teknologi dan dunia tanpa sempadan,” katanya.

Majlis berkenaan turut diselit dengan persembahan budaya Hulu Terengganu seperti Tarian Balai dan ‘Coral Speaking” dialek hulu yang berjaya menarik perhatian orang ramai.

 

BBK tumpu lima sektor penting

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelaksanan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada tahun ini menumpukan kepada lima sektor penting yang merangkumi perkhidmatan awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat bukan Melayu, serta golongan belia dan remaja.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata BBK menjadi satu acara tahunan negara bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Pada tahun ini, sambutan BBK bertemakan Bahasa Kebangsaan 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu Gagasan 1Malaysia adalah berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sehubungan dengan itu, untuk makluman semua, terdapat lima objektif utama yang menjadi fokus kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, iaitu pertama, BBK diselenggarakan untuk menyegarkan semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengungkapan budaya tinggi serta bahasa komunikasi sosial dan perpaduan,” katanya di Majlis Pelancaran BBK Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir merasmikan majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Tokoh Bahasa dan Felo Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Teo Kok Seong.

Selain itu, katanya, gerakan BBK merupakan pengisian penjiwaan dan penghayatan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan serta ketiga, bagi mengeratkan dan memperkukuhkan perpaduan bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

Katanya, BBK juga dapat menyegarkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dan menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.

“Bagi menyemarakkan semangat Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, Jawatankuasa Penyelenggara BBK 2013 peringkat Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangka tujuh program pengisian BBK.

“ Program tersebut seperti Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2013, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Pameran Penerbitan dan Kepustakaan serta Jualan Buku; Indahnya Pantun (di Radio FM Terengganu) dan  Kolokium Persuratan Melayu Pesisir Laut: Sayembara Menulis Cerpen Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Timur untuk (Kategori Terbuka dan Pelajar sekolah Menengah)," katanya.

Kerajaan negeri sahkan Terengganu bebas fahaman Syiah

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib mengesahkan Terengganu bebas dari fahaman Syiah.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk kepimpinan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam, bilal, ketua komuniti dan masyarakat tidak ada lokasi khusus yang dijadikan tempat penularan fahaman Syiah di Terengganu.

Malah katanya, setakat ini tiada lagi individu yang terlibat dan ditangkap berkaitan dengan fahaman Syiah di negeri ini.

“Kalau ada risalah itu hanya satu provokasi untuk melihat bahawa seolah-olah Syiah berada di Terengganu.

“Saya mewakili kerajaan negeri menafikan sama sekali bahawa fahaman Syiah menular di negeri ini kerana semua daerah di Teregganu telah disahkan bebas daripada fahaman Syiah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu Syiah di Terengganu pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Netbook 1Malaysia di Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu), semalam.

Turut hadir, Pengarah IQ Terengganu Datuk Dr Alias Abdullah serta Penolong Pegawai Daerah Marang (Pembangunan Masyarakat), Ahmad Tasnim Mohamed.

Tambah beliau, tidak ada satu pun umat Islam di Terengganu yang menganuti fahaman Syiah kerana semua mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 “Tidak mungkin fahaman ini akan ada di Terengganu kerana Enakmen Negeri Terengganu cukup jelas serta tegas.

“Kita akan pastikan di Terengganu tidak ada fahaman lain selain Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan berpandukan enakmen dan undang-undang terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan rakyat negeri ini termasuk dalam soal fahaman Syiah.



 

Eksklusif!! PENCERAHAN ISU TAK LAYAK BERTANDING


Terengganu: Senarai mereka (calon-calon yang menawar diri) yang telah disenaraikan terkeluar dari pertandingan bagi pemilihan Umno kali ini sudah pun sampai ke pengetahuan masing-masing melalui Badan Perhubungan dan Umno Bahagian masing-masing.
  Ada yang tidak berpuas-hati dan ada yang merasakan sesuatu yang tidak tepat telah dikenakan ke atas mereka, tetapi sehingga ini senarai itu masih terpakai jua.
  Di antara sebab-sebab termasuklah masalah berkaitan insolvensi, tidak cukup tempoh tiga tahun menjadi ahli dan sebagainya. Walaupun mereka mendakwa, kes itu telah selesai (tersenarai dalam insolvensi) tetapi kemungkinan tidak di ‘update’ , namun sehingga ini nama yang tersenarai itu masih terpakai.
  Pengerusi Pemilihan Peringkat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) Dato’ Haji Muda bin Mamat ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.
  Berikut adalah wawancara khas Pengarang Teganukita, Ruslan Abdul Rahman dengan Dato’ Haji Muda Mamat melalui telefon sebentar tadi:
  Teganukita: Dato’ apakah benar tentang senarai nama mereka yang terkeluar dari petandingan?      Dato’Muda: Ya setakat ini, begitulah.
 Teganukita: Jadi adakah ia muktamad?
 Dato’ Muda: (ketawa)...ada beberapa aduan pencerahan oleh mereka yang terlibat dan saya telah maklum kepada pihak urusetia Badan Perhubungan Umno Negeri untuk tindakan selanjutnya. Saya difahamkan mereka memaklumkan perkara tersebut kepada urusetia Umno Malaysia.
 Teganukita: Apa respon Umno Malaysia? (atas rayuan, pemakluman dan sebagainya berkaitan hujah mereka yang tidak boleh bertanding)
 Dato’ Muda: Setakat ini saya difahamkan belum lagi mendapat maklumbalas dari sana.
 Teganukita: Sabtu ini sudah ada persidangan perwakilan sayap-sayap Dato’, macam mana ini?
 Dato’ Muda: Kalau ada pemakluman semula ke atas mereka yang tidak boleh bertanding sebelum sidang dijalankan, pihak Umno Bahagian boleh memaklumkan semula untuk mengesahkan mereka yang layak bertanding itu.
  Teganukita: Oh, kalau diumumkan dalam persidangan mereka layak semula, popularlah namanya Dato’. Dato’ Muda: (ketawa)
 Teganukita: Apakah antara hujah mereka yang tidak boleh bertanding itu menyatakan diri mereka tidak bersalah?
  Dato’ Muda: Ye ada antara mereka yang mengatakan kes mereka dah selesai dan mereka buktikan.
 Teganukita: Apa komen Dato’ selaku pengerusi Jawatankuasa pemilihan dalam hal ini?
  Dato’ Muda: Oh, Umno melalui proses transformasi. Mahu dipastikan yang benar-benar telah dimurnikan dari sebarang masalah boleh bertanding dan memimpin. Tetapi dalam sistem dan amalan demokrasi, mereka yang hendak menawar diri perlu diberi peluang seluas-luasnya kecuali benar-benar terbukti adalah masalah sebagaimana syarat yang ditetapkan oleh Umno Malaysia.
  Teganukita: Apa peranan Dato’ dalam hal ini.
  Dato’ Muda: Kami bersama jawatankuasa hanya menjalankan tugas berpandukan arahan tertentu yang masuk dalam bidang tugas kami dan membuat laporan kepada pihak urusetia untuk tindakan dan keputusan selanjutnya.
  Teganukita: Bagaimana dengan kedudukan yang telah tersenarai tidak boleh bertanding itu
  Dato’ Muda: Mereka yang membuat aduan, hujah dan sebagainya saya sampaikan kepada urusetia untuk dimajukan ke pihak yang lebih atas. Tunggu maklumbalas sahajalah, kalau tidak ia masih begitulah. Saya katakan tadi tunggulah sehingga ke hari persidangan, kalau disahkan semula layak, Umno Bahagian maklumkan sebelum persidangan bermula dan mereka bolehlah menyertai pertandingan.
  Teganukita: Terima kasih Dato’ atas penjelasan dan pencerahan. Saya akan hubungi lagi dari masa ke semasa.
Dato’ Muda: Terima kasih

Kerajaan komited perkasa tulisan jawi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri komited memartabatkan tulisan jawi menerusi penggunaannya pada nama syarikat, kawasan perumahan dan premis perniagaan sebagai langkah mengelakkan daripada pupus.

Insentif kerajaan termasuk meminta Pihak Berkuasa Tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda, nama jalan dan sebagainya mengutamakan bahasa kebangsaan dan tulisan jawi yang betul.

“Ia selaras dengan undang-undang Kecil Iklan dan garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan, seperti Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT:MNKT/D/Bil.1/2005 Bertarikh 11 Januari 2005.

“Dewan Bahasa Dan pustaka (DBP) juga dengan kerjasama Kementerian perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menerbitkan buku mengenai Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan Raya pada 1996 dan 2007 untuk rujukan,”katanya di Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad dan Tokoh Bahasa dan Felo Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Teo Kok Seong.

Menteri Besar sebelum itu berkata, tulisan jawi yang pernah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke-18 amat berkait rapat dalam perkembangan bahasa kebangsaan kita pada hari ini.

 “Bagaimanapun, kedudukan tulisan jawi pada masa kini seolah-olah terpinggir malah tidak lagi digunakan secara meluas.

“Dalam erti kata lain, peranannya sebagai pemancar jati bangsa Melayu kian terhakis dan semakin ditelan zaman,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap BBK akan memberikan impak yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya di Terengganu.

Beliau meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi sepanjang masa khususnya sepanjang BBK ini selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 : Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Katanya, sambutan BBK bertujuan memberikan pengisian terhadap tema sambutan pada tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Bahasa Melayu ialah bahasa negara dan lambang kedaulatan negara yang perlu dimartabatkan secara keseluruhan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat ke arah pembinaan negara yang berdaulat dan negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 1956, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasakan bahasa Melayu,” katanya.

Antara usaha DBP adalah Khidmat Nasihat DBP, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), e-Buana dan e-Pendeta yang boleh diakses melalui internet pada setiap masa dan tempat oleh pengguna.


Terengganu Inc. sedia pelan strategik yang komprehensif

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu Incorprated Sdn Bhd (TISB) kini dalam peringkat akhir penyediaan Pelan Strategik Syarikat 2014-2018 bagi terus menumpukan perhatian kepada agenda yang komprehensif untuk membina masa hadapan yang mampan bagi negeri dan rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peranan TISB sebagai syarikat pegangan pelaburan yang berkaitan GLC ialah untuk menyimbangkan pertumbuhan dan keberkesanan perniagaan dalam memastikan keuntungan yang optimum.


“Keuntungan yang diperolehi akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui pulangan dividen kepada semua pemegang saham iaitu enam agensi kerajaan yang terlibat,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Dividen kepada agensi-agensi kerajaan negeri di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, agensi berkenaan ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Menteri Besar Diperbadankan Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (YT), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).

Menurutnya, agensi kerajaan berkaitan akan menyalurkan dividen tersebut kepada rakyat khususnya melalui pelaksanaan projek-projek yang dikenalpasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit.

Menteri Besar yang juga Pengerusi TISB kemudiannya memperkenalkan dua Pengarah TISB yang baru dilantik berkuatkuasa pada 1 Ogos lalu iaitu Leftenan Jeneral Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar (B) (Permai Hotel) dan Dato’ Wan Jaafar Wan Mahamud (Epic).