Oleh: Suriati Ali
Kerajaan negeri memperuntukan RM130 juta sebagai usaha menyokong Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menjayakan Pelan Pembagunan Lima Tahun, mulai tahun depan.
Menteri Besar. Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia menyambut baik perlaksanaan pelan itu di mana mampu merancakkan lagi program pembangunan keusahawanan, melahirkan usahawan lebih berwibawa dan komited pada perniagaan masing-masing.
Katanya, menjadi kelaziman, setiap syarikat ternama pasti mempunyai perancangan terperinci untuk melebarkan sayap perniagaan lebih meluas.
“Usahawan yang baru bertatih pula perlu celik untuk melihat semua itu, dan bukannya bertindak tutup perniagaan dan mengambil pendekatan hanya lihat orang lain berjaya.
“Dengan perancangan diri, kita dapat menentukan banyak perkara, termasuk bijak menentukan masa untuk mencapai sesuatu dan mengkaji pencapaian syarikat dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi &Kepenggunaan Negeri, YB Encik Roslee Daud, pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu, di Primula Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.
Pada majlis itu., Pengarah Urusan Desa Murni Sd Bhd, Haji Shuhaimi Embong diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan 2013.
Dato’ Haji Ahmad turut memberitahu proses melengkapkan diri dan memperbaiki pencapaian perlu dilakukan sepanjang masa. Budaya sentiasa belajar perlu diterapkan dan tapap pencapaian perlu dipertingkatkan.
“Perlu ingat tiada perniagaan boleh mengekalkan kecemerlangan dengan hanya mengamalkan kaedah dan sistem yang sama.
“Kita perlu inovatif dan kreatif selain perlu mempelajari apa yang terbaik daripada sebarang kaedah, serta bijak menyesuaikannya untuk dijadikan amalan perniagaan,”katanya.