Eksklusif dari: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.
Di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar Kuala Terengganu, sebenarnya banyak tersimpan khazanah kenangan dan nostalgia masa lalu.
Bagi mereka yang sempat di zaman dewasa atau awal remajanya di tahun-tahun 1960 an, 70 an dan awal 80 an pasti masih tergambar wajah dan suasana bandar sepi yang indah itu.
Ada yang masih teringat tempat-tempat utama seperti stesen bas lama, panggung wayang, kedai makan yang popular iaitu Mok Mek Ceranang, Kedai Buku Pok Lah Yunan, kedai Wee Hong Bian atau orang Terengganu panggil “Kedai Bian’ ,yang menjual pakaian berjenama.
Panggung wayang yang tinggal dalam kenangan seperti Capitol, Lido dan Kong Wah yang tapaknya difahamkan berhadapan Kampung Cina kerana pada masa ini bangunan panggung wayang yang masih ada hanyalah panggung Rex dan Cathay yang tidak lagi beroperasi, tetapi banyak menyimpan kenangan lalu.
Mungkin suatu masa dulu di zaman belum ada kemudahan media hiburan seperti hari ini, panggung wayang adalah tempat yang amat menjadi tumpuan, sekalipun hanya bangunan kayu atau yang tidak seperti dan semewah seperti hari ini.
Mok Mek Ceranang ini kedai makan yang amat popular, walaupun pengusahanya orang Cina, tetapi pekerjanya ramai di kalangan gadis-gadis Melayu.
Bahkan Mok Mek ini sendiri walaupun berbangsa Cina, tetapi memakai kain batik Terengganu dan baju kebaya seperti orang Melayu.
Manakala suaminya, Pak Awang juga berbangsa Cina tapi berperwatakan seperti Melayu, sesuailah dengan gelaran ‘Mok Mek dan Pak Awang’.
‘Rojak Ceranang’ yang diusahakannya itu amat popular di kalangan remaja dan pelajar yang datang ke bandar membeli-belah atau ke kedai buku, selepas itu memilih untuk minum dan menjamu selera di kedai ini.
Dikatakan rojak ceranang yang dijualnya amat enak dan menyelerakan.
( Ceranang atau rojak ceranang merupakan sejenis hidangan tradisional Terengganu. Ia merupakan campuran sayur-sayuran yang dihidangkan dengan kuah kacang pedas yang pekat.
Bahan-bahan yang biasa digunakan adalah taugeh, kacang panjang, kangkung, tauhu goreng, mee kuning (dicelur), telur rebus, dan timun yang dipotong-potong).
Satu lagi makanan istimewa di kedai ini ialah keropok lekor, suatu menu khusus yang dibuat sendiri dengan adunan tersendiri, termasuk katanya menggunakan isi ikan yu atau ikan parang yang dimasak secara kukus.
‘Kedai Bian’ pula dikatakan popular bagi golongan yang berpendapatan tinggi dan yang agak mewah sedikit taraf hidup mereka pada masa itu untuk membeli-belah.
Antara jenama pakaian yang dijualnya ialah seperti “Arrow’, “Lee” dan ‘Levis’ yang harganya antara RM50 dan RM60 sehelai,
Pada era tersebut harga itu dikira harga yang mewah dan tinggi bagi sehelai seluar atau baju.
Manakala kedai buku cukup menjadi tumpuan ramai pelajar kerana pada masa lalu (1960 an dan 70 an), buka teks perlu dibeli sendiri, tiada skim pinjaman buku teks seperti hari ini.
Antara kedai buku yang popular ialah “Kedai Buku Abdullah Al-Yunani” atau orang Terengganu sebut kedai “Pok Loh Yunang” yang terletak di Jalan Bandar, di hujung Jalan Kampung Cina.
Stesen bas pula menjadi tumpuan kerana satu-satunya pengangkutan awam yang popular waktu itu adalah ‘bas kuning merah’ atau orang Terengganu panggil ‘Bas Kompeni”.
Boleh dikatakan ia adalah syarikat pengangkutan monopoli di Terengganu yang menghubungkan kampung-kampung sekitar dengan bandar Kuala Terengganu.
Selain itu ada juga yang menggunakan ‘ bot penambang’ yang berpangkalan dekat Pasar Payang dari Seberang Takir dan di jeti Kedai Binjai, bagi mereka yang datang dari Pulau Duyong, Pulau Ketam dan dan Seberang Tuan Chik (Bukit Tunggal).
Di stesen bas lama iaitu di belakang bangunan panggung Rex, terdapat sebuah restoran yang mempunyai alat pemain lagu piring hitam berbayar dengan cara memasukkan duit siling dan boleh memilih lagu yang dikehendaki.
Di situ juga terdapat penjual-penjual ubat-ubatan dan pelbagai barangan sampingan berniaga. Untuk daya tarikan mereka (penjual) membuat pertunjukan ‘silap mata’ dan seumpamanya sehinggakan menjadi seperti pesta di tengah-tengah kesibukan bas yang keluar masuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Namun di kala itu bandar ini menjadi sunyi dan sepi bila malam menjelma.
Demikianlah secebis kenangan bandar Kuala Terengganudi masa lalu.
Walau pun ia dikatakan bandar yang ‘mati’ atau sunyi di kala malam di tahun-tahun tersebut, tetapi sebenarnya banyak menyimpan kenangan dan keindahan lalu, khususnya kepada generasi setempat dan sekitar yang kini sudah berusia lewat 50an dan 60 an ke atas.
Ia pasti menjadi sejarah dan kenangan yang boleh dibuat perbandingan tentang kemunduran masa lalu dengan kemajuan yang telah dicapai masa kini.
Misalnya kemewahan hidup masa kini dengan hampir setiap keluarga mempunyai kenderaan sendiri (kereta dan motosikal, malah lebih dari sebuah) berbanding masa lalu yang hanya menggunakan basikal, menaiki bas dan bot.
Biarpun Kuala Terengganu sudah jauh maju ke hadapan pada masa sekarang, sekurang-kurangnya dengan coretan ini, generasi baru yang lahir selepas 1980 an dan 90 an apatah lagi selepas tahun 2000 merenungi sejarah masa lalu supaya menjadi insan sentiasa bersyukur dan berterima kasih, terutama kepada yang berjasa membangunkan negeri Terengganu ini dan masyarakatnya seadanya sekarang.