Halaman

24 December 2013

Mangsa terharu keprihatinan Sultanah Terengganu

Oleh: Suriati Ali 

Kprihatinan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah sudi mencemar duli berangkat menyampaikan sumbangan dan bergotong-royong membersih rumah mangsa banjir, di Kampung Fikri, Kemaman nyata mengembirakan golongan itu.

 Mereka yang sebelum ini bersedih kerana mengalami kerugian besar iaitu hampir RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap keluarga sedikit terubat apabila ramai pihak, termasuk Persatuan Pandu Puteri Malayisa (PPPM) cawangan Terengganu tampil membantu.

Baginda yang juga penaung persatuan itu bersama lebih 60 ahli berganding bahu menjayakan misi sambil menghulurkan sumbangan seperti dapur gas, tilam dan pelbagai barangan keperluan dapur.

 Ketua Pesuruhjaya PPPM, Puan Normala Bahrudin berkata, seramai 600 mangsa di Kg Fikri hadir menerima sumbangan pelbagai perkakas elektrik dan barangan dapur bernilai kira-kira RM40,000.

Katanya, peruntukan itu bukan saja disumbang ahli persatuan malah turut diperoleh daripada pelbagai syarikat korporat, Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) semata-mata mahu meringan penderitaan mangsa banjir.

“Setakat ini PPM telah bergerak ke lokasi banjir di Maran dan Kuantan Pahang, sebelum bersama-sama 60 ahli ke Kemaman pula,” katanya.

Mangsa banjir, Puan Aini Embong, 59, berkata dia seakan tidak percaya kerana Sultanah Terengganu bersama anakanda sudi menghulurkan bantuan kepada kami.

 “Sebelum ini, saya hanya melihat baginda di kaca televisyen, berlainan pula hari ini, boleh lihat secara dekat ketika mengambil bantuan dari baginda,” katanya.

Katanya, banjir yang melanda kampung kami dua minggu lepas memang luar biasa, tapi sudah reda dengan apa yang berlaku.

 “Kehadiran Sultanah Terengganu dan pelbagai pihak lain datang menghulurkan sumbangan memang melegakan kami yang sememangnya banyak menanggung kerugian,” katanya.

Norliana Mohd, 37, berkata terima kasih kepada Sultanah Terengganu dan PPM kerana sudi menjenguk dan mengambil cakna mengenai nasib mangsa banjir.

“Kejadian banjir sukar dilupa kerana bukan saja banyak barang rosak, malah kereta turut ditenggelami banjir,” katanya

 

23 December 2013

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir

Oleh: Suriati Ali, Nurul Azila Saberi dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)



Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Terengganu berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Fikri, Kemaman.

Turut berkenan berangkat anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perak yang juga Naib Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sebaik tiba, doa dibacakan, kemudiannya Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Selepas itu, baginda bersama dua anakanda mencemar duli menyertai aktiviti gotong royong membersih rumah, Suniah Mohamad, 36 yang tinggal bersebelahan dewan.

 Pada majlis itu, seramai 600 penduduk Kg Fikri hadir menerima sumbangan berupa perkakas elektrik dan barang keperluan dapur seperti beras, minyak masak, susu pekat dan gandum.

Sumbangan berjumlah  kira-kira RM40,000 itu diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk ahli PPPM, pelbagai syarikat korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).






RM61,000 ganjaran untuk atlet ke Sukan SEA Myanmar

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan paling besar saban tahun sebagai ganjaran kepada atlet kelahiran negeri yang berjaya dalam pelbagai acara sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terbaru, sebanyak RM61,000 diperuntukkan untuk insentif Skim Wakil Negara (Swara ) kepada 61 atlet negeri yang mewakili 16 acara di Sukan SEA Myanmar, pada 14 hingga 20 Disember lalu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin, berkata Terengganu selaku `kuasa baru sukan negara’ menghantar 61 atau 10.91 peratus atlet yang mewakili negara ke temasya itu.

“Pelbagai peruntukan dan ganjaran disediakan kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memahat nama Terengganu di peringkat Asia serta dunia, termasuk di Sukan SEA Myanmar yang baru berlalu.

“Swara antara insentif kerajaan bagi mengiktiraf pembabitan atlet ke pentas antarabangsa, selain pelbagai ganjaran lain yang setimpal dengan kejayaan yang dihasilkan anak Terengganu dalam lapangan sukan negara dan juga dunia,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Haji Zainal Abidin berkata, ganjaran itu mampu menjadi `wang saku’ dan penyuntik semangat supaya lebih gigih dan memberi tumpuan terhadap kejohanan yang bakal ditempuhi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berbangga dengan keprihatinan kerajaan negeri apabila memperuntukkan RM25.94 juta untuk pembangunan sukan di seluruh Terengganu pada tahun depan, dalam usaha mengekalkan penguasaan Terengganu sebagai kuasa sukan negara.

“Peruntukan besar Bajet 2014 terhadap bidang sukan itu jelas membuktikan hala tuju dan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan bagi memperkasa dan mencipta lebih banyak kemashyuran dalam pelbagai arena sukan.

 “Kita akan memastikan Terengganu akan terus mendahului negeri lain dan menjadi model terhadap pembangunan sukan yang terancang dan berkesan,” katanya.


ORANG MELAYU TERENGGANU DI KEPULAUAN NATUNA, PULUT LEMPA DAN NASI DAGANG PUN ADA DI SANA

Eksklusif dari: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.


 Orang Melayu Terengganu wujud di Kepulauan Natuna?
 Makanan Terengganu seperti nasi dagang, kayu keramat dan pulut lempa juga dikatakan juga terdapat di sana.
 Anda tentu tertanya-tanya di manakah Kepulauan Natuna itu?
Meski pun dekat dengan Terengganu tetapi hanyalah dekat dari segi geograpi sahaja.
Biarpun ia di bawah tadbir negara lain, tetapi tetapi dari segi geographinya, ia terlalu dekat dengan Terengganu.
Mungkin bagi pekerja-pekerja cari-gali minyak Luar Pantai yang berpusat di Kerteh, mengetahui tentang kewujudan tempat atau pulau ini.
Kepulauan yang terletak dalam gugusan kepulauan yang berselerakan di Laut China Selatan, maka Natuna adalah di antaranya. Ia terletak di laluan Semenanjung Malaysia (Terengganu) ke Malaysia Timur (Sabah/Sarawak).

Pengarah Muzium Negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah mengesahkan tentang persamaan budaya Terengganu dan Natuna.
“Saya telah banyak dihubungi oleh kawan-kawan yang pernah ke sana dan menceritkan tentang persamaan orang Terengganu dan Natuna, khususnya dari segi makanan,” katanya kepada Pengarang Teganukita
Bersambung ke Bahagian Kedua





.

Lahirkan modal insan seimbang-YB Ghazali

Oleh: Noraini Jusoh



Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal mampu melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani termasuk ilmu duniawi dan ukhrawi khususnya bagi merintis generasi muda meminati amalan hafazan al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, program anjuran TTI Management Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sepanjang sebulan bermula 23 November lalu mengandungi pelbagai program kerohanian terutamanya ilmu fardu ain.

“Melalui program ini, anak-anak diajar tentang sistem kehidupan sebagai seorang muslim secara holistik. Termasuk cara pengurusan jenazah, solat, penghayatan al-Quran dan agama.

“Tidak dilupakan juga keperluan beriadah untuk anak-anak turut dimasukkan sebagai aktiviti wajib supaya mereka dapat mengikuti kursus ini secara santai dan dalam emosi yang stabil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal Modul 11 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.



Menurut YB Ghazali, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada usaha semua agensi dan jabatan dalam memenuhi hasrat menjadikan anak Terengganu sebagai insan yang mendapat pendidikan secara holistik melibatkan ilmu duniawi dan ukhrawi.

 “Malah, bagi merealisasikan hasrat itu sekali gus menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu, kerajaan negeri bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, bahkan dari segi akhlak, sahsiah diri termasuk penghayatan al-Quran yang merupakan asas pendidikan orang Islam turut dititikberatkan,” ujarnya.

Katanya, selain pendidikan agama Islam yang dipelajari di sekolah, Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal menjadi nilai tambah kepada anak-anak yang manfaatkan cuti persekolahan dengan pengisian yang penuh bermakna ini.

Menurut Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd, Tuan Haji Wan Adnan Wan Derahman, permohonan untuk menyertai Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal edisi ke-11 itu sungguh menggalakkan.

Tuan Haji Wan Adnan berkata, pihaknya menerima hampir 400 permohonan tetapi hanya dapat mengambil 280 pelajar sahaja kerana tempat yang terhad.

"Penyertaan daripada kanak-kanak dan remaja berusia 8 hingga 16 tahun yang berjaya melepasi sesi ujian ketika temuduga dijalankan.



“Pengisian program merangkumi kelas hafazan, hal-hal fardu ain, kem ibadah dan riadah. Tenaga pengajar pula terdiri daripada lulusan Tahfiz al-Quran dari dalam dan luar negara dan turut memiliki ijazah dalam bidang berkaitan," ujarnya.

Katanya, dalam usaha membantu kerajaan negeri melahirkan pelajar cemerlang akademik dan ilmu agama, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan yang diadakan dua kali setahun sejak 2008 lagi.

 







Parlimen Setiu hulur sumbangan.

Che Zul..perihatin.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Sebanyak 21 keluarga yang terbabit dengan banjir di Kampung Pelong, dekat sini, baru-baru ini menerima bantuan sebanyak RM100 setiap keluarga.

Sumbangan yang dihulurkan Pejabat Perlimen Setiu itu diberi bagi meringankan bebanan keluarga terbabit terutamanya dalam persiapan untuk membeli peralatan sekolah anak-anak mereka.

Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh berkata, sumbangan RM100 itu sebagai menambahkan sumbangan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri sebanyak RM500 kepada setiap mangsa banjir yang berpindah.

“Kita sudahpun menghulurkan bantuan itu ketika saya melawat keluarga mangsa banjir di Pelong baru-baru ini. Saya mengharapkan bantuan itu dapat dimanfaatkan dengan baik seperti membeli keperluan dapur ataupun peralatan persekolahan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau bersyukur kerana setakat ini tidak banyak kampung yang terbabit dengan banjir yang menyebabkan perpindahan di daerah Setiu.

Bagaimanpun, beliau mengingatkan penduduk beberapa kampung yang sering terbabit dengan banjir di daerah ini supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir kerana musim tengkujuh masih belum lagi berakhir.

 

22 December 2013

NOSTALGIA PANGGUNG WAYANG CAPITOL, LIDO . KONG WAH , REX DAN CATHAY, MOK MEK ROJAK CERANANG, KEDAI POK LOH YUNAN DAN KEDAI BIAN

Eksklusif dari: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

 Di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar Kuala Terengganu, sebenarnya banyak tersimpan khazanah kenangan dan nostalgia masa lalu. Bagi mereka yang sempat di zaman dewasa atau awal remajanya di tahun-tahun 1960 an, 70 an dan awal 80 an pasti masih tergambar wajah dan suasana bandar sepi yang indah itu.
 Ada yang masih teringat tempat-tempat utama seperti stesen bas lama, panggung wayang, kedai makan yang popular iaitu Mok Mek Ceranang, Kedai Buku Pok Lah Yunan, kedai Wee Hong Bian atau orang Terengganu panggil “Kedai Bian’ ,yang menjual pakaian berjenama.
  Panggung wayang yang tinggal dalam kenangan seperti Capitol, Lido dan Kong Wah yang tapaknya difahamkan berhadapan Kampung Cina kerana pada masa ini bangunan panggung wayang yang masih ada hanyalah panggung Rex dan Cathay yang tidak lagi beroperasi, tetapi banyak menyimpan kenangan lalu. Mungkin suatu masa dulu di zaman belum ada kemudahan media hiburan seperti hari ini, panggung wayang adalah tempat yang amat menjadi tumpuan, sekalipun hanya bangunan kayu atau yang tidak seperti dan semewah seperti hari ini.
Mok Mek Ceranang ini kedai makan yang amat popular, walaupun pengusahanya orang Cina, tetapi pekerjanya ramai di kalangan gadis-gadis Melayu.
  Bahkan Mok Mek ini sendiri walaupun berbangsa Cina, tetapi memakai kain batik Terengganu dan baju kebaya seperti orang Melayu.
  Manakala suaminya,  Pak Awang juga berbangsa Cina tapi berperwatakan seperti Melayu, sesuailah dengan gelaran ‘Mok Mek dan Pak Awang’. ‘Rojak Ceranang’ yang diusahakannya itu amat popular di kalangan remaja dan pelajar yang datang ke bandar membeli-belah atau ke kedai buku, selepas itu memilih untuk minum dan menjamu selera di kedai ini.
  Dikatakan rojak ceranang yang dijualnya amat enak dan menyelerakan. ( Ceranang atau rojak ceranang merupakan sejenis hidangan tradisional Terengganu. Ia merupakan campuran sayur-sayuran yang dihidangkan dengan kuah kacang pedas yang pekat.
  Bahan-bahan yang biasa digunakan adalah taugeh, kacang panjang, kangkung, tauhu goreng, mee kuning (dicelur), telur rebus, dan timun yang dipotong-potong).
  Satu lagi makanan istimewa di kedai ini ialah keropok lekor, suatu menu khusus yang dibuat sendiri dengan adunan tersendiri, termasuk katanya menggunakan isi ikan yu atau ikan parang yang dimasak secara kukus. ‘Kedai Bian’ pula dikatakan popular bagi golongan yang berpendapatan tinggi dan yang agak mewah sedikit taraf hidup mereka pada masa itu untuk membeli-belah.

  Antara jenama pakaian yang dijualnya ialah seperti “Arrow’, “Lee” dan ‘Levis’ yang harganya antara RM50 dan RM60 sehelai, Pada era tersebut harga itu dikira harga yang mewah dan tinggi bagi sehelai seluar atau baju.
  Manakala kedai buku cukup menjadi tumpuan ramai pelajar kerana pada masa lalu (1960 an dan 70 an), buka teks perlu dibeli sendiri, tiada skim pinjaman buku teks seperti hari ini. Antara kedai buku yang popular ialah “Kedai Buku Abdullah Al-Yunani” atau orang Terengganu sebut kedai “Pok Loh Yunang” yang terletak di Jalan Bandar, di hujung Jalan Kampung Cina. 
 Stesen bas pula menjadi tumpuan kerana satu-satunya pengangkutan awam yang popular waktu itu adalah ‘bas kuning merah’ atau orang Terengganu panggil ‘Bas Kompeni”. Boleh dikatakan ia adalah syarikat pengangkutan monopoli di Terengganu yang menghubungkan kampung-kampung sekitar dengan bandar Kuala Terengganu. Selain itu ada juga yang menggunakan ‘ bot penambang’ yang berpangkalan dekat Pasar Payang dari Seberang Takir dan di jeti Kedai Binjai, bagi mereka yang datang dari Pulau Duyong, Pulau Ketam dan dan Seberang Tuan Chik (Bukit Tunggal).

  Di stesen bas lama iaitu di belakang bangunan panggung Rex, terdapat sebuah restoran yang mempunyai alat pemain lagu piring hitam berbayar dengan cara memasukkan duit siling dan boleh memilih lagu yang dikehendaki. Di situ juga terdapat penjual-penjual ubat-ubatan dan pelbagai barangan sampingan berniaga.  Untuk daya tarikan mereka (penjual) membuat pertunjukan ‘silap mata’ dan seumpamanya sehinggakan menjadi seperti pesta di tengah-tengah kesibukan bas yang keluar masuk mengambil dan menurunkan penumpang.
  Namun di kala itu bandar ini menjadi sunyi dan sepi bila malam menjelma. Demikianlah secebis kenangan bandar Kuala Terengganudi masa lalu.
  Walau pun ia dikatakan bandar yang ‘mati’ atau sunyi di kala malam di tahun-tahun tersebut, tetapi sebenarnya banyak menyimpan kenangan dan keindahan lalu, khususnya kepada generasi setempat dan sekitar yang kini sudah berusia lewat 50an dan 60 an ke atas.
  Ia pasti menjadi sejarah dan kenangan yang boleh dibuat perbandingan tentang kemunduran masa lalu dengan kemajuan yang telah dicapai masa kini.
 Misalnya kemewahan hidup masa kini dengan hampir setiap keluarga mempunyai kenderaan sendiri (kereta dan motosikal, malah lebih dari sebuah) berbanding masa lalu yang hanya menggunakan basikal, menaiki bas dan bot.
  Biarpun Kuala Terengganu sudah jauh maju ke hadapan pada masa sekarang, sekurang-kurangnya dengan coretan ini, generasi baru yang lahir selepas 1980 an dan 90 an apatah lagi selepas tahun 2000 merenungi sejarah masa lalu supaya menjadi insan sentiasa bersyukur dan berterima kasih, terutama kepada yang berjasa membangunkan negeri Terengganu ini dan masyarakatnya seadanya sekarang.

Kakitangan Tabung Haji Sertai 'Smart Solat'.



KENANGAN...Anggota Tabung Haji Negeri Terengganu bergambar kenangan selepas selesai menyertai seminar 'Smart Solat' yang diadakan di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu, selama tiga hari berakhir, semalam.(Sabtu)

Penyelia Pentadbiran Haji, Tabung Haji Terengganu, Zulkifli Tajuddin, berkata program yang bertujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan tentang ibadah solat itu disertai seramai 76 anggota cawangan Tabung Haji di negeri ini.

"Program ini kita adakan sebagai sambungan kepada satu program yang pernah kita adakan sebelum ini. Seorang penceramah dari sebuah konsultan iaitu Ustaz Shahrizan Mat Daud dijemput untuk menyampaikan ceramah mengenai ibadah sembahyang," katanya.

Menurutnya, Tabung Haji Terengganu sentiasa mengadakan seminar atau program untuk anggotanya dari semasa ke semasa bagi melahirkan anggota yang lebih berpengetahuan dan cekap:-oleh: Aminudin Ismail.

 

Ar-Rahnu Maidam luluskan RM914.4 juta pembiayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Skim Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) meluluskan sebanyak RM914.4 juta pembiayaan dengan jumlah transaksi gadaian keseluruhan 748,786 sejak ditubuhkan pada 1992 sehingga  Oktober 2013.

Sehingga September 2013, keuntungan bersih Skim Ar-Rahnu Maidam sebanyak RM2,905,752.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata daripada jumlah itu, seramai 300,000 pelanggan menerima manfaat dari sembilan pajak gadai yang beroperasi seluruh Terengganu.

“Ar-Rahnu secara keseluruhannya memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 orang setiap tahun yang melibatkan nelayan, usahawan kecil dan sederhana, petani, golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta individu-individu yang memerlukan wang tunai dengan segera.

“Skim ini juga telah membebaskan umat Islam daripada aktiviti riba dan gharar yang dimanipulasi oleh sistem pajak gadai konvensional yang mengenakan caj yang terlalu tinggi seramai 33 kakitangan diambil menjalankan tugas di semua pajak gadai Islam berkenaan,” katanya .

YB Ghazali berkata, Maidam kini dalam perancangan untuk menambahkan lagi cawangan di sekitar pekan-pekan kecil seperti di Bukit Payung, Kemasik dan Kuala Besut bagi memastikan kemudahan itu dapat dinikmati lebih ramai masyarakat yang memerlukan termasuk yang tinggal jauh dari bandar.

Ar-Rahnu berkenaan ialah Cawangan Jalan Tok Lam Kuala Terengganu (29 Jun 2004); Cawangan Besut (16 Februari 2005); Cawangan Kemaman (1 Jun 2005); . Cawangan Dungun (3 Ogos 2005); Cawangan Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu (29 Jun 2006); Cawangan Setiu (1 Februari 2007); Cawangan Bandar Al-Muktaffibillah Shah, Dungun (20 Mei 2007); Cawangan Marang (9 September 2007) dan Cawangan Kuala Berang, Hulu Terengganu (15 Mei 2008).


Penduduk perlu berhati-hati hadapi banjir gelombang kedua

Oleh: Suriati Ali 

Penduduk dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku pada bila-bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abd Rahman berkata peringatan itu khusus kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya dapat mengelak kerugian.

Katanya, mereka yang tinggal di kawasan rendah dan menghadapi banjir setiap tahun perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh ini.

“Selain itu, mereka juga perlu mengikuti arahan pihak berkuasa dan akur jika diarahkan berpindah bagi mengelak perkara tidak diingini.

 Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Khairat Kematian Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, semalam.

YB Bazlan turut memberitahu, ada segelintir penduduk bersikap tunggu dan lihat, apabila keadaan terdesak atau air banjir sudah banyak melimpah ke dalam rumah, mula terfikir untuk berpindah.

“Keadaan itu boleh mengundang pelbagai masalah kepada pihak keselamatan terutama apabila air naik pada waktu malam.

“Jadi selaku masyarakat timbang rasa, kita perlu mengikut segala arahan dikeluarkan bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan dapat dilakukan sebaiknya, “ katanya.