Halaman

19 March 2014

STPM Terengganu meningkat

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2013 apabila 2,926 atau 97.47 peratus daripada 3,002 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil, iaitu peningkatan 1.46 peratus berbanding tahun 2012.

Timbalan Pengarah JPN negeri, Hashim Mohd Zin menunjukkan laporan keputusan STPM negeri Terengganu sebelum mengadakan sidang media.
Tahun 2012 merekodkan 96.00 peratus atau 2,862 daripada 2,981 calon yang menduduki STPM berjaya mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin berkata, daripada 2,926 calon yang mendapat lulus penuh, 171 (5.70 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 58.53 peratus (1,757 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 19.82 peratus (595 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 8.09 peratus atau 243 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

“Baki 5.33 peratus atau 160 calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di Jabatan Pelajaran Negeri di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, pencapaian berdasarkan gred purata sekolah (GPS) melebihi 2.60 adalah meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 23 buah sekolah berbanding 9 buah sahaja pada tahun 2012.

“GPS negeri meningkat daripada 2.40 pada tahun 2012 kepada 2.54 tahun 2013. Malah GPS negeri melebihi min GPS negara sebanyak 0.01.

“Fenomena keputusan sedemikian sedikit sebanyak kesan daripada pertukaran sistem terminal kepada sistem modular yang bermula tahun lalu,” ujarnya.

Menurut beliau, 23 sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu (3.15); Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.89), SMK Bukit Payong, Jerteh (2.84); SMK Putra, Jerteh (2.81); SMK Chukai, Kemaman (2.81); SMK Tengku Ibrahim, Setiu (2.78); SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu (2.76); SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu (2.75); SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.72).

SMK Cheneh Baru, Kemaman (2.72); SMK Kuala Telemong, Hulu Terengganu (2.71); SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (2.70); SMKA Durian Guling, Marang (2.70); SMK Kuala Besut, Besut (2.69); SMK Nasiruddin Shah, Besut (2.67); SMK Badrul Alam Shah, Kemasik (2.66); SMK Merchang, Marang (2.64); SMK Manir, Kuala Terengganu (2.63); SMK Tengku Lela Segara, Marang (2.63); SMK Sultan Ismail, Kemaman (2.63); SMK Renek, Besut (2.62); SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun (2.62) dan SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu (2.61).

 

Angkasa intai peluang di ECERDC

Oleh; Esah Abdullah 

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhasrat mengambil bahagian dalam Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam usaha memperkasakan ahli koperasi di neger ini.

 Presidennya, Dato' Abdul Fatah Abdullah berkata, terdapat 566 koperasi di negeri ini di mana 80 peratus merupakan koperasi mikro dan kecil yang berpendapatan tahunan kurang daripada sejuta.

" Angkasa akan ambil inisiatif membantu koperasi di negeri ini mengintai peluang-peluang perniagaan terutama di kawasan ECERDC ," katanya kepada pemberita di Persidangan Angkasa Negeri Terengganu di Hotel Primula Kuala Terenggganu hari ini.

Katanya, daripada 566 buah koperasi dengan keahlian 234,000 orang serta memiliki saham RM206 juta sudah cukup untuk menceburkan diri dalam mana-mana projek yang terdapat di negeri ini.

"Kita diberi tanggungjawab membangun dan merangsang perniagaan koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk mewujudkan jaringan perniagaan dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata, Angkasa akan mewujudkan Bandar Koperasi di Bandar Penawar, Johor Baharu dalam kawasan Wilayah Iskandar dengan anggaran kos RM1 bilion.

"Angkasa telah memperolehi 29.5 hektar kawasan di Wilayah Iskandar untuk dibangunkan pusat perniagaan, rumah penginapan mampu milik dan kemudahan perbankan," katanya.

Menurutnya, Angkasa telah mewujudkan jawatankuasa khas untuk mencari peluang-peluang perniagaan membantu koperasi negeri-negeri mendapatkan projek-projek di peringkat negeri.

Katanya, Angkasa juga sedang mengadakan perbincangan dengan koperasi di Cina dan Korea untuk bergabung membangunkan sektor koperasi di negara ini termasuk bertukar kepakaran.

Sementara itu Dato' Abdul Fatah berkata, sehingga tahun akhir tahun lalu sebanyak 11,000 koperasi bernaung di bawah Angkasa dengan keahlian lebih 8 juta orang dan modal berbayar RM12 billon. Manakala asset terkumpul kira-kira RM100 billion sehingga kini.

 

Program Warna Warni di Muzium Negeri

 Oleh: Suriati Ali

 Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan Program Warna Warni Cuti Sekolah sebagai usaha memanfaat waktu terluang pada cuti penggal pertama persekolahan.

 Program yang berlangsung selama seminggu, bermula 21 hingga 28 Mac itu, diadakan di perkarangan Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Kuala Terengganu.

 Pelbagai program menarik disertakan, termasuk pameran pendidikan, demontrasi, permainan intraktif dan pesembahan kebudayaan semata-mata mahu mencapai sasaran pengunjung.<br />
Kira-kira 5,000 pengunjung, dijangka hadir sepanjang program tahunan tersebut.

Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof berkata, pihaknya setia merencanakan program tertentu pada setiap tahun, termasuk mengambil kesempatan menganjurkan aktiviti setiap kali tiba cuti sekolah.

Katanya, usaha itu mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada, selain menaikkan imej tempat bersejarah itu. “Sambil mengikuti program, pengunjung boleh melawat puluhan galeri yang memamparkan pelbagai keunikan dan bahan sejarah lampau.

 “Antara galeri yang sering menjadi perhatian umum tentunya galeri Diraja, galeri tekstil, galeri islam, galeri sejarah, galeri kraf, galeri petroleum dan galeri ilmu kejadian,” katanya.

LMNT turut melancar dan mengagihkan kalendar aktiviti tahunan yang memuatkan program seperti Pameran `Demi Masa’ yang berlangsung pada 17 Mac hingga 15 Jun; Seminar 3 Abad Pentadbiran Islam di Terengganu (5-6 Mei) dan Festival Muzium pada 26 Mei hingga 26 Jun.

 Program lain, Pertandingan Pelita Raya dianjurkan pada 21 Julai; Pertandingan Lukisan dan Fotografi Citra Terengganu (16-8 Ogos) dan Pameran 1001 Senjata diadakan pada 26 Ogos hingga 31 Disember.

 

Undi Pos Kajang, hari ini.

MASA DEPAN...sebahagian daripada seramai 691 anggota keselamatan berbaris untuk mengundi pos bagi menentukan masa depan Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, pagi ini.

Seramai 1197 pengundi pos menunaikan kewajipan masing-masing hari ini di dua tempat mengundi pos di Kajang.

Pilihan Kecil Kajang diadakan berikutan perletakan jawatan Adunya pada bulan lalu dan dua calon bertanding bagi mengisi kekosongan itu iaitu calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun dan calon PKR, Datin Wan Azizah Wan Ismail.

Pengundian akan diadakan pada 23hb ini bagi menentukan siapa yang akan memimpin Kajang. Calon BN, berkata, beliau yakin BN akan kembali merampas Kajang berikutan sokongan yang diberi daripada pengundi Cina dan Melayu- Aminudin.

 

Pemuda UMNO dan PAS sokong kerajaan pantau konsert.

Zahid...pantau konsert.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PEMUDA PAS menyokong usaha kerajaan untuk memantau konsert yang membabitkan pengunaan dadah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya ingin menyebutkan bahawa semalam saya telah menerima memorandam daripada pemuda PAS menyatakan keperihatinan mereka terhadap konsert Future Music Asia 2014.

"Dan mereka menyokong usaha-usaha kerajaan untuk memantau di masa hadapan konsert-konsert yang melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan penonton," katanya.

Zahid berkata, sebelum itu beliau juga menerima dokongan daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai keperihatin kerajaan  terhadap enam kematian yang berlaku di konsert itu.

Menurutnya, beliau juga mengadakan perbincangan dengan  Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman mengenai langkah-langkah lanjut yang akan diambil terhadap sebarang konsert yang dianjurkan dan ditaja pihak swasta atau pihak kerajaan.

"Kerana saya tidak fikir bahawa pihak penganjur dan pihak penaja menjangkakan peristiwa penyalahgunaan dadah itu, berlaku di dalam konsert yang seharusnya dijalankan sebaik-baiknya.

"Dan saya ingin memberitahu bahawa sebarang konsert yang melibatkan anak-anak muda ataupun melibatkan kumpulan remaja, akan dipantau bersama pihak-pihak PBT dan juga pihak penganjur supaya unsur dadah dan alkohol tidak terlibat dalam konsert-konsert terbabit.

"Walaupun ia bukan menjadi tanggungjawab polis sepenuhnya tetapi atas keperihatinan ini KDN akan bekerjasama dengan semua pihak supaya kejadian yang sama tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita melalui sidang akhbar ketika hadir di Program Ramah Mesra beliau dengan Komuniti anjuran KDN dan AADK, di Taman Maju, Kajang, malam semalam.


Zahid ketika sidang akhbar semalam.

Antara hadirin yang hadir.

Nash (dua dari kiri) turut hadir.

18 March 2014

Laman Selera B’Benteng sedia khidmat `Makan Malam Atas Bot’

Oleh: Suriati Ali 

 Restoran Laman Selera B’Benteng milik Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd bakal memperkenalkan pakej `Makan Malam Atas Bot, kepada pelanggan dan pelancong,bermula 21 Mac ini.

 Orang ramai boleh membuat tempahan secara berkumpulan lebih awal bagi menikmati hidangan berpakej seperti nasi dagang, nasi lemak, nasi Tomato, speggati dan roasted fish di atas bot atau `River Cruise’ sambil menyusuri sungai Terengganu pada waktu malam.

 Harga yang bakal ditawarkan cukup berpatutan, selain memberi jaminan pelanggan tidak akan kecewa dengan layanan pramusaji profesional restoran itu ketika berada di atas bot.

Pada masa sama, TTI bercadang menyediakan menu makan tengahari dengan hidangan kari kepala ikan, dalam tempoh terdekat semata-mata mahu memenuhi kepuasan pelanggan yang sentiasa mahukan hidangan terbaik.

Pengurus Besar TTI, Wan Adnan Wan Derahman, berkata pihaknya memperkenalkan konsep itu, sebagai usaha mempelbagaikan perkhidmatan atau pakej sedia ada selain memperbaharui imej destinasi popular itu di mata pelancong.

Katanya, Laman Selera B’benteng yang sebelum ini hanya popular dengan pelbagai sajian `Ikan Bakar Wan Man’, di jangka mampu meningkatkan bilangan pelanggan apabila konsep itu diperkenalkan.

 “Rata-rata pelanggan memuji dan tidak lupa menyatakan puas hati dengan keenakan lebih 50 menu masakan panas, `western’ dan `ala carte’ yang disediakan di restoran ini.

 “Menyedari hakikat itu, TTI seakan memperoleh semangat baru untuk terus maju dan mengorak langkah lebih jauh dengan memperkenalkan pakej yang dicadangkan itu selain menambah sajian baru,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Wan Adnan turut memberitahu, TTI akan mengadakan kerjasama erat dengan puluhan ejen pelancongan dan mana-mana persatuan perlancongan di negeri ini supaya apa yang bakal ditawarkan itu mampu mencapai sasaran.

 “Fokus utama kita adalah pelancong tempatan dan luar Terengganu, terutama bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

“River Cruise hanya bergerak menyusuri sungai selama sejam sekiranya penumpang mencukupi bilangan antara 20 hingga 28 individu.

“Kita ada menyediakan tiga River Cruise dan boleh bergerak serentak mengikut haluan masing-masing sekiranya pelancong datang dalam kumpulan yang besar,” katanya.

 

Zubir Embong temu pengundi Kajang.

Zubir (dua dari kiri) bersama Zawawi (kanan) di sebuah taman perumahan di Bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN mempunyai urusan yang agak penting di Johor Baharu, tetapi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zubir Embong sempat singgah di Kajang seketika bertemu dengan beberapa penduduk sekitar sebuah taman di bandar Kajang, berkempen supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dun itu, hari ini.

Antara rumah yang dikunjungi beliau ialah rumah seorang penduduk berasal dari Terengganu iaitu Zawawi Jaafar. Beliau yang menetap di Kajang lebih 20 tahun lalu itu, sempat juga membawa Zubir ke beberapa rumah berhampiran rumahnya untuk bertemu pengundi Dun Kajang.

Bersama Azman (kiri) di rumah vateran UMNO itu.
Dalam kunjungan itu, Zubir sempat berbual mesra dan meminta supaya pengundi memangkah calon BN pada pilihanraya nanti.

Selain itu, Zubir juga berkunjung ke rumah seorang pemimpin vateran UMNO Sungai Jelok, Azman Mohd untuk mengucapkan tanhniah atas segala usaha yang dilakukan ahli UMNO itu sebelum ini dan juga bagi menghadapi PRK Kajang.

"Saya mengharapkan BN akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil ini supaya pembangunan untuk Kajang ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dengan lebih sempurna untuk kesejahteraan penduduk di Dun ini," katanya.
Di  rumah Awi di Kajang.

Berkempen di luar pagar di rumah seorang penduduk.
Memberi cenderahati ikhlas dari kerajaan negeri Terengganu.
Berjalan untuk ke rumah pengundi.

       

DMBSB sasar juala RM48 juta setahun

Desa Murni Batik Sdn Bhd (DMBSB), pengeluar dan pengedar batik sutera digital milik Bumiputera, menyasarkan jualan sebanyak RM48 juta sebelum akhir tahun ini, peningkatan RM10 juta berbanding tahun lepas.

 Pengarah Urusannya Mohd Suhaimi Embong berkata syarikat yakin dapat mencapai sasaran itu susulan pembukaan dua cawangan baharu, di Gong Kapas dekat sini dan di Dungun yang mula beroperasi sejak Julai tahun lepas.

 "Permintaan juga semakin bagus kerana semakin ramai pelanggan wanita menggemari fesyen batik digital keluaran Desa Murni kerana rekaannya yang eksklusif.

 "Malah, penggunaan mesin berteknologi tinggi juga membolehkan kami menampung permintaan tanpa sebarang masalah dan pada masa sama memastikan kualiti produk yang dikeluarkan berada pada tahap terbaik," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Terengganu, Roslee Daud .

Desa Murni kini mempunyai enam cawangan di Terengganu iaitu di Batu Enam, Pengadang Baru, Pulau Rusa dan Gong Kapas di Kuala Terengganu serta Kuala Berang di Hulu Terengganu dan Dungun.

 Mohd Suhaimi berkata syarikat juga mempunyai cawangan di Kota Bharu, Kelantan, Kuala Lumpur, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang.

 Desa Murni turut memperuntukkan RM1 juta untuk tujuan pemasaran serta menaja pasukan bola sepak T-Team dan Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 tahun dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, katanya. "Kami percaya melalui promosi berkesan, jualan akan dapat digandakan," katanya yang dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan oleh kerajaan negeri Terengganu, tahun lepas.

 Beliau berkata Desa Murni yang memperkenalkan rekaan terbaharu setiap bulan, menggunakan kepakaran dari pereka fesyen di Itali dan mendapat khidmat nasihat dari segi teknikal berkaitan penggunaan fabrik, warna dan rekaan dari tenaga pakar di Switzerland.

 Selain mengeluarkan batik sutera digital untuk baju kurung dan kebaya pada harga antara RM280 dan RM380, Desa Murni juga menawarkan tudung eksklusif.

 Suhaimi berkata syarikat mempunyai 300 kakitangan termasuk 23 pereka fesyen lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

. Desa Murni mula beroperasi pada 1974 dengan memproses batik secara tradisional sebelum menggunakan mesin berteknologi tinggi yang berupaya menghasilkan 2,000 helai batik sebulan di kilang di Pulau Rusa di sini.

 

Pameran Demi Masa di Muzium Negeri

Oleh: Noraini Jusoh
Bagi memperlihatkan peradaptasian manusia dan masa, Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan Pameran Demi Masa di Dewan Madalika LMNT, Bukit Losong bermula semalam sehingga 15 Jun ini.

Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah berkata, pameran berinformatif itu antaranya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurusan masa, khususnya kepada generasi muda betapa masa yang diperuntukkan kepada kita semua adalah singkat dan perlu jitukan matlamat dalam kehidupan.

“Selain itu, pameran selama tiga bulan ini turut mendedahkan pengunjung mengenai kesungguhan masyarakat terdahulu menghargai masa dan bagaimana kreativiti mereka dalam merekacipta alatan mengukur masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pameran Demi Masa yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di Kompleks LMNT, semalam.

Mohd Yusof berkata, sempena pameran ini juga pelbagai koleksi dari dalam dan luar negara dipamerkan bagi memberi pemahaman evolusi pengukuran masa yang berlaku terutamanya untuk tatapan pelajar sekolah.

“Malah, sejajar dengan sasaran utama pengujung pameran tersebut iaitu pelajar sekolah, LMNT akan mengadakan program Warna-Warni Cuti Sekolah di perkarangan muzium bermula 21 Mac ini.

“Pelbagai aktiviti menarik yang fokus kepada pendidikan seperti demostrasi masakan, permainan dan persembahan kebudayaan boleh dipelajari.

Tambah Mohd Yusof, selain mendedahkan anak-anak dengan pelbagai informasi menarik berkaitan masa melalui pameran yang dijalankan, ibu bapa secara tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti berfaedah apabila membawa mereka berkunjung ke muzium.

 

'Purple Walk' di Dataran Syahbandar

Oleh: Noraini Jusoh

Program "1 Million Women Purple Walk” peringkat negeri Terengganu akan diadakan di Dataran Syahbandar pada 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, program berjalan kaki sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut 8 Mac setiap tahun itu, akan berlangsung serentak di seluruh negara bermula 7.30 pagi.

“Beberapa aktiviti menarik turut diadakan sempena program tersebut antaranya senamrobik, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti rekreasi dan riadah.

“Ia juga akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan artis yang diundang khas untuk menghiburkan kaum wanita yang hadir,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Muhammad Pehimi berkata, program itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.