Halaman

22 April 2014

Isu tukar MB, Ahmad Said tidak mahu komen

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

 “Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana.

 “Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat menempelak pihak yang tidak bertanggung jawab menyebar fitnah berhubung dakwaan mengaitkan namanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Sebaliknya, Adun Telemong itu tampil menafikan dakwaan yang turut mengaitkan nama beliau bakal menggantikan Dato' Seri Ahmad Said menerajui pucuk pimpinan pentadbiran negeri.


MB, Exco perlu capai 41 KPI, 11 SKRA

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) perlu mencapai 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memenuhi sebelas Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) menerusi Program Transformasi Terengganu (TTP), yang dilancarkan hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua KPI berkenaan menyokong matlamat SKRA dan akan dilaksanakan berdasarkan objektif , sasaran serta tempoh masa yang ditetapkan kerajaan negeri, sebagai jentera utama bagi mencapai status Negeri Maju 2020 .

 “SKRA ini berdasarkan apa yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu), Dato’ Seri Idris Jala.

"Terengganu menjadi negeri pertama yang melaksanakan usahasama dengan Pemandu, dalam mencapai KPI dan SKRA negeri,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad menjelaskan antara KPI yang perlu dicapai di bawah portfolio beliau seperti menyediakan 10,000 unit rumah untuk tempoh lima tahun akan datang.

 “Berdasarkan pengalaman lima tahun lalu, kita tidak ada masalah untuk mencapai jumlah itu, malah lebih dari 10,000 kita mampu laksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pemandu akan memantau, memperhalusi dan memimpin pelaksanaan TTP di bawah Unit Transformasi, Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (TRANSFORM) yang diketuai YB A Latiff supaya mampu mencapai objektif SKRA dan KPI berkenaan.

Menteri Besar berkata, peruntukan bagi menjayakan SKRA berkenaan bergantung kepada bajet tahunan dan semasa serta projek pembangunan tertentu.

“Sasaran kita mencapai SKRA bagi tempoh lima tahun atau setiap satu penggal. Tetapi kita teruskan sehingga 2020, kerana kita mahu menjadikan Terengganu sebagai Negeri Maju 2020, sebagaimana hasrat Kerajaan Pusat. Ini cabaran berat kepada Terengganu.

 “Kita tahu kita antara sebuah negeri yang terkebelakang dan kita perlu bergerak pantas untuk mencapai hasrat itu dan perlu menggandakan dari apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

“Walaupun itu bukan merupakan janji kita, tetapi kita buat. Begitu juga janji kita untuk menjadikan bandar-bandar di Terengganu cantik dan menarik. Termasuk mewujudkan satu daerah baru Kuala Nerus. Sehingga kini, jawatankuasa sudah meluluskan, cuma menunggu keputusan kabinet,” katanya.


21 April 2014

Kemungkinan tukar jurulatih : Wan Ahmad Nizam

Oleh: Aida Abd Rahman

Kecewa dengan prestasi pasukan negeri, Terengganu dan T-Team, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) , Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mahu mengambil tindakan tegas bagi memulihkan kemerosotan yang sedang melanda kedua-dua pasukan itu.

Beliau yang enggan mendedahkan punca kejatuhan itu, berkata pihaknya sudah mengarahkan pengurusan kedua-dua pasukan untuk meneliti segala aspek termasuk mutu kejurulatihan.

“Saya sudah mengarahkan pengurusan pasukan mengambil serius perkara ini. Jika kita lihat dalam dua tiga perlawanan yang mungkin tidak bagus kita akan mengambil suatu tindakan.

 “Tindakan itu termasuk memanggil jurulatih teknikal, merehatkan dan mungkin menukarkan (jurulatih) dan ini bergantung kepada suasana. Kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan Malaysia Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan itu juga, beliau turut mengadakan Mesyuarat Pengurusan PBSNT hari ini bagi meneliti dan mengarahkan beberapa perkara, diikuti pertemuan dengan seluruh pemain Terengganu, pagi esok.

Katanya, kejatuhan pasukan di kancah Liga Super kebelakangan ini, sangat mendukacitakan seluruh pengurusan, penyokong dan juga peminat apatah lagi Terengganu pernah berada di takhta liga untuk awal musim lalu.

Datuk Wan Ahmad Nizam berkata, teguran sudah dibuat kepada pengurusan dan pemain, bagaimanapun PBSNT masih memberi `ruang’ supaya semua pihak membetulkan kelemahan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya pasukan mampu bangkit selepas tempoh rehat Liga Super selama dua minggu ini.

Tumpuan kini lebih terarah kepada prestasi skuad Penyu yang mula merudum sejak episod kekalahan 2-1 kepada Sarawak diikuti seri 2-2 dengan pasukan Selangor PKNS dan terbaru, Sabtu lalu tumpas kepada pasukan tercorot Perak 2-0 di laman sendiri.

Apabila kancah liga bersambung semula, Terengganu akan menentang pasukan kedua liga, Selangor, di Stadium Shah Alam pada 4 Mei ini.



DOA RAKYAT DUN TEPOH BUAT DATO' SERI MOHD.NAJIB DAN DATO' SERI AHMAD SAID


Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Mohd.Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri menyatakan bahawa sokongan padu perlu terus diberikan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang banyak membuat rancangan dan pembangunan untuk faedah rakyat Terengganu.
 “Semua perlu mendoakan untuk kesejahteraan pemimpin utama kita, Dato’ Seri Haji Ahmad agar terus memimpin negeri ini dan meneruskan agenda-agenda pembangunan untuk faedah rakyat termasuklah pelbagai bantuan yang diperkenalkan untuk rakyat di negeri ini,” katanya sewaktu berucap merasmikan penyampaian Bantuan Dana Perayaan 2013, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh di Stadium Negeri, Gong Badak, pagi tadi.
 Beliau juga meminta para hadirin mendoakan kesejahteraan untuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga banyak memperkenalkan skim bantuan untuk rakyat, termasuklah terbarunya iaitu BRIM.
 Turut hadir di majlis itu, Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Encik Abdul Fatah Hussien dan penghulu-penghulu mukim serta Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 Kira-kira 2,500 penerima dana pada hari ini untuk sebahagian penerima bagi Dun Tepoh membabitkan kos lebih kurang RM850,000 dan untuk kumpulan kedua penerima bagi Dun berkenaan seramai 2000 orang lagi akan diadakan pada 28 April ini.
 Dato’ Haji Mohd Nasir yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Menteri Besar Terengganu menyampaikan salam kepada semua.
  “Doa tuan-puan juga adalah untuk kebaikan diri masyarakat Dun berkenaan juga bagi manfaat bantuan dan segala pembangunan yang bersifat untuk faedah rakyat”, katanya dengan iringan tepukan bergemuruh oleh hadirin ditujukan khas kepada Menteri Besar Terengganu.

Terengganu mahu rampas juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu optimis untuk merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dengan sasaran 53 pingat emas di temasya Sukma Ke-17 Perlis, bermula 24 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, berkata seramai 401 atlet sudah bersedia untuk bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara di temasya 12 hari itu nanti.

“Kita memperkenalkan beberapa insentif baru bagi menyuntik semangat para atlet untuk bersaing di Sukma Perlis 2014 ini. Saya harap dengan suntikan dan kerjasama yang diberikan ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada atlet Sukma Terengganu.

“Pada kali ini Terengganu mensasarkan untuk merampas semula kejuaraan dengan pungutan 53 emas yang mewakili kira-kira 13 peratus pingat emas, walaupun kita tahu bonus (pingat emas) lain, tetapi kita kekal dengan sasaran (53 emas) ,” katanya di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat sukma Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua jabatan negeri. Majlis itu turut memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Sementara itu, YB Rozi berkata, pihaknya yakin terhadap kemampuan dan prestasi atlet yang kini dihantar secara berperingkat-peringkat bagi menjalani latihan dan menyesuaikan diri di semua venue di Perlis, sebelum temasya bermula.

“Hari ini kita juga memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Sukma Terengganu 2014 yang diputuskan kerajaan negeri, YB Mohd Mahdi Musa untuk memikul tanggungjawab yang besar pada tahun ini.

“Kita juga memperkenalkan bapa angkat di kalangan YB supaya membantu sama atlet Sukma nanti. Selain itu buat julung kali, jabatan dan agensi kerajaan juga bekerjasama dan membantu menyuntik semangat atlet,” katanya.

Pada temasya kali ini, Terengganu menghantar 544 peserta dari kalangan 401 atlet dan 107 pengurus pasukan, pengurus sukan, jurulatih, mekanik serta 26 pegawai yang akan bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara (80.21 peratus) keseluruhannya.

Terengganu menjadi kontinjen ketiga terbesar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa. Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.

Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa). Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.


300 hadir baca yaasin Dun Langkap.

MESRA...isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Datin Rashidah Jaafar sedang memberitahu sesuatu kepada hadirin dalam Program Bacaan Yaasin dan Doa Selamat Wanita dan Putri UMNO Dun itu di rumahnya di Putera Jaya, Setiu, baru-baru ini.

Program yang disertai kira-kira 300 ahli Wanita dan Putri Dun Langkap itu bertujuan untuk memberi sedekah kepada arwah-arwah yang sudah sudah meninggal dunia selain merapatkan hubungan silaturrahim antara jemputan.

Seramai lima ahli Wanita dan lima Putri UMNO dipilih dari setiap cawangan di Dun Langkap untuk menjayakan program itu.

"Sambutan daripada jemputan amat mengalakan dan saya berharap program ini banyak memberi manfaat kepada semua serta akan diteruskan pada masa-masa akan datang.Saya juga berterima kasih kepada semua hadir walaupun ada yang datang dari kampung-kampung yang agak jauh dari rumah saya ini," kata Datin Rashidah.- Aminudin Ismail.

 

20 April 2014

Pasukan Wartawan juara menembak IPD Setiu.

Ab Rahman sedang memantau seorang penembak.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KETEPATAN tembakan membawa kemenangan bergaya kepada Pasukan Wartawan menewaskan Pasukan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu dalam pertandingan akhir Kejohanan Menembak Jemputan Ibu Pejabat Polis D(IPD)daerah Setiu yang diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Kedua-dua pasukan terpaksa bertanding di perlawanan tambahan apabila mereka seri dalam perlawanan akhir. Bagaimanapun pada perlawanan penentuan itu kumpulan wartawan lebih berwibawa apabila berjaya mendahului pasukan lawan dalam membuat tembakan tepat.

Pasukan wartawan disertai disertai Yusof Sobri Awang (RTM), Mohd Taha Yaacob (Sinar Harian), Aminudin Ismail (Teganukita) dan Jafri Mamat (RTM).

Fokus..Dato' Sabri mencari sasaran tepat.
Dalam pertandingan individu, Johan ialah peserta dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mutalib Ghani dan naib johan ialah Pegawai Agama Daerah Setiu, Sofifuddin Yusof dan tempat ketiga ialah Mohd Nor Ibrahim dari Pejabat Daerah Setiu.

Pertandingan itu disertai 12 pasukan iaitu Pasukan PLKN, Rela, JPAM, JKR, PDS, MDS, Kesihatan, Dun Langkap, Dun Batu Rakit, Pejabat Agama, SATU, wartawan dan PPD.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab. Rahman Mohamed berkata, pertandingan itu diadakan adalah bertujuan untuk memupuk hubungan silaturrahim antara anggota IPD Setiu dengan peserta yang mengambil bahagian.

“Program ini adalah untuk meletakan hubungan antara Polis dan masyarakat sentiasa dalam keadaan baik. Apa jua program yang dilakukan oleh Polis, kalau boleh kita hendak libatkan dengan jabatan-jabatan.

Tuju...Bazlan turut pamer kebolehan menembak.
“Dan kita melibatkan wakil-wakil rakyat, kita melibatkan NGO-NGO yang ada di persekitaran kita. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan program ini termasuklah tuan DO, YB Langkap, YB Batu Rakit yang memberi sokongan padu untuk menjayakan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Nor Ibrahim berkata program yang dianjurkan oleh Polis Setiu itu adalah amat baik dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Setiu dapat menjayakan program ini.

“Biasanya Polis sahaja yang menembak tetapi melalui inisiatif dari tuan OCPD kita semua termasuklah ketua-ketua jabatan, YB, NGO-NGO dan beberapa peserta lain, kita dapat mengenali dan senjata yang digunakan oleh Polis. “Saya berharap supaya program-program seperti dalam diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Adun Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, YDP Majlis Daerah Setiu dan Pegawai Daerah Setiu.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Cawangan Khas IPD Setiu, ASP Aniza.
Pemenang bergambar kenangan selesai pertandingan.

Seorang wartawan mendaftar sebelum menembak

Doa bagi memberkati majlis.

Wakil PPD Azmi Nazir mencuba  Revolver.

YDP MDS juga turut menunjukan kebolehan.

Pasukan IPD Setiu pamer kebolehan.

Antara peserta yang mengambil bahagian.

Tuan OCPD turut menembak.

Anggota dari IPD menunjukan cara menembak.

Wakil PDS turut mengambil bahagian.
Tuan DO sedang fokus sasaran.
PA Dun Langkap tuju sasaran

Wakil Dun Langkap yakin dengan sasaran

Pasukan PPD Setiu.

Seorang peserta dari RTM yang bertanding.
Peserta JKR turut bertanding.

Seorang lagi peserta dari RTM.
Ketua Biro Utusan mencuba revolver sebelum menembak.

Isteri YB Bazlan berani mencuba.

Ketua Biro NST juga hadir

Sidang akhbar khas selepas pertandingan.


Seorang peserta RTM menang kategori individu.

ASP Aniza menyampai hadiah wakil pemenang.


PPD setiu dapat naib Johan acara kumpulan.

Peserta bersedia untuk bertanding.

 

Bina Komplek Pasar Produk Terengganu

Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan kompleks membeli-belah berhampiran Pasar Besar Kedai Payang sebagai langkah memudahkan orang ramai terutama pelancong mendapatkan lebih banyak produk keluaran Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata pihaknya bercadang membina sebuah kompleks membeli-belah yang turut dilengkapi kedai makan di lokasi stategik seperti di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu..

 Katanya, pembinaan kompleks berkenaan masih di peringkat cadangan namun pihaknya percaya dengan adanya kompleks itu, ia akan memudahkan pelancong untuk membeli produk Terengganu, termasuk songket, batik, tembaga, sutera dan barangan kraf..

"Taman Shah Bandar dikenal pasti mempunyai lokasi yang strategik memandangkan ia berdekatan dengan Pasar Besar Payang dan juga berhampiran dengan jeti yang menghubungkan pelancong dengan pulau-pulau yang ada di Terengganu," katanya.

 Mohd Jidin berkata kompleks yang bakal dibina di tepi sungai Terengganu itu juga bakal menjadi tumpuan pengunjung yang bertandang ke sini kerana pemandangan yang indah dan pembangunan yang pesat di tengah bandar raya itu.

 “Pihak kami juga yakin akan mencapai sasaran menerima lima juta pelancong pada tahun ini berbanding 4.5 juta pada tahun lepas.

 “Sasaran itu mampu dicapai menerusi pelbagai program yang dianjurkan seperti Festival Candat Sotong Antarabangsa dan Festival Kenyir,” katanya.

 

Ucaptama Negeri, pelancaran SKRA 22 April

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Nana (pelatih)

Sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Program Transformasi Terengganu (TTP), satu program mentransformasikan pentadbiran kerajaan negeri berlandaskan gagasan `Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran Terengganu’ (MPPT).

TTP yang diilhamkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengenalpasti 11 Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) dengan disokong 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang, berkata KPI berkenaan akan bertindak sebagai indikator pencapaian yang akan mengukur prestasi dan pencapaian kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat.

YB A. Latiff (tengah) ditemani En Ruslan diberi penerangan mengenai kerja mengedit gambar oleh Jurufoto UKOM, Zukipli Putra.


"Matlamat mewujudkan TTP buka sahaja untuk mendokong pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan di peringkat Pusat, malah juga berfungsi sebagai jentera utama yang akan membawa Terengganu mencapai status Negeri Maju pada 2020.

“Kerajaan negeri akan menggunakan kaedah dan pendekatan yang baru, sambil melihat model-model yang telah dipraktikkan oleh Kerajaan Pusat dan mana-mana yang boleh digunapakai , ”katanya ketika menjadi tetamu jemputan sempena Majlis Ucaptama negeri dan Pelancaran SKRA, di radio ManisFM, hari ini.

Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran SKRA bakal berlangsung di Wisma Darul Iman, pada 22 April (selasa) ini, jam 9 pagi.

A Latiff berkata, di majlis berkenaan, Menteri Besar akan menyampaikan amanat mengenai Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu dan aspirasi kerajaan negeri untuk menjayakan gagasan negeri, MPPT.

Menurutnya, Dato’ Seri Ahmad juga akan mengulas kejayaan dan pencapaian kerajaan negeri dan mesej penting kepada 2,000 peserta yang hadir terdiri di kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan, warga pendidik dan Badan berkaitan Kerajaan.

“Dalam masa yang sama, Menteri Besar bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala akan melancarkan 11 SKRA di bawah TTP serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) . 

“Program ini mengikuti pendekatan Kerajaan Pusat menerusi GTP yang menggariskan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang disokong 55 KPI yang terdiri daripada program dan projek yang diselaraskan pelaksanaannya selari dengan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10),” katanya.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa tertinggi di peringkat kerajaan negeri, berharap program itu mampu membawa perubahan yang maksimum dan cepat dari aspek transformasi dalam pentadbiran dan penyampaian di peringkat kerajaan.

Sejurus di ManisFM, beliau diiringi Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), Encik Ruslan Abd Rahman meninjau Ukom bagi melihat lebih dekat operasi unit yang menjadi platform menyebar luas dan mempromosi peranan kerajaan negeri kepada masyarakat itu.


AHMAD SAID PELOPOR IDEA MERAKYATKAN DAN KESUSAHAN HIDUPNYA DI MASA LALU MEMBUATKAN DIRINYA TERLALU MEMAHAMI KEHIDUPAN RAKYAT BAWAHAN.

Analisa berita oleh Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Sesiapa pun boleh bercita-cita dan berdoa untuk memperolehi pangkat, kedudukan dan sebagainya.Tiada masalah,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad Said secara bersahaja dalam suatu ucapannya.


Doa itu sememangnya sesuatu yang baik bagi kita sebagai orang Islam, termasuklah doa untuk menjadi calon, YB dan sebagainya, hatta hendak menjadi Menteri Besar sekalipun, ujarnya. Tetapi katanya, apabila sudah diputuskan, telah ditakdirkan kita kena akurlah dengan suratan takdir, kadang-kandang jadi calon sahaja, belum tentu menang lagi.

“Apa yang ditelah ditentukan oleh Tuhan, melalui perantaraan tangan-tangan manusia kita kena akurlah, terimalah, kena berjiwa besar dan tidak berdendam kerana kita juga selalu ucapkan bahawa yang menang tidak menang semua,yang kalah tidak kalah semua”, ujarnya. “Yang penting kita perlu mendapatkan kejujuran dalam perjuangan.

Mesti ada niat yang ikhlas, cita-cita orang lain kita tidak boleh halang, tetapi sampai masa keputusan telah dibuat, terimalah, redhalah dengan suratan takdir,” katanya.

Tapi, biasalah katanya, seperti kita berdepan dengan anak-anak kita, “kalau yang nakal tu sampai 'tagor' rumah, atau ada yang manja asyik merajuk dan menangis”. Sebenarnya penulis berpendapat banyak perkara yang boleh kita ambil pengajaran dan iktibar dari kisah-kisah yang dibawakan oleh pemimpin berpengalaman, Dato’ Seri Haji Ahmad berdasarkan ucapan-ucapan beliau.

Walaupun ucapannya kelihatan ‘simple’ sahaja dan kadang-kadang diselang-seli jenaka yang membuat kita tetawa terutama dengan perkataan-perkataan lohgat Terengganu seperti “enjar sesama sendiri”, “buleh nyior” “tagor’’ dan sebagainya lagi tetapi ia cukup mudah difahami secara mendalam oleh yang mendengar, khususnya orang Terengganu. Tetapi apabila beliau melontarkan kata-kata “

Apa lagi yang rakyat dan pengundi mahukan, Umno telah lakukan bermacam-macam untuk rakyat dari dulu hingga sekarang, ia adalah suatu persoalan yang perlu dibincangkan untuk mencari jalan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti yang berjasa ini.

Umno adalah parti yang banyak berjasa berbanding dengan parti-parti pembangkang yang tidak melakukan apa-apa melainkan banyak menimbulkan masalah, tetapi mengapa masih ramai yang tidak mendokong dan mengundi parti itu semasa pilihanraya, katanya.

Ungkap Dato’ Seri Ahmad: “Kadang-kadang kita pemimpin ini ibarat pemain bola, lebih-lebih lagi yang memakai jersey nombor 10, macam-macam diperkatakan dan dikritik hebat oleh penonton, tidak pandailah, ‘benggonglah..bodohlah...” , bahkan kadang-kadang yang membuat kritikan keras itu pun bukan pernah bermain bola pun.

Tetapi ujarnya, memanglah menjadi hasrat kita untuk membuat yang terbaik, kalau boleh hendak sumbat sampai 10 gol dalam satu-satu perlawanan untuk menjadi pemain terhebat dan mendapat pujian penonton dan peminat, tetapi sebenarnya itu di luar kemampuan kita.

Demikianlah anologi yang cukup baik dibuat oleh Dato’ Seri Haji Ahmad dalam ucapannya yang membuat pendengar cukup terpegun dengan penyampaian dan pengolahan mudah dalam ucapan yang disampaikannya itu.

Inilah yang dapat penulis analisa dan kemukakan kepada pembaca setelah mengikut dua ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad sewaktu merasmikan retreat Umno Bahagian Marang di sebuah resort di Gambang Kuantan baru-baru ini dan sebelumnya di sebelah petang berucap kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di setesen janakuasa Paka.

“Bedah siasat perlu untuk kita kenal pasti kelebihan dan kelemahan, apakah Tuhan mahu menguji kita dengan situasi itu, adakah kerana berlaku peteh sesama kita, apakah lagi yang rakyat mahu....semua itu perlu diperbincangkan dalam bengkel dalam retreat untuk mencari jalan penyelesaiannya bagi memastikan parti kita mencapai keputusan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Demikianlah seorang pemimpin yang sebenarnya telah hampir 30 tahun berkhidmat kepada rakyat sama ada selaku wakil rakyat ataupun pegawai kerajaan sebelumnya. Sebelum bertanding dalam pilihan raya kecil dan umum 1990 di Dun Kijal, Dato’ Seri Haji Ahmad adalah seorang pegawai tadbir kerajaan negeri.

Wibawanya cukup terserlah dengan ingat fakta dan angka-angka yang menyokong ucapannya itu bila membicarakan tentang pembangunan di Terengganu sekalipun tanpa bernota (orang Terengganu kata ingat dalam kepala). Dan bila di berhadapan dengna pembangkang di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau boleh memukau hatta wakil pembangkang sekalipun.

Pengalaman berdebatnya amat hebat. Hinggakan baru-baru ini, dalam persidangan DUN, beberapa orang wakil pembangkang merayu-rayu mohon ehsan dan simpat Menteri Besar itu untuk menolong orang-orang Pas yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan tanah. Ini kerana Dato’ Seri Haji Ahmad berjaya membentangkan fakta yang sebenar tentang kedudukan tanah rezab kerajaan yang diduduki oleh penduduk di sekitar jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan iaitu di Pasir Putih (Merchang).

Tanah itu rupanya diceroboh sejak tahun 1964 lagi dan apabila wakil pembangkang mendengar kebenaran hujah Menteri Besar itu, mereka sedar keadaan sebenar lalu memohon jasa baik sebagai rayuan untuk mendapat simpati dan bukannya hak dari segi perundangan untuk mendapat sedikit pampas an setelah tanah itu hendak digunakan semula oleh kerajaan.

Adun Bukit Tunggal, Dr Alias yang pada mulanya menafikan bahawa jawatankuasa yang dibentuk bagi melantik syarikat guaman berkaitan tanah itu bukannya dari pihak Pas tetapi akhirnya terpaksa akur dengan penjelasan Menteri Besar bahawa surat itu terbukti ditulis atas nama lujnah Pas.

“Nampaknya Adun Bukit Tunggal tidak baca dan semak dulu surat sebelum serah kepada saya,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad. Penjelasannya beliau kepada Dewan itu amat menampakkan kelemahan dan kedangkalan Adun Pas itu.

Semua ini menggambarkan bukanlah mudah untuk mencari seorang pemimpin yang serba mampu ini dari segi mesra rakyatnya, kepetahan berhujahnya, membawa pembangunan negeri untuk faedah rakyat seleras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan (MPPNT) yang diperkenalkannya, program kebajikan rakyat, pembelaan terhadap orang miskin, pendidikan, malah satu-satunya Menteri Besar yang sanggup mengharungi cabaran hingga ke benua Antartika!

Pada 22 April nanti beliau akan menyampaikan Ucaputama Negeri di Dewan Besar Wisma Darul Iman dengan menggunakan slide dan bukti-bukti bergambar tentang pembangunan yanga telah, sedang dan akan dijalankan. Apa yang diperkatakan nanti jelas menampakkan bahawa beliau membangunan Terengganu dan rakyat dengan perancangan yang plan strategi dan hala tuju yang telah dipetakan terlebih awal.

Malahan, di bawah pimpinannya, Terengganu mempunyai bahagian khas Transformasi Kerajaan negeri dengan bakal memperkenalkan 11 Bidang Keberhasilan Utama Negeri selaras dengan apa yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala.

Dato’ Seri Idris Jala bagi pihak Perdana Menteri akan hadir sama di majlis Ucaputama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri pada 22 April nanti dan seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman Kerajaan Negeri Terengganu dan Persekutuan bagi tujuan agenda trasformasi kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan itu.

Pertama dalam sejarah dan inilah kehebatan Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Syabas dan tahniah! Dato’ Seri Haji Ahmad lah sebenarnya yang memperkenalkan konsep “Rakyat” dan ‘Merakyatkan” kini diterimapakai oleh banyak pihak termasuk oleh Ketua Setiausaha Negara yang memperkenalkan konsep Merakyatkan Pentadbiran Awam.