Halaman

13 May 2014

Petronas anjur kem UPSR

Seramai 444 murid Tahun Enam dari 18 sekolah di enam negeri menyertai Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Petronas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini sejak Jumaat lepas.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program empat hari itu membabitkan murid-murid dari Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Johor.

Beliau berkata program itu dijalankan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan para pelajar yang tinggal di kawasan operasi Petronas.

"Ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dan murid yang dipilih datangnya dari keluarga kurang bernasib baik serta dikategorikan sebagai pelajar 'harapan lulus'," katanya pada sidang media selepas menutup Kem Motivasi itu, kelmarin.

 Melalui program itu, murid-murid dilatih dan dibimbing mengenai teknik menjawab soalan oleh perunding khas.

 PSIP merupakan program sepanjang tahun anjuran Petronas sejak 2002 yang melibatkan 3,000 pelajar setiap tahun bagi memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

 

Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman disambut meriah sebaik tiba di rumahnya di Seberang Takir, Kuala Terengganu selepas majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Ahmad Razif mencium tangan ayahandanya sebaik tiba di rumahnya di Seberang Takir selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.





12 May 2014

MB TERENGGANU BERTUKAR

KUALA TERENGGANU 12 Mei - Dato' Seri Haji Ahmad Said hari ini dilaporkan  meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Dato' Seri Haji Ahmad Said dipercayai menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu hari ini, sementara penggantinya dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu malam ini. 

Tengku Adnan yang mengesahkan mengenai perletakan jawatan Ahmad Said itu berkata, beliau berada di negeri itu untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Terengganu berhubung perkara tersebut.

 "Memang Ahmad Said meletak jawatan. Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua ADUN akur dengan keputusan Presiden parti," katanya di sini hari ini

Sertai Pertandingan Azan dan Iqamah Dun Langkap.

Oleh: Aminudin Ismail. 

ORANG ramai yang boleh mengalunkan azan dan iqamah dengan baik dipelawa untuk menyertai Pertandingan Azan Dan Iqamah Tertutup DUN Langkap yang akan diadakan selama hari iaitu 26 dan 27hb Mei ini.

Jurucakap penganjur berkata, pertandingan anjuran Pejabat Dun Langkap dan Permai Café & Group itu akan diadakan di perkarangan pejabat Dun itu iaitu berhadapan Masjid Sungai Tong.

“Pertandingan dibahagikan kepada empat kategori iaitu tujuh hingga Sembilan tahun, 10 hingga 12 tahun, 13 tahun hingga 15 dan kategori dewasa 17 tahun ke atas,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh dapatkan borang penyertaan di pejabat Dun Langkap di Pekan Sungai Tong dan Permai Café di Bandar Permaisuri atau hubungi 0148022713.(En.Roma).

 

UMNO KE ARAH TRANSFORMASI PEMIKIRAN BARU DAN KEKALKAN KELUHURAN PERJUANGAN- KATA YB A.LATIFF AWANG, KETUA BAHAGIAN MARANG


Umno memerlukan transformasi pemikiran baru, semua ahli hendaklah berfikiran positif bagi memperkasakan Umno, terutama bagi menawan pemikiran generasi Y, kata Ketua Umno Bahagian Marang, YB A.Latiff Awang.

Katanya, transformasi Umno seharusnya merangkumi  transformasi minda, gaya dan bentuk pengurusan yang cekap dan transformasi  kea rah mendapat sokongan rakyat dan rakan strategik.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Ulangtahun ke 68 Umno.

“Umno perlu membina dan memperkasakan perjuangan dan membentuk keyakinan rakan-rakan strategik  parti dan rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar kepimpinan Umno di semua peringkat  meletakkan KPI dalam setiap tindakan dan Umno tidak boleh berfikiran jumud, melainkan perlu perubahan paradigma dalam cara berfikir, yakni di luar kotak kebiasaan, di samping pemimpin dan ahli yang berhati luhur.

YB A.Latiff yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi portfolio berkaitan transformasi kerajaan,  komunikasi dan multi media negeri  berkata, Umno mesti menjiwai rakyat, orang Melayu khususnya dan para pemimpin di semua peringkat perlu turun padang sentiasa bersama rakyat sama ada di kampung mahupun di bandar.

“Umno perlu terus relevan dan konsisten dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Umno  mesti melakukan transformasi yang berkesan, stail pengurusan parti  yang lebih cekap dan berinovasi di semua peringkat pusat, negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri dan cawangan-cawangan” ujarnya lagi.

Beliau berharap program-program parti yang dianjurkan dengan gerak kerja yang berkesan dan menarik hati pengundi-pengundi dengan membentuk imej dan identiti yang mulia dan cemerlang.




11 May 2014

Penyiar tiga negara susuri Tasik Kenyir.

SUSURI...sebahagian daripada penyiar dari tiga buah negara mengambil peluang menyusuri Tasik Kenyir dan melawat beberapa tempat menarik sekitar tasik itu, selepas menjayakan Program Budaya Tiga Serumpun yang diadakan di Pengkalan Gawi, Kenyir, semalam.

Antara aktiviti yang diadakan semalam ialah rakaman berbalas pantun untuk program hari raya, tarian kebudayaan, persembahan 'strompers' dari pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan beberapa aktiviti lain.

Program itu dirasmikan oleh Dato' Jailani Johari, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia. 

Beberapa penyiar luar yang ditemui tertarik dengan keindahan Tasik Kenyir dan gembira kerana dapat mengunjungi tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu.

Rombongan seramai 13 penyiar dari Indonesia dan Brunei akan pulang 13haribulan selepas lima hari berada di Terengganu- Aminudin Ismail.

Bergambar kenangan selesai rakaman program.

Acara berbalas pantun di Pengkalan Gawi.

Penambahbaikan demi kejayaan parti : Din Adam

Oleh: Aida Abd Rahman

"Perteguhkan roh perjuangan parti di semua peringkat seluruh Terengganu kerana masih belum terlambat untuk melakukan penambaikan dalam parti demi kejayaan pada pilihan raya akan datang. "

Demikian ulasan Ketua Bahagian Umno Dungun, Datuk Din Adam kepada Teganukita sempena ulang tahun Umno ke-68, hari ini.

"Kita semua harus bersedia melakukan pembaharuan, memuhasabah diri dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan Umno lebih kuat dan padu di mana hasilnya dapat dilihat pada pilihan raya akan datang.

"Biar parti yang menjadi tunjang bangsa Melayu ini terus kukuh dan subur di kalangan bangsa dan agama kita, malah ia juga menjadi sumber kekuatan bagi mendepani cabaran masa depan yang lebih terarah dan gemilang. Pada masa yang sama kita tidak meminggirkan bangsa lain dalam rumpun kemajmukan kaum di negara kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Umno satu parti keramat yang perlu bersifat lebih terbuka, demokratik dan mendengar suara akar umbi supaya usaha memperkasakan parti mampu direalisasikan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam setiap gagasan dan perancangan.

Katanya, setiap kepimpinan dan juga ahli Umno harus memiliki jati diri dan matlamat yang jelas dalam perjuangan masing-masing demi memartabatkan parti.

“Umno akan terus kekal relevan dan sentiasa memenuhi aspirasi rakyat sepanjang zaman. Parti sejagat ini sudah terbukti melakukan banyak transformasi di peringkat Pusat sejajar dengan peredaran semasa demi menjaga kepentingan rakyat khususnya kaum Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Din berkata, kesepakatan dan penyatuan amat penting di semua aspek dan peringkat demi melihat gerakan perjuangan parti itu terus memberi refleksi yang cemerlang dan unggul kepada kehidupan dan pembangunan umat dan juga bangsa.


Menteri minta BERNAS kurang pemotongan padi

Tajuddin (kiri) ketika mencuba mesin tuai padi.
Oleh: Mohammad Ishak 

SYARIKAT Padi dan Beras Negara (BERNAS) diminta tidak mengenakan pemotongan padi yang terlalu tinggi terhadap hasil jualan petani kerana ia membebankan petani di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajudin Abd Rahman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada petani yang mendakwa BERNAS masih memmbuat potongan sehingga 25 hingga 30 peratus terhadap padi yang dijual menerusi agensi itu.

Katanya, kadar munasabah yang perlu dilakukan oleh BERNAS ialah pada tahap 21 peratus dan tidak membebankan petani.

Katanya, walaupun kerajaan sudah menaikkan harga belian subsidi padi hingga RM1,200 satu tan metric tetapi ia masih membelenggu petani kerana pihak BERNAS membuat pemotongan yang keterlaluan. 

“Masalah petani itu sudah beberapa kali dibangkiotkan kepada pengurusan BERNAS tetapi malang ia masih belum menyelesaikan masalah petani,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dana Kebajikan Sub Sektor Padi Peringkat Kebangsaan di Kampung Alur Keladi, dekat sini. semalam.

Beliau berkata, Bernas sepatutnya menyelaraskan sistem pembelian dan pemotongan padi di seluruh negara tanpa memilih kawasan tertentu bagi mempastikan petani dapat menikmati subsidi kerajaan.

Mengenai dana berkenaan beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM.3.3 juta untuk diagihkan kepada semua 33 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara bagi membantu petani mendapatkan pinjaman. 

Katanya, setiap PPK yang menjalankan operasi Pusat Belian Padi akan diperuntukkan RM100,000 sebagai pinjaman mudah kepada petani yang mengusahakan tanaman padi.

“Dengan adanya kemudahan itu petani tidak perlu lagi bergantung kepada pihak swasta atau broker seperti yang berlaku sebelum ini untuk mendapatkan pinjaman.”

Katanya. Keterangan gambar Tajudin mencuba mesin menuai sempena pelancaran Dana Kebajikan Sub Sektor Padi Peringkat Kebangsaan di Kampung Alur Keladi, Jertih. Tamat.

   

Sultan Mizan Serikan Majlis Persandingan Puteri Kedua MB

Oeh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Persandingan anak kedua Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang berlangsung penuh gemilang di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenganu, malam tadi.



Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong serta orang-orang kenamaan. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM), Datuk Rohani Abdul Karim.

Majlis bermula kira-kira jam 8.30 malam dengan perarakan masuk kedua-dua mempelai, Nor Ashahirah Ahmad, 27, dan Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, ke dewan utama sebelum duduk di pelamin yang dihias indah bertemakan taman laut.

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah kemudiannya berkenan merenjis air mawar, diikuti oleh tetamu kehormat termasuk ibu bapa kedua-dua pengantin.



 Sebelum itu, majlis ijabkabul berlangsung di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu pada sebelah malam (9 Mei).

Menteri Besar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan yang sudi mencemar duli berangkat ke majlis itu.

 Menteri Besar turut mendoakan agar kedua-dua mempelai yang mengikat tali pertunangan pada 31 Mac 2012 lalu, dipanjangkan jodoh dan menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan penuh harmoni.

Baginda Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.



Solat di awal waktu sebelum mati lemas.

Pasrah..Faridah menunjukan gambar anaknya dalam telefon.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEORANG ibu, Faridah Mohd Nor, 42, tidak menjangka perubahan sikap anaknya yang segera menunaikan solat setiap kali masuknya waktu sejak beberapa minggu lalu membawa petanda bahawa anaknya itu akan pergi meninggalkanya buat selama-lama apabila anaknya ditemui lemas di Pantai Bari, Penarik, Setiu, kelmarin (Jumaat).

Selain itu, menurutnya, anaknya itu yang agak pendiam tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang gemar bercakap dan begitu mesra dengannya dan ahli keluarga yang lain.

“Sebelum ini dia diam tetapi seminggu dua yang lalu, dia banyak bercakap dan dia juga tidak melewat-lewatkan sembahyang, masuk waktu terus dia sembahnyang. Selain itu, anak saya juga beberapa kali menghafal Asma Al Husna.

“Saya tidak mengesyaki sesuatu yang akan berlaku ke atas dirinya, sehinggalah saya diberitahu anak saya itu lemas di Pantai Bari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia, Bintang, Setiu, pagi tadi.

Katanya, anak kedua dari enam beradik itu juga ada memberitahu bahawa ada sesuatu yang mengekorinya dari belakang sejak beberapa hari sebelum anaknya itu, Mohd Iskandar Yusof, 22, meninggal dunia.

Rumah Faridah dikunjungi saudara mara.
“Dalam dua tiga kali juga dia memberitahu saya bahawa selepas sembahyang dia rasa ada lembaga berada di belakang dia dan saya memberitahunya akan membawa bertemu ustaz untuk mengambil air tawar dan untuk mengetahui apa yang sebenarnya mengikutnya dari belakang itu.

“Diapun bersetuju tetapi tidak sempat saya membawa untuk mengubati penyakitnya itu, dia terlebih dahulu pergi meninggalkan kami semua,” katanya yang pasrah terhadap apa yang berlaku ke atasnya itu walaupun perasaan sedih masih menyelubunginya kerana beliau memang rapat dengan anak lelakinya itu.

Katanya, anaknya itu keluar dari rumah pada petang khamis kerana mahu ke rumah kawannya di Kampung Bukit Payong.

“Pada petang kamis dia kata mahu pergi ke rumah saing (rakan) dia di tempat di belajar welding di Bukit Payong. Dia memang rajin (biasa) pergi semalaman rumah saing dia tu, jadi sayapun tak rasa apalah kerana sudah biasa tetapi pada petang jumaat itu saya tunggulah dia balik ke rumah kerana kalau dia pergi petang kamis dia akan pulang petang Jumaat.

“Petang itu dia tidak balik ke rumah tiba-tiba penghulu kampung datang beritahu bahawa anak saya itu lemas ketika mandi di Pantai Bari Kecil,” katanya.

Faridah berkata, beberapa pengunjung yang berada di pantai itu cuba menyelamatkan anaknya tetapi gagal kerana anaknya didapati sudah meninggal dunia.