Halaman

18 May 2018

Kembali Bersatu, Elak Permusuhan - Ahmad Samsuri


Masyarakat terutama umat Islam di negeri ini diminta kembali bersatu dan menjalinkan silaturahim sekiranya wujud persengketaan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru- baru ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak elok sekiranya antara kita berterusan menyimpan perasaan dendam dan buruk sangka. 


Katanya, sifat bersengketa itu amat dibenci Allah SWT dan juga Rasulullah SAW, oleh itu marilah kita bersama-sama bermaaf-maafan antara jiran, rakan sekampung dan kawan pejabat pada bulan yang mulia ini. 

"Mulai hari ini tanamkan azam untuk bersikap mulia, berbaik sangka dan menjaga adab serta perilaku. 

"Setiap perbuatan dan perilaku pastinya akan menjadi contoh kepada masyarakat negeri lain, " katanya. 



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Masjid Jamek, Pengadang Baru, Kuala Terengganu, petang ini. Ahmad Samsuri turut berpesan supaya jangan sombong serta bangga dengan pangkat dan jawatan yang dipegang kerana semua itu, cukup kecil nilainya di sisi Allah. 

"Apa yang penting setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul perlu laksanakan sebaik mungkin,"katanya.



17 May 2018

Tabika Kemas Beroperasi Seperti Biasa



Operasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini akan berjalan seperti biasa dalam proses peralihan kuasa yang berlaku. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya operasi agensi yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu bakal ditutup kerana persoalan tersebut tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri di bawah Pas.   

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan yang operasi Tabika Kemas itu akan terus diperkasakan di masa depan sekiranya tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.


"Apa yang kita bincang di peringkat pentadbiran kerajaan negeri ketika ini adalah perkara yang lebih penting untuk masyarakat dan isu mengenai Tabika Kemas tidak menjadi keutamaan dalam perbincangan itu. 

"Kita biarkan semua proses berjalan seperti biasa sebab di awal ucapan saya semasa istiadat angkat sumpah lalu, saya ingin memastikan sebarang penambahbaikan yang dibuat kelak tidak menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat terutama dalam isu-isu pendidikan anak-anak, " katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, petang semalam
Hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim dan Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz. 


Dalam majlis itu, sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk yang disumbangkan kerajaan negeri diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena bulan Ramadan. 

 Aizi Saidi berkata, agihan bubur lambuk itu bermula pukul 3.30 petang itu merupakan acara tahunan di Masjid Abidin sejak lapan tahun lalu. 

"Setiap hari kita akan mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sehingga hari ke-28 Ramadan. 

"Orang ramai yang datang bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi bangsa-bangsa lain kerana ramai mengatakan bubur lambuk di sini lebih enak berbanding di tempat lain," katanya.


Enam Pegawai Kerajaan Negeri Bertukar


Enam pegawai tadbir negeri Terengganu ditukarkan ke jawatan baharu berkuatkuasa 16 Mei lalu.

Pertukaran yang dinyatakan dalam surat yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya bertarikh 16 Mei itu melibatkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Husin yang mengisi kekosongan jawatan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Setiausaha Sulit Kanan YAB Menteri Besar, Md Kamaru Al-Amin Ismail ditukarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC dan jawatan itu kini digantikan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Setiu, Azran Amin Mazlan. 

Manakala Setiusaha Khas Kepada YAB MB, Ahmad Nizam Abd Karim ditukarkan untuk mengisi kekosongan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu; Pegawai Khas Kepada YAB MB, Fatima Az Zuhra Aziz pula ditukarkan ke jawatan Penolong Setiausaha Pembangunan Sumber Manusia), Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu dan Setiausaha Akhbar Kepada YAB MB, Wan Nabila Aisha Wan Bakhri pula mengisi kekosongan jawatan Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Dungun.



Orang Ramai Dijemput Meriahkan Program Nostalgia Ramadan



Orang ramai dijemput memeriahkan Program Nostalgia Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini bertempat di Pasarnita Tanjung, Kuala Terengganu. 

Datuk Bandar MBKT, Samiun Salleh berkata, beberapa aktiviti jualan akan berlangsung di lokasi tersebut termasuk jualan juadah berbuka puasa, pakaian dan kuih raya serta ‘food truck’. 

“Disamping sesi ceramah agama, penyediaan tempat untuk berbuka puasa dan ‘photo booth’, MBKT turut menyediakan kemudahan lain seperti pentas untuk aktiviti keagamaan dan persembahan, tayangan sembahyang terawih serta penyediaan kanopi untuk para peniaga,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Katanya, aktiviti jualan bermula pukul 3 petang sehingga waktu sahur.


16 May 2018

Kerajaan Negeri Laksana Manifesto Secara Berperingkat-Peringkat


Kerajaan negeri akan memastikan semua janji dalam manifesto dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan 20 janji dalam Manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini akan dilaksanakan mengikut keutamaan dengan mengambil berat perihal kebajikan golongan yang memerlukan. 


Katanya, semua perkara termasuk menganjuran program, pelaksanaan projek mega, tawaran bantuan dan potongan subsidi akan melalui proses perbincangan, kajian dan penilaian. 

"Setiap perkara yang ingin dilaksanakan juga haruslah mengambilkira kepentingan rakyat secara menyeluruh dan tidak membebankan kewangan negeri. 

"Ini kerana, kita ingin pastikan rakyat memperoleh manfaat daripada projek yang akan dilaksanakan kerajaan negeri nanti,"katanya. 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. 

Hadir sama, Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang serta kepimpinan tertinggi Pas yang lain. 


Ahmad Samsuri juga turut mengajak semua pimpinan negeri di semua peringkat untuk sama-sama membangunkan Terengganu ke arah yang lebih baik berlandaskan syariat dan al-Quran. 

Sementara itu, kira-kira 20,000 tetamu hadir memberi sokongan pada program terbuka julung kali diadakan Pas selepas berjaya menawan kembali Terengganu pada 9 Mei lalu.


Kerajaan Negeri Tunai Janji, Beri Air Percuma


Rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini dan mendaftar dalam program e-Kasih akan mendapat bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, hari ini. 

“Atas rasa tanggungjawab terhadap keperluan rakyat miskin dan menunaikan sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dalam PRU14, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat miskin negeri ini yang tersenarai dalam e-Kasih.


“Ini adalah pelaksanaan manifesto kita dan terdapat perbezaan dengan dengan apa yang telah dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Mingguan Exco tersebut. 

Menurut Ahmad Samsuri, pengguna hanya perlu membayar nilai meter padu air yang digunakan melebihi jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma. 

“Sebagai contoh, jika penggunaan 21 meter padu , jumlah yang perlu dibayar hanya satu meter padu sahaja, berbanding sebelum ini perlu membayar jumlah penuh (21 meter),” ujarnya. 

Katanya, pemberian bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan termasuk dari segi pentadbiran dan sebagainya selesai. 

“Kita telah buat keputusan secara dasar dan dari segi pelaksanaan akan dibuat seberapa segera.

“Pentadbiran akan teliti perkara ini kerana ianya melibatkan proses-proses pentadbiran yang perlu dibuat. Jadi, selesai proses ini termasuklah dengan agensi yang terlibat membekalkan air, maka ianya akan terus dilaksanakan,” ujarnya.


Terengganu Umum 11 Barisan Exco Baharu


Kerajaan negeri Terengganu, hari ini mengumumkan senarai portfolio 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (exco) yang baharu di bawah kepimpinan Pas. 

Mendahului senarai, Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli. 

ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, manakala ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak pula menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah memegang portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan. 


Bagi portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa dipegang ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim dan portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran pula dipegang ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar. 

Sementara portfolio Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat dipegang ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman; manakala ADUN Chukai, Hanafiah Mat pula memegang portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional. 

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah memegang portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO; ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh menyandang Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau serta ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja. 

Menteri Besar berkata, barisan portfolio dan tugas baru yang dibentuk berbeza dengan kepimpinan sebelum ini selepas menimbangkan keperluan semasa selain mengambil kira pengalaman lepas dan jawatan sama dibentuk kerajaan negeri lain. 


 "Objektif akhir kita adalah untuk memastikan kelancaran dan juga penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan sampai kepada sasaran. 

 "Portfolio daripada kerajaan sebelum ini kita tidak tolak semua dan tidak juga mengambil semua sebaliknya terdapat perbezaan sedikit dengan melakukan penambahbaikan. Ada portfolio yang baru dimasukkan seperti pelaksanaan syariah disekalikan dengan pendidikan dan pengajian tinggi sesuai dengan manifesto (Pas) kita,"katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.



Kerajaan Negeri Pimpinan Pas Teruskan Dana Raya



Kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan Bantuan Dana Raya 2018 sebagai menambahkan keceriaan dan kemeriahan sambutan perayaan Aidilfitri di kalangan rakyat negeri ini terutama kepada golongan berpendapatan kecil. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan dana raya yang diteruskan secara atas talian seperti sebelum ini, turut terbuka kepada pemohon baru yang layak. 

“Mengambil kira kita hendak menyambut Ramadan dan tradisi yang dilaksanakan di Terengganu, maka kita membuat keputusan untuk meneruskan pemberian dana raya berjumlah antara RM300 hingga RM400 mengikut kelayakan masing-masing. 

“Pengagihan akan dibuat pada bulan puasa dan dalam masa yang sama kita membuat penambahbaikan dengan membuka kepada permohonan baru,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. 


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, selaras dengan usaha untuk memastikan rakyat menerima manfaat tanpa melalui kerenah birokrasi, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menghapuskan keperluan tandatangan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sebarang urusan permohonan bantuan daripada kerajaan negeri. 

“Bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat maka proses permohonan yang melibatkan tandatangan JKKK telah ditiadakan. 

“Sebarang permohonan termasuk borang-borang yang berkaitan dengan permohonan yang dibuat hanya perlu diisi oleh pemohon tanpa tandatangan JKKK dan boleh terus kepada Majlis Daerah atau agensi berkaitan,” katanya.



15 May 2018

Kerajaan Negeri Bermatlamat Tambah Baik Pentadbiran


Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengulangi kenyataan beliau semalam, untuk tidak akan menganiayai mana-mana pihak, melainkan melakukan penambahbaikan untuk mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Terengganu yang baharu.

"Objektif yang terbesar (kerajaan negeri) adalah memastikan gangguan (rombakan) terhadap pentadbiran kerajaan negeri berada pada tahap minima. 

Sekiranya masing-masing yang telah dilantik oleh kerajaan negeri (terdahulu) dapat menjalankan tugas dengan baik dan sempurna, maka tidak menjadi halangan kerajaan negeri meneruskan lantikan mereka. 

"Ini adalah proses pentadbiran yang biasa dalam mana-mana syarikat multinasional pun akan berlaku penambahbaikan dan penilaian dari dari semasa ke semasa.sama ada secara bulanan atau tahunan sebab kita akan tengok kerana matlamat kita mahu melihat kelancaran jentera pentadbiran dan apa yang kita bawa kepada rakyat boleh sampai kepada sasaran,"katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, berkata demikian kepada media sejurus memulakan tugas secara rasmi pagi semalam, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. 

Menteri Besar yang mengenakan sut kelabu kelihatan tenang memasuki ruang pejabat di Tingkat 16 dengan diiringi 10 barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 


Turut mengiringi beliau, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.iteliti apabila beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) memulakan tugas pada Isnin ini. 

Turut serta, Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husain Awang dan barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu. 

Dr Samsuri kemudiannya menyertai pegawai dan kakitangan menunaikan solat hajat berjemaah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman diikuti dengan ucapan ringkas sebaik selesai solat dan kemudiannya menyertai sidang media sebelum ke jamuan pagi di tingkat U2. 

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga akan berbincang dan melihat sebarang keperluan khusus serta apa langkah seterusnya kerajaan negeri termasuk menambah baik portfolio EXCO yang baharu, selain perancangan melaksanakan manifesto dijanjikan kepada rakyat dalam mesyuarat EXCO pertama Rabu ini. 

"Insya-Allah hari Rabu selepas menghadap perkenaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin) (Istana Syarqiyyah), kita akan memulakan mesyuarat EXCO yang pertama. Jadi media kena sabar dan tunggu (perancangan dan keputusan),"katanya. 

Selain itu, beliau juga menyatakan isu royalti antara perkara utama yang menjadi komitmen kerajaan untuk menuntut hak rakyat dikembalikan semula melalui cara dan pendekatan yang terbaik.

Kadar Zakat Fitrah Terengganu Minimum RM7


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 setiap orang. 

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Osman Muda berkata, kadar tersebut dikira berdasarkan kepada harga beras Gred Super Tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta lima peratus hancur. 

"Kadar fitrah yang ditetapkan dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau sukatan 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad,” ujarnya. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengistiharan Ketetapan Fitrah Bagi Tahun 2018 di Pejabat Maidam, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar. Osman berkata, pada tahun ini bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja. 


“Untuk membayar fitrah, orang Islam di negeri ini bolehlah membayarnya di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa. 

“Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini, kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 8.30 pagi hingga 4 petang dan bagi kaunter zakat UTC dibuka sehingga 9.30 malam,” ujarnya. 

Menurut beliau, Maidam turut melantik seramai 1,021 amil pada tahun ini dan mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau di seluruh negeri ini. 

“Setelah selesai bayaran dibuat, para pembayar jendaklah memastikan menerima resit rasmi Maidam daripada amil berkenaan bagi mengelak berlakunya sebarang kesulitan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, katanya, Maidam akan mula mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada asnaf yang layak di seluruh negeri bermula 20 Mei ini. 

“Tahun ini, Maidam memperuntukkan sebanyak RM12,825,600 di bawah sinf faqir/miskin melibatkan seramai 26,435 bilangan ketua isi rumah. 

“Manakala bagi sinf mualaf, Maidam memperuntukkan sebanyak RM550,000 dan diagihkan kepada 1,100 ketua isi rumah,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, Maidam telah memungut sebanyak RM6,154,278.60 yang menyumbang kepada 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu yang berjumlah RM137,949,523.03 pada tahun lalu.