Halaman

16 May 2018

Kerajaan Negeri Pimpinan Pas Teruskan Dana Raya



Kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan Bantuan Dana Raya 2018 sebagai menambahkan keceriaan dan kemeriahan sambutan perayaan Aidilfitri di kalangan rakyat negeri ini terutama kepada golongan berpendapatan kecil. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan dana raya yang diteruskan secara atas talian seperti sebelum ini, turut terbuka kepada pemohon baru yang layak. 

“Mengambil kira kita hendak menyambut Ramadan dan tradisi yang dilaksanakan di Terengganu, maka kita membuat keputusan untuk meneruskan pemberian dana raya berjumlah antara RM300 hingga RM400 mengikut kelayakan masing-masing. 

“Pengagihan akan dibuat pada bulan puasa dan dalam masa yang sama kita membuat penambahbaikan dengan membuka kepada permohonan baru,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. 


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, selaras dengan usaha untuk memastikan rakyat menerima manfaat tanpa melalui kerenah birokrasi, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menghapuskan keperluan tandatangan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sebarang urusan permohonan bantuan daripada kerajaan negeri. 

“Bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat maka proses permohonan yang melibatkan tandatangan JKKK telah ditiadakan. 

“Sebarang permohonan termasuk borang-borang yang berkaitan dengan permohonan yang dibuat hanya perlu diisi oleh pemohon tanpa tandatangan JKKK dan boleh terus kepada Majlis Daerah atau agensi berkaitan,” katanya.