Halaman

15 May 2018

Jalinan Kerjasama Dua Pegangan Politik Terengganu


Majlis penyerahan tugas antara mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kepada Menteri Besar baharu, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berlangsung dengan lancar di Wisma Darul Iman, hari ini. 

 Ahmad Samsuri berkata, majlis ini merupakan satu permulaan yang baik di Terengganu kerana membuktikan rakyat negeri ini boleh berpolitik dengan apa sahaja pegangan dan kefahaman.

“Walaupun berbeza tetapi akhirnya kita mencari jalan yang terbaik untuk rakyat Terengganu dan negeri khususnya. 

“Sekali lagi saya bagi pihak pentadbiran kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Razif kerana hadir bersama kita pada hari ini,”katanya kepada pemberita di sidang media selepas majlis penyerahan tugas yang diadakan di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Turut hadir Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain. 


Sementara itu, Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar baharu dan juga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta parti Pas yang telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini. 

“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, saya menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan yang paling penting hari ini adalah untuk rakyat dan saya tak ada masalah untuk membantu sekiranya tenaga saya dan rakan-rakan diperlukan kerana apa yang paling penting pada hari ini kita kena saling bantu membantu dan tolong menolong…yang lepas biarlah lepas. 

 “Yang penting bagaimana kita nak ‘moving forward’ untuk pastikan rakyat mendapat manfaat daripada apa yang diperjuangkan mana-mana parti apabila menang… mereka akan memberi perkhidmatan terbaik jadi bagi pihak saya tiada masalah kerana kita perlu berjiwa besar..kita perlu manfaat masa-masa yang mendatang dengan sebaik mungkin,”ujarnya.