Halaman

15 May 2018

Projek Benteng Pemecah Ombak di Sungai Merchang Dijangka Siap pada 2020


Kerajaan negeri meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Merchang, Marang bagi kemudahan laluan bot nelayan di kawasan itu. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berharap projek bernilai RM43 juta yang sedang berjalan dapat disiapkan secepat mungkin bagi memudahkan kegiatan nelayan untuk keluar masuk dari muara sungai ke perairan laut. 

“Kerajaan memberi jaminan, nelayan boleh menggunakan laluan ini dalam tempoh terdekat selepas selesai kerja-kerja mendalam sungai. 


“Kerja-kerja ini hanya bersifat sementara sebelum pembinaan benteng pemecah ombak dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Benteng Pemecah Ombak di Sungai Merchang, Marang, hari ini. 


Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya. 

Ahmad Samsuri, pihaknya ada berbincang dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil penduduk dan nelayan bagi mencari alternatif serta jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. 


“Jalan terbaik adalah membina benteng pemecah ombak bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku di pesisiran pantai termasuk hakisan pasir dan runtuhan tebing,”katanya.

Difahamkan, kerajaan sebelum ini ada memperuntukkan lebih RM20,000 setiap tahun bagi kerja-kerja mendalamkan muara itu. 

Bagaimanapun, kerja menggali dan mendalamkan laluan-laluan untuk ke laut ini sentiasa dibuat dari semasa ke semasa dan ia hanya penyelesaian sementara.