Halaman

22 May 2018

Hotel Grand Continental Rai Anak Yatim


Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Hotel Grand Continental Kuala Terengganu (HGCKT) menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan 40 anak-anak dari Maahad Tahfiz Alquran Al Tahiri Kampung Gelugur dan Asrama Puteri Pratahfiz Kubang Parit, semalam. 

Pengurus Kanan Bahagian Jualan dan Pemasaran HGCKT, Norlindawati Hasan, berkata, majlis yang diadakan pada setiap kali Ramadan merupakan program tanggungjawab sosial korporatnya untuk membantu golongan kurang kemampuan khususnya anak yatim. 

"Ini merupakan usaha bagi HGCKT untuk menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini.


"Saya berbesar hati kerana tahun ini adalah tahun ke 21 HGCKT mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik...melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna,"katanya kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa di Jala Mas Coffee House, Hotel Grand Continental Kuala Terengganu. 

 Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim dan isteri serta wakil-wakil jabatan. Sementara itu, HGCKT turut melancarkan tabung derma untuk anak-anak yatim negeri Terengganu yang dirasmikan oleh Amzad.


"Hasil kutipan tabung ini akan diagihkan kepada pusat anak-anak yatim yang ada di negeri ini sebelum Aidilfitri nanti. 

“Kami mempunyai peranan yang besar untuk membantu masyarakat dan berharap inisiatif ini dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan semangat mereka berhari raya,” kata Norlindawati.


Bagi Ana Danisa Mokhtar, 11, dia amat berbesar hati apabila berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan di hotel dengan aneka juadah yang tidak pernah terlintas dihati.

“Seronok sangat dapat makan sedap-sedap dan dapat pula duit raya. Sumbangan ini sangat bermakna bagi kami,” kata Ana yang tinggal di rumah anak yatim sejak lima bulan lepas selepas kehilangan ayah ketika berusia sembilan tahun.





3,959 Gerai Bazar Ramadan Diperiksa


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan sebanyak 3,959 lot Bazar Ramadan di Terengganu telah diperiksa sepanjang tahun lalu. 

Daripada jumlah itu, 3,724 gerai mencatatkan markah lebih 80 peratus ke atas, manakala 254 gerai memperoleh 60 sehingga 79 peratus dan sebuah premis telah ditutup.

Manakala sebanyak 418 daripada 4, 246 gerai Bazar Ramadan diperiksa JKNT sejak awal Ramadan, baru-baru ini. 


Pengarah jabatan itu, Dr Mohamad Omar berkata, pada masa sama, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 374 pembekal bahan mentah, premis penyediaan ais dan pembekal kuih muih. 

Katanya, 172 sampel makanan telah diambil bagi mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi dalam makanan. 

"Sampel itu kemudiannya dihantar ke Makmal Kesihatan dan Kualiti Makanan untuk dianalisis, " katanya. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan di tapak Bazar Ramadan Shahbandar, Kuala Terengganu, petang ini. 

Program itu sebagai usaha memastikan pengendali makanan terutama pengusaha yang menggunakan bahan mentah ayam dan daging mengamalkan kebersihan diri dan lokasi niaga. 

Secara umumnya , makanan mudah tercemar adalah lauk pauk berasaskan ayam, minuman soya dan kuih muih yang diperbuat daripada santan dan kelapa.


 

21 May 2018

Terengganu Akan Temui Kerajaan Pusat Bincang Isu Royalti


Kerajaan negeri akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kaedah pelaksanaan penyaluran royalti minyak dan gas kepada negeri itu. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jaminan Dr Mahathir yang dikeluarkan menerusi media sosial itu sangat positif serta ditunggu-tunggu oleh rakyat Terengganu sekaligus turut mencerminkan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan bagi menyelesaikan isu tuntutan royalti ini sejak sekian lama. 

“Saya mewakili seluruh rakyat Terengganu mengalu-alukan sebarang langkah kearah memberikan royalti kepada Terengganu. Ini suatu yang positif dan dialu-alukan oleh rakyat Terengganu,” katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Batu Enam, Kuala Nerus, petang semalam. 


Isu royalti minyak dan gas Terengganu antara Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 Pakatan Harapan yang berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada Terengganu sekiranya berjaya memenangi PRU berkenaan. 

Dalam perkembangan yang lain, Ahmad Samsuri menganggap kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tidak akan mendapat manfaat secara terus daripada royalti itu, hanyalah pandangan peribadinya. 


Sementara itu, beliau juga mengalu-alukan untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana inisiatif itu mampu menjana ekonomi negeri dan rakyat Terengganu terutama di setiap hentian sepanjang projek itu. 

"Secara umumnya sebarang projek yang mampu membawa keuntungan dan menjana ekonomi negeri serta rakyat kita alu-alukan. 

"Kita berharap Kerajaan Persekutuan menimbangkannya lebih serius supaya tidak membebankan negeri dan juga rakyat Terengganu,"katanya.


19 May 2018

Kakitangan Kesenian Dipindahkan Ke Jabatan Lain

Kerajaan PAS Terengganu bercadang memindahkan kakitangan awamnya yang terbabit dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan tidak bercirikan Islam ke jabatan lain.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata pihaknya akan membuat semakan kelulusan pendidikan kakitangan terbabit untuk membolehkan mereka diserapkan ke jabatan atau bahagian bersesuaian.

18 May 2018

Kembali Bersatu, Elak Permusuhan - Ahmad Samsuri


Masyarakat terutama umat Islam di negeri ini diminta kembali bersatu dan menjalinkan silaturahim sekiranya wujud persengketaan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru- baru ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak elok sekiranya antara kita berterusan menyimpan perasaan dendam dan buruk sangka. 


Katanya, sifat bersengketa itu amat dibenci Allah SWT dan juga Rasulullah SAW, oleh itu marilah kita bersama-sama bermaaf-maafan antara jiran, rakan sekampung dan kawan pejabat pada bulan yang mulia ini. 

"Mulai hari ini tanamkan azam untuk bersikap mulia, berbaik sangka dan menjaga adab serta perilaku. 

"Setiap perbuatan dan perilaku pastinya akan menjadi contoh kepada masyarakat negeri lain, " katanya. 



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Masjid Jamek, Pengadang Baru, Kuala Terengganu, petang ini. Ahmad Samsuri turut berpesan supaya jangan sombong serta bangga dengan pangkat dan jawatan yang dipegang kerana semua itu, cukup kecil nilainya di sisi Allah. 

"Apa yang penting setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul perlu laksanakan sebaik mungkin,"katanya.



17 May 2018

Tabika Kemas Beroperasi Seperti Biasa



Operasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini akan berjalan seperti biasa dalam proses peralihan kuasa yang berlaku. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya operasi agensi yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu bakal ditutup kerana persoalan tersebut tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri di bawah Pas.   

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan yang operasi Tabika Kemas itu akan terus diperkasakan di masa depan sekiranya tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.


"Apa yang kita bincang di peringkat pentadbiran kerajaan negeri ketika ini adalah perkara yang lebih penting untuk masyarakat dan isu mengenai Tabika Kemas tidak menjadi keutamaan dalam perbincangan itu. 

"Kita biarkan semua proses berjalan seperti biasa sebab di awal ucapan saya semasa istiadat angkat sumpah lalu, saya ingin memastikan sebarang penambahbaikan yang dibuat kelak tidak menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat terutama dalam isu-isu pendidikan anak-anak, " katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, petang semalam
Hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim dan Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz. 


Dalam majlis itu, sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk yang disumbangkan kerajaan negeri diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena bulan Ramadan. 

 Aizi Saidi berkata, agihan bubur lambuk itu bermula pukul 3.30 petang itu merupakan acara tahunan di Masjid Abidin sejak lapan tahun lalu. 

"Setiap hari kita akan mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada masyarakat sehingga hari ke-28 Ramadan. 

"Orang ramai yang datang bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi bangsa-bangsa lain kerana ramai mengatakan bubur lambuk di sini lebih enak berbanding di tempat lain," katanya.


Enam Pegawai Kerajaan Negeri Bertukar


Enam pegawai tadbir negeri Terengganu ditukarkan ke jawatan baharu berkuatkuasa 16 Mei lalu.

Pertukaran yang dinyatakan dalam surat yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya bertarikh 16 Mei itu melibatkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Husin yang mengisi kekosongan jawatan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan Setiausaha Sulit Kanan YAB Menteri Besar, Md Kamaru Al-Amin Ismail ditukarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC dan jawatan itu kini digantikan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Setiu, Azran Amin Mazlan. 

Manakala Setiusaha Khas Kepada YAB MB, Ahmad Nizam Abd Karim ditukarkan untuk mengisi kekosongan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu; Pegawai Khas Kepada YAB MB, Fatima Az Zuhra Aziz pula ditukarkan ke jawatan Penolong Setiausaha Pembangunan Sumber Manusia), Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu dan Setiausaha Akhbar Kepada YAB MB, Wan Nabila Aisha Wan Bakhri pula mengisi kekosongan jawatan Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Dungun.



Orang Ramai Dijemput Meriahkan Program Nostalgia Ramadan



Orang ramai dijemput memeriahkan Program Nostalgia Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini bertempat di Pasarnita Tanjung, Kuala Terengganu. 

Datuk Bandar MBKT, Samiun Salleh berkata, beberapa aktiviti jualan akan berlangsung di lokasi tersebut termasuk jualan juadah berbuka puasa, pakaian dan kuih raya serta ‘food truck’. 

“Disamping sesi ceramah agama, penyediaan tempat untuk berbuka puasa dan ‘photo booth’, MBKT turut menyediakan kemudahan lain seperti pentas untuk aktiviti keagamaan dan persembahan, tayangan sembahyang terawih serta penyediaan kanopi untuk para peniaga,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Katanya, aktiviti jualan bermula pukul 3 petang sehingga waktu sahur.


16 May 2018

Kerajaan Negeri Laksana Manifesto Secara Berperingkat-Peringkat


Kerajaan negeri akan memastikan semua janji dalam manifesto dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan 20 janji dalam Manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini akan dilaksanakan mengikut keutamaan dengan mengambil berat perihal kebajikan golongan yang memerlukan. 


Katanya, semua perkara termasuk menganjuran program, pelaksanaan projek mega, tawaran bantuan dan potongan subsidi akan melalui proses perbincangan, kajian dan penilaian. 

"Setiap perkara yang ingin dilaksanakan juga haruslah mengambilkira kepentingan rakyat secara menyeluruh dan tidak membebankan kewangan negeri. 

"Ini kerana, kita ingin pastikan rakyat memperoleh manfaat daripada projek yang akan dilaksanakan kerajaan negeri nanti,"katanya. 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. 

Hadir sama, Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang serta kepimpinan tertinggi Pas yang lain. 


Ahmad Samsuri juga turut mengajak semua pimpinan negeri di semua peringkat untuk sama-sama membangunkan Terengganu ke arah yang lebih baik berlandaskan syariat dan al-Quran. 

Sementara itu, kira-kira 20,000 tetamu hadir memberi sokongan pada program terbuka julung kali diadakan Pas selepas berjaya menawan kembali Terengganu pada 9 Mei lalu.


Kerajaan Negeri Tunai Janji, Beri Air Percuma


Rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini dan mendaftar dalam program e-Kasih akan mendapat bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini. 

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, hari ini. 

“Atas rasa tanggungjawab terhadap keperluan rakyat miskin dan menunaikan sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dalam PRU14, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat miskin negeri ini yang tersenarai dalam e-Kasih.


“Ini adalah pelaksanaan manifesto kita dan terdapat perbezaan dengan dengan apa yang telah dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Mingguan Exco tersebut. 

Menurut Ahmad Samsuri, pengguna hanya perlu membayar nilai meter padu air yang digunakan melebihi jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma. 

“Sebagai contoh, jika penggunaan 21 meter padu , jumlah yang perlu dibayar hanya satu meter padu sahaja, berbanding sebelum ini perlu membayar jumlah penuh (21 meter),” ujarnya. 

Katanya, pemberian bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan termasuk dari segi pentadbiran dan sebagainya selesai. 

“Kita telah buat keputusan secara dasar dan dari segi pelaksanaan akan dibuat seberapa segera.

“Pentadbiran akan teliti perkara ini kerana ianya melibatkan proses-proses pentadbiran yang perlu dibuat. Jadi, selesai proses ini termasuklah dengan agensi yang terlibat membekalkan air, maka ianya akan terus dilaksanakan,” ujarnya.