Hampir seminggu umat Islam di negara ini mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia.
Bermakna, kira-kira seminggu juga para peniaga di bazar-bazar Ramadan di seluruh daerah mencari rezeki menjual juadah berbuka puasa.
Di sinilah segala macam makanan dan juadah berbuka puasa dijual malah makanan atau kuih-muih yang pelik-pelik dan jarang-jarang ditemui pada hari biasa, boleh muncul pada bulan ini.
Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu pasti menggembirakan para peniaga di bazar Ramadan yang menganggap tempoh sebulan ini adalah masa untuk menambah pendapatan.
Berbeza dengan peniaga, Latifah Mat Sidek, 58, meskipun mungkin terdapat peniaga lain menjadikan bazar Ramadan sebagai lubuk emas dengan mengambil kesempatan menjual juadah dengan harga tinggi bagi mengaut keuntungan lebih, tetapi dirinya masih menjual nasi bajet RM3 sebungkus.
“Mak Cik jual harga sama sahaja, nasi putih bersama ayam goreng berempah, kuah kari, sambal belacan dan sedikit ulam hanya RM3 sebungkus. Selain lauk itu, ada juga lauk lain seperti ikan goreng, ayam masak berlada, gulai daging dan pelbagai lagi.