Halaman

28 May 2018

Program Jelajah Ramadan Ceriakan 40 Anak Yatim

Omar menyampaikan sumbangan kepada anak yatim yang terpilih dalam program Jelajah Ramadan. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim.
Seramai 40 anak yatim ceria apabila menerima barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Jelajah Ramadan anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Menurut Pengurus Ketengah, Omar Ismail, sebelum itu anak-anak yatim dari tiga buah sekolah di wilayah Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bukit Besi, Dungun dibawa ke Kuala Terengganu untuk membeli-belah pakaian hari raya. 

"Mereka juga diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pengurusan Ketengah, pengurusan RTM Terengganu dan pengamal media. 

"Program kolaborasi ini dibiayai oleh Tabung CSR Ketengah Holding Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ketengah dan Jelajah Ramadan ini merupakan sebahagian program tahunan Ketengah bagi membantu golongan yang memerlukannya," katanya kepada pemberita di Program Jelajah Ramadan 1439H/2018M, semalam. 

Media, Hotel Permai Kolaborasi Agih 150 Pek Juadah Sahur

Rozainah (dua dari kanan) bersama Noralizan (kiri) menyerahkan juadah sahur kepada petugas di HSNZ. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
Persatuan Karyawan Kreatif Terengganu dengan kerjasama Hotel Permai meneruskan tradisi tahunan dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan termasuk petugas di jabatan kerajaan yang bersengkang mata berkhidmat pada waktu malam hingga pagi. 

Presiden Karyawan, Rozainah Zakaria, berkata program itu sebagai tanda kecaknaan dan memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuk dari badan bukan kerajaan. 

"Tahun ini kita memilih golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini dan petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertugas demi menjaga keamanan serta kesejahteraan awam. 

"Hotel Permai menyediakan sebanyak 150 pek juadah sahur berupa nasi dan ayam goreng, sambal bilis dan kurma serta air mineral untuk diagihkan dan ini merupakan kerjasama buat kali pertama pihak kami dalam melaksanakan kerja amal, "katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM, di Kuala Terengganu, semalam.

27 May 2018

Kerajaan Negeri Kaji Semula Projek Terbengkalai


Ahmad Samsuri berkata sesuatu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya 2018 anjuran Muaz Force Sdn Bhd di pasar raya Mydin Mall, Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Kerajaan negeri akan mengkaji semula projek-projek mega di seluruh Terengganu yang terbengkalai termasuk Taman Ilmu di Tembila, Besut. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, komitmen kerajaan negeri kini adalah membangunkan dan menjayakan semula semua projek yang gagal. 

“Langkah pertama yang saya buat ialah minggu depan saya akan berkunjung ke Taman Ilmu bersama dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk melihat kedudukan terakhir dan mencari jalan selepas itu bagaimana untuk kita membuat sesuatu supaya ianya memberi manfaat. 

Muaz Force Sumbang Pakaian Raya Kepada Kakitangan

Ahmad Samsuri menyarungkan baju melayu kepada kepada seorang kanak-kanak sempena Majlis Sumbangan Pakaian Raya Di Mydin Mall Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan, Muaz Force Sdn Bhd mengambil inisiatif membantu kakitangannya yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sumbangan berbentuk baucar pakaian raya sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. 

Terengganu Mahu Rampas Juara SUKMA 2018


Terengganu akan memastikan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018 di Perak pada September ini menjadi milik mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengatur persiapan serta perancangan rapi bagi menghadapi temasya tidak lama lagi itu. 

Katanya, Terengganu yang sebelum ini gah dalam persada sukan tanah air sudah dua kali gagal mempertahankan kejuaraan SUKMA pada temasya terdahulu. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri (tengah berbaju hijau) bersama Wan Sukairi turun padang memberi sokongan bersama tetamu kenamaan lain bagi menyaksikan bola sepak akhir Liga Juara-Juara, Liverpool menentang Real Madrid dalam Program 'Meh Tengok Bola' di Gelanggang Budaya Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, awal pagi tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kali terakhir Terengganu muncul juara sukan dwitahunan itu adalah pada 2012, selepas bergelar juara bertahan sejak edisi 2008 lagi.

26 May 2018

Kelek JB Prihatin Sedia Juadah Sahur Petugas Malam

Adun Ajil, Maliaman Kassim menyampaikan sumbangan juadah untuk bersahur kepada kakitangan Hospital Hulu Terengganu sempena Program Singgah Sahur anjuran Kelek JB semalam.

Di saat orang lain lena dibuai mimpi, ada insan-insan yang sedang gigih melaksanakan tanggungjawab demi menjaga kesejahteraan masyarakat pada waktu malam 'petugas malam'. 

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan itu sekumpulan anak muda daripada Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek JB) yang aktif dalam aktiviti luar menyediakan juadah untuk bersahur.

Presidennya, Mohamad Hanif Mat Rasat berkata, program ini dilaksanakan bagi menyantuni warga hospital yang terdiri dari para doktor, warga perubatan, jururawat dan pegawai keselamatan yang bertugas sepanjang malam di wad. 

"Mungkin pada masa kita tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar demi menjaga kesihatan masyarakat. 

"Kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas. 

"Sumbangan sekecil ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan dan membuatkan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Sahur Muhibah Ramadan Anjuran Kelek JB, di Hospital Hulu Terengganu, malam tadi. 

25 May 2018

Kerajaan Negeri Sasar Jadikan Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa




Kerajaan negeri mensasarkan untuk menjadikan Terengganu sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Batik Dunia sekaligus membangunkan industri pelancongan dan sokongan pelancongan di negeri ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu mempunyai banyak kapasiti yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan. 

"Sekarang ini, negara kita yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia termasuk dari Timur Tengah tetapi sebahagian besar tidak berkunjung ke negeri ini. 

"Jadi tumpuan kita sekarang ini adalah kita menarik mereka untuk datang ke negeri Terengganu,"ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar dan Porfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri bersama pengiat-pengiat industri pelancongan di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam. 


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman. Katanya, Terengganu sepatutnya menjadi destinasi pilihan sekiranya pelancong ingin melihat keindahan alam semulajadi dan seni warisan budaya. 

24 May 2018

Pelajar Madrasah Moden Besut Berbuka Bersama Keluarga Di Padang Sekolah



Seramai 500 pelajar Madrasah Moden Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Kampung Padang Landak, Jertih memecah tradisi apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga di padang sekolah berkenaan, kelmarin. 

Pengetuanya,Jusoh Mamat berkata, pihaknya mengadakan majlis itu bertujuan bagi merapatkan hubungan kekeluargan antara pelajar, ibu bapa dan pengurusan madrasah berkenaan pada bulan yang penuh rahmat dan keberkatan itu. 

Katanya, ibu bapa boleh hadir menemani anak dan berbuka puasa bersama-sama pada setiap Sabtu untuk memeriahkan program berkenaan. 

Beliau berkata, program pertama kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada keluarga yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk bertemu mata anak-anak selain berbuka puasa bersama ahli keluarga. 


“Alhamdulilah majlis yang diadakan petang semalam berjalan lancar dan keadaan cuaca baik menyebabkan program itu dapat diadakan di padang sekolah,” katanya. 

TDM Rekod RM448.8 Juta Hasil Pendapatan 2017




Kumpulan TDM Berhad kembali mencatatkan perkembangan positif dengan merekodkan hasil pendapatan sebanyak RM448.8 juta bagi kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY2017), peningkatan 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM428.5 juta.

Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, keuntungan sebelum cukai Kumpulan (PBT) pula melonjak 49 peratus kepada RM52.3 juta untuk (FY2017) daripada RM35.1 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

“Peningkatan dalam prestasi kewangan didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan juga juala isirong yang lebih tinggi. 

23 May 2018

Penjawat Awam Perlu Jaga Integriti Masa



Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti masa dan bukannya bersikap acuh tidak acuh sewaktu dalam tempoh lapan jam bekerja. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, berkata budaya itu tidak elok diamalkan oleh penjawat awam kerana mereka diamanahkan untuk bekerja dan tempoh itu sewajarnya dimanfaatkan dengan tugas-tugas yang diberi. 

Katanya, setiap tugasan adalah amanah daripada Allah SWT, oleh itu, mereka perlu menjalankan tugas sebaik mungkin kerana setiap masa bekerja akan dibayar mengikut kadar penjawatan masing-masing. 


“Untuk mendapatkan keberkatannya, setiap penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin, tidak bersikap seumpama biskut `chipsmore’ atau dengan kata lain sekejap ada, sekejap hilang. 

“Saya mengakui, masih ada penjawat awam di mana-mana jabatan di negeri ini masih bersikap acuh tidak acuh dalam tugasan yang diberi selain suka mencuri masa dengan melakukan kerja tidak berfaedah ,” katanya.