Halaman

27 May 2018

Muaz Force Sumbang Pakaian Raya Kepada Kakitangan

Ahmad Samsuri menyarungkan baju melayu kepada kepada seorang kanak-kanak sempena Majlis Sumbangan Pakaian Raya Di Mydin Mall Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim

Syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan, Muaz Force Sdn Bhd mengambil inisiatif membantu kakitangannya yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sumbangan berbentuk baucar pakaian raya sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. 


Seramai 278 penerima seluruh negeri yang terdiri daripada pengawal keselamatan, ibu dan bapa tunggal serta anak yatim menerima sumbangan baucar bernilai RM300 untuk pembelian keperluan kelengkapan raya di pasar raya Mydin Mall. 


Setiausaha Eksekutif Muaz Force Sdn Bhd, Nurafifa Dayana Hasbullah berkata, objektif utama penganjuran program tersebut adalah bertujuan membantu warga kerja Muaz Force Sdn Bhd menyediakan keperluan pakaian raya untuk diri sendiri dan ahli keluarga. 

“Ini merupakan tangunggjawab sosial korporat syarikat kami bagi membantu para pekerja dan golongan memerlukan setiap kali Ramadan dan ini merupakan kali keempat program ini diadakan,” ujarnya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Raya 2018 yang disempurnakan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mydin Mall Gong Badak, hari ini. 


Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Eksekutif Muaz Force Sdn Bhd, Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak dan Pengarah Urusan Muaz Force Sdn Bhd, Mohd Azrul Zakaria. 

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memuji pendekatan yang dilaksanakan oleh syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan itu dalam membantu kakitangan yang memerlukan. 

“Tahniah kepada Muaz Force Sdn Bhd kerana meringankan beban kakitangan untuk menyambut Aidilfitri. 

“Selain memberikan kegembiraan kepada mereka, program sebegini mampu mengeratkan hubungan antara pekerja dan syarikat dan diharapkan syarikat-syarikat yang lain juga mengambil langkah yang sama,” ujarnya.