Halaman

28 May 2018

30 Pelajar Kurang Upaya Antara Penerima Sumbangan Raya YDSM

Allif diiringi guru besar sekolahnya, Shahdan menerima sumbangan yang dikurniakan Sultan Mizan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Seorang kanak-kanak cacat penglihatan, Mohd Allif Firdaus Adnan teruja apabila dapat bersalaman dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menerima bantuan sempena Hari Raya Aidilfiri Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) kepada fakir miskin dan pelajar sekolah, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini. 

Pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu (SKPKKT) yang diiringi guru besar, Ahmad Shahdan Ishak itu, mewakili 30 rakannya yang cacat penglihatan dan pendengaran. 


“Suka sangat dapat salam dengan Sultan. Saya gembira selepas cikgu beritahu akan wakil kawan-kawan. Walaupun tidak dapat melihat, saya tetap gembira dapat menjejakkan kaki dalam istana yang pastinya cantik ini. 

"Saya akan beri sumbangan ini kepada mak dan pastinya dapat bantu ringankan beban mak dan ayah untuk buat persiapan pakaian hari raya. Mak hanya surirumah, ayah pula juruelektrik dengan pendapatan tidak seberapa,”katanya. 

Menurut Shahdan, pelajar di SKPKKT saban tahun berpeluang menerima sumbangan dari YDSM dan inisiatif itu amat membantu golongan pelajar yang tidak bernasib baik berkenaan bagi membuat persiapan hari raya dengan ceria seperti kanak-kanak normal yang lain. 

Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan mengurniakan sumbangan berkenaan kepada setiap penerima. 

Turut mengiringi baginda, anakanda Nur Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra. Hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faezah Tuan Ab Rahman serta Ahli lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof. 


Sementara itu, 30 pelajar kurang upaya berkenaan termasuk dalam 530 penerima di kalangan fakir miskin dari seluruh Terengganu dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM186,500. 

Daripada jumlah berkenaan, 240 pelajar menerima RM200 seorang, 60 pelajar dari dua madrasah (RM200 seorang), 200 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri (RM400 seorang dan hamper barangan keperluan RM150). 

Selain itu, 20 bekas pemain hoki negeri dan 10 bekas pemain bola sepak negeri turut menerima bantuan serupa sepertimana penerima bantuan JKM.


Selain SKPKKT, sekolah lain yang menerima bantuan pada tahun ini adalah SK Chendering, SK Kubang Ikan, SK Bukit Bayas (Kuala Terengganu), SK Pulau Redang (Kuala Nerus), Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Sekolah Menengah Agama Marang, Marang.