Halaman

28 May 2018

Kerajaan Negeri Beri Perhatian Serius Pemulihan Taman Ilmu


Kerajaan negeri pimpinan Pas akan meneruskan pembinaan Taman Ilmu di Tembila, Besut, bagi memastikan pusat pendidikan bertaraf antarabangsa itu beroperasi dengan baik dan lancar bagi kepentingan pendidikan negeri ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang terbengkalai sejak 14 tahun yang lalu itu akan dipulihkan secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Katanya, pihaknya memandang berat segala kerosakan yang berlaku pada struktur bangunan dan kemudahan yang disediakan di situ menyebabkan ia memerlukan kos penyelenggaraan yang dianggarkan hampir sama dengan pembinaan awal projek itu. 


Projek Taman Ilmu dibina atas tapak seluas kira-kira 280 hektar membabitkan peruntukan RM 400 juta pada 2004. 


Bagaimanapun, selepas tiga tahun pembinaannya, ia terbengkalai menyebabkan banyak kelengkapan pejabat dan bangunan rosak serta sebahagiannya turut dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya sendiri sudah melihat kemusnahan beberapa bangunan utama di pusat pendidikan terbabit dan memerlukan perhatian untuk dipulihkan,” katanya ketika melawat Taman Ilmu, Tembila, hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri yang baharu mengambil alih dari Barisan Nasional (BN) berjanji akan meneruskan semua projek yang mempunyai kepentingan untuk rakyat dan tidak mahu ia terus terbiar. 

Beliau juga dimaklumkan bahawa ramak pihak berminat untuk menempatkan universiti di situ dan beberapa perjanjian sudah dibuat dengan kerajaan sebelum ini serta ianya akan diteruskan.