Halaman

24 May 2018

Pelajar Madrasah Moden Besut Berbuka Bersama Keluarga Di Padang Sekolah



Seramai 500 pelajar Madrasah Moden Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut di Kampung Padang Landak, Jertih memecah tradisi apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga di padang sekolah berkenaan, kelmarin. 

Pengetuanya,Jusoh Mamat berkata, pihaknya mengadakan majlis itu bertujuan bagi merapatkan hubungan kekeluargan antara pelajar, ibu bapa dan pengurusan madrasah berkenaan pada bulan yang penuh rahmat dan keberkatan itu. 

Katanya, ibu bapa boleh hadir menemani anak dan berbuka puasa bersama-sama pada setiap Sabtu untuk memeriahkan program berkenaan. 

Beliau berkata, program pertama kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada keluarga yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk bertemu mata anak-anak selain berbuka puasa bersama ahli keluarga. 


“Alhamdulilah majlis yang diadakan petang semalam berjalan lancar dan keadaan cuaca baik menyebabkan program itu dapat diadakan di padang sekolah,” katanya. 


Beliau berkata program itu sengaja diadakan di kawasan lapang dengan harapan anak-anak rasa gembira dalam suasana santai dan terbuka.

Katanya, sempena program itu pihak madrasah menyediakan juadah untuk pelajar manakala ibu bapa yang hadir turut membawa makanan masing-masing. 

Beliau berkata, program itu akan diteruskan sepanjang Ramadan dan mempelawa ibu bapa hadir bersama keluarga untuk memeriahkan majlis itu.