Halaman

25 May 2018

Kerajaan Negeri Sasar Jadikan Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa




Kerajaan negeri mensasarkan untuk menjadikan Terengganu sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Batik Dunia sekaligus membangunkan industri pelancongan dan sokongan pelancongan di negeri ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu mempunyai banyak kapasiti yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan. 

"Sekarang ini, negara kita yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia termasuk dari Timur Tengah tetapi sebahagian besar tidak berkunjung ke negeri ini. 

"Jadi tumpuan kita sekarang ini adalah kita menarik mereka untuk datang ke negeri Terengganu,"ujarnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar dan Porfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri bersama pengiat-pengiat industri pelancongan di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam. 


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman. Katanya, Terengganu sepatutnya menjadi destinasi pilihan sekiranya pelancong ingin melihat keindahan alam semulajadi dan seni warisan budaya. 


"Kita mempunyai banyak perkara yang boleh ditonjolkan tetapi kita tidak menonjolkan seperti sepatutnya seperti suasana hidup masyarakat Melayu Islam, keindahan pantai dan pulau-pulau dan sebagainya," ujarnya. 

Ahmad Samsuri berkata, hab pelancongan bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi rakyat dan negeri.

Katanya, pentadbiran kerajaan dibawah pimpinan Pas mempunyai satu tanggungjawab kepada masyarakat untuk memperkenalkan industri pelancongan, perindustrian dan sebagainya berlandaskan Islam sebagai rujukan dan garis panduan dalam membuat pertimbangan.