Halaman

31 October 2012

ICT sebahagian dari landskap pendidikan masa kini

Oleh; Esah Abdullah

Pengagihan kira-kira 113,922 e-book kepada pelajar tahun enam, lima dan empat di negeri ini membolehkan pembelajaran satu komputer satu murid dapat dilaksanakan.


 Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin (gambar) berkata, ICT merupakan sebahagian dari landskap pendidikan masa kini dan Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai bilangan murid teramai memiliki e-Book.

.“Kita sekarang berada dalam Abad ke-21 di mana murid-murid kita adalah penduduk asli digital dan mereka dilahirkan dalam era smart board, touch screen dan smart phone,” katanya di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5, di Stadium Negeri Kuala Terengganu semalam.

Katanya, pemberian 113,922 e-book kepada pelajar dan 4,158 komputer riba kepada guru sehingga ini membuktikan kecaknaan yang tinggi Menteri Besar kepada pelajar dan warga pendidik di negeri ini.

“Kepimpinan Menteri Besar sebagai nakhoda untuk terus memacu pembangunan dengan meletakkan kecemerlangan pendidikan ditempat paling utama dan bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, program pendidikan anjung ilmu (PPAI) merupakan faktor utama penyumbang kepada kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang terus meningkat setiap tahun.

Menurutnya tahun ini saja kerajaan menyumbang RM11.2 juta untuk pembiayaan kelas-kelas bimbingan, tutorial dan akademik yang diadakan di peringkat sekolah, daerah dan negeri .

“Sejumlah wang juga diperuntukkan bagi mencetak soalan TOV, OTI dan bengkel-bengkel pembinaan item tersebut,”.

“Dengan mewujudkan kelas maya dan peperiksaan secara talian terus kepada pelajar, insyaAllah, sasaran 201052 akan dapat dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau seterusnya meminta para guru tingkatkan pembacaan dan perbincangan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta menjadi pendidik Abad ke-21 yang kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu serta ajarlah anak-anak kita mengikut zamannya.

 

Perhentian Trail tawar hadiah RM20,000

Oleh: Aida Abd Rahman

Peminat sukan layar di negara ini berpeluang merebut hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 yang disediakan kerajaan negeri sempena pertandingan `Perhentian Trail’ tidak lama lagi.

Pertandingan yang julung kali diadakan dengan kerjasama  Persatuan Pelayaran Terengganu, Persatuan Pelayaran Malaysia dan T-Best Events terbuka kepada rakyat Malaysia yang memerlukan peserta merentasi Laut China Selatan dari Pulau Perhentian, Besut ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata sukan pelancongan itu bakal mencetus cabaran dan pengalaman baru khususnya kepada pelayar muda negara ketika meredah lautan melebihi lima jam dengan kelajuan angin kencang.

“Kerajaan negeri selaku penaja utama hadiah pertandingan menjangkakan pertandingan itu bakal menarik minat 500 peserta khususnya pelayar muda negara.

 “Pelayar bakal melalui cabaran dan pengalaman baru merentasi lautan dari Pulau Duyong ke Pulau perhentian dengan mengggunakan kapal layar yang sama sebagaimana di kejohanan Piala Monsun iaitu F-36,” katanya di sidang media sempena mempromosikan Bulan Pelayaran Terengganu 2012, di Wisma Darul Iman, semalam (31 Oktober).

 Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013), Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Dato’ Abdul Rahin berkata pihaknya belum memuktamadkan tarikh sebenar pertandingan itu, bagaimanapun ia dijangka diadakan sebelum Mac tahun depan.

 Katanya, pertandingan akan membantu memperkenalkan keindahan dan keunikan alam semula jadi pulau berkenaan dengan lebih dekat serta menyemarakkan kedatangan pelancong tempatan mahu pun luar negara ke pulau itu sempena TMT 2013.

 

BN Terengganu ikut arahan pusat, umum calon lebih awal

Oleh; Esah Abdullah


Barisan Nasional (BN) Terengganu bersedia menerima arahan pucuk pimpinan parti untuk mengumumkan nama-nama calon lebih awal dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU)-13) akan datang.


Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, BN Terengganu tidak ada masalah jika pucuk pimpinan meminta berbuat demikian.

“Kita akan ikut arahan, kalau Perdana Menteri putuskan umum lebih awal kita akan buat, “ katanya kepada pemberita di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Diminta mengulas mengenai sikap ‘cah keting’ kalangan mereka yang tidak berpuas hati terhadap calon, beliau berkata perkata begitu boleh berlaku bila-bila masa saja sama ada umum awal atau lambat.

 “Orang jahat ni tidak kira masa atau tempat, kalau sudah dari awal ada niat dia akan buat dan kita tidak perlu takut kerana perkara ini biasa dalam politik,” katanya.

Bagi beliau, umum awal atau lambat ebih kurang sama saja masing-masing ada kelebihan dan ada kekurangannya tetapi bagi orang yang rasional tidak ada masalah.

 

30 October 2012

Tiada soalan bocor-MB

Oleh; Esah Abdullah


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan dakwaan sesetengah pihak ada soalan bocor bagi peperiksaan awam di negeri ini merupakan satu tuduhan khianat kerana kurang senang dengan kecemerlangan pelajar tempatan.

 “Ini satu fitnah, mereka seolahnya tidak mahu mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu yang bertungkus lumus belajar untuk dapat keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, pihak yang membuat tuduhan itu juga tidak mengiktiraf kerja keras guru-guru di negeri ini yang mengadakan kelas tambahan, menyediakan soalan latihtubi yang di akses terus ke e-Book pelajar-pelajar Tahun 5.

Menurutnya, ekoran daripada dakwaan berkenaan, pihak Kementerian Pelajaran telah menghantar sekumpulan pemantau baru-baru ini untuk menyiasat dakwaan.

Kumpulan pemantau berkenaan telah ke daerah Besut kerana daerah itu mempunyai jumlah pelajar tertinggi mendapat keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga peperiksaan awam tahun lalu.

 “Saya difahamkan mereka tidak jumpa sebarang bukti dan guru kita jujur dan amanah menjalankan tugas mendidik anak bangsa di negeri ini,” katanya.

Menteri Besar juga kesal terhadap dakwaan pemimpin pembangkang melalui pentas ceramahnya mengatakan 12 peratus kadar keciciran pelajar ke sekolah menengah di negeri ini akibat kemiskinan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat ke sekolah menengah bukan kerana masalah kemiskinan.

“Kerajaan menyediakan segalanya dengan percuma, baju sekolah, bantuan pelajaran, basikal, buku, kelas tambahan dan sebagainya,” katanya.

Namun begitu, beliau memberi tempoh sebulan kepada Pejabat Pelajaran negeri untuk mencari data baru secara teperinci terhadap keciciran pelajar ke sekolah menengah tahun depan.

“Ini termasuklah jumlah pelajar Tahun 6 berapa, tidak ke tingkatan satu berapa, ke sekolah tetapi ponteng berapa dan yang berhenti separuh jalan berapa ramai, kita nak tengok angka yang betul,” katanya.

JKNT anjur Program Kesedaran Pendermaan Organ

Oleh: Suriati Ali 

 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menganjurkan Program Kesedaran Pendermaan Organ bertempat di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 1 November ini.

 Program tahunan JKNT itu akan dirasmikan isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud .
 Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) JKNT, Dr Haji Mohd Jusoh, berkata pihaknya berbesar hati menyahut saranan kerajaan sempena sambutan minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ peringkat negeri Terengganu.

“Penganjuran program cukup bermakna bagi menyakinkan orang ramai terutama golongan muda yang sihat untuk melakukan perkara baik ini.

 “Buat masa ini terdapat lebih 10,000 pesakit di negara ini sedang menunggu hanya untuk mendapat sebiji buah pinggang,” katanya.

 Lebih 2,000 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta dijangka hadir pada program sehari itu. Aktiviti lain yang turut diadakan forum, motivasi dan persembahan sketsa.

 

Lima acara hiasi kalendar Bulan Pelayaran Terengganu 2012

Dato' Abdul Rahin bersama Dato' Wan Hisham menunjukkan kalendar bulan pelayaran Terengganu sepanjang November ini.
Oleh: Aida Abd Rahman

Lima acara pelayaran mengisi kalendar Bulan Pelayaran Terengganu sepanjang November ini sebelum menjelangnya acara kemuncak Piala Monsun, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 3 hingga 8 Disember depan.

Pembuka tirai acara adalah KFC- Monsoon Regatta pada 8 hingga 11 November yang dianjurkan Persatuan Pelayaran Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia dan T-Best Events.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata acara pertama sempena bulan pelayaran itu bakal disertai 140 peserta dengan 78 daripadanya merupakan pelayar Optimist berumur bawah 15 tahun.

“Regatta ini terdiri daripada pertandingan maraton dan `fleet race’ yang melibatkan kapal layar Optimist, Laser, International 420 dan juga `windsurfing’.

“Acara berikutnya adalah Mari Belayar diadakan selama dua hari bermula 16 November ini terbuka kepada semua berumur 12 tahun ke atas yang bertujuan menanam minat dan menggiatkan promosi serta pendedahan terhadap sukan layar kepada orang ramai,” katanya di sidang media sempena mempromosikan Bulan Pelayaran Terengganu 2012, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Dato’ Abdul Rahin berkata, acara pelayaran lain yang mengisi kalendar bulan pelayaran negeri termasuk Heritage Bay Cup yang memasuki edisi keempat penganjuran dan dijalankan tiga kali setahun.

Katanya, acara perlumbaan match racing amatur yang terbuka kepada warga tempatan dan menjadi acara kegemaran ramai pelayar amatur negara itu dilaksanakan khusus untuk edisi Piala Monsun di mana peserta terdiri daripada juara Heritage Bay Cup musim lalu.

“Heritage Bay Cup pada 23 November ini diadakan khas bagi mempromosi Monsoon Cup yang menghimpunkan peserta di kalangan juara acara pelayaran berkenaan yang lalu seperti TESDEC, Duyong Heritage, Ri-Yaz Heritage, ABMT dan AG-ing.

 “Acara keempat, MOTOUR Tourism Cup pada 24 November merupakan edisi ketiga anjuran Pejabat Kementerian pelancongan Negeri Terenganu dan T-Best Events bertujuan memberi pendedahan terhadap acara Piala Monsun serta sukan pelayaran kepada penggiat industri pelancongan negeri,” katanya.

Menurutnya, acara Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) yang berlangsung tiga hari bermula 28 November ini di Pulau Duyong merupakan lokasi terakhir sirkit bagi menentukan wakil negara yang bakal mewakili Malaysia ke Piala Monsun nanti.

Katanya, sirkit keempat MMRC yang juga sirkit penentuan kejuaraan bakal berlangsung di Kuala Terengganu selepas berakhirnya tiga sirkit, iaitu di Lumut, Perak ( 11 hingga 13 Mei), Pulau Indah, Selangor (29 Jun hingga 1 Julai) dan Tanjung Leman, Johor (28 hingga 30 September)

 

Magic W3 produk anak syarikat negeri tembusi pasaran US

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, TOP It Industries Sdn Bhd akan mula menghantar 100,000 unit telefon pintar Magic W3 untuk pasaran ke Amerika Syarikat pada bulan depan (November).



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sebelum ini syarikat tersebut menghantar 50 unit iaitu pada bulan lepas untuk ujian pihak pengedar di negara itu.

Katanya, Magic W3 ini merupakan gajet tercanggih di dunia dan dikeluarkan oleh TOP IT Industries Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang beroperasi di Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Alat telekomunikasi pertama dunia ini menggunakan perisian Windows 7 secara keseluruhan dan dilengkapi “GSM Voice’ dan kejuruteraan telephony,” katanya kepada pemberita di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-Guru Tahun 5, di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Menteri Besar berkata, telefon berkenaan yang bernilai RM3,000 seunit akan turut dipasarkan ke Eropah di mana sasaran utama golongan profesional di seluruh dunia.

Dalam pada itu ketika melancarkan Magic W3 pada 20 Mac di Primula Beach Resort Menteri Besar memberitahu buat permulaan sebanyak 500 unit telefon tersebut yang mengandungi fungsi hiburan & Multimedia, laman sosial, keupayaan navigasi (GPS), sidang video dan internet itu, dikeluarkan untuk pasaran Hong Kong dan Cina.

“ Kerajaan negeri amat bangga dengan pencapaian tersebut dan berharap telefon tersebut akan mendapat pasaran meluas dalam masa yang singkat,” katanya.



Sementara itu seramai 2055 guru Tahun 5 dari daerah Kemaman (344), Dungun (272) Marang (155), Hulu Terengganu (204), Kuala Terengganu (542) Setiu (206) dan Besut (332) menerima pemberian komputer riba bernilai RM3.6 juta yang disampaikan oleh Menteri Besar.

 

2,547 komputer riba untuk guru Terengganu

Oleh:Noraini Jusoh



Kerajaan negeri mengagihkan sejumlah 2,547 unit komputer riba kepada guru-guru Tahun 5 di sekolah rendah di seluruh Terengganu dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Menurut sumber Jabatan Pendidikan Negeri, seramai 2547 orang guru tahun 5 yang mengajar subjek teras Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 349 buah sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mendapat komputer riba berjenama Top It Computer i3 (TC i3) baru-baru ini.

“Pengagihan komputer riba ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan para guru mencurah bakti sehingga Terengganu berjaya menjadi pemegang rekod penerima anugerah prestasi cemerlang dalam pencapaian peperiksaan UPSR selama 11 tahun berturut-turut.

“Dengan pemberian komputer ini diharap dapat memberi motivasi kepada para guru untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran agar Terengganu terus kekal dengan status Negeri Anjung Ilmu, sekaligus dapat memperkasa ICT dalam seluruh komuniti di negeri ini,” ujar sumber berkenaan.

Dalam perkembangan lain, sebagai menghargai jasa guru, difahamkan kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah peruntukkan pada pertengahan tahun lepas untuk mengagihkan komputer riba kepada kira-kira 839 orang guru bertempat di Pusat Dagangan Terengganu.

Agihan kedua pula dilakukan pada 14 Februari lalu di Dewan SMK Bukit Tunggal melibatkan 767 orang guru AKRAM (Angkatan Kerja Rajin dan Mulia).

Manakala, pada 21 Oktober baru-baru ini seramai 2642 orang guru yang mengajar subjek teras Tahun 6 menerima komputer riba dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Wisma Darul Iman.

Pengagihan komputer riba yang dilakukan secara berperingkat ini telah mencapai angka 4296 unit termasuk 48 unit yang diagihkan kepada sekolah maya yang melibatkan 17 orang guru SK Paya Bunga dan 31 orang guru SK Telok Kalong.



`Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ berjaya selesai masalah rakyat

Oleh: Suriati Ali 

Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan kerajaan negeri berjaya menyelami masalah rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad berkata, berkata melalui Bajet 2013, kerajaan negeri memperuntukkan RM43 juta bagi membasmi kemiskinan, menampung dana pinjaman dan mewujudkan pelbagai program kepada golongan miskin di Terengganu.

 Katanya, pihaknya komited dan bertanggungjawab mengeluarkan belanja besar pada setiap tahun semata-mata tidak mahu rakyat negeri ini terus dibelenggu kemiskinan.

“Apa yang diusahakan sebelum ini menampakkan kejayaan cukup positif apabila golongan yang dibantu itu berjaya keluar daripada kelompok e-Kasih atau miskin tegar.

 “Selain itu, mereka juga tidak lagi bergantung kepada bantuan pihak tertentu, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya selepas hadir pada satu majlis di Marang, baru-baru ini.

 Katanya, apa yang membanggakan, Terengganu disenaraikan negeri paling berjaya berbanding negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah menurunkan kadar kemiskinan.

 “Berdasarkan perangkaan, seramai 14,000 peserta daripada 43,000 golongan itu keluar dari paras kemiskinan bermula 2008 hingga kini.

 “Pelbagai faktor mengapa seseorang itu disenaraikan sebagai peserta e-Kasih, antaranya sikap malas berusaha, mangsa perceraian, masalah tekanan hidup dan sebagainya,” katanya.

 Kerajaan negeri sudah berusaha pelbagai cara semata-mata mahu mambantu golongan itu berjaya, termasuk memberi pinjaman perniagaan, peruntukan membaiki rumah serta atap dan bantuan persekolahan.

 

Sekayu kazanah Pelancongan Tahun Melawat Terengganu 2013

Oleh: Mastura Jamaluddin

The State Agriculture Park atau Taman Pertanian Negeri juga dikenali sebagai Sekayu Agriculture Park, merupakan salah satu tempat paling terkenal dalam agro-tourism park (Khazanah Alam Semulajadi) di Terengganu.

Taman ini merupakan salah satu destinasi popular di kalangan pencinta alam dan penduduk bandar kerana terdapat pelbagai tarikan seperti Taman Rekreasi Sekayu (Hutan Lipur Sekayu),Taman Negeri Sekayu, Air Terjun Sekayu, taman herba dan mini zoo.

Taman Pertanian Sekayu adalah taman pertanian pertama di Terengganu yang dibangunkan kerajaan negari pada tahun 1982.

Taman ini dikendalikan Jabatan Pertanian Terengganu dan terletak di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, sudah lama terkenal dengan hutan rekreasi, taman tema dan air terjun.

Sempena Tahun Melawat Terengganu ( TMT ) 2013 tahun depan, taman ini dijangka menarik ribuan pelancong dengan tarikan sedia ada dan beberapa penambahan terbaru serta pelbagai aktiviti yang akan dijalankan.

Tarikan terbaru adalah berkayak serta ‘pedal boat’ yang telah beroperasi dengan bayaran RM5 bagi golongan dewasa serta RM3 untuk kanak-kanak bagi tempoh setengah jam.

Pengurusnya, Encik Abd Rahman Shamsuddin berkata, pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memastikan ia mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke taman pertanian berkenaan.

“Selain mengekalkan aktiviti pertandingan memancing yang merupakan aktiviti tahunan, kami juga menerima kedatangan pelancong serta pelajar dan jabatan yang mengadakan perkhemahan atau kursus di sini hampir mencecah kira-kira 20,000 orang dalam setahun.

“Pihak kami juga bercadang untuk menyediakan sebuah kereta kuda bagi permulaan untuk menyambut kedatangan para pelancong pada tahun hadapan.

Mereka boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk bersiar-siar dalam kawasan Taman Pertanian Sekayu dan jangkaan akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun 2012,” katanya.