Halaman

12 June 2013

Larian Perdana PMINT 2013 tawar hadiah RM40,000

Oleh: Suriati Ali

 Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang akan diadakan pada 23 Jun depan, di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada peserta.

 Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata pihaknya mensasarkan 3,000 penyertaan di kalangan masyarakat Terengganu dengan mengenakan yuran yang sangat berpatutan.

 “Bagi peserta kategori sekolah rendah dan sekolah menengah hanya dikenakan yuran RM5 dan lain-lain kategori pula sebanyak RM10.

“Pembayaran yuran penyertaan mestilah dibuat sebelum atau pada 20 Jun secara tunai atau wang pos dan borang penyertaan boleh dicetak melalui www.pmint.gov.my,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, semua peserta dikehendaki memakai baju T rasmi dan tag yang disediakan pada hari larian. Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penyertaan dibatalkan.

 “Larian yang berkonsepkan `lari suka-suka’ dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer (km) itu akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

 “Trek larian bermula di Taman Awam Batu Burok akan melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Masjid Abidin, dan Jalan Engku Fatimah di mana peserta larian akan melalui bangunan PMINT,” katanya .

 Katanya, peserta kemudiannya meneruskan larian melalui Jalan Sultan Ismail mengelilingi Bulatan Batu Bersurat dan Jalan Sultan Mahmud sebelum menyusuri Jalan Pantai Batu Burok dan kemudiannya akan melintasi Jalan Sultan Zainal Abidin.

 “Kemucak larian atau garisan penamatnya akan berakhir di tempat di dataran Taman Awam Batu Burok iaitu lokasi sama ketika memulakan acara.

 “Pihak kami percaya pendekatan itu mampu menggalakkan rakyat Terengganu menyertai aktiviti kecergasan dan rekreasi di samping menyahut hasrat kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat cerdas, sihat, berwibawa dan aktif,” katanya.

 

Speaker DUN dilantik Ahad depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Teka-teki siapa yang akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN)
Azhar Jusoh
Terengganu hanya akan terjawab pada 16 Jun ini apabila mesyuarat pertama Penggal Pertam DUN Terengganu Ketiga Belas akan diadakan di DUN Terengganu, Wisma Darul Iman.

Sehingga ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai pelantikan jawatan tersebut daripada pihak kerajaan negeri.

Setiausaha DUN, Haji Azhar Jusoh, ketika dihubungi Teganukita hari ini memberitahu pihaknya masih belum dimaklumkan sebarang nama bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Sebelum ini, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai speaker DUN Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-12, tetapi beliau meletakkan jawatan untuk bertanding di kerusi DUN Kuala Berang pada PRU13 dan menang.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco). Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi pada hari berkenaan.

Pada hari kedua, akan berlangsung pula Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN ke-13. Beliau berkata, pada hari ketiga dan keempat sidang DUN akan diadakan bermula jam 9.30 pagi.

Bagi DUN penggal ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 ahli DUN manakala pembangkang 15 ahli.

 

Jalinan strategik, peluang pindah kepakaran besi dan keluli di Tatiuc

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Hubungan tiga hala antara Kolej Univesiti Tati (Tatiuc), Institut Teknologi Shugang (SGIT) dan Eastern Steel Sdn Bhd mampu mewujudkan jalinan strategik dan membuka peluang untuk melaksanakan perpindahan program teknologi pembuatan besi serta keluli yang pertama seumpamanya di negara ini.

Rektor Tatiuc, Dr Zunaidi Ibrahim (gambar kiri), berkata memorandum perjanjian (MoA) antara ketiga-tiga pihak itu juga melancarkan bantuan SGIT kepada Tatiuc dalam pembangunan pembelajaran, material, tenaga pengajar serta memberikan kepakaran teknikal.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan Tatiuc saya ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan selamat datang kepada jemputan kehormat dari China berikutan peristiwa bersejarah dengan memorandum Moa ini.

 “Saya sangat yakin dengan persefahaman yang menjanjikan persamaan hasrat dalam tahap kualiti dan keuntungan bersama,” katanya.

Dr Zunaidi berkata, pada masa sama Eastern Steel Sdn Bhd juga akan menyediakan program kursus industri, selain akan terus meningkatkan tahap kecekapan pelajar tempatan bagi membuka peluang lebih cerah bekerja di sektor itu.

Katanya, Tatiuc menawarkan peluang kepada lepasan sekolah, pemegang diploma dan ijazah untuk meneruskan penyertaan mereka dalam program ini dan seramai 40 pelajar menyertai program itu bagi fasa pengambilan pertama ,7 Jun lalu.

 “Dalam sudut kekurangan pakar tempatan dalam bidang metalugikal, kita percaya peluang perkongsian pembelajaran dua institusi ini dapat membantu menyediakan pekerja muda yang berkualiti dalam pelbagai aspek untuk industri besi dan juga keluli negara,” katanya.

 Beliau juga yakin Moa itu menjadi titik mula dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama antara dua institut yang berkepentingan sama.


Kerajaan anjur kejohanan jetrace di pantai Batu Buruk

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri akan menganjurkan kejohanan ‘Terengganu World Jetrace Challenge’ untuk kali ke-4 di pantai peranginan Batu Buruk bermula 21 hingga 23 Jun depan.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee akan mengadakan sidang media mengenai pertandingan pada 21 Jun di Primula Hotel jam 11 pagi.

“Majlis perasmian akan dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 21 Jun diperkarangan kolam renang Hotel Primula jam 8 malam manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah pada 23 Jun jam 4.30 petang,” katanya.

Katanya, kejohanan bertaraf dunia itu berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara sekali gus mampu melonjakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan popular di peringkat antarabangsa.
 

Terima kasih Ayah Ku...

Oleh: Mastura Jamaluddin

Setelah hampir 11 tahun menunggu untuk belajar seperti kanak-kanak lain, akhirnya penantian adik Shaneeza Mohamed Shahrin dari Kampung Tanggol Kuala Berang, untuk menjejakkan kaki ke alam persekolahan tercapai, pagi semalam.

Dengan sokongan dan bantuan yang dihulurkan pemimpin Umno, impian kanak-kanak tersebut yang terpendam sejak sekian lama tercapai apabila dia diterima masuk ke Sekolah Kebangsaan Tanggol.

Wajah mulus kanak-kanak tersebut begitu ceria dan kelihatan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke kelas selepas 11 tahun sabar menunggu untuk belajar seperti rakan-rakan sebaya.



Shaneeza ditinggalkan ayah kandungnya seorang India Muslim kepada keluarga angkatnya ketika berusia empat tahun, tanpa sebarang berita dan dokumen pengenalan diri.

Selepas itu dia membesar di bawah jagaan pasangan suami isteri Encik Jamal Jalil dan Puan Masdiana Shamsuddin dan dibela seperti anak kandung mereka.

Oleh kerana tiada sebarang pengenalan diri,Shaneeza tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain lantaran tiada dokumen yang membolehkannya memasuki mana-mana sekolah.

 Ini dinyatakan oleh ayah angkatnya Encik Jamal yang telah berusaha sejak sekian lama untuk merealisasikan impian anak kecil itu. “Saya telah berusaha pelbagi cara untuk mendapatkan dokumen diri Shaneeza, termasuk mengiklankan di surat khabar bagi mencari keluarga kandung tetapi gagal.

 “Bagaimanpun, atas usaha Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri) dengan pelbagai halangan dan dugaan akhirnya berjaya mendapatkan kebenaran untuk anak angkat saya bersekolah.

 “Terima kasih YB atas pertolongan yang tidak dapat saya dan isteri lupakan sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui Teganukita.

Adun Kawasan Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera yang turut mengiringi kanak-kanak itu mendaftar di sekolah berkenaan, akan menjadikan Shaneeza sebagai anak angkat DUN Kuala Berang.

Beliau sendiri memberi jaminan untuk memantau dari masa ke semasa perkembangan Shaneeza dan di sekolah itu dan seterusnya membantu proses mendapatkan dokumen pengenalan diri murid tersebut.





DUN Rantau Abang, Teluk Pasu fail petisyen PRU13


Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan dua petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Teluk Pasu, semalam.

Wakil jurucakap BN, Che Awang Salleh berkata petisyen itu difailkan pada pukul 11.30 pagi oleh Tetuan Rafaei & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Kira-kira 100 penyokong BN hadir di perkarangan kompleks mahkamah ketika petisyen difailkan.

Pada Ahad lalu, Pas Terengganu memfailkan dua petisyen PRU13 bagi DUN Hulu Besut dan DUN Kuala Berang atas alasan utama berlaku amalan rasuah.


11 June 2013

Ukom anjur program bicara bersama media

Oleh; Esah Abdullah

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menganjurkan Program Bicara Bersama Media pada 14 Jun ini (Jumaat) di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman berkata, program itu bertujuan antara lain untuk berkongsi idea serta bertukar fikiran antara kerajaan dan pihak media.

Katanya, setiap agensi media cetak dan media elektronik diminta menghantar lima wakil terdiri daripada wartawan dan jurufoto ke majlis yang bermula jam 4 petang.

 

Pertandingan rekacipta bakal bersiaran di TV

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan pertandingan rekacipta sebagai program realiti yang bersiaran di media elektronik (televesyen).

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat membawa program pertandingan rekacipta perabot dan rekacipta lain yang membabitkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara melalui siaran televesyen untuk tontonan umum.

Katanya, setiap kumpulan akan dibarisi lima peserta terdiri daripada pelajar serta seorang pensyarah dan akan mengenengahkan rekaan masing-masing bermula dari perngkat awal sehingga ciptaan itu siap.

"Penonton boleh melihat kreativiti setiap kumpulan yang menyertai pertandingan itu sehingga produk yang dicipta siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di  Majlis Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Zon Timur di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, program ilmu ini boleh dijadikan satu rancangan yang boleh menarik penonton di TV dan undian juga boleh dibuka kepada penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti rancangan realiti hiburan yang ada sekarang.

“Saya sudah pun berbincang dengan penerbit di stesyen TV untuk merealisasikan hasrat itu dan mereka berminat mengenai cadangan berkenaan,” katanya

Kalau boleh katanya, perancangan itu dilaksanakan secepat mungkin namun ia tidak semudah yang disangka kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk mencari penaja, juri pertandingan, tempat dan juga peserta.

Sehubungan itu UniSZA juga akan terus memperkasakan bidang reka bentuk yang bersifat perabot dan seterusnya bergerak kepada reka bentuk dinamik seperti robotik telekomunikasi dan sebagainya.

Setiu Wetlands wajar jadi taman negeri

Oleh: Suriati Ali 

Tanah lembap seluas 230 kilometer di Setiu (Setiu Wetlands) wajar dibangunkan sebagai taman negeri bagi memulihara ekosistem alam semula jadi kawasan itu.



 Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata adalah cukup rugi jika khazanah alam yang terdapat di Setiu Wetlands diabaikan dan dibiarkan tanpa pengawasan.

 “Ia bukan saja unik, malah satu kawasan yang cantik dan kaya dengan keindahan serta memiliki kelainan flora dan fauna yang jarang ditemui di lokasi lain sama ada di Malaysia mahupun luar negara.

“Ekosistem yang terdapat di kawasan itu saling berhubung antara khazanah alam lain iaitu pantai, sungai, lumpur, lagun, pulau dan hutan bergabung dengan air laut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Hutan Pesisiran Pantai Negara di Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Katanya, tidak wajar Setiu Wetland diabaikan kerana pelbagai aktiviti boleh dimanfaat dan dilaksanakan, antaranya membawa pengunjung melihat pelbagai spesies hidupan tanah lembap , penuaian madu lebah di kawasan paya gelam dan memancing.


 “Eko-pelancongan yang dimajukan itu mampu menjana pendapatan sampingan penduduk di mana sebelum ini kebanyakan mereka hanya bergantung kepada hasil laut,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif turut memberitahu usaha untuk memastikan pembangunan dan kesinambungan kehidupan secara seimbang terutama sekali di kawasan pesisiran pantai merupakan satu proses yang mencabar.

“Perancangan pembangunan dan penggunaan tanah yang baik serta pengurusan dan kawalan di kawasan alam sekitar yang sensitif adalah penting bagi memastikan sumber semulajadi digunakan secara baik demi kepentingan bersama,” katanya.

 






Polis giat jalankan proses pengambilan 4,000 anggota baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan proses pengambilan 4,000 anggota dan pegawai baru bagi mengisi kekosongan semua peringkat perjawatan dalam pasukan keselamatan itu.

Pengambilan itu antara janji kerajaan yang terkandung dalam Aku Janji Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang dilancarkan April lalu.

Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Mortadza Nazarene, berkata proses pengambilan dijalankan secara berperingkat melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka yang terpilih akan dipanggil menghadiri temuduga di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) seluruh negara.

“Mulai tahun ini PDRM akan membuat pengambilan anggota baru pelbagai peringkat jawatan seramai 4,000 orang setahun seperti mana yang terkandung dalam Aku Janji manifesto kerajaan BN pada PRU13 baru-baru ini.

"Ketika ini PDRM sedang giat jalankan proses pengambilan anggota baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara (KPN), di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustapa dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Sharifuddin Ab Ghani.

Dato’ Mortadza berkata, pihaknya menerima permohonan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang semakin berminat memasuki perkhidmatan polis sejak kebelakangan ini.

Katanya, perkembangan itu disebabkan beberapa penambahbaikan dan insentif yang diperkenalkan kerajaan kepada anggota dan pegawai PDRM seperti Sistem Saraan Baru (SSB) menyaksikan kenaikan gred gaji baru yang disetarakan dengan perkhidmatan awam lain.

Menurutnya, setiap tahun kira-kira 2,000 anggota PDRM bersara dan dengan pertambahan pengambilan anggota baru kepada 4,000 setahun, ia dapat meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan itu terhadap masyarakat.

"Mereka yang dipilih selepas menjalani proses temuduga akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Di Terengganu kita ada PULAPOL baru terletak di Dungun," katanya.